RSS

34.0 KENANGAN GAMBAR BERAMAI-RAMAI

13 Apr

Saya merujuk gambar kenangan beramai-ramai bersama dengan Ustaz yang disiarkan oleh Saudara Azmin dalam laman facebooknya. Gambar itu dipetik dalam blog tulisan saya yang lalu. Ada dalam kalangan ahli-ahli yang meminta saya membuat sedikit ulasan dan menyatakan nama mereka yang ada dalam gambar berkenaan. Dalam tulisan ini, saya cuba menulis serba sedikit mengenai mereka yang terlibat dalam gambar berkenaan. Cuma, penceritaan tentang hal-hal ’sebaliknya’ agak sukar dilakukan secara terus terang dalam tulisan ini.

Gambar tersebut diambil di asrama Kolej Ketiga Universiti Malaya. Ketika itu saya memegang jawatan sebagai  Setiausaha Majlis Penuntut di kolej berkenaan. Gambar saya adalah di barisan kedua duduk, empat dari kiri. Kiri sekali ialah adik Ustaz. Sebelahnya ialah En Abu Hamid dan diikuti oleh En Nasir.  Sebelah kiri saya, dah lupa nama. Kemudian jelas muka En Jo dan En Amruddin. Antara mereka juga saya lupa namanya. Nama-nama yang saya lupa itu kerana penglibatan mereka dalam SC tidak kekal lama. En Amruddin dan En Nasir juga adalah merupakan penuntut UM yang senior setahun dari saya. Ketika itu telah tamat SC.

Gambar tersebut diambil ada kaitannya dengan majlis penerangan SC yang dibuat Ustaz di kolej berkenaan. Ketika itu saya berada di tahun kedua iaitu pada tahun 1974. Saya telah menganjurkan majlis penerangan tersebut bersama dengan En Abu Hamid dan seorang rakan saya lagi En Ismail yang duduk di barisan depan sebelah kiri sekali. Beliau juga adalah salah seorang ahli  Majlis Penuntut di Kolej berkenaan. Bila SC dibuka pada tahun berikutnya, hanya saya dan En Abu Hamid yang belajar SC. Sahabat saya itu tidak berpeluang kerana lebih senior dan menamatkan pengajian terlebih dahulu ketika SC dibuka di UM. 

Atas jawatan yang saya sandang, memudahkan kami membuat majlis penerangan di asrama Kolej Ketiga untuk semua penuntut UM yang berminat dengan SC. Akhirnya seramai lima puluh enam penuntut UM yang berminat mempelajari SC. Hampir keseluruhan mereka itu pernah mempelajari silat-silat Melayu lain. Malah, ada antara mereka yang bergelar jurulatih ataupun bergelar guru pada persilatan mereka. Kalau tak salah saya, seramai empat puluh lapan  orang telah berjaya menamatkan pelajaran SC. Terdapat kisah-kisah menarik yang menjadi kenangan saya berkaitan dengan pembukaan kelas  pertama di Universiti Malaya tersebut. Saya yakin dan pasti bahawa SC telah dibawa masuk ke Universiti Malaya atas usaha saya dan En Abu Hamid, walaupun ada ahli-ahli yang telah lama berada di universiti  berkenaan dan telah tamat silat. Sejarah yang mengatakan mereka yang membuka kelas berkenaan mungkin boleh ditafsir kembali.

Segala-galanya bermula apabila saya terbaca artikal yang ditulis Ustaz dalam Dewan Masyarakat. Isi penulisan tentunya mencabar pemikiran saya. Ketika itu saya dan En Abu adalah penuntut Silat Gayung. Manakala sahabat saya, En Ismail sangat berbangga dengan tomoinya. Kami bertiga sering berbincang tentang silat. Pada En Abu, saya tetap tegaskan betapa Gayunglah yang terbaik sebab kami berdua bergiat dalam persilatan itu di kampus. Rencana tersebut saya anggap hanyalah propoganda sahaja untuk mencari tempat dalam persilatan.

Walau bagaimanapun, dalam hati kecil saya, semacam ada satu tarikan untuk mengetahui akan kelebihan SC yang ditulis Ustaz. Ego yang ada tidak memungkinkan saya ’menyerah diri’ dengan begitu mudah. Oleh itu saya menulis surat  pada Guru Utama SC, Ustaz Hanafi untuk menyatakan pandangan saya sendiri tentang penulisannya itu. Pandangan saya adalah berdasarkan perasaan tak puas hati pada rencana berkenaan yang saya anggap ”besar diri.”

Saya didatangi En Amruddin untuk memberi penerangan tentang SC. Saya difahamkan bahawa Ustaz menghantarnya bertemu saya. Dalam pertemuan tersebut, saya mencuba gerak dengan beliau untuk mendapatkan kebenaran atas apa yang ditulis dalam rencana berkenaan. Ada yang mengatakan kami ’bertry’ seolah-oleh macam orang gaduh. Saya nafikannya. Tak ada siapapun yang cedera.

Walau bagaimanapun, saya tak berpuas hati pada perbincangan tersebut yang diadakan dalam bilik saya sendiri di asrama Kolej Ketiga. Tempatnya amat sempit. Sukar buat saya membuktikan gerak silat saya yang memerlukan kawasan yang luas. Nampaknya gerak SC amat sesuai di tempat yang sempit. Saya meminta En Amruddin mengaturkan pertemuan dengan Ustaz pada waktu malamnya. Saya bertekat untuk mencuba dengan guru SC di kawasan yang lebih lapang.

Selesai pertemuan dengan En Amruddin, saya berjumpa dua sahabat saya itu. Saya ajak mereka bertemu Ustaz pada malamnya. En Abu setuju. Kami berkereta ke sana kerana En Ismail ada kereta. Maklumlah beliau adalah bekas guru dan berduit orangnya. Beliau juga berminat untuk mendapatkan pengetahuan lanjut tentang SC. Kalau sesuai, beliau juga setuju untuk mencuba dengan Ustaz.

Hujan tersangat lebat pada malam itu. Kami bertiga tetap meneruskan perjalanan  ke rumah persatuan di Lorong Haji Sirat di Kampung baru. Ustaz tinggal ’bujang’ di situ. Ketika kami sampai, Ustaz hanya ditemani oleh En Ghazali yang merupakan Setiausaha Persatuan SC ketika itu. Mereka hanya berdua sahaja di malam berkenaan. Dalam gambar, beliau berdiri memegang beg sebelah kanan Ustaz. Tidak nampak kelibat En Amruddin pun di malam tersebut.

Ustaz menerima kedatangan kami dengan penuh mesra. Mula-mula kami risau juga. Maklumlah, bertemu dengan guru silat dalam keadaan hati berkata-kata. Kami beranikan diri. Malah, dalam perbualan kami dalam kereta, kami bertekad. Kalau gaduhpun nak buat macam mana. Tanggung aje. Tapi lain jadinya. Sambutan mesra Ustaz amat menyenangkan kami. Suaranya tidak meninggi.

Ustaz membuat penerangan. En Ghazali menjadi pasangannya bersilat. Saya yakin, Ustaz tahu hajat kami yang ingin ’beradu’ gerak dengannya. Sekarang baru saya pasti. Ustaz ada strategi rupanya. Dalam keadaan silat Gayung dan Lincah berebut tempat pada pasukan keselamatan, Ustaz ada perancangan ke universiti. Hal yang demikianlah agaknya menyebabkan Ustaz menerima mesra kedatangan kami dan membuat tawaran. Jika beradu gerak pada malam tersebut dan kami kalah, maka Ustaz tidak akan membenarkan kami mempelajari SC pada bila-bila masapun. Sebaliknya, belajar dulu dan baharu ’try’ dijadikan satu pilihan lagi pada kami. Tawaran itu menyebabkan kami berbincang. Pilihan kedua kami jadikan pilihan.

Walau bagaimanapun, saya memberi syarat juga pada Ustaz. Apabila kelas SC dibuka di Universiti Malaya, Ustaz sendiri mesti turun mengajar. Saya meletakkan syarat, setiap buah yang diperturunkan, mestilah saya yang pertama menerimanya dari Ustaz dan diturunkan buah oleh Ustaz sendiri. Ustaz bersetuju dengan syarat yang saya kemukakan. Hingga kini saya amat berbangga dengan hal yang demikian. Kalau Ustaz tidak hadir pada hari berkenaan, saya tetap orang pertama yang menerima buah dari pembantu Ustaz. Walau bagaimanapun, apabila berjumpa Ustaz, saya akan dapatkan buah yang berkenaan dari tangan Ustaz sendiri. Ada juga antara pihak sana yang menafikannya. Mereka lebih tahu tentang diri saya.

Perjumpaan pada malam itu berterusan dengan penerangan lanjut tentang SC. Ustaz menegaskan betapa perlunya silat ini dipelajari oleh orang-orang Melayu. Peristiwa 13 Mei, banyak dijadikan contoh betapa lalainya bangsa Melayu. Penerangan Ustaz dihurai luas oleh En Ghazali yang berperanan sebagai  orang kanan Ustaz Hanafi. Di satu ketika, beliau membuka bajunya. Ditunjuknya  parut di perut, bekas peluru yang menembusi perutnya ekoran dari peristiwa tersebut. Bukan main semangatnya beliau menyakinkan kami supaya mempelajari SC. Saya difahamkan sebelum beliau bertemu Ustaz, beliau bergiat dalam persilatan Sendeng. Menjadi orang kanan.

Pada hari yang ditetapkan, saya berjaya menganjurkan majlis penerangan. Ustaz sendiri yang memberi penerangan. Kalau diamati pada kot Ustaz, lambang SC ketika itu ialah tangan yang bersimbolkan satu tangan terbuka dan satu tangan menggenggam. Saya masih ingat lagi, Ustaz menyentuh makna simbol itu dalam penerangannya. Kesimpulannya, ahli-ahli SC tidak mudah menceroboh atau mengganas. Prinsipnya ialah bertolak ansur terlebih dahulu. Jika prinsip itu tidak dihargai maka barulah tangan yang mengenggam berlambangkan tindakan. Saya ulas kenyataan ini kerana sangat tertarik pada konsep yang diterangkan itu.

Corak penerangan Ustaz adalah secara ilmiah dan logik. Saya juga sangat tertarik dengan penerangannya tentang pelajaran SC yang berkiaskan turutan huruf, perkataan dan ayat. Kiasan itu memberi makna tentang perkaitan antara kaedah, buah asas, dan buah jatuh. Penerangannya amat mudah tapi menarik perhatian pendengar untuk mengetahui dengan lebih mendalam. Hal yang demikian juga memberi peringatan kepada kita supaya jangan sesekali membuat pergerakan yang berbeza antara asas dan jatuh pada satu buah yang sama. Penerangan Ustaz yang demikian selalu dijadikan sandaran bahawa asas dan jatuh adalah merupakan kesinambungan buah. Selepas majlis penerangan itu maka kami bergambar. Itulah gambarnya.

Dalam majlis berkenaan, saya telah diyakinkan oleh sahabat-sahabat Ustaz betapa ruginya jika tidak mempelajari SC. Terkenang saya wajah-wajah mereka dalam gambar berkenaan. Misalnya seorang yang dikenali sebagai Ramli Boyan. Gambarnya berdiri sebelah kiri sekali. Beliau menceritakan tentang dirinya hingga bertemu Ustaz. Sebelahnya ialah Pak Kadir Busu. Saya difahamkan bahawa beliau adalah murid Ustaz di Sungai Way. Saya menaruh keyakinan atas percakapannya kerana beliau dikatakan sebagai orang kuat Gayung yang menyertai SC. Beliau sangat-sangat memberi galakan kepada saya supaya mempelajari SC daripada Ustaz. Kedua mereka juga telah meninggal dunia.

Sebelah kanan sekali ialah En Kamarul yang pernah memegang jawatan bendahari persatuan. Sebelah kanan beliau adalah En Borhan. Beliau juga memberi galakan supaya saya belajar SC. Saya difahamkan bahawa ketika itu namanya sangat popular kerana ilmu yang dimiliknya membolehkannya kebal. Rambutnya tak lut dipotong dengan ’pisau belid’. Saya difahamkan juga betapa beliau pernah ditanam sebagai salah satu ilmunya. Walau bagaimanapun, ilmu-ilmu tersebut menjadi tumpul apabila menjalani mandi dalam ijazah SC.

Terdapat antara mereka yang tinggal dalam kenangan. Selain daripada Pak Din Panjang, saya diberitakan bahawa Pak Wan pun telah meninggal dunia. Dalam gambar, beliau berada di sebelah kiri Pak Din. Saya juga difahamkan En Nordin yang cekap menggunakan pisau, juga telah meninggal dunia. Beliau duduk mencangkung di depan sekali, nombor dua dari kanan. Sebelah kirinya ialah pasangan senjatanya yang bergelar ’Tombei’. Saya tak tahu macam mana gelaran tersebut diberi padanya. Watak Tombei adalah pembantu hero dalam filem TV Samurai yang sangat popular ketika itu.

Satu ketika dulu, sekitar tahun tujuh puluhan dan lapan puluhan, pasangan Nordin dan Tombei sangat hebat membuat persembahan senjata. Setiap acara yang besar, pasti merekalah yang diberi kepercayaan untuk membuat persembahan. Teringat saya pada satu persembahan di Padang Kota, Pulau Pinang, sekitar tahun tujuh puluhan. Entah mana silapnya, kami nampak betapa kedudukannya ’goyang’ ketika membuat persembahan. Rupa-rupanya ketika itu beliau telah ’lupa’ ingatan seketika akibat satu pukulan. Mujurlah gerakan semula jadinya menyelamatkan persembahan. Selepas pertunjukan, kami berusaha memulihkan kembali ingatannya. Saya difahamkan beliau masih ada lagi tapi tidak aktif.

Selain daripada En Zainal Abidin (Yang) yang berdiri sebelah Pak Kadir, nampaknya mereka yang lain telah berada di sebelah sana.  Salah seorang daripada mereka seperti ada dalam gambar, telah menjadi guru mereka. Nama-nama yang lain susah nak tulis kerana tak ingat nama. Ada cerita tapi susah ditulis dalam tulisan ini. Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 13/04/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: