RSS

33.0 KEJOHANAN WAJADIRI NASIONAL

10 Apr

Kejohanan tersebut telah berlangsung dengan jayanya di Kompleks Sukan Negeri Sembilan pada 7 April 2012 yang lalu. Ramai penyertaan ahli-ahli SC dari sekolah dan pusat pengajian tinggi. Ribuan ahli yang hadir telah menjelaskan kemeriahannya. Perjalanan majlis pembukaan adalah kemas. Persembahan pesilat di hadapan perasmi juga menampakkan ketangkasannya. Penonton tentunya berasa puas menyaksikan persembahan tersebut. Hero dan crook dapat bekerjasama menghidupkan gerak persembahan. Pukulan hero dapat disambut dengan gerak jatuhan crook yang hebat. Walau bagaimanapun saya tidak berpeluang mengikuti majlis penutup. Saya ingin ucapkan tahniah pada pihak penganjur yang dipimpin oleh saudara Halim dan barisan jawatankuasanya.

Saya berpeluang menghadirkan diri. Masih ada jemputan lagi rupanya walaupun saya tidak lagi menjawat apa-apa jawatan dalam SC. Nampaknya penglibatan dan pengurnian SC yang saya terima  tempoh masa yang lalu, masih lagi diberi pengiktirafan. Kalau tidak, sudah tentu saya dilupakan dan tidak mungkin dijemput secara rasmi bagi menghadiri majlis tersebut. Itulah salah satu budaya tinggi atau budaya gemilang dalam masyarakat Melayu. Budaya yang tidak pernah melupakan jasa-jasa yang telah diberi atau yang telah disumbangkan oleh orang-orang yang terdahulu. 

Ketika menerima jemputan, saya bertekad untuk hadir ke majlis tersebut. Setelah bersara, masa luang masih ada dan salah satu pengisiannya ialah penglibatan dalam aktiviti SC. Tumpuan saya yang agak ’terputus’ dalam kegiatan dan perkembangan SC, dapat dipulihkan kembali. Tanggal tujuh April saya nantikan dengan harapan dapat bersama dalam aktiviti gemilang tersebut.

Kehadiran saya dapat memberi makna pada diri saya sendiri tentang perkembangan SC setelah dilanda perpecahan. Nampaknya komitmen ahli tetap sama. Segala perancangan dapat dijalankan dengan jayanya. Walaupun ada kedengaran sedikit-sedikit keluhan, itulah asam garam ketika menjalankan aktiviti. ”Tidak terkajang batu sepulau.” Secara keseluruhannya  program pada hari tersebut telah meyakinkan saya betapa SC Ustaz Hanafi yang dipimpin oleh En Mat tetap mantap dan bergerak dengan lancar pada landasan yang betul.

Bilangan ahli yang ramai juga menandakan SC telah kembali pulih walaupun masih ada parutnya. Perjalanan program tersebut menunjukkan SC masih hebat seperti sedia kala. Cuma harapan saya, kita perlu pastikan gejala perpecahan dapat dihindarkan langsung dari melanda silat kita lagi. Program-program mantap dalam kalangan ahli perlu dijalankan dari masa ke masa agar kefahaman serta ketaatan ahli-ahli pada persatuan dan persilatan tetap teguh walaupun dilanda ribut sekali pun. Orang-orang kanan yang ada perlu menyusun strategi bagi maksud yang demikian. Gunakan kepakaran ahli-ahli yang ada untuk memantapkan program kefahaman SC ataupun program motivasi dan sebagainya.

Letakkan kepercayaan kepada ahli-ahli yang berkebolehan untuk menjalankan tugas. Saya yakin dan percaya, mereka yang ada dalam SC dewasa ini adalah terdiri dari mereka yang boleh berdiri teguh pada guru yang ada. Golongan penentang atau golongan pembantah telah lari ke sebelah sana. Mereka yang ada perlu dijaga. Elokkan persilatan dan kefahaman mereka. Beri kepercayaan sepenuhnya kepada mereka. Tidaklah perlu kita berasa was-was hingga sanggup mengekori ahli-ahli melalui ’kaca mata hitamnya’. Hal yang demikian sentiasa diperhati ahli dan tidak menyenangkan mereka. Kalau ahli tidak dipercayai, sesungguhnya kita sendiri telah menghantar isyarat tentang ketidakpercayaan tersebut. Hal yang demikian tentunya akan merosakkan perasaan ahli itu sendiri terhadap pengurusan kepemimpinan SC.

Dari segi persatuan dan persilatan, tentunya suasana yang timbul itu akan menyentuh perasaan kerana mempersoalkan keikhlasan dan ketaatan mereka sebagai ahli yang tersemat dalam hati. Setelah kita berpecah, kita tentu mengetahui baik buruk hati setiap murid yang pernah bersama dengan Guru Utama. Keseluruhannya, mereka yang berhati ’busuk’ telah dinyahkan atau mengenyahkan diri mereka sendiri dari persatuan kita yang ada. Walau bagaimanapun, sebagai murid silat dan sebagai pengikut setia Guru Utama, letakkan kepercayaan penuh pada kebolehan yang ada pada Guru Utama. Yakinlah bahawa beliau berupaya menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapinya. Hal yang demikian adalah kerana peranannya sebagai seorang yang profesional atas tumpuannya sepenuh masa pada persilatan SC, mampu menghadapi segala kemelut yang berkaitan dengan bidangnya.

Menjadi guru bukannya perkara mudah dan tidak boleh main-main. Mana ada konsep pecat-memecat. Ada syarat dan etikanya. Atas kebolehannya yang tertentu, telah membolehkannya menjadi guru. Guru yang sebenar guru; bukannya Guru Persatuan atau Guru Wawasan atau Guru Perasan. Sebenar guru ada mandat dan berasaskan pada hak. Ilmu yang ada akan membolehkannya menghindari diri daripada perbuatan khianat manusia atau benda-benda ghaib. Seperti yang saya tegaskan, kita sebagai murid, letakkan kepercayaan pada kebolehan guru. Jangan ada perasaan was-was atau perasaan ragu-ragu.

Penglibatan saya dalam SC adalah sangat lama. Sejak umur  dua puluhan lagi saya telah berkecimpung dalam SC. Kini umur saya sudah hampir enam puluh tahun. Pada kesempatan program yang dianjurkan itu, tentulah antara lain saya akan mencari-cari sahabat-sahabat lama yang turut berjuang dalam SC. Tidak ramai yang saya jumpa. Ramai yang tidak hadir. Sudah tak larat agaknya. Cuma, saya diberitakan bahawa orang lama yang dikenali sebagai Pak Din Panjang telah meninggal dunia. Terasa sedih di hati.

Terkenang saya kisah-kisah lama ketika saya bersama dengan beliau. Panjang juga ceritanya. Sepanjang pengalaman saya dengannya, beliau adalah seorang yang sentiasa ceria. Tutur katanya lembut dan sering tersenyum apabila bercakap. Saya tidak pernah melihatnya marah. Pengalaman saya dengannya bermula tatkala beliau membantu Ustaz mengajar SC pada para penuntut di Universiti Malaya. Saya kurang rapat ’bersilat’ dengannya. Hal yang demikian kerana perwatakan lembutnya mempengaruhi geraknya bersilat. Ketika itu saya suka bersilat secara kasar dan cepat. Walau bagaimanapun, ketika beliau membuat penerangan, saya tetap memberi perhatian sebagai tanda menghormati tutur katanya.

Hubungan dengannya semakin rapat apabila kami sama-sama menjadi AJK Pusat Persatuan Silat  Cekak. Kalau tak salah saya, beliau memegang peranan sebagai pengurusi biro kebajikan. Dalam mesyuarat, jarang sekali kedengaran suaranya. Apatah lagi untuk berbahas. Sifatnya tenang dan mudah untuk bermesra. Semua kerja yang diberi padanya tetap berjalan seperti yang dirancang.

Hubungan saya dengannya terputus apabila saya balik kampung dan bertugas sebagai guru sekolah. Namun begitu, dari segi persilatan saya telah dilantik sebagai Yang Di Pertua di cawangan. Sesekali, apabila ada aktiviti silat di pusat maka saya akan bersua muka dengannya. Akan tetapi hubungan yang wujud tidak serapat dulu. Tak banyak perkara yang dapat berbincang. Lebih-lebih lagi sifat pendiamnya amat menyukarkan perbualan jika tidak ada perkara penting yang berkenaan. Tambahan pula pada ketika itu saya tidak lagi menjadi AJK Pusat. Oleh itu, kuranglah sebab untuk saya dapat merapatkan diri dengan beliau. Apabila bersua muka, hanya senyuman yang dapat diberi padanya. Berbalas senyum pun boleh dianggap ikatan hubungan sebagai kawan tetap ada.

Setelah pemergian Ustaz, SC dipimpin oleh PA. Nampaknya kepimpinan PA bukan mudah diterima oleh beberapa orang yang pernah menjadi orang kanan dalam persatuan SC semasa Ustaz. Saya pernah menulis tentang hal yang demikian. Ketika kunjungan saya ke ibu pejabat di Jalan Putera, saya pernah ’diculik’ pada satu malam untuk bertemu seseorang. Saya pernah menceritakan betapa orang yang berkenaan menganggap dirinya sahaja yang layak menggantikan Ustaz; bukannya PA. Beliau mengatakan betapa isi SC ada padanya, manakala PA yang diamanahkan sebagai guru hanya memiliki kulit sahaja.

Dalam pertemuan dengan ’guru perasan’ tersebut, saya tersentak apabila Pak Din ada sama. Tak banyak perbualan yang terluang dengannya. Cukup tempoh, saya dihantar balik ke ibu pejabat. Sejak itu saya tidak pernah mendengar berita mengenainya lagi. Hinggalah apabila kita kembali berpecah, saya difahamkan bahawa beliau telah berdiri teguh di belakang En Mat. Namun begitu saya tidak pernah bersua muka dengannya. Hal yang demikian kerana ketika itulah jawatan yang saya sandang menuntut  penglibatan saya dalam SC amat terhad.

Saya berkeyakinan bahawa sokongan padunya yang diberikan kepada guru yang ada adalah atas kepercayaan prinsip hak. Pada saya, hal yang demikian bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Orang-orang lama yang pernah bersama dengan Ustaz sememangnya bersikap demikian. Sikap yang berpegang pada kebenaran dan hak. Kekecualiannya hanyalah pada mereka yang ada kepentingan diri. Setakat itulah pengalaman saya dengan Allahyarham. Semoga Allah meletakkannya di tempat yang tertinggi di sisi-Nya.

Tema perayaan tersebut ialah “Silat Mendaulat Budaya Gemilang.” Saya mencari-cari dalam buku atur cara, kalau-kalau ada kupasan mengenai tema tersebut. Tak jumpa pula. Walau bagaimanapun, tema perayaan SC itu telah menarik perhatian Professor yang merasmikan majlis tersebut. Tema tersebut dikaitkan dengan semangat Melayu yang perlu ada dalam kalangan pengamal SC. Saya tidak dapat mengupas lanjut kerana ketika majlis tersebut, saya duduk bersebelahan dengan seorang orang kanan SC yang sangat peramah. Maka kenalah saya melayan sifat peramahnya itu. Oleh itu, elok juga saya mengupas tema berkenaan berdasarkan pandangan saya sendiri.

Saya yakin bahawa perkataan silat yang dimaksudkan dalam tema berkenaan adalah merujuk kepada SC. Hal yang demikian kerana secara bandingan dengan silat-silat lain, pada kesimpulan saya, SC sahaja yang berkemampuan untuk mendaulatkan budaya gemilang. Itu sebabnya saya selalu meletakkan kepercayaan akan konsep yang pernah diketengahkan Ustaz bahawa SC adalah silat akhir zaman. Tidak ada lagi silat baru yang sehebat SC.

Perkataan mendaulat ada kaitan dengan konsep peneraju mutlak. Mendaulat juga bermakna membenarkan dan mengesahkan sesuatu konsep atau prinsip itu. Saya yakin, apabila kita memperkatakan tentang Budaya Gemilang, pasti kita merujuk kepada budaya tinggi dan budaya halus yang ada pada masyakat atau bangsa Melayu. Oleh itu, pihak yang berupaya untuk mempastikan budaya tinggi dan budaya halus yang menjadi amalan masyarakat kita dipertahankan, adalah juga terletak pada SC.

Budaya Tinggi dan Budaya Halus adalah merupakan satu bentuk budaya kita yang amat gemilang. Budaya tersebut merangkumi ketinggian budi pekerti mereka yang mengamalkannya. Dalam budaya ini juga adat dan adab tinggi serta halus menjadi amalan biasa. Tentunya adat dan adab itu bersesuaian dengan kehendak agama kita.  Oleh itu, dalam konteks bangsa, SC juga berperanan bagi memastikan budaya tinggi dan budaya halus itu dipertahankan. Prinsip mempertahan budaya itulah menjadikan SC berupaya mendaulatkan budaya gemilang bangsa kita. Hal yang demikian kerana amalan budaya gemilang itu telah menjadi amalan harian ahli-ahli kita. Sepatutnya.

Dalam konteks SC, budaya gemilang tentunya merujuk pada adat dan adab kita  dalam persilatan. Saya pernah menyentuh tajuk ini dalam tulisan-tulisan  yang lalu. Mereka yang mengamalkan budaya gemilang dalam SC, tentunya berpegang teguh pada prinsip, ”di mana bumi dipijak maka di situlah langit dijunjung.” Prinsip berterima kasih tetap tersemat di hati.

Dalam persilatan SC, jika kita fahami maksud perjuangan menyebarkan Pusaka Hanafi, sekurang-kurang kita berterima kasih kepada Guru Utama yang sanggup memegang amanah tugasan tersebut. Usaha-usahanya sepatutnya sentiasa disokong dan diberi sanjungan. Mana mungkin berlaku tragedi yang berakhir dengan penentangan ke atasnya melainkan jika budaya busuk yang diamalkan. Busuk kerana kepentingan diri.

Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 10/04/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: