RSS

38.3 PROSES PENERIMAAN ILMU DARIPADA GURU

11 Jun

         Kita perlu akui betapa sesuatu ilmu yang kita pelajari semestinya akan memakan masa. Tidak ada ilmu yang melibatkan pergerakan fizikal, boleh dikuasai dengan begitu pendek. Ilmu ‘megah’, mungkin boleh dikuasai dalam jangka masa yang cepat. Misalnya satu ketika dulu, ketika Peristriwa 13 Mei, ilmu kebal amat popular. Dengan jumlah wang yang tertentu, penuntut boleh mendapatkan ilmu tersebut melalui pemberian tangkal atau bacaan ayat-ayat yang tertentu. Walau bagaimanapun, kemenjadiannya adalah tidak tentu. Ada juga yang dihantar ke hospital apabila diuji kekebalan kerana tak menjadi, gara-gara keyakinan yang tidak berasas kekal.

Ilmu yang berkaitan fizikal berlainan kaedahnya. Faktor masa amat menentukan penguasaannya. Setakat faham berdasarkan pengetahuan, mungkin tidak mengambil masa. Tapi hanya untuk habuan pengetahuan sahaja. Tidak boleh menguasainya. Lebih-lebih lagi untuk menjadikan ilmu berkenaan bersepadu dengan diri kita. Akibatnya kefahaman pada ilmu yang ada akan beransur lupa. Maka hilanglah begitu saja.

Untuk menguasai ilmu fizikal yang berbentuk kekal, memerlukan latihan dan hal yang demikian tentunya akan melibatkan masa. Tempoh masa adalah bergantung pada situasi pembelajaran yang ada. Mendapatkan ilmu secara terburu-buru pastinya kurang berkesan dan mudah lupa. Cepat dapat maka cepatlah lupa. Malah, tidak ada kepuasan dari segi pembelajaran. Ilmu persilatan yang diterima perlu dilatih supaya benar-benar sebati pada diri kita. Hal yang demikian tentunya akan memakan masa yang lama. 

Pada satu ketika lalu, terdapat juga silat yang boleh dipelajari dalam jangka masa tujuh hari, tiga hari dan terbawa-bawa hingga boleh dipelajari dalam kiraan jam. Salah satu aliran persilatan berkenaan ada menggunakan nama kita. Dikatakan pelajarannya berasaskan petua. Boleh mengatasi mana-mana silat yang ada dengan sekelip mata. Pelajarannya sehari.  Pernah satu ketika Ustaz membenarkan tiga orang ahli kita bagi menuntut silat berkenaan. Ingin mengetahui kehebatan pelajaran silat berkenaan yang berani  menggunakan nama silat kita. Sahabat-sahabat kita itu turut mencuba. Banyak ceritanya dari mereka. Lucu pun ada. Nampak sangat silat berkenaan hanya megah dari segi cerita. Mana mungkin kita hebat dalam sehari dengan menguasai ilmu yang menggunakan kemahiran dua tangan dan dua kaki. Mungkin sesuai untuk Gurunya saja yang banyak mempelajari silat-silat Melayu lain yang ada. Walau bagaimanapun. sekarang tidak kedengaran lagi perkembangan majunya kerana kurang mendapat sambutan agaknya.

Ada juga persilatan yang menggunakan kaedah seru pada silat yang dikehendakinya. Hanya seteguk air dan dengan sedikit bacaan maka gerak silat lain boleh diseru. Bersilatlah mereka seperti mana silat yang diseru itu. Pergerakan tangan dan kakinya adalah selaras dengan pergerakan mulut yang  sentiasa berzikir. Macam tak sedar diri. Namun begitu, persilatan ini juga kurang menjadi ketika diseru gerak SC. Gerak “tak datang”. Nak gerak macam mana, SC tidak ada tarinya. Silat Cekak hanya bergerak jika orang lain memulakan gerak. Lucupun ada.

Teringat juga kisah lama atas pengalaman dengan mereka. Ada seorang sahabat saya yang ada ilmu berkenaan. Saja-saja ajak ‘bermain’ silat dengannya. Ketika bersilat, halkumnya menjadi sasaran yang utama. Kalau dah tercekik dan sukar bernafas maka berhentilah zikirnya. Baru sedar akan diri yang berada di bumi nyata. Kemudiannya jadi ahli kita untuk mempelajari SC. Setelah mandi pertama, dikatakan ‘seruannya’ tak pernah menjadi lagi. Itulah dakwaannya. Saya dengar sahaja.

Dalam SC, pelajarannya juga memakan masa yang agak panjang. Walaupun pada dasarnya setiap sesi pembelajaran akan memakan masa enam bulan, terdapat beberapa halangan yang melibatkan masa yang agak panjang. Mungkin melibatkan tujuh  atau lapan bulan lamanya. Keadaan yang demikian akan memerlukan ketabahan para penuntut untuk menamatkan pelajaran. Walau bagaimanapun, pelajaran enam bulan tersebut adalah pelajaran asas yang ada dalam SC. Belum tentunya jangka masa tersebut akan membolehkan kita benar-benar menguasai ilmu persilatan SC seperti yang sepatutnya. Mungkin hal yang demikian boleh kita bandingkan dengan kelulusan sijil perguruan. Sijil yang diperoleh dalam masa setahun dua, tidak mungkin membolehkan kita menjadi seorang guru sekolah yang baik. Melainkan pengalaman seterusnya akan banyak membantu menjadikan seseorang itu berjaya menguasai profesyennya. Hal yang demikian tentunya akan memerlukan  masa.

Masa yang panjang juga amat diperlukan lagi bagi mendapatkan pelajaran seterusnya dalam SC. Misalnya pelajaran menengah. Mungkin masa tersebut melibatkan beberapa tahun lagi. Di sinilah keperluan wujudnya kesedaran betapa sesuatu ilmu itu akan memakan masa yang panjang untuk maksud mendapat dan seterusnya menguasai. Jangan sesekali berhajat untuk memperoleh ilmu secara singkat. Mustahil pada adatnya. Sikap yang berkenaan banyak rugi berbanding untungnya. Sekurang-kurangnya bila hati berasa hampa, mudah lari. Gara-gara tak sabar dan kurang kesedaran diri. Tak ada ketabahan diri untuk tunggu lama.

Akhir sekali, faktor wang juga berperanan penting untuk mendapatkan ilmu daripada Guru. Walau apa pun alasan yang ada pada kita, faktor wang tidak dapat dikesampingkan begitu saja. Dewasa ini, sebutlah apa saja ilmu yang ingin diperoleh. Tidak ada yang percuma. Sekurang-kurangnya majlis ilmu di masjid pun ada edaran tabung bergerak bagi mendapatkan derma. Oleh itu, terimalah hakikat bahawa menuntut ilmu yang ada nilai pada diri sendiri itu memerlukan perbelanjaan. Sikit atau banyak adalah bergantung pada tafsiran kita. Kita perlu berkorban wang ringgit. Ada yang menganggap sebanyak mana wang yang dikeluarkan, tidak sama dengan nilai ilmu yang diperoleh. Wang bukan faktor penghalang.

Mereka yang ‘berkira’, selalu membuat kesimpulan bahawa ilmu yang diberi perlu disampaikan secara ikhlas dan percuma. “Hak Allah”, dakwaan mereka. Jangan ada apa-apa bayaran. Maka selalulah mereka menggunakan cap ‘Guru business’ jika Guru mengenakan bayaran. Namun begitu, mereka yang bersetuju dengan prinsip dikenakan bayaran mempunyai pandangan yang berlainan. Maka timbul perbahasan, mungkin polimik. Pada mereka, konsep belajar percuma telah berlalu. Itu zaman dulu-dulu. Itupun, bayaran tetap ada. Tapi dalam bentuk yang berbeza. Mereka perlu membayar dalam bentuk tenaga. Bekerja untuk guru. Cari kayu api, angkat air dan sebagainya. Ataupun bayaran wang diganti dengan bawa ‘benda’. Sama ada ayam, garam, gula atau tembakau atau sebagainya. Hakikatnya ialah tetap melibatkan wang. Fikirlah mana yang patut.

Apapun, dalam SC, untuk mendapatkan ilmu maka wang juga adalah diperlukan. Perbelanjaannya pun telah naik, sesuai dengan tuntutan semasa. Banyak juga hingga tamat pelajaran. Malah, bagi mendapatkan ilmu sampingan pun memerlukan wang. Misalnya, bagi mendapatkan ilmu ‘tikam papan’ akan melibatkan perbelanjaan yang tinggi juga. Namun begitu, bagi mereka yang menganggap nilai ilmu berkenaan amat berharga, wang yang dicurahkan tidak membawa apa-apa makna. Sebaliknya, mereka yang berkira, akan berada di takuk lama. Papan yang ditikam tak akan tembus sampai bila-bila.

Jelas pada kita betapa untuk mendapatkan ilmu dari guru, banyak dugaannya. Namun begitu saya yakin jika kita benar-benar ingin mendapatkan ilmu, pegorbanan tetap perlu. Hal yang demikian melibatkan masa, tenaga dan wang ringgit. Jangan banyak berkira. Insyaallah kita akan berjaya.

Sekian untuk tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 11/06/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: