RSS

38.1 PROSES PENERIMAAN ILMU DARIPADA GURU

04 Jun

          Dalam tulisan yang lalu, saya memberatkan faktor hubungan rapat dengan guru adalah merupakan faktor utama untuk mendapatkan, menambahkan dan mengukuhkan ilmu. Rapat-rapatlah diri dengan guru. Jangan ada apa-apa prasangka bagi memudahkan proses tersebut. Cuma, sejauh mana hubungan rapat dapat dipupuk atau dilakukan oleh para murid SC yang semakin ramai dan semakin bertambah dari masa ke masa. Adakah tanpa hubungan rapat tersebut maka proses mendapatkan ilmu akan terbantut, atau pelbagai persoalan lagi.

Konsep rapat itu sendiri ada pelbagai tafsiran. Kita juga jangan sesekali lupa akan orang-orang kanan guru yang boleh bertindak sebagai wakil guru. Sekurang-kurangnya para Jurulatih di setiap pusat latihan SC juga boleh bertindak sebagai wakil guru. Sebagai penuntut, kita boleh menilai sendiri akan kebolehan dan kewibawaan mereka. Sekurang-kurangnya kefahaman, kewibawaan dan pembawaan sikap mereka adalah selaras dengan kehendak Guru Utama.

Umumnya, biar ada hubungan berterusan dengan guru tak kira sekerap mana atau serapat mana. Hubungan itu juga sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Contoh hubungan langsung, kita bersama guru dan mendapat kelebihan daripadanya. Hubungan secara tidak langsung mungkin ada kaitan dengan penyertaan dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan persatuan. Walau bagaimanapun, sama ada lama atau sekejap konteks yang berlaku, perkara penting ialah keikhlasan dan kejujuran dalam pertuturan mahupun tindakan. Hubungan ini biar berterusan. Jangan sekerat jalan secara menghilangkan diri. 

Selalulah bersifat berterus terang dan bersifat jujur. Selaraskan percakapan dengan suara hati. Kalau suara hati tidak perlu diluahkan atau tidak berkemampuan untuk diluahkan, lebih baik jangan disalurkan melalui mulut. Sesuai dengan sifat hati yang berada di dalam, maka orang yang sebegini, eloklah dipendam sahaja dalam dada jika difikirkan hal yang demikian boleh membawa fitnah dan jika was-was atau tidak berkemampuan ketika melahirkan hasrat melalui mulut. Tapi, pada mereka yang berkemampuan meluahkan perasaan hati, biar ada ilmu untuk membuat pelarasan antara hati dan mulut tersebut. Asasnya, bercakap benar. Walaupun mungkin ada pelbagai tafsiran yang tidak menyenangkan atas sifat kita yang demikian, Tuhan akan tetap berpihak pada yang benar. Bersabar saja. Masa akan menentukan kebenaran kita. Tidak ada sesiapapun yang bersifat ’kebal’ daripada melakukan kesilapan dan kelemahan. Itulah alasan terbaik untuk memujuk hati kita tatkala diri berasa kecewa dan dikecewakan.

Pada sesetengah pendapat, dikatakan bahawa faktor pemupukan hubungan rapat dengan guru, boleh membawa makna iaitu jika tidak rapat dengan guru maka akan kuranglah keberkesanan dalam proses penerimaan ilmu. Kenyataan tersebut mungkin boleh dibincangkan dan dijelaskan secara lanjut. Sekali pandang, kenyataan itu mungkin ada kebenarannya. Perbincangan secara tulisan, sukar untuk dibuat penjelasan dan ketetapan. Penulisannya mungkin bercanggah sesama sendiri. Walau bagaimanapun, kita perlu menyesuaikan diri kita dengan keadaan yang ada dalam proses merapatkan diri dengan guru.

Konsep guru perlu jelas seperti mana dalam tulisan awal saya yang lalu. Dalam situasi penuntut yang ramai dan masa yang terhad pada guru yang utama, carilah jalan agar hubungan rapat boleh dipupuk. Hubungan ini boleh dilanjutkan melalui orang kanan atau orang kepercayaannya yang saya sifatkan mesti ’ikhlas’. Persoalan ikhlas sengaja saya utamakan. Kita sendiri yang boleh menentukan kebenaran sifat tersebut pada diri mereka. Ramai yang hebat, rapat dan menjadi kepercayaan guru, akhirnya ’lawan ’taukeh’. Nampak sangat sifat kepura-puraannya selama ini. Hal yang demikian hanya dapat dikesan oleh mereka yang amat memerhati. Namun begitu, ’cakap senangnya’, pandai-pandailah kita mendekatkan diri dengan guru atau orang kanan guru atau pemimpin tertinggi yang ada hubungan rapat dengan guru dan mempunyai kewibawaan diri yang hebat. Tafsirlah sendiri kehebatan orang kanan guru melalui pengetahuan dan pengalaman diri kita yang ada. Banyak faedahnya pada pembangunan diri sendiri jika kita berhubung rapat dengan mereka.

Minat juga adalah salah satu faktor penting untuk mendapatkan ilmu daripada guru. Minat yang wujud akan mengarah kita memberi tumpuan sepenuhnya pada satu-satu bidang yang diceburi. Kata-kata guru akan didengar dan dikaji untuk memberi pengertian pada diri. Apabila guru bercakap, orang yang berminat akan memberi tumpuan. Buatlah catatan. Setakat ingatan, tentu tidak bertahan lama. Lama-lama akan hilang. Sekurang-kurangnya dengan adanya catatan akan memudahkan kita membuat rujukan kembali apabila ada keperluan.

Kita boleh lihat betapa ramai antara penuntut yang belajar SC sekerat jalan. Hal yang demikian ada kaitan dengan minat hakikinya pada silat. Ramai yang tertarik untuk belajar SC atas desakan kawan dan bukannya atas dasar minatnya untuk memperoleh ilmu SC. Orang yang tidak ada minat, selalunya tidak ada matlamat. Maka oleh sebab orang itu tidak ada minat pada SC, bermakna mereka juga tidak ada matlamat mempelajari SC. Hal yang demikian akan menyebabkan mereka belajar SC secara ’suka hati’. Datang ikut suka dan ambil buah pun ikut suka. Lama-lama, apabila tidak terikut dengan sistem pelajaran yang ada, menyebabkan mereka kerap kali culas datang ke kelas. Maka kenalah ambil buah secara ’kumpul buah’. Akhirnya hanyut begitu saja. Banyak masa yang terbuang. Apa pun tak dapat. Walau bagaimanapun pada kita, mereka yang bersifat demikian adalah kerana tiada habuan untuk mendapatkan pelajaran SC.

Saya pernah menulis betapa minat itu boleh dikaitkan dengan hobi. Kalau sesuatu itu telah dijadikan hobi, maka kita akan menumpukan perhatian dan memerah semua tenaga dengan sepenuh hati untuk mempastikan hobi berkenaan menjadi amalan. Saya selalu kaitkan sifat itu dengan pemancing ikan. Mereka akan berkorban masa dan wang ringgit bagi memenuhi hobi mereka itu. Begitu juga dengan pemainan golf yang tidak saya gemari langsung. Namun begitu, pada mereka yang ada hobi berkenaan, mereka akan mengorbankan masa dan wang ringgit bagi memenuhi keperluan hobi berkenaan.

Saya bukan peminat bola. Saya rasakan nampak rugi pada mereka yang boleh berjaga malam semata-mata menonton sebilangan pemain yang mengejar sebiji bola. Itu kata saya yang tidak ada minat. Namun begitu, pada mereka yang mempunyai hobi pada bola, tidak langsung terlintas sebarang bentuk pemikiran negatif dalam pemikiran mereka tentang permainan bola. Mereka sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan bola sepak. Kalau pendapat saya, macam membazir dan membuang duit. Lebih baik gunakan duit tersebut makan nasi beriani peha kambing. Itu hanya kata-kata orang yang tidak ada minat pada bola.

Nampaknya, minat yang ada pada seseorang akan mendorong kepada sifat kesungguhan bagi memenuhi disiplin minat berkenaan. Jika telah berminat akan satu-satu perkara, diri kita akan terdorong secara daya upaya untuk menguasai minat berkenaan dengan bersungguh hati. Kita akan tidak ambil peduli dengan apa orang lain kata. Komen yang dilemparkan orang lain umpama, “masuk telinga kiri, keluar telinga kanan”. Oleh hal yang demikian, alangkah hebatnya jika kita menjadikan pembelajaran SC itu sebagai satu hobi. Saya yakin, jika kita bersifat dan bersikap demikian, kita akan menjadi seorang penuntut SC yang amat berjaya. Cuma, jangan ada yang mencantas hendaknya.

…Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 04/06/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: