RSS

38.0 PROSES PENERIMAAN ILMU DARIPADA GURU

31 May

          Dalam tulisan terdahulu, saya menekankan betapa pentingnya kita ada pegangan dalam hidup. Pegangan ini akan menjadi prinsip hidup kita ketika menjalani kehidupan. Ada yang bertanya tentang cara-cara untuk menetapkan pegangan. Apa yang patut dipegang? Macam-macam lagi karenah persoalan ditimbulkan jika hati kurang dapat menerima hakikat keperluan tersebut. Semacam kurang senang apabila dinyatakan keperluan seseorang ahli silat untuk berpegang pada satu-satu konsep pegangan berdasarkan disiplin persilatan. Apatah lagi apabila telah sedia ada kefahaman ikutan dalam tindakannya.

Walau bagaimanapun, oleh sebab kita banyak melibatkan diri dalam dunia persilatan, maka saya berpendapat jadikan bidang persilatan itu sebagai sesuatu yang membolehkan kita membina pegangan dalam hidup. Oleh sebab silat itu ada gurunya, hal yang demikian menyebabkan kita tidak dapat berpisah ikatan dengan guru yang ada dalam persilatan tersebut. Saya telah menulis dalam tulisan yang lalu tentang pengertian guru pada kita. Sekurang-kurangnya, peranan guru berkenaan adalah menjadi tempat rujukan kita kerana ilmu dan pengalamannya yang banyak. Sebarang kekusutan yang kita hadapi akan terungkai apabila mendapatkan penjelasan dari guru. Jiwa yang berdebar dan gelabah akan kembali tenang apabila kita berjumpa dengannya. Pendek kata, guru lebih banyak mempengaruhi perjalanan hidup kita seharian.

Aura yang ada pada guru akan mengalir pada kita dan membentuk satu sifat ketenangan. Sukar untuk dinyata atau dihuraikan maksud berkenaan. Akan tetapi, mereka yang berkenaan sentiasa merasa nikmatnya. Umpama gula yang sukar diterangkan makna manisnya melainkan mereka itu sendiri yang merasainya. Aura ini akan mengalir secara automatik dalam diri kita ketika proses pergaulan rapat dengan guru berlaku; hinggakan peranan guru akan menjadi sebahagian daripada proses kehidupan kita. Ada yang mengistilahkan aura ini sebagai berkat guru. Untuk mengesahkan pengaliran aura itu, ada yang bertindak secara memeluk, mencium tangan dan menghabiskan lebihan makanan atau minuman guru berkenaan. Malah pelbagai cara dilakukan atas prinsip mendapatkan berkat. Buatlah apa yang patut. Saya tak ada komen tentangnya. Sensitif. Tapi, selalu kita disarankan agar proses melakukan sesuatu itu biarlah dalam kadar sederhana. Jangan melampau. Umpama aksi yang melampau.

Dalam tulisan ini saya akan membincangkan prinsip-prinsip  utama bagi mendapatkan ilmu dari guru. Prinsip-prinsip tersebut saya simpulkan pada enam faktor utama. Faktor-faktor itu ialah hubungan rapat dengan guru, minat, kesungguhan, ketabahan, penglibatan masa dan faktor kewangan. Mungkin ada faktor-faktor lain berbentuk sampingan. Cuma, penekanan saya adalah pada enam faktor tersebut, berdasarkan pengalaman dan kefahaman saya. Jadikan panduan jika berkenaan.

Dalam tajuk yang lain, saya juga akan menyentuh tentang kaedah yang saya lakukan bagi  menambahkan ilmu dari Guru Utama pada satu masa yang lalu. Rujukan saya ialah Ustaz Hanafi. Saya hanya bercerita kisah lama bersamanya dalam proses menambah ilmu dan tidak bermaksud untuk membandingkan dengan guru yang ada. Lain guru, lain masa dan lain situasi, akan membezakan bentuk kepimpinan dan cara tindakan mereka. Bacalah secara fikiran terbuka sebagai maksud menambahkan pengetahuan. Baca dan jangan cium. Kalau cium, macam-macam tafsiran akan bau tulisannya. Mungkin bau beriani kambing dan mungkin bau beriani ayam, pasti bukannya beriani tahi ayam. Mudah-mudahan, perkongsian ilmu dalam tulisan ini dapat memberi manfaat pada generasi muda.

Dalam persilatan, untuk mendapatkan atau menambahkan ilmu, faktor terpenting erat kaitannya dengan hubungan rapat dengan guru itu sendiri. Hubungan rapat itu bermaksud juga tidak ada sebarang prasangka buruk atau sifat-sifat negatif pada guru. Hal yang demikian adalah penting bagi mempastikan hubungan rapat itu akan sentiasa harmonis dan berterusan dari semasa ke semasa. Perbuatan dan kata-kata kita biarlah ikhlas dan secara beradab. Seboleh-bolehnya, malah semestinya apa yang diucap hendaknya selaras dengan hati.

Jika ada sebarang kemusykilan, maka cepat-cepatlah selesaikan melalui pertanyaan. Jangan mudah buat kesimpulan sendiri dan jangan dibiarkan perasaan itu terbuku dalam hati. Jika dibiarkan, maka akan wujud prasangka buruk yang akan bertambah dari masa ke masa. Kadang kala kita suka membuat kesimpulan bersandarkan isi hati kita sendiri. Sesuatu yang bertentangan dengan pemikiran kita, akan cuba ditolak serta merta. Pelbagai alasan tuduhan dibuat bagi membenarkan penolakan kita itu. Hal yang demikian amat merugikan diri sendiri. Lebih baik kita dapatkan penjelasan daripada dilayan perasaan yang memendam.

Saya masih teringat betapa Ustaz selalu menegaskan betapa ikan terobok yang sedap itu mempunyai banyak tulang. Kalau kita menolaknya atas sifat tulang yang banyak, maka terlepaslah kita bagi menikmati kesedapan isi ikan tersebut. Bagi mereka yang berfikiran lapang dan tenang, akan membuang tulang-tulang yang ada secara lapang hati bagi mendapatkan isi yang lazat itu. Ustaz pernah menceritakan pengalamannya berguru dengan guru silat berdasarkan konsep ikan tersebut. Dalam tulisan ini, saya tidak berminat untuk melanjutkan perbincangan tersebut. Tak sesuai secara tulisan.

Isi percakapan guru kita, cubalah difahami fakta dan situasinya. Dengar baik-baik dan berfikirlah secara fikiran terbuka dengan menggunakan pemikiran pintar. Guru kita akan bercakap berdasarkan pengalamannya. Perjalanan hidupnya yang terdahulu dari kita pastinya menempuh pelbagai pengalaman yang berbeza dengan apa yang kita alami. Maka dengar dengan sebaik-baiknya. Mana yang sesuai dengan perwatakan kita, maka jadikan teladan dan ikutan. Sebaliknya jika bertentangan dengan perwatakan kita, jangan terburu-buru  mengamalkannya. Tak perlu komen-komen atau ’mencium-cium’ bau percakapannya. Kalau nak cium juga maka ciumlah dengan menggunakan hidung yang lapang dan tidak tersumbat di mana-mana. Kalau mencium dengan hidung resdung iaitu hidung rosak, pasti akan ada kelompangan mana-mana akibat hidung yang tersumbat. “Pakai nak pakai, fikirlah sendiri.”

Ingatlah pesanan Ustaz dalam pantunnya,
Taat ke guru membawa berkat,
Sedikit belajar banyak yang dapat,
Jika menderhaka menjadi mudarat,
Semua ilmu tiada yang lekat.”

Kalau kita tidak rapat dengan guru sekalipun, janganlah kita menentangnya sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung. Hal yang demikian akan menerbitkan prasangka yang buruk dalam hati sama ada kita sedari atau kita tidak sedari. Prasangka buruk ini akan menjadi penghalang kepada kita untuk menambahkan ilmu dari guru dari masa ke masa. Hubungan kita dengan guru mungkin akan terputus atau menjadi hambar.  Terdapat beberapa watak yang tidak perlu saya nyatakan di sini yang bersifat demikian. Mereka melakukan penentangan terhadap Ustaz. Maka terputuslah hubungan. Pengetahuan yang ada hanya setakat yang diberi Ustaz. Namun begitu saya percaya, ilmu tersebut akan hilang ‘ketajamannya’ atas faktor masa. Bukan kerana termuntah atau ditarik guru, tetapi pada kebiasaannya, apabila membenci guru maka amalan yang diberi akan dilupakan. Akhirnya semakin luput dari ingatan. Hilang tanpa disedari. Tak payah pakai apa-apa kaedah bagi menarik ilmu yang diberi guru. Pada adatnya, hanya faktor psikologi yang banyak menentukan kehilangan ilmu pada seseorang yang membenci gurunya.

…Sambung lagi.

 
Leave a comment

Posted by on 31/05/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: