RSS

35.1 KESETIAAN BERTERUSAN DALAM PERSATUAN

22 Apr

Saya sentiasa menyedari kedudukan diri. Kedudukan saya di peringkat cawangan adalah bertanggungjawab untuk menyebarkan SC seberapa luas yang boleh. Walau bagaimanapun, sebagai pemimpin dan ketua di cawangan, kita juga bertanggungjawab untuk meluahkan masalah yang dihadapi di peringkat cawangan. Luahan inilah kadang kala tidak menyenangkan pelbagai pihak di peringkat pusat. Namun begitu, luahan itu adalah merupakan isi hati yang ada. Bukannya isi perut yang busuk. Teguran kita adalah ikhlas demi meneruskan Pusaka Hanafi. Dalam hal ini, kita mesti berani. Jika pendapat yang diluahkan itu tidak diterima, maka terimalah kenyataan. Janganlah kita memberontak atau melahirkan perasaan tak puas hati secara nampak. Akibatnya tentulah tidak baik. Silap haribulan kita mungkin akan tersingkir. Mudah saja tindakan mereka. 

Saya ada banyak pengalaman dalam soal ini. Walau apa pun yang dikata atau diulas oleh orang lain tentang diri saya, tapi saya berasa bangga kerana masih dapat meneruskan perjuangan SC dalam  landasan yang bertali arus. Tidak putus di mana-mana walau pun  lahirnya guru persatuan atau guru paksaan. Ramai antara mereka yang berdiri di belakang guru, akhirnya lenyap entah ke mana. Duduk di belakang, membolehkan mereka menghilangkan diri begitu saja.

Saya masih ingat lagi di satu masa dahulu, saya diberi ”amaran” oleh beberapa orang kanan SC. Hal yang demikian kerana mulut saya yang lantang, melahirkan pendapat yang bertentangan dengan perbuatan mereka. Bukan main marahnya mereka.

”Kita jangan sesekali menyakitkan hati guru. Jaga perasaan beliau. Perbuatan menyakitkan hati guru akan membawa padah.” Itulah antara lain kata-kata amaran yang diberi mereka pada saya.

Apabila kita berpecah, rupa-rupanya merekalah pertualang utama. Perbuatan mereka bukan saja menyakitkan hati guru, malah cuba menjahanamkan guru dan menjahanamkan persilatan dan persatuan. Itulah manusia hancuk yang berada dalam SC. Tapi dah berada sebelah sana. Walau bagaimanapun, ’saya tetap saya’. Kata-kata Ustaz, ”Betapa ikan di laut tetap tak masin. Kalau nak masih, kena bubuh garam di darat,” nampaknya menjadi kenyataan buat diri saya. Saya berasa bangga akan sikap saya itu.

Kadang kala saya selalu menenangkan diri. Saya puji diri saya sendiri. Jelas terbukti betapa ikhlasnya perjuangan saya. Kata-kata saya dan perbuatan saya juga selama ini adalah ikhlas untuk memajukan SC. Walaupun ramai yang buta kayu, saya tetap yakin bahawa pengajaran Ustaz telah banyak mempengaruhi pendapat dan tindak tanduk saya sendiri. Itulah tafsiran saya sendiri. Tafsiran orang lain saya apa peduli. Tapi orang lain yang banyak mentafsir tentang kelantangan saya tempoh hari, akhirnya menjadi penentang utama dan berada di sebelah sana.  ”Penipu punya olang.”

Dalam konteks hubungan kita dengan guru, ingatlah kembali ketaatan yang dilafazkan pada guru melalui ikrar dalam majlis ijazah.  Walaupun makna guru itu luas, dalam konteks silat, tidak ada guru yang lain melainkan guru yang ijazah kita dan membenarkan kita mempelajari SC. Ikrar maknanya sumpahan yang kita lafazkan. Kalau dah sumpah maknanya juga kita perlu melaksanakan sumpahan yang dilafazkan itu. Oleh itu, beringat-ingatlah dengan tutur kata yang kita keluarkan. Manusia pegang pada janjinya. Kalau janji mudah dilupakan, maka apakah jenis manusia yang ada itu.

Berdasarkan lafaz ikrar kita di hadapan guru, saya sangat berpegang pada janji yang dilafazkan. Hal yang demikian membolehkan saya terus menerus berada dalam landasan perjuangan SC yang diterajui oleh guru yang ada tautan dengan Ustaz Hanafi. Tidaklah mudah bagi saya untuk menukar pendirian. Malah mungkin mustahil untuk saya berbuat demikian. Saya tidak ada sebarang kepentingan diri, melainkan meneruskan perjuangan untuk menyebarkan SC sama ada dari segi persilatannya atau dari segi kefahamannya yang saya terima.

Kita perlu mengakui hakikat bahawa setiap ilmu itu ada empunyanya. Walaupun hakikatnya adalah hak Allah, tapi ada manusia yang terpilih untuk menunaikan tanggungjawab bagi menjalankan amanah yang diberi. Guru yang terlantik itu adalah profesional kerana menumpukan seratus peratus kerjayanya pada dunia persilatan. Hal yang demikian akan menjadikan ilmunya dalam bidang tersebut bertambah dari masa ke masa. Pada hal, kita yang menjawat jawatan lain atau memiliki tanggungjawab hidup yang lain terpaksa menumpukan perhatian pada kerjaya yang ada pada diri kita.

Oleh itu, berusahalah mendapatkan ilmu yang ada pada guru atau mereka yang dilantik mewakilinya. Ilmu tersebut adalah pelbagai. Terpulanglah pada kita untuk mendapatkan jenis-jenis ilmu yang dikehendaki. Pada asasnya ilmu tersebut pastinya berkaitan dengan bidang persilatan. Jika minat dan tanggungjawab itu timbul, akan membolehkan kita memberi ketaatan pada guru. Sifat menderhaka atau menentang guru boleh ditiadakan pada diri kita. Fikiran kita hanya akan tertumpu pada peluang dan ruang untuk menambahkan ilmu. Jika sikap ini tiada, ruang-ruang yang ada pada fikiran kita akan dipenuhi dengan sifat untuk mendapatkan sesuatu atau atas sifat kepentingan diri. Hal yang demikian akan merugikan diri kita sendiri. Lebih malang lagi apabila akhirnya kita tersingkir kerana pelakuan atau kebiadaban kita pada institusi perguruan.

Saya bersyukur kerana matlamat saya bersilat untuk mendapatklan ilmu adalah jelas sekali. Walaupun Ustaz Hanafi telah tiada, penggantinya yang sah dan berhak adalah merupakan lanjutan guru yang akan terus menerus merestui ilmu yang kita peroleh tersebut. Dalam konteks masyarakat Melayu, di situlah akan lahirnya keberkatan dalam mengamalkan sesuatu ilmu.

Setiap organisasi atau persatuan ada peraturan-peraturannya. Sebagai ahli, jika kita tidak dapat mematuhi peraturan-peraturan tersebut akan membolehkan satu-satu tindakan dikenakan pada diri kita sendiri. Dalam konteks persilatan, peraturan tersebut dikenali sebagai adat dan adab yang ada dalam satu-satu persilatan itu. Secara umumnya, adat yang ada dalam SC merangkumi segala peraturan yang berkaitan dengan persilatan SC. Kita dapat saksikan adat kita menerima ilmu melalui ijazah. Ada peralatannya. Seiring dengan itu ada adabnya ketika kita berijazah dan mengadap guru. Adat dan adab adalah bersepadu dan tidak boleh dipisah-pisahkan.

Sebagai ahli SC, patuhi adat dan adab yang demikian. Jika kita berjaya berbuat demikian akan membolehkan kita terus berkekalan dalam SC. Jika tidak, jiwa kita akan memberontak. Hal yang demikian akan mendorong kita menentang adat dan adab yang ada. Kita boleh lihat akan contoh-contoh yang telah berlaku apabila adab dengan guru telah diketepikan. Sepatutnya sebagai ahli, kita berdiri teguh di belakang guru untuk mempertahankannya, kerana beliau adalah guru kita. Sebaliknya apabila adat dan adab diketepikan maka akan terdorong untuk menentang guru yang ada.

Apabila kita menjawat atau berperanan dalam satu-satu tugas, jangan lupa sikap kita yang perlu berjemaah dalam melaksanakan segala program SC. Jangan buat kerja secara berseorangan. Kerja sebagai kumpulan akan menebalkan  motivasi diri kita. Perasaan bertanggungjawab juga akan semakin menebal. Tekanan perasaan dapat dikurangkan kerana tindakan kita adalah secara bersama. Hal yang demikian akan menyebabkan setiap kejayaan atau kelemahan akan dikongsi bersama. Secara langsung hal yang demikian akan menjadikan kita akan terus berkekalan dalam SC. Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 22/04/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: