RSS

37.1 KEPERLUAN ADA PEGANGAN

15 May

 Demam pilihanraya begitu ketara sekali. Kita yang tidak terlibat secara langsung dengan kempen-kempen yang dijalankan, hanya akan bertindak sebagai pemerhati. Terdapat perhimpunan jalanan yang mula timbul galak dewasa ini. Rata-ratanya orang kita. Pemimpin tertingginya orang lain. Perempuan asing pulak tu. Berkawan rapat dengan kaki belakang yang menjadi ketua utama perjuangannya. Mungkin dan agaknya para peserta yang menyokong kepimpinannya berfaham sama. Belakang kira. 

Saya ditanya pendapat tentang perhimpunan jalanan tersebut. Mungkin pertanyaan itu ada kaitan dengan jawatan saya sebelum ini dalam sektor awam. Namun begitu, jawapan saya adalah berdasarkan pendapat seorang pengamal silat. Rujukan saya adalah berdasarkan ilmu kefahaman yang saya peroleh semasa menuntut SC  di bawah kepimpinan Guru Utamanya, Ustaz Hanafi. Pastinya jawapan tersebut adalah berdasarkan kefahaman tafsiran saya sendiri. Tak ada faham politik. Saya tak libat diri dalam mana-mana fahaman politik. Dalam ruangan ini, saya kongsi bersama dengan ahli-ahli SC yang lain tentang pandangan saya selaku ahli silat. Setuju atau tak setuju, belakang kira. Tapi, bukan belakang kira seperti semangat pemimpin jalanan tersebut.

Masa saya menjadi mahasiswa tempoh masa yang lalu, budaya tersebut lumrah sekali. Rata-rata, semuanya budak kita. Bangsa lain ke library. Hinggakan pemimpin orang kita arahkan supaya ditutup saja library berkenaan. Walau bagaimanapun, budaya demostrasi jalanan telah lenyap begitu lama. Baru sekarang timbul semula. Macam mana hal yang demikian boleh terjadi. Saya tak ada komen dalam hal ini. Setakat pemerhati. Cuma, terlihat gambar rakan seuniversiti dulunya yang turut sama merancang demontrasi. Terpampang wajahnya dalam akhbar pembangkang bersama pemimpin tertinggi yang berlainan bangsa dan berlainan jantina. Beliaulah perancang utama demostrasi ketika kami bergelar mahasiswa. Nampaknya beliau masih berterusan merancang  demontrasi jalanan seperti mana peranan dulunya.

Teringat kisah lama. Sengaja saya tuliskan dalam ruangan ini sebab ada kaitan dengan pegangan kita sebagai pesilat. Oleh sebab kefahaman silat yang dipupuk pada ahli-ahlinya, menjadikan tindakan kita lebih berhati-hati. Tidak mudah menjual prinsip atau tidak mudah diri ’dibeli’. Tindakan kita ada maknanya pada diri kita. Bukannya tindakan yang sia-sia. Itulah salah satu prinsip silat yang ada dalam pelajaran kita. Dalam silat, setiap pergerakan atau tindakan akan memberi makna kepada kita. Makna tersebut membuktikan kebenaran kita bertindak. Tindakan itu pula adalah memberi makna dan membuahkan hasil yang tepat. Bukannya sia-sia.

Asal usul sesuatu adalah menjadi ukuran kita. Itulah salah satu prinsip ilmu hakikat yang perlu kita pegang sebagai pengamal SC. Kita suka mencari asal puncanya sebelum kita melibatkan diri. Pendapat saya ini ada asasnya berdasarkan kefahaman guru utama, Ustaz Hanafi. Dalam persilatan atau ilmu bela diri, kita tidak begitu menggalakkan penglibatan ahli-ahli pada bela diri yang diimport. Banyak kelemahannya dalam proses memupuk pegangan diri. Saya pernah bertanyakan Ustaz tentang hal yang demikian. Sekurang-kurangnya saya mengerti. Pergerakan persilatan tersebut ada kaitan dengan fahaman mereka sendiri.

Saya pernah menonton persembahan bela diri dari Siam. Sebelum berentap, mereka persembahkan gerak. Rupa-rupanya gerak tersebut dipersembahkan pada ’sesuatu’ yang mungkin berupa tuhan atau dewa mereka sendiri. Akhirnya, mereka menyembah tuhan atau dewa tersebut. Selepas menunjuk gerak tanda hormat dan menyembah, barulah mereka berentap. Cuma, dalam pertandingan secara profesional, ’patung’ berkenaan tidak ditunjukkan. Begitu juga dengan persembahan bela diri dari Jepun. Rupa-rupanya tunduk mereka itu adalah pada tuhan mereka yang begelar ’shinto’ dan ada kaitan dengan matahari.

Cuma, dek kerana orang-orang kita tidak terlibat dengan kepercayaan mereka, fahaman itu tidak ditonjolkan tapi geraknya tetap dikekalkan, khas untuk orang kita. Namun begitu, Ustaz menolak penglibatan yang sedemikian. Hal yang demikian kerana asal usulnya adalah sama iaitu memuja kepercayaan atau kefahaman mereka. Tindakan tidak boleh menghalalkan tujuan. Sudah pasti tujuannya adalah tersembunyi. Takut-takut nanti akan rosak akidah kita. Lebih baik kita menjauhkan diri dengan gerakan bela diri yang berkenaan. Banyak buruk dari baiknya. Jadi, tidak hairanlah kita berasa bangga dengan persilatan kita. Lagi hebat dari mereka. Hanya jauhari yang mengenal manikam.

Kita mungkin tak kisah dan menganggap punca atau asal usul sesuatu itu  remeh sahaja. Tapi saya rasa, dalam SC perkara berkenaan tetap menjadi persoalan utama. Itulah kefahaman saya yang diasaskan oleh Ustaz. Ilmu-ilmu yang luar biasapun, kita tetap ingin mengetahui akan asal puncanya. Orang yang dianggap wali, mungkin ada pengapit bersamanya. Kehebatan luar biasanya adalah kerana ada pembantunya yang kita tak nampak. Kalau kita tidak ada pegangan maka mudahlah diri kita terjerat dengan kebolehan yang dianggap luar biasa tersebut. Pemikiran ahli-ahli SC sepatutnya kritis. Itulah salah satu prinsip pegangan hidup, anjuran kefahaman kita.

Ketika saya bertanyakan Ustaz tentang kebolehan seorang  manusia hebat yang dapat mengeluarkan cincin untuk maksud kekebalan, lantas beliau bertanya. Cincin emas atau suasa. Rupa-rupanya ialah cincin tembaga. Begitu juga dengan kebolehan mengeluarkan batu cincin. Kehebatan itu hanya lebih bermakna jika batu cincin tersebut ialah nilam atau permata. Bukannya batu aked yang banyak dijual secara longgok.

Sebagai pengamal SC, asal usul sesuatu itu adalah amat diambil kira. Sama ada dalam bentuk persilatan atau dalam bentuk pergerakan. Hal yang demikian memberi makna, kalau nak libatkan diri dalam satu-satu aktiviti, buat kajian atau tanyakan pandangan orang lain. Dalam SC pun kita membuktikan pada bakal penuntut bahawa SC ialah sebenar-benar silat yang patut dituntut. Kita membuat pesembahan bagi membuktikan kebenaran. Sesiapa yang berminat, silakan masuk. Mereka yang tidak berminat, bermakna belum ada habuan. Jangan pulak kita menjadi pengikut pada pemimpin yang berfaham songsang. Masukpun dah songsang. Ikut pintu belakang.

Ketika saya masih berjawatan, kami merancang untuk menunjukkan persembahan pelita yang berbentuk umpama tanglung. Saya menerima teguran langsung dari Mufti supaya mengubah perkataan tanglung. Satu segi saya tak rasa apa-apa. Pelita sahaja untuk meriahkan persembahan dalam gelap. Penerangan beliau memahamkan saya. Tanglung itu merupakan satu aktiviti yang berkaitan agama di negeri Cina. Perbuatan kami menggunakan istilah tanglung itu, bermakna mengaitkan kembali peristiwa itu dengan aktiviti asalnya yang lalu.

Begitulah pentingnya kita mengetahui asal usul sesuatu, sebelum kita melibatkan diri atau menganjurkan sesuatu. Dari segi persilatan, mereka yang berada dalam SC, pastinya akan terus menerus selamat dari segi akidahnya. Semuanya adalah hasil usaha kepimpinan tertinggi SC, iaitu guru utamanya. Silat kita adalah silat yang asli. Silat adalah gerak. Manakala asli adalah bermakna asal.Oleh itu, SC sebagai silat yang asli, bermakna SC adalah menggunakan gerak asal kita sebagai seorang manusia. Salah satu gerak yang asal itu adalah gerak yang ditunjukkan semasa mengadap Tuhan.

Dapat kita simpulkan betapa pentingnya kita melibatkan diri dalam satu-satu aktiviti atau dalam satu-satu gerakan berdasarkan  kesahan. Maknanya, aktiviti atau pergerakan itu adalah bersih daripada amalan kurafat dan tahyol. Kalau ingin belajar silat, maka carilah silat yang tidak ada hubungan dengan amalan atau kepercayaan selain daripada agama kita. Kalau inginkan ilmu ’megah’ maka jangan  berguru pada orang yang ada ’kapit’, tak kiralah sama ada kapitnya itu jenis Islam ataupun kafir.

Oleh itu, jika kita ingin melibatkan diri dalam satu-satu aktiviti atau dalam satu-satu pergerakan itu, maka lihatlah dan kajilah para penganjur atau para pemimpin tertingginya. Saya pernah menulis tentang konsep kepala keretapi dengan gerabaknya. Gelagat gerabak akan dipengaruhi oleh kepalanya. Bila ada tautan antara gerabak dengan kepala keretapi, amat sukar dipisahkan lagi. Maka terpaksalah dituruti ke arah mana kepala keretapi itu pergi. Hal yang demikian bermakna, dalam persilatan, carilah guru yang sebenar guru. Guru yang dapat memberikan ketenangan dan panduan hidup di dunia dan di akhirat. Dalam satu-satu gerakan pula, berketualah atau berpimpinkan orang yang bersih jiwanya dan ikhlas perjuangannya. Pengaruh pemimpin itu akan mempengaruhi kita sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Merapatkan diri dengan pemakai minyak wangi maka akan dapat kewangiannya. Berapat dengan perokok maka  akan dapat wangian asap rokoknya.

Sebagai pengamal SC, nikmatilah makna kemerdekaan. Kemerdekaan dari segi pemikiran diri sendiri dan bebas dari fahaman yang terikat atau tertarik dengan seni bela diri dari luar negara yang dipengaruhi oleh kepercayaan agama mereka. Saya telah menulis tentang tajuk ini. Ingat pantun Ustaz. ”Lahirnya Cekak kerana kesedaran, bukan bermusuh sebagai tujuan, untuk mendaulatkan seni kebangsaan, menyesuaikan dengan makna kemerdekaan.”

Kemerdekaan diri merujuk pada sifat kita yang tidak mudah dipengaruhi sesiapa. Hal yang demikian adalah kerana pengamal SC sentiasa ada pendirian. Pendirian itu adalah diasaskan oleh pembawa silat ini iaitu guru utamanya. Pendirian itu juga sentiasa menjadi asas prinsip hidupnya. Oleh itu, sebagai pengamal SC, kita tidak akan mudah terikut-ikut dengan rentak ketua yang tak tentu hala pendirian dan pembawaannya. Lebih-lebih lagi berketuakan perempuan anutan  agama lain yang berfaham songsang. Ada depan, ikut belakang. Ada lurus, sukakan songsang. Tah tahu nak pilih, dua-dua makan. Itulah fahaman kepimpinan tertinggi demonstrasi jalanan yang berjaya mengalatkan mereka yang tidak ada pegangan. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 15/05/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: