RSS

32.0 LATIH KEBOLEHAN PENGIKUT

05 Apr

Kalau kita sahaja yang bergerak secara luar biasa tentulah tidak memadai, melainkan kita juga perlu mempastikan para pengikut kita yang merupakan ahli-ahli di cawangan juga bersifat luar biasa dalam kerja-kerja mereka. Hal yang demikian jika berlaku, barulah konsep gerabak keretapi yang mengikut kepalanya selaju bergerak, akan berlaku. Jika tidak, kepimpinan mantap akan lebih berada dalam suasana impian dan angan-angan dek kerana sokongan ahli yang lain tidak setimpal dengan kehendak pemimpinnya.

Kita telah ada pengalaman apabila persatuan yang ditinggalkan tidak dapat dipimpin seperti sebelumnya. Aspek kepemimpinan dan pengurusan persatuan amat lemah. Akibatnya, persatuan menjadi porak peranda. Ketrampilan ahli-ahli terutamanya orang-orang kanan persatuan yang berkalibar telah tidak dapat dikawal lagi dengan sempurna. Ahli-ahli yang berwibawa tidak lagi berwibawa untuk memimpin persatuan, sebaliknya mereka mulai nampak ada ruang bagi mempengaruhi ahli-ahli lain untuk kepentingan diri sendiri.

Bagi menghindari agar perkara yang sama tidak mungkin berulang, langkah-langkah jitu perlu dilakukan. Barisan pelapis dari aspek kepimpinan perlu diwujudkan. Latihlah mereka seperti mana yang kita kehendaki. Pastinya kehebatan mereka itu sekurang-kurangnya menyamai dengan barisan kepimpinan yang ada. Hal yang demikian akan dapat mempastikan wujudnya kesinambungan kepemimpinan dan pengurusan dalam persatuan dan persilatan. Saya yakin saranan saya itu boleh dijadikan salah satu usaha bagi mempastikan kecemerlangan SC akan terus berkekalan sepanjang wujudnya dunia ini.

Saya tetap menaruh keyakinan bahawa setiap individu itu ada potensi diri yang boleh dikembangkan mengikut hala tuju yang terbentuk. Kadang kala potensi yang mereka ada melebihi daripada kebolehan kita. Cuma, mereka mungkin kurang peluang untuk menonjolkan bakat mereka yang sedia ada. Dalam konteks persatuan dan persilatan SC, umur mereka yang muda menyebabkan mereka sentiasa aktif untuk memajukan persatuan dan persilatan. Oleh itu, betapa pentingnya kita membentuk pelakuan mereka dalam SC adalah sesuatu yang sangat perlu. Sudah tentu kita berkehendakkan mereka sentiasa proaktif dan bersedia menjalankan tugas. Jadikan mereka bersifat jangan buat apa yang disuruh sahaja atau sebagai seorang yang mahu membuat apa yang disuruh sahaja. Tidak bersifat ,”Bagai pahat dengan pemukul.”

Setiap kejayaan yang kita peroleh, jadikan satu kepuasan yang dimiliki bersama. Jadikan kejayaan itu sebagai satu landasan untuk kejayaan-kejayaan seterusnya. Kejayaan akan melahirkan kegembiraan. Apabila kejayaan dapat dikongsi bersama, bermakna semua orang akan gembira. Oleh itu, jangan melihat apa yang telah diusahakan tapi lihat apa yang belum diusahakan atau diselesaikan. Kejayaan yang dicapai tidak perlu diulang-ulang sebutannya kerana semua pihak telah merainya bersama. Kita mungkin ada pengalaman betapa mereka yang bersama-sama menonton filem yang sama, asyik bercerita isi kandungan filem berkenaan dari masa ke masa. Asyik, tapi membuang masa. Tanamkan di hati para pengikut kita betapa orang yang hebat sentiasa melihat apa yang ada di hadapan. ”What next.” Mereka jarang sangat menoleh ke belakang untuk mengenang kembali kejayaan dalam dunia separuh sedar. Kenyataannya ialah apa yang ada sekarang dan apa perancangan seterusnya.

Melakukan pekerjaan kadang kala kita berasa jemu. Oleh itu, kita perlu mengelakkan hal yang demikian daripada berlaku pada para pengikut kita sendiri. Pupuk minat yang mendalam di hati mereka tatkala melakukan satu-satu kerja. Kerja yang dibuat jadikan hobi. Hobi ada kaitannya dengan minat. Kalau sudah berminat, pasti kita akan berkorban apa saja untuk melayani minat kita itu. Saya pernah misalkan pada orang yang minat bermain golf, minat memancing dan minat pada bola sepak.

Minat juga akan menggerakkan minda kita supaya sentiasa proaktif. Sifat negatif akan kerap kali terhindar dari pemikiran mereka. Dalam tulisan terdahulu, saya telah tegaskan betapa sifat proaktif akan menjadikan diri kita sentiasa membangun. Hal yang demikian akan mendatangkan faedah yang besar demi keteguhan persatuan yang kita pimpin. Dalam persatuan, kita boleh rasakan betapa kerja-kerja persatuan dan persilatan mudah dirancang dan mudah untuk dilaksanakan. Ahli-ahli kita yang demikian akan menjadi pengikut setia yang sentiasa memikirkan kemajuan persatuan dan persilatan. Mereka tidak mempunyai masa untuk bersifat khianat atau menyusun strategi memusnahkan persatuan atau persilatan demi kepentingan diri.

Untuk menjadikan para pengikut kita bersifat luar biasa, seperti biasa saranan saya, galakkan para pengikut kita itu menambahkan ilmu persilatan dan ilmu pengurusan persatuan. Hal yang demikian boleh dilakukan sama ada melalui pembacaan dari buku-buku yang berkaitan atau melalui laman sesawang. Akan tetapi, kebolehan menggunakian komputer perlu ada. Dalam tulisan terdahulu, saya selalu menekankan aspek ini, bukan setakat para pengikut kita, malah diri kita sendiri perlu bertambah pengetahuan dan pengalaman dari masa ke masa. Buangkan sifat ego atas kebolehan diri. Sebagai manusia, kita tetap lemah dan sentiasa kekurangan ilmu. Berdampinglah dengan orang-orang yang berilmu supaya minat kita untuk mendapatkan ilmu akan segar sepanjang masa.

Bagi menambahkan pengalaman para pengikut kita, berilah mereka pengalaman dalam persilatan. Libatkan mereka dalam persembahan atau pertunjukan silat. Majlis-majlis silat yang  melibatkan masyarakat, maka libatkan para pengikut kita seberapa banyak yang boleh. Misalnya, perayaan hari kemerdekaan atau lain-lain majlis. Hal yang demikian akan meluaskan pemikiran mereka. Di samping itu libatkan mereka dalam sebarang aktiviti persatuan dengan cara memberi mereka tanggungjawab dalam struktur aktiviti tersebut. Tanggungjawab yang dipikul akan menjadikan mereka mengalami lebih luas pemikiran dan pengalaman. Hal yang demikian akan membantu mereka menjadi para pengikut yang bersikap luar dari kebiasaan. Sudah tentulah perkara itu akan banyak membantu perjalanan persatuan kita supaya persatuan kita itu menjadi mantap secara berterusan.

Perkara penting ialah kita berjaya menaikkan semangat atau nafsu untuk kemenjadian sesuatu yang dilakukan.  ”Di mana ada kemahuan maka di situ ada kejayaan”.  Nafsu untuk kemenjadian sesuatu akan menaikkan aura seseorang itu untuk terus menerus berusaha bagi memajukan persatuan dan persilatan. Saya yakin, jika para pengikut kita sentiasa bersemangat, mereka juga akan dapat melakukan sesuatu yang luar biasa. Keluarbiasaan inilah yang akan menjadikan cawangan kita hebat dan dikenali sebagai persatuan yang mantap.

Saya pernah menegaskan betapa pentingnya ahli-ahli cawangan kita, sama ada diri kita sebagai ketua atau pemimpin atau Jurulatih dan para pengikut kita  yang menggerakkan persatuan dan persilatan, diumpamakan sebagai air mutlak. Air ini berkonsepkan diri seseorang yang  dapat dibangunkan di samping dapat membangunkan diri orang lain. Saya pernah menegaskan dalam tulisan terdahulu betapa seseorang Jurulatih itu perlu berupaya meningkatkan kebolehannya dari masa ke masa. Di samping itu, mereka juga berupaya meningkatkan kebolehan orang lain. Peranan mereka bukanlah umpama lilin yang asyik menyinari alam sekeliling dalam keadaan membakar diri.  Sebaliknya, ketika membangunkan diri orang lain, kebolehan mereka semakin bertambah dari masa ke masa. Sambung.

 
Leave a comment

Posted by on 05/04/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: