RSS

36.3 KONSEP PENDEKAR DALAM PENGURUSAN

10 May

Dalam proses kita menyebarkan SC, sifat sabar perlu ada. Bukan mudah kita menyakini masyarakat untuk mempelajari SC. Bukan mudah juga kita membuktikan kepada masyarakat bahawa SC adalah merupakan satu silat yang benar-benar asli, melebihi mutu bela diri yang ada dan boleh bertanggungjawab menjaga diri. SC berupaya membentuk perwatakan diri, jika kita benar-benar yakin akan pelajarannya dengan sepenuh hati. Menjiwai persilatan SC dalam semua segi pelajarannya akan membentuk cara kita berfikir dan bertindak secara beradab dan bersopan. Hal yang demikian akan mendorong kita untuk menyebarkan SC dalam kalangan masyarakat.

Mereka yang berusaha menyebar SC tentu menghadapi pelbagai jenis dugaan. Namun begitu, saya percaya jika kita yakin bahawa pelajaran SC adalah sesuatu yang bernilai dan amat bermutu serta perlu disebarkan, maka usaha-usaha kita menghadapi tentangan dan dugaan dari masyarakat tidak akan mendatangkan satu tekanan atau bebanan berat. Sifat yakin dan sifat sabar ada perkaitannya. Keyakinan yang ada, membolehkan kita bersifat sabar untuk melaksanakan tugas, terutama tugas menyebarkan pelajaran SC. Segala rintangan akan dihadapi dengan jiwa yang tenang. Tidak mudah menyerah kalah tanpa ’berjuang’ terlebih dahulu.

Orang yang bersifat sabar akan sentiasa menyusun stretagi bagi memperoleh kemenangan di akhirnya. Mereka tidak mudah kecewa atau mengundur diri dari masalah yang dihadapi. Mungkin mereka akan mengalah di peringkat awal. Sifat mengalah bukannya tanda penakut atau tanda bacul, melainkan sifat mengalah itu adalah untuk merancang satu strategi yang lain. Walaupun orang lain akan membuat pelbagai andaian akan sifat dirinya, dia akan lebih berhati-hati dan berdiam diri. Ada perancangan yang sedang disusun dan menunggu saat dan ketika untuk melakukannya. 

Cuba kita baca kisah-kisah hikayat lama. Betapa seorang pendekar itu mengundur diri seketika bagi merancang serangan yang sesuai di ketika yang lain. Sifat berani mereka itu adalah terancang. Bukannya secara hentam keromo sahaja. Itu sebabnya sesuatu pertarungan itu akan mengambil masa. Berhari-hari lamanya. Sampai bosan kita membaca kerana tidak sabar mengetahui akan keputusan  sengketa dengan segera.  Dalam SC pun kita ada pengalaman mengenainya. Ustaz pernah ’diserang’ guru silat yang terkemuka untuk membuat perhitungan, akibat satu sengketa. Ustaz tidak terburu-buru memberi riaksi. Bukannya bermaksud mengalah untuk memberi kata putus dengan segera tapi berdiam diri menyusun strategi. Tersebar berita mengatakan Ustaz penakut.

Sebenarnya Ustaz ada strategi. Menunggu saat dan ketika untuk bertemu semula. Ketika detik itu tiba, Ustaz berjumpa semula dengan guru silat berkenaan untuk menyahut cabaran yang dulunya dipelawa. Cerita Ustaz, tersentak juga guru berkenaan. Tidak disangka cabarannya diterima Ustaz di hari lainnya.  Itulah antara detik-detik yang menyebabkan punca timbulnya peristiwa keinginan ’bertarung’ antara Silat Cekak dengan silat berkenaan. Tapi tak jadi apabila pihak polis menarik balik permit pertarungan tersebut.

Orang yang bersifat sabar, tidak akan panas baran dan tidak mudah melatah. Itu juga salah satu sifat pendekar yang ada dalam kalangan pesilat Melayu. Apabila panas baran menguasai sifat diri, akalnya menjadi pendek kerana kurang dapat berfikir dengan waras dan rasional. Tindakannya akan terburu-buru. Bertindak tanpa dapat berfikir panjang secara tenang dan rasional. Orang yang panas baran selalunya rugi pada akhirnya. Orang lain akan menjauhkan diri. Silap gaya, orang yang panas baran akan tinggal keseorangan. Tidak ada sesiapa yang berminat untuk membantu. Mungkin orang lain bukannya  bersifat takut, melainkan menyampah akan sifat  yang sedemikian.

Lebih-lebih lagi apabila kita menguasai pelajaran SC sepenuhnya. Kawal diri dengan  akal yang dianugerahi Tuhan. Jangan cepat melatah. Umpama padi, makin berisi, makin tunduk. Jangan umpama lalang. Apabila akar mencengkam bumi,  lintuk liuknya menyakitkan hati. Sebagai pendekar SC, gunakan dua telinga dan dua mata sebelum membuat satu-satu keputusan. Orang yang suka cucuk-mencucuk sentiasa ada di sekeliling kita. Tanpa menggunakan akal yang sihat, akan membolehkan kita terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan. Oleh itu, berhati-hatilah. Pastikan akal  fikiran yang sihat sentiasa mengusai diri kita. Apabila bertindak atau menjalankan perancangan, buatlah atau lakukan dengan  cara berfikiran strategik. Panjang akal.

Dalam bidang pengurusan sifat seorang pendekar yang yakin dan sabar adalah amat penting. Hal yang demikian bagi mempastikan penghasilan kerja adalah berkualiti. Sifat yakin pada usaha dan strategi yang dilakukan akan menyemarakkan lagi motivasi diri. Sifat sabar yang wujud pada diri akan membolehkan segala perancangan itu dilakukan secara berhati-hati dan secara penuh bertanggungjawab. Itulah konsep pendekar yang selalu dipraktikkan oleh seseorang pesilat yang benar-benar menjiwai pelajaran silatnya. Perancangan yang dilakukan akan lebih berfokas tanpa mempedulikan riaksi negatif orang lain. Saya selalu perhatikan betapa pegawai-pegawai yang bersifat demikian, sering berjaya dalam kerjayanya.

Keyakinan pada pelajaran SC bermakna kita mempercayai pelajaran tersebut. Maknanya juga, jika kita telah yakin pada pelajaran SC, maksudnya kita mempercayai kehebatan dan keberkesanan pelajarannya. Kita juga mempercayai akan kehebatan pembawa silat berkenaan iaitu Guru Utamanya. Secara langsung, kita mengasuh diri supaya menghormati ketua kita iaitu guru silat dan orang-orang kanannya. Kepercayaan ini akan mendorong kepada sifat ketaatan dan kepatuhan pada arahan. Tidak mungkin wujud penentangan terhadap barisan kepemimpinan tertinggi yang ada dalam persatuan SC. Hal yang demikian adalah sangat penting bagi meneguhkan persatuan yang menaungi pergerakan SC itu sendiri. Kecualilah pada mereka yang ada kepentingan diri untuk mengaut keuntungan daripada ahli-ahli silat yang lain. Selalu saya nyatakan betapa mereka yang berkepentingan diri sentiasa sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkan habuan diri terutamanya dari segi kuasa, hingga sanggup menentang guru yang menjadi ketua.

Sifat berkepercayaan tinggi pada gurunya adalah merupakan sifat seorang pendekar yang hebat. Orang Melayu sentiasa mengenang budi. ’Orang berbudi kita berbahasa’. ”Baik datangnya maka baik riaksinya. Buruk yang mendatang maka buruk pula riaksinya”. Jika sifat ini diaplikasikan dalam pengurusan, tentunya akan menjadikan kita seorang pegawai yang hebat, boleh dipercayai dan berdidikasi. Kita percaya pada perancangan atau dasar yang dibuat oleh ketua kita. Kedudukan kita sebagai pelaksana akan lebih menumpukan usaha-usaha melaksanakan sesuatu arahan. Kita akan lebih banyak merancang bagi mempastikan kejayaan. Masa tidak akan terbuang begitu saja kerana asyik membantah atau mempersoalkan sesuatu. Fikiran kita lebih berfokas. Hal yang demikian akan menjadikan usaha-usaha kita menjalankan sesuatu tugasan, akan menampakkan keikhlasannya. Penghasilan kerja pasti berkualiti. Usaha-usaha kita itu akan menjadikan kita dihormati orang lain.

Dalam mana-mana organisasi, prinsip bekerja dalam satu pasukan adalah amat dititikberatkan. Banyak kursus yang dianjurkan bagi mempastikan semangat kerja berpasukan menjadi amalan. Saya pernah menyentuh tajuk ini dalam tulisan terdahulu. Kerja berpasukan akan melicinkan perancangan. Penghasilan kerja adalah sentiasa berkualiti. Budaya kerja akan lebih positif. Kebajikan ahli akan sentiasa dijaga. Setiap kejayaan akan diraikan bersama. Hal yang demikian akan mendorong para ahli untuk menggandakan usaha bagi mencapai matlamat organisasi.

Dalam persilatan SC, kerja berpasukan bukanlah sesuatu yang asing. Saya juga pernah menyentuh tajuk ini dalam tulisan yang terdahulu. Saya pernah menceritakan betapa Ustaz pernah ’mencabar’ saya supaya mengumpul rakan-rakan seperjuangan dalam SC yang sehati dan sejiwa. Jika dapat seramai empat puluh orang yang sehati dan sejiwa maka persatuan silat bolehlah ditutup.

Cabaran tersebut boleh memberi pelbagai makna. Sekurang-kurang kita dapat lihat betapa Ustaz menitikberatkan kerja-kerja secara berpasukan. Walau bagaimanapun, bukan senang untuik mengumpul sepasukan ahli yang sama matlamatnya tanpa ada kepentingan diri. Oleh sebab susahlah, maka kita perlu memberi nilai yang tinggi atas sifat mereka yang rela untuk bersama-sama kita dalam satu barisan perjuangan SC. Jaga kebajikan mereka. Pupuk hubungan baik yang bukan hanya terhad dalam bidang persilatan sahaja. Kenduri-kendara, sakit-demam, semuanya diberi perhatian.

Dalam pelajaran SC, kita sememangnya memberi penghargaan atas prinsip persefahaman. Itu sebabnya dalam ikrar ketika ijazah pertama, kita disarankan supaya jangan bergaduh sesama ahli. Pergaduhan akan menyebabkan perancangan memajukan SC akan terbantut. Lihat saja sekarang ini. Sepatutnya SC terus berkembang maju. Walau bagaimanapun, kita banyak membuang masa bagi menyelesaikan sengketa. Ruang yang terbuang itu diambil kesempatan oleh persilatan lain untuk meluaskan pengaruh mereka. Kemasyhuran SC telah terbelah bahagi dek kerana banyak persatuan yang ada. Bersainglah pengaruh SC sesama persatuan yang berlainan nama tapi berasaskan pada satu pelajaran  silat yang sama. Saya rasa tidaklah perlu saya  lanjutkan tulisan mengenainya. Namun begitu, ikrar kita amat mudah dilupakan begitu saja.

Perkara yang ingin saya tekankan di sini ialah betapa seorang pendekar itu akan sentiasa bersama pasukannya. Kehebatan dan kewibawaannya tidak terhad untuk diri sendiri. Mereka bukanlah manusia yang mementingkan diri. Sebaliknya, mereka adalah merupakan orang yang berjaya membangunkan diri di samping membangunkan diri orang lain. Sesungguhnya, sifat pendekar lebih  bermakna apabila  dipraktikkan juga dalam pengurusan pekerjaan kita dalam organisasi mana sekali pun. Sifat itulah yang sering saya praktikkan dalam pengurusan.  Hal yang demikian akan menjadikan kita seorang yang sentiasa dihormati oleh ahli-ahli yang lain. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 10/05/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: