RSS

39.0 MEMUPUK SEMANGAT BELAJAR

14 Jun

         Ketika saya memimpin persatuan, usaha-usaha memupuk semangat belajar dalam kalangan penuntut sentiasa dilakukan. Usaha-usaha itu adalah secara lisan dan secara tulisan. Pada peringkat awal penubuhan cawangan di Perak, SC adalah didaftar dengan nama Cawangan Ipoh. Kemudiannya baru dibuka Cawangan Perak dan kekal hingga sekarang di bawah geng yang lain. Selaku pemimpin cawangan dulunya, saya amat memberatkan komitmen para penuntut agar mereka benar-benar menguasai SC. Prinsip penubuhan kelas adalah berdasarkan kualiti ahli, berbanding dengan kuantiti ahli. Oleh itu, kami tidak akan membuka kelas baru sehingga para penuntut yang telah tamat benar-benar telah dapat menguasai SC.

Salah satu cara bagi menaikkan semangat belajar dalam kalangan penuntut adalah secara pembacaan. Kami menerbitkan ‘majalah’ cawangan yang memuatkan pelbagai bentuk bahan penulisan. Penerbitannya mengikut keperluan. Sekurang-kurangnya ada aktiviti sampingan bagi memantapkan pengurusan persatuan. 

Dalam tulisan ini, saya ingin menerbitkan semula satu artikal yang saya tulis dalam ‘majalah’ cawangan terbitan tahun 1983. Ketika itu umur saya tiga puluh tahun. Masa itu lagi, saya sentiasa menyebarkan ilmu dan pengalaman secara tulisan. Saya muatkan artikel itu dalam ruangan ini sebab ada kaitan dengan tulisan saya yang terdahulu mengenai proses mendapatkan ilmu daripada guru. Mungkin stail dan kematangan penulisan agak berbeza dengan yang sekarang. Diharapkan isi penulisan ini dapat membantu para ahli untuk menambahkan pembacaan mengenai pelajaran SC.

       “Malam itu keadaan hening sepi. Kelihatan wajah langit ditabiri awan berbaju kelabu.  Cahaya bintang tidak kelihatan. Cuma sekali sekala bulan tetap menyerikan keindahan alam. Di suatu sudut, kelihatan sekumpulan pemuda sedang bersilat dalam satu gelanggang. Gelanggang itu digelarkan kelas silat. Luasnya sekadar dua kali hembusan asap rokok dari setiap penjuru. Lepas Isyak, mereka turun ke gelanggang. Yang kasar buat cara kasar. Yang lembut buat cara lembut. Tengah malam, kadang-kadang sampai ayam kokok yang pertama, mereka masih bersilat. Ada ketikanya pula, lebih banyak bersembang daripada bersilat. Masing-masing sangat tekun belajar. Bukan main lagi mereka bersilat, hinggakan ada yang mula main latah. Jatuh putik rambutan pun penyepak menyambar. Terkejut suara itik, ada yang melompat tumbuk angin. Tak tahulah nak mengukur betapa giatnya mereka berlatih. Giat tak giat, habis bersilat, setengah cawan air peluh boleh dikumpul kalau baju diperah.”

       Begitulah gambaran simbolik betapa hebat bakal-bakal pendekar SC di Cawangan Ipoh menjalani latihan. Masing-masing inginkan kecekapan. Keadaan cuaca bukan lagi menjadi ukuran. Kerana silat, perkara itu jatuh  nombor dua. Cita-cita hanya inginkan kecekapan supaya ilmu silat dapat dijadikan teman setia dalam kecemasan.

       Di sebalik semangat yang berkobar-kobar, ada perkara yang terus mendukacitakan. Ada penuntut yang ‘frust’ dengan silat. Bukan tak percaya dengan pelajarannya, tapi kepandaian masih berada di takuk lama. “Apalah salah agaknya. Nak kata tak belajar, bohong. Nak kata benak, tak patut. Pelajaran yang diterima adalah sama. Orang pandai dan cekap, mereka kurang sedikit.”

       Kita harus faham, silat itu gerak dan pergerakannya adalah melibatkan dua tangan dan dua kaki, di samping cekap menggunakan otak atau fikiran. Musuh pasti kecundang jika kecekapan kita meliputi ketangkasan dan kepintaran, melebihi pihak lawan. Dalam soal ini, aspek kecekapan dua tangan dan dua kaki tidak dapat dipisahkan dengan kecekapan menggunakan akal fikiran. Ikatannya umpama irama dan lagu. Faktor ini penting kerana ada perkaitan dengan keberanian. Kalau kita cekap, Insyaallah kita akan berani. Pendeknya, kedua-dua perkara mesti ada. Cekap tapi tak berani, tak guna. Biasanya keberanian akan lahir secara sendiri apabila kita cekap. Kita tidak menolak faktor ada orang yang cekap tapi tak berani atau berani tapi kurang cekap. Orang-orang yang sebegini masih boleh dibawa ke tengah. Kalau sesak-sesak, umpama kata pepatah, “Tiada rotan, akarpun berguna.”  Hal yang demikian adalah kerana berbalik pada pengertian asal, silat itu adalah gerak dan yang memberi gerak ialah Yang Empunya gerak. Itu sebabnya ada penuntut yang lembab dalam kelas silat tapi bila berhadapan dengan musuh, keberanian dan ketangkasannya sungguh mengkagumkan. “Silat Cekak amatlah mudah terutama mereka yang diberi hidayah oleh Allah.”

       Walaupun gerak tetap dari Allah, kita sebagai ahli SC harus berlatih bersungguh-sungguh hingga terbentuk satu pergerakan yang sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh SC. Sudah semestinya sebagai memenuhi matlamat kita bersilat, kita tetap bercita-cita menjadi seorang penuntut yang tangkas dan pintar serta seterusnya berani. Persoalannya, apakah cara untuk menjadi seorang yang cekap menggunakan tangan, kaki dan otak hingga membentuk sifat berani. Di sini saya akan cuba huraikan berdasar pengalaman yang telah lama berkecimping dalam dunia silat, khususnya SC.

       Ada yang berpendapat, kelebihan fizikal amat penting sebagai ukuran kejayaan kita dalam silat. Penuntut yang bertubuh besar atau sasa, kemas, tinggi serta mempunyai jangkauan tangan yang panjang akan mempunyai kelebihan. Saya tidak menolak sifat-sifat tersebut yang dapat kita golongkan sebagai perwatakan luaran itu sebagai sesuatu yang penting. Cuma adalah salah untuk menganggap faktor tersebut sebagai faktor penentu. Sebaliknya, perwatakan dalaman yang merangkumi sifat-sifat tabah, berfikir, rela dalam menghadapi segala bentuk ujian, berlumba-lumba mengejar kejayaan, berani dan tegas dalam melakukan satu-satu pergerakan adalah lebih penting. Sifat-sifat inilah yang sebenar-benarnya menolong kita menjadi seorang pendekar yang tangkas dan pintar serta berani. Perwatakan orang yang berbadan besar tapi berjiwa kecil tentu berbeza dengan perwatakan orang yang berbadan kecil tetapi berjiwa besar.

       Walaupun pada awalnya kita tidak memiliki sifat-sifat tersebut, tidak bermakna kita terus tinggal ke belakang. Semuanya boleh dibentuk. “Alangkan besi yang pejal dan keras boleh dibentuk, inikan pula manusia – Insyaallah.” Cuma, faktor penentunya adalah kesabaran, ketabahan dan masa.

       Sejarah telah membuktikan ‘si kecil bisa mengalahkan si besar.’ Yang penting ialah jiwa kita. Jiwa inilah yang perlu diasuh. Asuhan ini pula perlulah datang dari Guru yang sebenar Guru. “Sebenar Guru ada hakikat,
Ditambah pula amalan syariat,
Dikuat dengan ilmu makrifat,
Berpakaian pula dengan isyarat.”

       Sebagai penuntut, kita mesti juga mempunyai minat. Belajar tanpa minat umpama izin dalam paksa. Kalau kita berminat, bermakna kita akan memberi tumpuan. Pemikiran dapat ditumpukan sepenuhnya pada silat sepanjang masa kita bersilat. Akhirnya akan membuahkan cita-cita kita sebagai penuntut yang tangkas dan pintar, kerana minat akan memudahkan kita menerima pelajaran. Alasan-alasan yang kecil bukan lagi menjadi sebab untuk menghalang kita dari bersilat. Pendek kata kalau seminggu tak bersilat, duduk tak senang. Agak-agaknya bolehlah kita bandingkan minat bersilat dengan minat terhadap seseorang yang kita kasihi. Kalau tak nampak rupa, melihat bumbung rumahpun jadilah, tapi kena tiap-tiap hari. Silat kita kalau seminggu, untuk orang baru, baru tiga kali dan yang lama sekali sahaja.

       Minat yang mendalam ini ada kaitannya dengan faktor keyakinan. Kita perlu yakin pada diri sendiri dan pada pelajaran yang dipelajari. Penuntut yang mempelajari silat pasti terlebih dahulu berminat dan yakin silat itu sesuai dijadikan seni menjaga diri. Keyakinan inilah yang harus dipupuk. Adalah malang pada diri penuntut itu yang hilang keyakinan pada pertengahan pelajaran. Pada hal sebelumnya mereka sendiri telah mengambil keputusan untuk belajar. Mereka ini tidak sabar dan ini satu perkara yang merugikan diri sendiri. Golongan ini tidak putus-putus belajar dari satu seni silat ke seni yang lain. Akhirnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.

       Sebagai penuntut, keyakinan yang telah tersemai di peringkat permulaan perlulah disuburkan hingga ke penghujung silat. Keyakinan pada pelajaran memudahkan fikiran kita menerimanya. Kalau tidak, kita akan ragu-ragu atau was-was. Kalau kita yakin tangan yang dihiris tidak berdarah, kata orang, Insyaallah, tangan itu  tidak akan berdarah.

       Yakin pada silat akan memudahkan otak kita berfikir ke arah keyakinan pada diri sendiri. Hal yang demikian juga merupakan satu perkara penting kerana sikap ini akan melahirkan hasil yang memberangsangkan. Penuntut yang yakin pada diri dan pada silatnya tidak akan berasa kekok apabila bersilat walaupun ribuan mata menyaksikannya. Pergerakannya akan menjadi lebih kemas dan amat kurang melakukan kesilapan. Inilah satu keuntungan besar jika kita mementingkan satu disiplin dalam pembelajaran silat.

        Kita sebagai penuntut harus yakin dengan apa yang diajar dan seterusnya yakin pada diri kita sendiri. Tidak ada sesiapa yang dapat menolong kita menguatkan semangat, cekal, tangkas dan berani melainkan diri kita sendiri.

       Keyakinan pada diri juga akan melahirkan sifat ketabahan yang amat berguna dalam proses penerimaan ilmu silat. Biasanya, kurang ketabahan bermakna tidak yakin atau tidak percaya pada kebolehan diri sendiri. Mereka ini sering juga belajar sekerat jalan.

       Berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang penuntut, ketiga-tiga sifat itu harus ada dan harus dibentuk. Di samping perwatakan dalaman. Faktor minat dan keyakinan amat penting. Ketiga-tiganya adalah ditentukan oleh masa dan ketabahan. Lambat atau cepat adalah bergantung pada diri kita sendiri. Di samping masa dan ketabahan, kita juga harus bersabar. Jangan mudah membuat kesimpulan atau keputusan tanpa kita mengalaminya. Adalah di luar jangkaan kita bahawa setiap penuntut itu mempunyai kelebihan yang sama. Walaupun kebolehan kita berbeza, kesemua penuntut tetap akan mencapai matlamat asal bersilat. Bersabarlah. Sampai tetap sampai. Cuma yang harus kita fahamkan, silat itu adalah gerak dan hakikat gerak tetap ditentukan oleh Allah.

       Jika Allah mengizinkan, dengan memiliki sifat-sifat seperti yang saya nyatakan, pasti kita akan menjadi seorang penuntut yang cekap dan berani. Pupuklah sifat-sifat itu. Usaha yang sedemikian  akan menolong kita menggerakkan otak di samping menggerakkan kedua-dua tangan dan kaki. Kekuatan yang tidak disertai dengan kepintaran berfikir, kurang bermakna. Mungkin kita pernah mendengar cerita mengenai Pak Wan Selampit yang handal telah berjaya mengalahkan musuh dengan dibantu oleh kepintaran si Terung Pipit.

       Sebagai penuntut, kita harus ada keperluan asas buat bekalan masa menuntut. Untuk menjadi seorang yang cekap dan berani, kita tidak dapat lari daripada faktor ketabahan, sabar dan jangka masa yang tertentu. Persolannya sekarang, adakah SC mampu membentuk kita untuk menjadi seorang yang cekap, pintar dan berani. Jiwailah pelajarannya.

Demikianlah petikan tulisan saya pada tahun 1983. Tumpuan saya ketika itu sangat memberatkan pada kualiti ahli yang tamat silat. Apa yang dicanangkan pada mereka sebelum memasuki silat, maka itulah yang mereka akan dapat setelah tamat silat. Hal yang demikian hanya boleh dicapai jika kita yang merupakan tenaga pengajar dan wakil Guru dalam persilatan, benar-benar memberi perhatian pada mereka yang menuntut di bawah seliaan kita.

Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 14/06/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: