RSS

36.1 KONSEP PENDEKAR DALAM PENGURUSAN

01 May

Penglibatan seseorang ahli dalam SC adalah berbeza-beza bentuknya. Ada yang terlalu komited dan ada yang tidak. Malah penglibatan mereka juga kadang kala boleh merujuk pada tempoh. Ada yang sekejap sahaja komitmennya pada SC dan ada yang berterusan hingga bertahun-tahun. Pada pendapat saya, mereka yang berada begitu lama dalam SC dan bergerak secara aktif, pasti mempunyai perasaan yang mendalam terhadap SC itu sendiri. Komitmen mereka tinggi dan semangat SC benar-benar telah menguasai dirinya. Jika orang lain berhobikan memancing, golf atau sebagainya, mereka yang menjiwai SC akan berhobikan silat. Orang yang menjiwai bidang persilatan yang diceburinya itu, biasanya kehidupan seharian juga akan dipengaruhi oleh silat berkenaan. Hal yang demikian meliputi gerak lakunya dan cara dia berfikir.

Kebiasaannya, berada lama dalam SC adalah kerana dua tujuan iaitu kerana persilatan dan satu lagi kerana persatuan. Walau bagaimanapun saya yakin bahawa mereka yang memegang apa-apa jawatan dalam persatuan pastinya mempunyai kebolehan bersilat SC terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya tamat silat. Jika menjadi ahli persatuan semata-mata tanpa menjadi ahli persilatannya, saya pasti buat masa ini Guru Utama, malah ahli-ahli lain tidak akan layan minat mereka untuk menjawat apa-apa jawatan dalam persatuan SC. 

Saya teringat catatan peristiwa kata-kata Ustaz berhubung dengan lantikan seseorang dalam jawatankuasa SC. Ketika SC sedang menuju ke zaman kemasyhurannya, ada antara tokoh tertentu termasuk tokoh politik yang menawarkan diri untuk menjawat jawatan sebagai penasihat atau penaung dalam persatuan SC. Jawatan penaung pada persatuan silat ketika itu, telah menjadi kebiasaan. Walau bagaimanapun, Ustaz tidak begitu meminatinya.

Ustaz pernah menyatakan pada saya betapa mereka yang hendak menjawat apa-apa jawatan dalam Persatuan SC, mestilah terlebih dahulu belajar SC hingga tamat. Jika gagal berbuat demikian, jangan diharap orang itu akan dilantik sebagai penyandang apa-apa jawatan dalam Persatuan SC. Sepanjang ingatan saya, Persatuan SC tidak pernah ada penasihat atau penaungnya. Nampaknya semua ahli jawatankuasa kita, sama ada di peringkat cawangan ataupun di peringkat pusat adalah terdiri dari mereka yang berkebolehan bersilat. Semuanya tamat silat. Mungkin tahap penguasaan dan kefahaman pada SC mungkin berbeza-beza. Namun begitu faktor-faktor tersebut tidak pernah dijadikan ukuran apabila melantik seseorang untuk menjawat apa-apa jawatan dalam persatuan.

Lagi lama kita berada dalam SC, sepatutnya lagi mantap kebolehan kita bersilat. Lebih-lebih lagi pada mereka yang menjadi Jurulatih. Kemampuan mereka menyampaikan ilmu persilatan, secara langsung akan memantapkan kebolehan mereka bersilat. Lagi banyak ilmu yang ada pada kita dan disampaikan pada orang lain, maka sepatutnya, makin bertambahlah kefahaman dan penguasaan kita pada ilmu berkenaan. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan wang ringgit. Lagi banyak sumbangan yang kita berikan pada orang lain maka makin banyaklah luaknya wang ringgit itu.

Dalam istilah persilatan, mereka yang hebat bersilat dan menguasai kemahiran  menggunakan tangan kosong dan penggunaan senjata, akan bergelar pendekar. Walaupun dalam SC, istilah pendekar tidak begitu popular, namun pengertian akan kebolehan mereka yang hebat itu, tetap bergelar pendekar. Berdasarkan kamus, pendekar juga merujuk pada mereka yang gagah dan berani. Konsep  pendekar juga disamakan dengan pahlawan. Cuma, dalam penggunaan bahasa harian, pahlawan lebih merujuk pada kebolehannya bertarung dengan memimpin para pengikutnya.

Kalau seseorang itu bertaraf pendekar, pastilah ilmu persilatannya benar-benar telah menguasai jiwanya. Segala tindakan dan pemikirannya adalah berdasarkan pada kefahaman yang ada dalam persilatan yang dikuasainya. Sifat-sifat yang ada dalam silat yang dibawanya hasil didikan guru, pasti menguasai dirinya. Oleh itu, apabila seseorang itu memegang apa-apa jawatan dalam pekerjaannya, sudah tentu prinsip pendekar silatnya akan terbawa-bawa dalam bidang kerja hariannya.

Dalam tulisan ini, saya ingin mengajak para pembaca sekalian berkongsi tajuk tentang konsep pendekar dalam persilatan yang kita ceburi dengan bidang pengurusan atau pekerjaan yang kita sandang. Tulisan ini adalah berdasarkan kefahaman dan pengalaman saya sendiri ketika menjawat jawatan dalam sektor awam. Tafsiran saya hanyalah sekadar untuk maksud perkongsian ilmu dan pengalaman.

Dalam bidang pengurusan, salah satu kemahiran yang perlu ada ialah ’Penyelesaian Masalah’. Masalah sering timbul dan untuk mengatasinya kita memerlukan daya keyakinan dan  keberanian yang tinggi. Kebolehan mengatasi masalah tersebut adalah umpama seorang pendekar yang mengatasi masalah apabila berhadapan dengan lawannya. ”Pandai kamu besilat.” Itulah kata-kata yang sering dilafazkan apabila seseorang itu berjaya menguasai dan mengatasi situasi yang mencabar.

Dalam konteks pengurusan, ada yang mentafsir maksud  pendekar itu sebagai ”Pandai Akal”. Mereka tidak emosinal, sebaliknya menggunakan akal bagi mengatasi masalah yang dihadapi. Kalau dihubungkan dengan tafsiran persilatan daripada  Kamus Dewan, pada pandangan saya, seorang yang bertaraf pendekar bermakna orang itu pandai ”bersilat”, berani dan pandai menggunakan akal fikirannya dalam kehidupan seharian dan dalam apa saja lapangan kerjaya yang diceburinya. Istilah ’pandai bersilat’ dalam konteks persilatan bermakna kemahirannya menggunakan dua tangan dan dua kaki. Manakala istilah ’pandai bersilat’ dalam konteks pengurusan bermakna dia berjaya mengatasi segala situasi berbentuk tohmahan atau sebarang jenis perasaan tidak puas hati yang diterima dari masyarakat. Sesungguhnya, penglibatannya dalam dunia persilatan akan banyak membantunya untuk menjadi seorang ’pendekar’ dalam bidang kerjayanya.

Cuba kita lihat prinsip pendekar yang boleh meresap masuk dalam pengurusan kita ketika menunaikan tanggungjawab atas jawatan yang diamanahkan pada kita. Hal yang demikian sama ada kita sedari atau pun tidak. Saya yakin bahawa mereka yang menjiwai persilatan tentunya menyedari atas apa yang dilakukannya ketika memikul sebarang tanggungjawab yang diberi. Perbincangan saya hanyalah sekadar menarik perhatian para pembaca betapa berfaedahnya jika kita benar-benar menjiwai bidang persilatan yang kita pelajari. Tidaklah boleh dikatakan bahawa bidang persilatan itu semata-mata membuang masa atau membuang tenaga sahaja. Cuma, mereka yang tidak memahaminya yang akan berkata demikian.

Ketika kita menghadapi ’ancaman’ daripada persilatan Melayu yang lain, kita lebih berhati-hati dalam tindakan. Ustaz menerangkan pada ahli-ahli jawatankuasa pusat betapa pentingnya satu-satu perancangan itu dibuat secara berhati-hati. Tutupi ’lubang-lubang’ yang membolehkan orang lain ’masuk’. Maknanya, kita berupaya membuat telahan akan kelemahan perancangan kita itu yang membolehkan orang lain membuat ’serangan’. Hal yang demikian menjadikan kita sentiasa berhati-hati. Malah, setiap perkataan yang boleh membawa pelbagai makna pun digunakan secara berhati-hati. Itulah strategi namanya.

Strategi adalah sesuatu yang dirancang bagi mempastikan hasil yang diperoleh adalah secara maksimum. Kita bersilatpun mesti ada strateginya. Ketika menyerang, kita selalu memerhatikan kedudukan kaki dan tangan pasangan kita. Tidak boleh menyerang ’membabi buta’ walaupun kita yakin dengan penumbuk serang kita. Begitu juga tatkala kita menghadapi serangan. Pasangan silat kita mungkin mempunyai pelbagai bentuk dan pelbagai saiz badannya. Kita tidak tahu apa jenis serangan yang akan dilakukan. Kecualilah serangan tendangan pada rusuk ketika kita mengambil Gayung Patani. Kita melarang musuh kita dari berbuat demikian. Biar mereka berdisiplin sikit. Jangan guna tendangan kaki pada rusuk. Sekurang-kurangnya, selamatlah baju kita dari kotoran kaki tendangan lawan.

Jelas pada kita betapa menyerang dan menunggu serangan, memerlukan perancangan yang disebut sebagai starategi. Kita mengkaji secara langsung atau secara tidak langsung tentang kedudukan pasangan silat kita dan tentang bentuk tubuh badannya. Termasuk juga panjang pendek anggota tubuh badannya. Berdasarkan ukuran itu, kita boleh membuat pertimbangan yang jelas ketika menyerang atau ketika menunggu serangan. Di situlah akal panjang kita memainkan peranan penting bagi mempastikan kemenangan kita. Konsep dan prinsip dalam membuat strategi itu telah menjadi satu kebiasaan, malah satu amalan pada pesilat dalam SC.

Rupa-rupanya strategi juga adalah satu amalan biasa dalam pengurusan. Malah, kalau di sekolah, guru-guru mesti ada strategi untuk mengajar murid-murid yang lembab atau murid-murid yang nakal bagi mempastikan kejayaan mereka dalam pelajaran. Bukan senang untuk mendisiplin mereka dalam pembelajaran. Guru-guru mesti pandai ’bersilat’ dengan mereka. Kepandaian itu dapat dikatakan sebagai gaya atau bentuk seorang pendekar yang perlu ada strategi. Perancangan yang jitu perlu ada. Sudah tentulah perancangan tersebut adalah berserta dengan daya pemikiran yang terancang. Di peringkat sekolah, para pentadbir juga mesti ada strategi untuk menaikkan keputusan peperiksaan dalam semua mata pelajarannya sama ada dari segi kuantiti mahupun dari segi kualiti.

Dalam sektor swasta pun, perancangan yang strategik sentiasa memainkan peranan penting dalam bidang pengurusan. Pegawai-pegawainya didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran dalam perancangan strategik tersebut. Hal yang demikian tentunya tidak menghairankan pada pengamal silat. Sesungguhnya mereka telah dan sentiasa berfikiran secara strategik ketika menunggu serangan atau membuat serangan dalam amalan persilatannya. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 01/05/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: