RSS

37.2 KEPERLUAN ADA PEGANGAN

20 May

Berbalik saya tentang kisah lama tentang perjalanan demostrasi dalam kalangan mahasiaswa di universiti dulunya. Itulah budaya mahasiswa dulu. Saya rasa generasi baru SC mungkin tidak ada pengalaman dalam demonstrasi jalanan. Hal yang demikian kerana aktiviti tersebut telah disekat akibat rampasan kuasa oleh mahasiswa ke atas universiti. Timbul akta universiti. Baru sekarang timbul balik demonstrasi berkenaan. Sama dengan dulu. Mungkin lebih ganas. 

Saya menarik perhatian para pembaca generasi muda SC tentang keaktifan seorang mahasiswa ketika zaman saya dulu yang terus aktif dalam demontrasi jalanan baru-baru ini. Hubungan saya dengannya tidak rapat. Kami sama-sama hingga di tahun kedua, kursus yang sama. Tapi jarang jumpa kerana dirinya asyik ghaib. Difahamkan bahawa beliau suka mengulang di tahun yang sama kerana ingin lama berada di universiti. Orang lain terima ijazah, dia asyik di tahun dua. Saya pernah bersama kumpulannya ’merampas’ universiti. Dapatlah duduk sekejap dalam dewan tertinggi di universiti berkenaan tatkala pihak mahasiswa menguasai universiti. Tapi, cepat sedar diri dan terus undur diri. Nasib baik juga. Akhirnya pihak polis memasuki universiti dan mendapatkan kembali kuasa yang dirampas mahasiswa. Kawan berkenaan cabut lari. Tak dengar berita lagi. Diberitakan beliau ke negeri Rusia. Kawan-kawan seperjuangannya terkontang-konting menyelamatkan diri. Ramai yang terkena badi. Akhirnya, kerajaan memperkenalkan akta universiti. Sejak itu tidak kedengaran demonstrasi lagi.

Sesaja cerita kisah lama apabila melihat gelagat demontrasi.   Teringat kisah lama. Tuduhan yang dilemparkan adalah skrip lama yang timbul semula. Tuduh orang ini, tuduh orang itu, semuanya cerita lama. Cerita lama yang diucapkan kembali. Selepas demontrasi maka menjelma pulak pelbagai cerita peribadi yang sensasi. Juga ’tren’ lama yang menjelma kembali. Cerita peribadi tak henti-henti. Begitu hangat sekali. Operasinya sama seperti cerita dulu.

Sebagai orang lama, saya tidak hairan dengan perkembangan yang berlaku sekarang. Tapi ada orang lama yang berpengalaman dalam soal penentangan jalanan, yang berperanan untuk menghairankan generasi sekarang. Orang lama ini ada bersama  sebagai perancang demonstrasi jalanan yang merupakan kegemarannya. Peluang buatnya setelah diberi kebenaran pemerintah kita untuknya pulang ke tanah air. Taktiknya cara lama. Ramai yang tidak menyedarinya. Ramai generasi muda yang tertarik, berarak di jalanan hingga tak tentu haluan. Semata-mata memenuhi impian yang tidak ada haluan. Itulah akibatnya jika tidak ada pegangan dan kefahaman.

Ketika berlaku kekecohan di universiti dulunya, peranan saya ialah Presiden Persatuan SC di universiti berkenaan. Walaupun saya didesak menyatakan sokongan tapi saya tidak melibatkan persatuan yang dipimpin. Setakat peribadi, saya nyatakan sokongan. Apatah lagi jawatan setiausaha majlis penuntut yang disandang, memaksa diri untuk menyatakan sokongan. Ketika mahasiswa ’bertempur’ dengan pihak polis di depan kampus, kelihatan kawan berkenaan mengarah para mahasiswa maju ke depan menghadapi ’serangan’ pihak polis. Ketika itu saya terfikir. Orang lain diseru maju ke hadapan. Dirinya statik berada di belakang. Tentunya yang terkena gas pemedih mata ialah mereka yang maju ke depan. Dirinya selamat tak kena apa-apa kerana terus ke belakang. Rupa-rupanya tektik yang sama masih dilakukan. Ramai yang ditangkap tapi beliau berjaya ’melepaskan’ diri.

Berbalik pada peristiwa demostrasi yang lalu. Lantas saya bincangkan sesama ahli SC dalam persatuan. Jangan ambil bahagian. Kita dipergunakan. Dapat dilihat betapa mudah seseorang itu dipergunakan jika tidak ada pegangan. Sejak itu kami, ahli-ahli SC tak ambil peduli. Kami tumpukan perhatian dalam bidang persilatan. Ketika kempen-kempen geram terus dijalankan, kami tetap mengadakan latihan silat. Ramai mahasiswa lain yang geram. Ketika melintasi kelas kami, mereka sering kali melaungkan perasaan marah. Menjerit tak tentu arah. Tapi tak berani berhenti. Pasti ’kena’ badinya.

Tujuan saya juga menceritakan peristiwa di atas adalah untuk berkongsi pengetahuan bahawa mereka yang ada pegangan tidak mudah dipergunakan orang lain. Mungkin kita terlanjur di peringkat awal. Namun begitu, pegangan yang ada akan dapat menarik semula diri kita supaya berada dalam landasan yang betul. Mereka akan bertindak berasaskan pegangan yang ada. Pegangan itu akan menjadi kefahaman dan prinsip hidup mereka. Saya percaya, jika seseorang itu benar-benar menjiwai kefahaman persilatannya, tidak mudah dia berketuakan orang lain untuk menunjuk sokongannya pada satu-satu dasar, tanpa ada ketentuan.

Kalaulah tertangkap sesorang itu dan merupakan ahli persatuan atau pertubuhan silat, saya simpulkan bahawa orang itu tidak menjiwai persilatannya, melainkan jadi ahli persatuan sahaja. Orang yang menjiwai silat akan sentiasa mendapatkan kebenaran gurunya dalam satu-satu tindakan. Kalau gurunya melarang dari menyertai satu-satu aktiviti, maka mereka pasti akan mematuhinya. Begitu juga dengan diri saya ketika memimpin persatuan ketika itu. Pandangan Ustaz, saya ambil kira ketika demonstrasi puncak para mahasiswa.

Dalam perhimpunan pesilat tanah air anjuran Pesaka baru-baru ini, PM kita telah dijemput untuk merasmikannya. Saya tonton melalui televisyen dan baca melalui akhbar. Difahamkan bahawa barisan pesilat itu telah diisyhtiharkan akan menjadi barisan ketiga untuk mempertahankan negara selepas polis dan tentera. Guru-guru silat yang hadir juga bersama anak murid mereka telah berikrar  untuk memainkan peranan mereka sebagai pesilat yang cintakan negara, sekali gus sebagai benteng pertahankan negara.

Saya diminta komen kawan-kawan saya yang tahu akan minat saya terhadap silat. Apa pandangan saya tentang ikrar yang berkenaan. Penerangan saya agak panjang juga. Saya terangkan betapa ikrar mereka itu ada logiknya jika mereka benar-benar seorang ahli silat.  Sebagai pesilat, mereka ada kefahaman silat masing-masing yang dipandu oleh guru mereka sendiri. Guru silatlah yang seringkali mencorakkan pemikiran dan tindak tanduk mereka. Kebiasaannya, jika putih kata guru maka putihlah kata mereka. Jika hitam kata guru maka hitamlah kata mereka. Ketaatan mereka pada guru amat hebat. Kadang kala sampai terlupa akan tanggungjawab sebenar terhadap keluarga sendiri.

Sepanjang pengalaman saya menerajui cawangan SC, saya ada pengalaman mengenai pendapat yang saya tegaskan di atas tentang ikatan guru dengan anak muridnya. Tatkala kami ingin menganjurkan pertunjukan SC secara besar-besaran pada tahun-tahun lapan puluhan, kebenaran polis perlu diperoleh terlebih dahulu. Bukan mudah rupanya untuk mendapat kebenaran. Kami dipanggil temuduga oleh pihak cawangan khas. Macam-macam ditanya. Saya tanyakan pada sahabat polis tentang hal yang demikian.

Rupa-rupanya, pergerakan silat pada mereka amat sensitif sekali. Ikatan antara guru dan murid boleh menjadi satu ancaman. Murid akan sanggup berkorban apa saja untuk memenuhi kehendak gurunya. Keadaan ini menjadikan silat sebagai sesuatu yang sensitif dan perlu diawasi. Hal yang demikian kerana jika gurunya bersikap negatif, pasti boleh membawa kesan yang tidak baik pada ketenteraman negara.

Barulah saya faham. Lebih senang kami membuat pertunjukan berdasarkan anjuran bersama, sama ada dengan Jabatan Kebudayaan, Belia dan Sukan atau Majlis Silat negeri pada ketika itu. Kebenaran polis mudah diperoleh. Hal yang demikian amat berbeza jika kami ingin mengadakan pertunjukan secara bersendirian berdasarkan nama persatuan.

Teringat saya akan gurauan Ustaz pada satu ketika. Orang-orang kita akan tunduk, tanda bersetuju secara dasarnya dalam dua situasi. Pertamanya ketika khatib membaca kutbah. Tak ada siapapun yang membantah. Ramai yang mengangguk kepala tanda setuju. Sekurang-kurangnya kerana tidur. Kalau tak setujupun kena duduk diam. Dengar isi kutbah pada hari tersebut. Keluar masjid, baru boleh buat komen kalau mereka tidak setuju dengan isi kutbah. Satu lagi situasi ialah murid-murid silat dan murid-murid tarikat. Kata-kata guru akan dijadikan bahan rujukan dan pegangan diri. Kata-kata guru adalah merupakan kata-kata hikmat bagi mereka. Kesilapan guru dikatakan sebagai ujian bagi anak muridnya. Hal yang demikian agaknya, menyebabkan pergerakan silat begitu sensitif pada pihak cawangan khas seperti yang saya nyatakan di atas.

Ketika awal kehebatan SC, kebanyakan silat-silat Melayu tetap memperjuangan bangsa, agama dan negara. Ketiga-tiga  perjuangan itu dijadikan objektif persatuan mereka. Walau bagaimanapun, SC tidak pernah mengembar-gemburkan perjuangan yang sedemikian iaitu bangsa, agama dan negara sebagai objektif perjuangannya. Malah, dalam ucapan Ustaz pun, sebutan pada ketiga-tiga bentuk perjuangan itu tidak pernah ketara. Saya pernah mendapatkan penjelasan daripada Ustaz.

Fahamlah saya ketika itu. Ustaz selalu menegaskan betapa SC adalah sejenis silat bela diri dan amat bertanggungjawab untuk diri dan keluarga. Soal-soal yang berkaitan dengan negara, ada polis dan tentera. Bangsa kita sentiasa dijaga oleh pihak pemerintah. Manakala hal yang berkaitan dengan agama adalah di bawah kuasa sultan dan ada majlis agama setiap negeri. Mereka adalah kumpulan profesional yang sentiasa berfikir dalam hal yang berkaitan dengan tanggungjawab mereka. Walau bagaimanapun, hal yang berkaitan dengan diri sendiri, hanya diri kita yang boleh menjaganya. Maka berilah tumpuan pada diri. Malah menjaga diri itu adalah wajib hukumnya. Kata-kata Ustaz yang demikian amat dipersetujui. Ingatlah pantun Ustaz; ”Wajiblah menjaga diri sendiri, Menerima amanah Tuhan Rabbi, Supaya menjadi mukmin sejati, Demi menegak Islam yang suci.”

         Oleh itu, para generasi baru SC, wujudkan pegangan diri. Dampingi guru bagi mendapatkan ilmu. Berjumpa di tajuk lain.

 
Leave a comment

Posted by on 20/05/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: