RSS

35.0 KESETIAAN BERTERUSAN DALAM PERSATUAN

18 Apr

Nampaknya bukan mudah bagi seseorang itu untuk terus berkekalan dalam satu-satu organisasi atau persatuan atau pertubuhan. Ada yang cukup tempoh, akan menarik diri walaupun telah terlibat begitu lama. Cuma, apakah perkaitan antara cukup tempoh dengan kelenyapan mereka itu. Saya hanya menggunakan istilah kepentingan diri sahaja untuk merujuk pada mereka yang berbuat demikian. Dalam hal ini, kepentingan diri bukan sahaja membawa implikasi negatif, malah kepentingan diri juga boleh membawa makna positif. Mengundur diri dari persatuan kerana faktor kesihatan tentunya satu tindakan yang baik untuk aspek kepentingan diri. Walau bagaimanapun, ramai yang mengundur diri kerana merajuk. Mereka terus berdiam diri dan mengetepikan perjuangan yang selama ini mereka terlibat. Merajuk juga boleh dirujuk atas sifat kepentingan diri hingga sanggup meninggalkan perjuangan. 

Namun begitu, ramai juga yang mengundur diri dari perjuangan yang ada tetapi berada dalam persatuan yang bersaing kerana  mempunyai perjuangan yang sama. Mereka tidak mendiamkan diri, sebaliknya bergerak aktif hingga sanggup bersaing dengan persatuan asal yang mereka ceburi. Kadang kala amat sukar kita memahami gelagat mereka tersebut. Berdasarkan pandangan saya, hal yang demikian ada juga kaitannya dengan perasaan kecewa. Kekecewaan itu mula timbul apabila pengurusan persatuan atau organisasi itu bertukar tangan. Biasanya, barisan kepimpinan baru akan kurang melihat peranan sebenar yang telah mereka lakukan sebelum ini dalam pengurusan terdahulu.

Meninggalkan persatuan yang ada dan berada pada persatuan yang menjadi saingan, bukanlah satu perkembangan yang sihat. Tidak ada siapa yang untung. Persaingan yang sedemikian akan menyebabkan kesemua persatuan yang berkenaan tidak dapat menonjolkan kehebatan secara total. Tidak hairanlah kita lihat SC yang hebat tidak dapat mempertahankan kehebatannya kerana berlaku pepecahan. Kemasyhuran SC terpaksa dibahagikan-bahagikan sesama persatuan Cekak yang berpecah.

Orang yang meninggalkan persatuan pasti ada pelbagai alasan. Kita tak boleh nak kata apa. Tidak ada peraturan yang melarang perbuatan berkenaan. Peraturan persatuan akan membenarkan para ahlinya meninggalkan persatuan. Tak payah bayar apa-apa. Pilihlah persatuan mana yang dia suka. Namun begitu dari segi persilatan, pemilihan guru akan menentukan diri seseorang itu berada di sebelah mana. Berbeza guru maka hubungan mereka umpama berpatah arang. Tidak mungkin mereka boleh duduk semeja.

Kadang-kadang saya pun berasa pelik. Sama-sama berguru dan berijazah dari Ustaz Hanafi, juga turut berpatah arang apabila mereka melahirkan pendapat atau pandangan untuk menyokong mana-mana guru yang ada dalam persilatan SC. Pada hal, dulunya mereka berkawan sangat rapat. Macam adik-beradik. Walaupun dilaungkan slogan Pusaka Hanafi, ikatan persahabatan semasa Ustaz Hanafi tetap terungkai jika berlainan persatuan. Mungkin mereka boleh bersua muka dan berbual-bual. Namun begitu, perbualan tersebut tersangat tawar dan hambar. Senyuman yang terukir menampakkan sumbengnya. Rupa-rupanya semangat juang berpaksikan Ustaz Hanafi, nampak sangat bersifat kepura-puraan. Janji dengan Ustaz sesama ahli SC tak boleh bergaduh, tapi gaduh juga. Tipu belaka.

Saya tenung diri sendiri. Saya puji diri saya sendiri. Perjuangan saya kekal abadi. Tak berubah hati. Dari dulu hingga kini. Pemilihan persatuan ada kaitan dengan penguasaan guru yang ada. Maka Guru yang ada itu perlu juga ada salasilah lantikannya. Saya rasa dan saya yakin dan percaya bahawa tindakan saya selama ini adalah betul dan tepat. Tak ada apa yang dicari melainkan berada dalam perjuangan yang asal seperti mana saya mula-mula melibatkan diri.

Masuk bakul angkat sendiri. Apa saya peduli sebagai melayan diri sendiri. Terasa diri seorang yang ikhlas berjuang. Akhirnya dapat anugerah tertinggi. Terasa puas di hati. Masih ada yang mengingati. Pada saya, jelas apa yang dicari dari mula-mula mendaftar diri sebagai ahli. Tak ada kepentingan diri. Walau bagaimanapun masih ada yang berasa cemburu dan dengki. Saya tak ambil peduli. Penglibatan saya sangat lama. Tahu mana yang benar dan tahu mana yang dusta. Apa yang berada di hati akan diluahkan dalam penulisan dan lisan. Diharapkan menjadi sumber pengajaran dan sumber rujukan pada generasi yang akan datang.

Dalam tulisan kali ini, saya ingin menyentuh tentang peranan sebenar yang perlu kita miliki setelah menjadi ahli SC. Rujukan penulisan lebih banyak pada diri sendiri. Saya ingin berkongsi ilmu dan pengalaman tentang apa yang patut kita lakukan bagi meningkatkan kesetiaan diri kita sendiri. Mudah-mudahan kita akan terus berkekalan dalam persatuan SC yang ada. Sayugia diingatkan bahawa apabila kita menceburi SC, bermakna kita akan mengorbankan wang, masa dan tenaga dalam satu persatuan. Penglibatan kita itu akan membawa kesan sama ada berfaedah pada diri atau akhirnya akan merugikan diri sendiri yang berminat dengan bidang persilatan. Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan sebagai ahli persilatan mestilah secara berpandu dan berprinsip. Maka konsep ’menang-menang’ akan mendatangkan kesan positif pada kita. Seiring dengan sumbangan yang kita lakukan pada persatuan dan persilatan, kita juga akan dapat menambahkan ilmu silat dan ilmu mengurus persatuan dari masa ke masa.

Salah satu prinsip yang perlu ada pada kita ialah ketetapan pendirian. Sekali kita telah melibatkan diri dalam satu-satu persatuan atau satu-satu perancangan maka teruskan sampai ke akhir hayat. Jangan main lompat-lompat umpama sang katak yang suka melompat. Akhirnya menjadi habuan sang ular. Banyak masa dan tenaga yang kita korbankan menjadi sia-sia dan terbuang begitu sahaja. Tidak ada kepuasan hati. Sekerat jalan. Cuba bayangkan jika keaktifan kita hanya sekerat-sekerat. Tentu tak puas. Oleh itu, sebelum melibatkan diri, fikir-fikir dulu.

Sekali kita terlibat, tetapkan pendirian dan tetapkan diri berada dalam jemaah berkenaan. Kalau hendak muhasabah diri, lakukan dulu sebelum melibatkan diri dalam satu-satu pergerakan. Gunakan pemikiran logik yang ada pada diri sendiri. Jika kurang berkemampuan untuk berfikir, maka rujuklah pada mereka yang berkebolehan. Kemudian buatlah ketetapan. Pegang ketetapan tersebut. Itulah pendiraian ’anak jantan’. Tapi nak buat macam mana. Dewasa ini ramai yang sukakan pondan. ”Pondan Siam” pulak tu.

Apabila kita diberi jawatan atau tanggungjawab, sentiasa ingat dalam ingatan kita iaitu sama ada kita berada di peringkat pengurusan pertengahan ataupun di peringkat pengurusan pelaksana. Tentu mustahil kita berada di peringkat atasan yang menentukan hala tuju persilatan. Oleh itu, insafi diri selaku pengikut dan pelaksana amanah untuk menjalankan tugas yang diberi. Jangan campur urusan mereka yang berada di tampuk pembuat dasar. Dalam persilatan, tentunya peranan pengikut berpaksi pada konsep melaksanakan perjuangan iaitu mengembangkan SC. Jangan ada perjuangan lain selain daripada mengembangkan silat. Jika ada kepentingan lain maka kepentingan lain itu bermakna kepentingan diri. Orang yang berkepentingan diri pastinya memerlukan kuasa. Untuk mendapatkan kuasa maka berusahalah mereka untuk menyebarkan pengaruh bagi membuktikan kehebatan diri. Kebiasaannya, orang lain yang akan dicaci sebagai bandingan kehebatan diri. Banyak masa ditumpukan pada strategi diri. Hal yang demikian akan banyak merugikan perjuangan kita untuk mengembangkan SC.

Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 18/04/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: