RSS

36. 4. KONSEP PENDEKAR DALAM PENGURUSAN.

13 May

Sebagai seorang pendekar juga, seperti yang pernah saya tegaskan, betapa seseorang itu mestilah jangan sesekali panas baran. Orang yang panas baran biasanya pendek akal kerana tidak dapat berfikir. Akhirnya jadi pendek tengkok. Dirinya lebih banyak dikuasai oleh perasaan iaitu parasaan marah. Sebaliknya, mereka yang sabar, sifatnya tenang dan sentiasa berfikir sebelum melakukan sesuatu tindakan. Mereka dapat membina hubungan yang baik dengan orang lain. Kehebatan mereka bersilat tidak menjadikan diri bersifat ego atau meninggi diri.

Dalam SC, lambang padi yang ada pada simbol SC menunjukkan sifat rendah diri. Lebih banyak pengetahuan dan pengalamannya maka lebih tinggi sifat merendah diri. Begitu juga dengan lambang kita yang terdahulu yang mengandungi simbol tangan terbuka dan tangan menggenggam. Simbol itu melambangkan sifat mengalah terlebih dahulu sebelum bertindak. ”Baik yang datang maka baik layanan yang diberikan.” Begitulah sifat pendekar yang dikehendaki dalam persilatan kita.

Sifat pendekar berkenaan jika dipraktikkan dalam pengurusan,  tentunya akan menjadikan diri kita bertambah hebat. Orang lain akan tetap menghormati kita. Lebih banyak ilmu dan pengetahuan yang kita miliki, maka lebih tinggi penghormatan yang diberi. Syaratnya ialah kita jangan sesekali meninggi diri. Jika ada sifat meninggi diri maka orang lain akan menjauhkan diri mereka. Tinggallah kita keseorangan dalam pekerjaan  yang dilakukan. 

Orang yang ingin memupuk hubungan yang baik dan mesra dengan orang lain, biasanya akan mengamalkan sifat diplomasi. Dalam bidang persilatan, ilmu yang ada tidak boleh menjadikan diri kita bertindak kasar pada orang lain. Ustaz pernah menegaskan, jangan sesekali apabila mengamal SC, orang terpijak kaki kita secara tidak sengaja, akan menyebabkan kita membalas tindakan tidak sengaja itu. Sifat memberi kemaafan sangat dititikberatkan. Apabila timbul sebarang masalah, penyelesaiannya bukanlah menggunakan tangan, sebaliknya menggunakan akal fikiran yang panjang dan sehat. Itulah sifat pendekar yang panjang akal dan sangat dituntut dalam SC.

Bayangkan betapa sifat diplomasi itu diterapkan dalam pengurusan kita. Hal yang demikian akan menyebabkan kita tidak mudah melenting apabila dipersoalkan sesuatu oleh orang lain. Sifat kita akan lebih tenang. Masalah yang timbul akan dihadapi dengan menggunakan pemikiran yang sehat.  Kaedah penerangan dan perbincangan akan menjadi saluran utama. Sifat baran hingga membolehkan mereka menggunakan kaedah penyelesaian secara tangan, akan dapat dihindari.

Saya banyak kali memerhati betapa pemimpin yang bijak berdiplomasi dengan rakan-rakan sekelilingnya, akan dihormati setiap masa. Mereka mudah didekati. Lebih-lebih lagi jika mereka memegang jawatan tertinggi dan memiliki kelulusan tertinggi. Orang lain akan berasa ’segan’ dan tidak tergamak untuk bertentangan pendapat. Lebih-lebih lagi sifat melawan  atau membantah arahan, sentiasa dihindari.

Dalam SC, biasanya pengenalan orang lama atau orang baru membawa implikasi penguasaan silat. Jika disebut orang lama, maknanya ilmu dan pengalamannya dalam SC adalah lebih, berbanding dengan mereka yang dikenali sebagai orang baru. Pada adatnya, demikianlah tanggapan biasa yang ada dalam kalangan ahli-ahli SC. Walau bagaimanapun, kita perlu akui betapa ilmu yang ada jika tidak digunakan, akan menjadi ’tumpul’. Boleh juga kita kiaskan betapa senjatapun jika dibiarkan, boleh ’makan diri’. Makanan pun jika dibiar lama tanpa dihangat akan menjadi basi.

Dalam SC, untuk menjadi seorang pendekar yang hebat, latihan yang berterusan perlu ada. Saya selalu sarankan supaya kita sentiasa berdamping dengan guru kita dan juga dengan orang-orang lama yang banyak pengetahuan dan pengalaman. Dapatkan ilmu pengetahuan dan pengalaman luas mereka. Jangan ego diri. Di samping itu, latihan silat yang berterusan akan menjadikan kita sentiasa cergas dan bersedia sepanjang  saat dan ketika. Untuk menjadi pendekar yang hebat, mereka juga akan sentiasa menambahkan kemahiran dari masa ke masa. Walau pun telah tamat atau telah menguasai ilmu SC, tentu ada kekurangan di sana sini. Kekurangan tersebut boleh ditampung melalui penglibatan dalam kelas-kelas kemahiran atau kursus-kursus dan perbincangan yang diadakan sepanjang masa.

Pendekar yang hebat sentiasa juga menambahkan ilmu dan kemahirannya melalui kaedah ’belajar dari kesilapan.’ Akui kesilapan yang dilakukan dan buatlah pembetulan. Sesungguhnya kesilapan yang berlaku akan menyedarkan kita untuk berubah dan membetulkan keadaan. Secara langsung, kaedah itu akan meningkatkan kebolehan diri. Dalam bidang persilatan, membetulkan kesilapan dalam tindakan, akan menjadikan kita lebih berhati-hati. Membetulkan kesalahan dalam gerak silat, akan menjadikan gerak silat  kita semakin mantap. Membetulkan kelemahan kita dalam proses berhubung dengan orang lain, akan menjadikan  diri kita sebagai Jurulatih, akan lebih dihormati dan disanjungi.

Kalau dipraktikkan konsep membetulkan diri melalui kesilapan dalam aspek pengurusan, akan menjadikan diri kita sebagai penjawat jawatan itu lebih mantap dan hebat. Kita akan mudah dipercayai untuk diberi sebarang tanggungjawab. Segala yang dilakukan pasti akan membuahkan hasil yang berkualiti.

Di samping itu, ilmu yang ada, perlu disebarkan pada orang lain. Saya telah tegaskan betapa mereka ini bukan setakat dapat membangunkan diri sediri dalam persilatan, akan tetapi mereka juga dapat membangunkan orang lain. Sifat mereka tidak ’kedekut’. Ilmu yang ada pada mereka boleh dikongsi bersama dengan orang-orang lain. Seperti yang saya tegaskan, ilmu yang dikongsi dengan orang lain akan menjadikan kita dapat menguasai ilmu itu dengan lebih mantap dan berkesan. Ilmu yang diberi tidak akan habis. Tentunya hal yang demikian berbeza dengan wang ringgit. Jika wang ringgit dikongsi dengan orang lain maka wang ringgit tersebut bertambah susut. Ilmu yang ada pada kita bukannya berkonsepkan wang ringgit. Lagi banyak ilmu yang ada pada kita disebarkan pada orang lain maka akan berambahlah ilmu itu di samping akan menjadikan kita dapat menguasai ilmu itu dengan lebih mantap. Itulah konsep pendekar yang sentiasa dipraktikkan oleh mereka. Lagi ramai anak muridnya maka lagi tinggi martabat dan kehebatannya.

Dalam pengurusan organisasi atau persatuan, jika konsep pendekar itu dipraktikkan tentunya akan menjadikan kita seorang yang hebat. Kita akan sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan melalui kursus-kursus yang diadakan atau melalui majlis-majlis syarahan yang dianjurkan. Kita tidak akan berkira-kira atau memberi alasan untuk tidak menghadiri aktiviti tersebut. Secara langsung, kebolehan kita sebagai seorang pegawai dalam organisasi berkenaan akan meningkat. Penghasilan kerja kita akan sentiasa berkualiti.

Di samping menambahkan ilmu pengetahuan dan pengalaman, jangan lupa kita menyebarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang ada pada diri kita untuk dikongsi bersama dengan orang lain. ”Contact time” atau ’Konteks masa’ akan dijadikan aktiviti utama. Dalam majlis itu, kita boleh memberi syarahan atau pelbagai bentuk komunikasi lain sebagai kaedah berkongsi ilmu dan pengalaman. Dalam SC, ’Majlis Petua’ boleh dianggap sebagai kaedah guru berhubung dengan anak muridnya. Dalam majlis itu ilmu pengetahuan dan pengalaman yang ada pada guru dapat dikongsi bersama dengan anak muridnya.

Sebagai kesimpulannya, mempelajari SC banyak bergantung pada niat. Jika belajar setakat silat, maka pelajaran silatlah sahaja yang diperoleh. Sebaliknya jika belajar SC bagi memperkembangkan potensi diri, maka itulah matlamat yang akan kita capai pada akhirnya. Sepatutnya, lagi lama kita berada dalam SC maka lagi banyaklah pengetahuan dan pengalaman kita. Pengetahuan dan pengalaman itu akan menjiwai diri kita bagi menjadi ahli yang hebat. Kehebatan itu dapat diserlahkan walau di mana kita berada.

Ketika saya menjawat jawatan dalam kerajaan, sering kali ditanya tentang sifat saya yang sentiasa inginkan ketepatan. Dari segi masa, saya menitikberatkan ketepatan masa atau ketepatan waktu. Dari segi penghasilan kerja, saya juga menitikberatkan ketepatan pada hasil kerja tersebut. Ketepatan dari semua segi itu merupakan sifat atau watak diri saya sebagai pengurus dalam sebuah organisasi.

Saya sering menjawab persoalan tersebut dengan mengaitkan dengan sifat seorang ahli silat. Dalam gerak persilatan, ketepatan adalah sesuatu yang amat penting. Ketepatan itu meliputi ketepatan waktu mengambil buah dan ketepatan gerak ketika bertindak. Kita boleh bayangkan betapa jika tidak ada ketepatan ketika mengambil kaedah, pasti badan kita akan terkena penumbuk lawan. Begitu juga ketika membuat buah. Tanpa ketepatan melakukan jatuhan atau pukulan, pasti diri kita akan mengudang bahaya. Oleh itu seorang pendekar yang hebat adalah bermaksud beliau juga mempunyai watak yang mementingkan ketepatan.

Sifat tersebut jika diaplikasikan dalam pengurusan akan menjadikan sistem dalam organisasinya akan begerak dengan lancar. Proses kerja adalah mengikut waktu yang ditentukan. Hasil kerja yang dikeluarkan adalah bermutu dan tinggi kualitinya. Hal yang demikian akan menjadikan organisasi itu bertambah mantap dan struktur organisasinya berperanan dengan baik dan berkesan.

Nampaknya, jika konsep pendekar dapat kita gunakan ketika kita bekerja, akan menjadikan diri kita seorang yang hebat, berkualiti dan berupaya menjalankan sebarang tugas atau amanah yang diberikan. Penglibatan kita dalam dunia persilatan tidaklah merugikan, malah akan membentuk diri kita menjadi insan yang sempurna dan harmonis. Oleh itu, ketika berada dalam SC, jiwailah pelajaran dan kefahamannya bagi membentuk diri menjadi manusia yang harmonis dan seimbang dalam kehidupan di dunia ini. Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 13/05/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: