RSS

32.1 LATIH KEBOLEHAN PENGIKUT II

08 Apr

Ketika zaman Ustaz, ramai dalam kalangan ahli yang hebat-hebat dalam persilatan tapi tidak dijadikan Jurulatih. Sudah tentu ada alasannya. Sekurang-kurangnya, mereka hebat untuk diri sendiri tapi tidak berupaya untuk menyebarkan ilmu yang ada pada diri mereka untuk menghebatkan orang lain. Hal yang demikian mungkin kelemahan mereka berkomunikasi atau ketangkasan bersilat yang tidak boleh disesuaikan dengan kehendak penuntut yang sedang belajar silat. Boleh membuat gerakan hebat tapi tidak boleh menterjemahkan gerak itu dalam bahasa lisan.

Di cawangan saya pun terdapat persilat yang ’hebat’ bersilat tapi hanya untuk diri sendiri sahaja. Buat serangan atau tunggulah serangan, semuanya boleh dikuasai oleh pesilat berkenaan. Gerak mereka memperlihatkan ketangkasan dan kemantapan. Walau bagaimanapun, mereka tidak dapat memandu penuntut yang baru belajar untuk menguasai kebolehan seperti diri mereka. Sifat mereka cepat marah apabila para penuntut gagal melakukan gerak seperti mereka. Oleh itu, mereka ini saya tidak syorkan jadi Jurulatih. Kalau jadi Jurulatih, alamat ramai penuntut yang lari.

Para pengikut juga mesti berupaya membangunkan dirinya di samping membangunkan diri orang lain. Ilmu yang disampaikannya boleh digunakan untuk menerangkan pada rakan-rakannya. Misalnya ilmu persilatan itu sendiri. Mereka berupaya menguasai persilatan tersebut di samping memandu rakan-rakan mereka yang lemah  atau lembab untuk menguasai gerak yang diajar. Hal yang demikian akan dapat membantu para Jurulatih yang mengendalikan kelas. Walau bagaimanapun, kita tetap berhati-hati dengan peranan mereka tersebut. Kita risau dalam keadaan membantu rakan-rakan, diri sendiri akan ’tercicir’ kerana kurang berlatih.

Di samping itu, kita pastikan para pengikut kita sama ada orang-orang kanan kita atau ahli-ahli yang lain sentiasa yakin dan berusaha dengan sepenuhnya dalam menjalankan satu-satu tugas persatuan dan persilatan. Elakkan diri mereka daripada dibebani perasaan TAKUT  untuk menjalankan tugas. TAKUT yang timbul adalah kerana:

i…..kerana takut gagal. Pada hal belajarlah melalui kesilapan yang dilakukan. Sekali gagal tidak semestinya akan berterusan menemui kegagalan. Perkara pentingnya ialah bersedia menerima teguran dan bersedia untuk melakukan perubahan. Buangkan sifat ego diri yang melampau dan sifat panas baran.

ii…..kalau-kalau sesuatu itu tidak dapat dikotakan dan umpama hangat-hangat tahi ayam. Yakinkan pada diri yang dapat melakukan sesuatu. Yakinkan pada Tuhan yang menjadikan semuanya. Usahakanlah seolah-olah akan menermui kejayaan. Jika gagal juga, maka itu adalah kehendak Tuhan.

iii…..kerana belum bersedia atau kerana tidak cukup ilmu. Bergeraklah dengan apa yang ada pada diri. Sentiasalah rujuk pada mereka yang lebih ilmunya dan lebih pengalamannya dalam persilatan dan persatuan. Yang pentingnya ialah buang sifat ego.

 iv…..takut membuat keputusan yang salah. Selalu saya katakan betapa kita perlu belajar dari kesilapan yang kita lakukan.

v…..takut membuat sesuatu perancangan atau takut mengemukakan pandangan atau pendapat semata-mata kerana takut kepada penolakan. Mereka takut akan dipulaukan. Perkara yang pentingnya ialah keikhlasan menjalankan kerja atau menyuarakan pendapat.

         Saya sangat bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa takut gagal itu adalah lebih buruk dari kegagalan yang dialaminya. Hal ini demikian kerana gagal yang sebenarnya ialah kerana tak mencuba langsung.

Oleh itu, JANGAN BERHENTI :

–      Bila sesuatu kesilapan berlaku.

–      Bila jalan diikuti kelihatan sukar

–      Bila mahu tersenyum tapi terpaksa mengeluh.

–      Bila kerungsingan menekan…JANGAN BERHENTI.

Berehatlah seketika…

Tetapi jangan berhenti.

Kehidupan aneh,

Dengan liku dan simpangnya,

Kita pelajari atas banyak kegagalan yang terjadi.

Bila hampir menang…hadapi kesulitan.

Jangan mengaku kalah, walau langkahnya nampak lambat.

”Anda mungkin berjaya.”

”Jangan berhenti ketika anda kelihatan paling buruk.”

Teruskan usaha kita mengembangkan SC selagi bergerak  dua kaki dan dua tangan. Itupun kalau tak disingkir. Sekian untuk tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 08/04/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: