RSS

36.2 KONSEP PENDEKAR DALAM PENGURUSAN

04 May

Dalam bidang pengurusan, mengangkat atau menjatuhkan seseorang itu, bukanlah sesuatu yang luar biasa. Nampakya sifat  tersebut telah menjadi amalan manusia dengki yang banyak terdapat dalam satu-satu organisasi. Saya pernah menulis tentang tahap dengki yang ada pada manusia. Kalau timbul perasaan negatif di hati, itu namanya iri hati. Apabila diluahkan dari mulut atau ditunjukkan melalui perbuatan maka itulah tafsiran dengki yang ada. Jika menimbulkan riaksi melalui tindakan maka itulah tahap khianat namanya. Contohnya, setakat nak menulis surat layang atau nak sebarkan firnah, itu masih lagi ditahap dengki, kerana masih berada di tahap ’nak’. Apabila disebarkan surat layang atau menyebarkan fitnah, maka itulah yang dinamakan khianat. Cuba kita hubungkan tafsiran ini ketika situasi pepecahan berlaku dalam kalangan kita.

Oleh sebab organisasi itu ada kaitan dengan manusia, maka kita tidak dapat mengelak diri berhadapan dengan pelbagai jenis perangai atau ragam manusia. Sifat dan sikap mereka adalah tidak sama. Istilah-istilah ’mengampu, bodek, geng, taat, menghormati dan sebagainya, selalu bermain dalam kalangan bibir manusia yang berhati pelbagai. Tafsiran atau pengertian istilah-istilah tersebut adalah sama ada dalam bentuk positif ataupun negatif. Terpulanglah pada tahap pemikiran mereka sama ada berfikiran terbuka atau berfikiran sempit. Saya pernah tegaskan terdahulu. Orang yang berfikiran sempit, lebih suka membincangkan isu dan membuat komen tentang orang tersebut. Manakala orang yang berfikiran luas dan terbuka lebih banyak membincangkan isu dari sudut sebab dan akibat. 

Akibat perbuatan dengki dan khianat, maka ramailah para ahli yang menjadi mangsa. Ada yang terus tersingkir dan menghilangkan diri entah ke mana. Ada yang dapat bertahan untuk menegakkan kebenaran. Tidak kurang juga yang bertindak balas untuk melepaskan geram. Walau bagaimanapun kebiasaannya, ada yang jatuh, terus jatuh dan hilang begitu saja. Sebaliknya, ada yang jatuh di peringkat awal tapi dapat bangun semula dan mencapai tahap kecemerlangan yang hebat di akhirnya. Macam cerita filem Hindustan yang popular masa dulu-dulu.

Saya berpengalaman dalam situasi jatuh bangun dalam karenah organisasi. Daripada seorang Pengetua, pernah ’disingkir’ menjadi  guru biasa. Hal yang demikian kerana mulut yang terus terang berkata-kata. Ada yang tak suka. Mereka lebih rela mendengar perkara yang baik-baik. Tak boleh ’komplen’ sikit pun. Namun begitu, akhirnya menjadi Pengarah juga. Lompat tinggi. Tuhan yang menentukan segala-galanya.

Dalam hal ini, konsep ”Jatuh, tapi tahu naik semula”, amat perlu diyakini oleh kita. Cuma, ikhlaslah pada perbuatan. Allah akan berserta. Sabar dengan hati yang rela. Walau bagaimanapun, apabila jatuh jangan biarkan begitu saja. Rosak emosi kita jika telah lama menghabiskan masa. Bacul juga namanya. Susun strategi untuk bangkit semula. Namun begitu biarlah dalam lingkungan kebenaran yang ada. Jangan melampaui batas agama dan budaya kita. Jangan  juga ada kepentingan diri, melainkan untuk maksud bela diri atas kebenaran yang hakiki. Itulah konsep pendekar yang perlu ada pada kita.

Sifat jatuh-menjatuh dan angkat-mengangkat juga bukanlah sesuatu yang menghairankan kita dalam persatuan dan persilatan SC. Kita juga berhubungan dengan pelbagai sifat manusia yang ada. Mereka juga mempunyai perangai yang berbeza dan  mungkin ada yang sama. Sifat manusia tetap manusia walau di mana mereka berada. Dalam persatuan kita sendiri, singkir-menyingkir telah menjadi mainan juga. Banyak contoh yang boleh diambil kira. Malas nak tulis dalam rungan ini. Lebih malang lagi, apabila penyingkiran yang berlaku itu akibat fitnah dan pendek akal. Nampak akan kebodohan berfikir yang ada. Pendek akal, bukannya pendek tengkok. Main hentam keromo sahaja kerana minat kaedah menyondol.

Seperti yang dinyatakan, dalam profesyen, saya pernah disingkirkan. Tapi Tuhan mengangkat ke darjat yang lebih tinggi. Malah dalam persatuan juga nasib yang sama berulang. Teringat peristiwa saya tersingkir daripada LPT. Dikatakan bahawa surat penyingkiran telah dihantar pada saya. Tapi saya tidak terima. Maka hadirlah saya, duduk atas pentas selaku ahli LPT. Agaknya orang-orang kanan persatuan asyik memerhati. Akhirnya baru saya tahu diri telah disingkir apabila dianugerah tongkat sebagai simbol bakti saya dalam majlis Tenaga Pengajar tersebut. Dapatlah saya anugerah sebatang tongkat sebagai mengenang jasa yang telah lama mencaburi perjuangan SC. Ohh….. Macam itu rupanya penyingkiran.

Walau bagaimanapun, Tuhan amat berkuasa atas sesuatu itu. Jasa saya tetap dikenang kemudiannya. Dapatlah anugerah. Kalau dalam perkhidmatan, saya disingkir tapi akhirnya dapat pengarah, maka dalam persatuan SC, saya disingkir tapi akhirnya dapat anugerah. Maknanya konsep jatuh, bangkit semula, telah ’menjadi’ buat diri saya. Puas hati. Baru tahu membezakan antara emas dan suasa. Antara aked dan berlian. Antara ayam kampung dengan ayam kentucky. Berkat bawa ayam jantan kampung masa tamat agaknya.

Teringat masa saya tamat silat dulu. Kami kena bawa ayam jantan kampung setiap orang, seekor ayam. Tidak mudah lagi nak dapat ayam kampung ketika ini. Tapi zaman saya tamat dulu, ayam kampung masih banyak. Kami bagi duit setiap orang sepuluh ringgit pada ’orang pejabat’ untuk beli ayam jantan kerana majlis tamat diadakan di Kampung Baru – pejabat lama SC di Lorong Haji Sirat. Ketika itu ayam sering dihubungkan dengan tamat silat. Tidak kira mana-mana silat Melayu. Cuma, cara penggunaan ayam mungkin berbeza-beza. Ada yang menjadikan ayam sebagai maksud semah gelanggang. Ada juga yang menjadikan ayam sebagai pengkeras guru.

Rupa-rupanya bawa ayam seekor seorang memberi kesan pada kami yang akan tamat silat. Saja nak cerita kisah lama. Terasa suasana bersilat masa itu. Ayam-ayam tersebut dikurung dalam beberapa buah serkap buluh. Semasa kami datang ke majlis penyembelihan ayam-ayam tersebut oleh Ustaz, ada antara ayam itu yang mati. Kami jadikan bahan kelakar. ”Siapa punya agaknya ayam yang mati itu. Pasti tuan punyanya akan mati semangat belajar SC.” Masing-masing pakat ketawa.

Ketika dua ekor daripada ayam-ayam tersebut  dipilih Ustaz untuk dibuat ’ayam penunjuk’, sekali lagi kami bergurau dan tertanya-tanya. ”Siapa pulak tuan punya ayam bertuah berkenaan. Pasti akan jadi ketua dalam kalangan kami.” Masing-masing terperasan agaknya. Pada hal kami hanya bagi duit beli ayam. Ayam dikumpul secara kumpulan. Mana ada tuan bagi setiap ayam. Saja-saja buat gurauan. Itulah suasana persilatan yang wujud ketika majlis tamat.

Kita boleh membuat kesimpulan bahawa konsep ”Jatuh dan bangun semula,” perlu ada pada kita. Itulah juga salah satu sifat seorang pendekar yang perlu dibina dari masa ke masa. Jangan sesekali apabila jatuh, cabut lari atau kita merajuk diri atau menyusun strategi penentangan. Khianat namanya dalam perjuangan SC yang diwarisi Ustaz Hanafi. Saya tidak berbuat demikian. Melainkan saya teruskan perjuangan. Buktikan pekerjaan kita selama ini adalah berdasarkan keikhlasan. Tidak ada kepentingan diri. Tidak ada apa yang dicari melainkan maksud pembangunan diri. Contohilah perjuangan pendekar atau pahlawan Islam, Khalid ibn Walid. Walaupun tersingkir dari jawatan tertinggi ketenteraan tetapi beliau tetap meneruskan perjuangan menegakkan Islam walaupun sebagai askar biasa.

Keyakinan pada silat adalah dituntut jika kita benar-benar ingin menguasai pelajarannya. Dalam tulisan yang terdahulu, saya pernah tegaskan betapa keyakinan pada pelajaran SC adalah asas utama pada tanggungjawab kita sebagai penuntut SC. Jika tidak yakin pada SC, buat apa kita melibatkan diri dalam silat berkenaan. Apabila kita yakin maka mudahlah kita menerima dan mengamalkan pelajarannya. Pintu hati kita akan terbuka luas bagi menerima pelajaran SC dari masa ke masa. Kalau tidak yakin pada pelajaran SC, pasti pembelajarannya tidak sepenuh hati. Badan sahaja hadir ke kelas tapi hati berkata-kata kerana keyakinan tidak ada. Jadilah mereka umpama duri dalam daging. Banyak komen. Tapi diri sendiri gagal untuk menguasai sepenuhnya pelajaran SC.

Keyakinan penuh pada SC akan membolehkan kita menyebarkan silat itu kepada orang lain. Ketika proses penyebaran itu berlaku, segala dugaan yang dihadapi akan disertai dengan sifat sabar. Saya yakin bahawa keyakinan pada pelajaran SC yang wujud pada diri kita akan menjadikan kita tidak mudah menyerah kalah dalam usaha untuk menyebarkan SC pada masyarakat. Kita akan sentiasa bersikap optimistik. Kita percaya bahawa ’rugi’, jika masyarakat kita tidak mempelajari SC. Itulah salah satu keyakinan kita. Jika telah yakin maka segala rintangan akan dapat dihadapi bagi mempastikan pencapaian matlamat. Sikap optimis akan menjadikan kita berusaha bersungguh hati. Itulah salah satu sifat seorang pendekar.

Ciri pendekar itu pastinya menjadikan seseorang itu yakin pada persilatannya dan telah berjaya menguasai pelajaran SC sepenuh hati. Penguasaan pelajaran akan membolehkannya mengamalkan pelajaran silat dalam kehidupan seharian sama ada menguasai tindakannya atau caranya berfikir. Sesungguhnya, pelajaran SC itu sendiri akan menambahkan keyakinan diri apabila kita berjaya pada penguasaan gerak dua tangan dan dua kaki.

Sifat seorang pendekar yang yakin pada SC itu, jika diaplikasikan dalam pekerjaan kita, maka amat berfaedah sekali. Setiap perancangan dalam pengurusan jika disertai dengan sifat yakin maka akan memudahkan kita melaksanakan tugas secara teratur. Keyakinan akan menambahkan motivasi kita untuk terus merancang, mengawal dan menilai akan hasil kerja yang kita lakukan. Kebolehan-kebolehan itu adalah amat berguna bagi menjadikan diri kita seorang pegawai yang berkebolehan dan berkualiti. Itulah sifat pendekar yang telah meresapi diri kita. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 04/05/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: