RSS

38.2 PROSES PENERIMAAN ILMU DARIPADA GURU

09 Jun

Berdasarkan tulisan yang lalu, kesungguhan adalah merupakan salah satu faktor bagi mendapatkan, menambahkan dan memantapkan ilmu silat yang ingin kita peroleh. Bersungguh akan menyebabkan kita sentiasa berusaha untuk memahami setiap sesuatu pelajaran yang disampaikan. Kita akan berasa yakin dengan ilmu yang diperoleh. ‘Bersungguh’ akan juga menentukan proses penerimaan ilmu dari Guru berjalan dengan baik. Guru akan berpuas hati atas ilmu yang diturunkan. Konsep bersungguh mempunyai beberapa sifat.

Pada mereka yang bersungguh, masa dan tenaga yang terkorban tidak pernah dijadikan alasan untuk memudarkan minat atas penglibatan mereka dalam kegiatan silat. Orang yang bersungguh akan sentiasa menumpukan perhatian pada latihan. Mereka sedar bahawa pelajaran silat perlu diikuti dengan latihan. Setakat percakapan tentu tidak akan membawa makna. Oleh itu, masa yang diuntukkan pada latihan akan digunakan sepenuh masa. Mereka berlatih secara bersungguh-sungguh. Berehat lama atau bersembang lama tentunya akan memberi makna membuang masa dan kerugian pada diri sendiri.

Orang yang bersungguh-sungguh dalam persilatan juga tidak akan mempersoalkan pelajaran yang diterima. Jika ada persoalan pun, hanya untuk maksud kefahaman dirinya dalam proses penguasaan gerak silat. Mereka akan meletakkan kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya pada pelajaran yang diajar Guru atau wakilnya, para Jurulatih. Semua penerangan yang diberi akan mereka terima secara positif. Oleh itu, pertanyaan yang dikeluarkan mereka, bukan bermaksud untuk mencuba, tetapi untuk mempastikan penguasaan gerak yang benar. Mereka sentiasa bersifat unggul dalam melakukan gerak-gerak silat. Seboleh-bolehnya tidak mahu melakukan sebarang kesilapan. Hal yang demikian menyebabkan mereka benar-benar ingin memahami dan menguasai setiap gerakan buah yang diturunkan Jurulatih secara terperinci. Situasi yang sedemikianlah yang akan mendorong mereka bertanya jika kurang kefahaman. 

Orang yang bersungguh juga akan sentiasa memerhati gerak ketika berlatih. Ketika Guru atau Jurulatih menyampaikan pelajaran, mereka lebih banyak menumpukan perhatian pada gerak Jurulatih tersebut. Penerangan yang diberi Guru atau Jurulatih, hanya sekadar didengar bagi maksud kefahaman. Seboleh-bolehnya mereka ingin membuat buah seperti mana gerak yang dilakukan oleh guru atau Jurulatih. Oleh itu, para Jurulatih perlulah berhati-hati dalam soal ini. Jangan sesekali ketika bercakap atau membuat penerangan tapi tidak selaras dengan gerak yang dilakukan. Hal yang demikian akan menyebabkan para penuntut berasa keliru dan akan mengundang pertanyaan bagi mendapatkan kepastian. Dalam hal ini juga, para Jurulatih kena layan persoalan mereka. Akui kelemahan jika ada kesilapan. Jangan sesekali marah akan persoalan mereka itu. Sesungguhnya mereka bertanya hanya untuk mendapatkan penjelasan dan kepastian. Bukannya bermaksud ‘mencuba’ penguasaan ilmu yang ada pada Guru atau Jurulatih. Kalau persoalan mereka tidak dilayan, memungkinkan timbul persoalan dan hati mereka berkata-kata dalam proses menerima ilmu dari Jurulatih berkenaan. Perasaan terbuku ini akan berterusan hingga tamat pelajaran.

Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan betapa mereka yang bersungguh-sungguh belajar, suka juga ‘mencuba’. Mungkin sifat yang berkenaan sengaja dilakukan untuk maksud menguji kebolehan diri sendiri. Lebih-lebih lagi jika mereka pernah menguasai persilatan Melayu yang lain. Terkenang peristiwa ketika Ustaz menurunkan buah di cawangan saya. Buahnya ialah buah potong, Kuntau Jatuh. Ketika Ustaz memotong, penuntut berkenaan melakukan gerak lain secara bertindak balas. Padah jawabnya. Secara automatik, penuntut berkenaan terkena tampar. Semua orang ketawa. Ustaz tak kata apa-apa. Senyum sahaja. Selepas kelas, terdengar suara penuntut berkenaan. Terasa kagum atas kehebatan Guru. Rasa megah buat dirinya. Sah bahawa SC memang hebat.

Keadaan yang berlaku itu menjadikan saya sentiasa berhati-hati ketika bertugas sebagai Jurulatih. Setiap buah yang diturunkan sentiasa diiringi dengan permerhatian pada gerak penuntut. Menyimpang saja dari gerak mereka yang sepatutnya, saya akan bertindak terlebih dahulu. Tak boleh bagi peluang. Gerak kasar akan dibalas dengan gerak yang lebih kasar. Gerak mereka yang perlahan akan dibalas dengan gerak kasar. Tak lebih kasar. Hal yang demikian adalah bermaksud untuk mempastikan kawalan kualtiti ahli silat.

Faktor kesungguhan ini amat dititikberatkan dalam SC. Ustaz telah menekankan faktor ini dalam pantunnya yang berbunyi,
Silat Cekak benar-benar asli,
Tidak bercampur hak luar negeri,
Hendaklah belajar bersungguh hati,
Untuk menjaga diri sendiri.”

Minat dan kesungguhan pula perlu disertai dengan ketabahan dan kesabaran. Hal yang demikian akan menyerlahkan kehebatan pesilat itu sendiri. Bukan mudah untuk mendapatkan ilmu yang mengambil masa panjang tanpa kesabaran dan ketabahan. Ramai yang tidak sabar dan terpaksa melarikan diri. Tak ada kesabaran dan ketabahan.

Sekurang-kurangnya ketika ini, setiap pelajaran SC akan mengambil masa enam ke tujuh  bulan. Malah, untuk menguasai pelajaran dan lebih memahami gerak dalam SC, mungkin memakan masa ‘tahun’ lamanya. Saya rasa, setakat pelajaran enam bulan, tentunya belum bersebati dengan diri. Umpama mereka yang baru lulus lesen memandu kereta. Walaupun ada lesen tapi masih ‘tergagap-gagap’ membawa kereta. Apabila benar-benar menguasai pemanduan maka barulah boleh buat “kona baring.” Tapi tentunya memakan masa.

Saya akui bahawa setiap sesuatu itu ada ujian atau dugaannya. Ujian dan dugaan tersebut boleh menjadi penghalang pada kita meneruskan proses mendapatkan ilmu. Tambahan pula jika proses mendapatkan ilmu tersebut memakan masa. Kalau hati kita mudah luntur maka kesungguhan kita akan menjadi sekerat jalan. Kita akan mudah mengalah dan tidak ada semangat untuk meneruskan hasrat mendapatkan ilmu daripada Guru.

Dalam tulisan yang lalu saya ada menyentuh pelbagai karenah yang terpaksa kita hadapi dalam proses mendapatkan ilmu. Karenah tersebut mungkin lahir dari rakan sepersilatan dan mungkin dari pengurusan persatuan di tempat kita belajar. Hal yang demikian selalu mempengaruhi perasaan kita. Ada masanya kita berasa gembira dan ada masanya kita berasa benci dan kecewa. Walau bagaimanapun. semua karenah itu boleh diatasi melalui sifat tabah. Ketabahan akan menjadikan kita bersifat sabar dan cekal hati. Tidak mudah kecewa dan makan hati berhari-hari.

Orang yang bersifat tabah selalunya mempunyai daya ketahanan yang tinggi. Perjuangan mereka tidak mudah luntur dan sentiasa bersemangat sepanjang masa. Tekanan yang dihadapi boleh diserap dengan cepat dan mereka berupaya mengatasinya dengan jiwa yang tenang dan terbuka hati. Betapa pentingnya sifat tabah ini, telah tergambar dalam pantun Ustaz yang berbunyi,
Silat Cekak tersangatlah mudah,
Bagi mereka yang mendapat hidayah,
Sungguhpun begitu hendaklah tabah,
Insya-Allah mendapat faedah.”

Oleh itu, sebagai ahli SC yang sentiasa berjuang untuk menyebarkan SC, asuhlah diri supaya sentiasa bersifat tabah dan jangan mudah kecewa.  Macam mudah saja bercakap, tapi tak payah dan tak mustahil untuk mencapainya.

…Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 09/06/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: