RSS

31.0 KEMUNCULAN CEKAK YANG LUAR BIASA

01 Apr

Pada tahun-tahun tujuh puluhan, kemunculan SC semacam tidak boleh ditahan-tahan. Perkembangannya semakin meluas dari masa ke masa. Pusat-pusat pengajian tinggi mulai ditembusi satu demi satu. Penubuhan cawangan di setiap negeri semakin mantap. Nama Cekak telah menjadi sebutan ramai. Majlis-majlis rasmi pasti akan melibatkan persembahan dari SC.

Ketika itu, perkembangan silat lain semakin malap. Kemasyhuran mereka mula dilupakan dan mula diketepikan. Ada yang menganggap bahawa munculnya SC maka silat-silat lain akan mulai malap. Hinggakan ada yang berani dan tegas membuat kesimpulan  tentang kemunculan SC bahawa apabila tertegak yang hak maka yang bathil dengan sendirinya akan terbatal. Banyak buktinya ketika itu betapa di mana saja SC bertapak maka silat asal yang sedia ada di situ akan mulai malap dan sedikit demi sedikit ‘ghaib’ dari tempat berkenaan.

Berdasarkan perkembangan yang wujud itulah ramai yang tertarik dengan kenyataan Ustaz apabila dikatakan Silat Cekak sebagai silat akhir zaman. Tidak ada silat lain yang boleh mengatasi keluarbiasaan yang ada pada SC lagi. Begitulah yakinnya ahli-ahli SC pada kehebatan dan keaslian yang ada pada SC. Nampaknya kenyataan itu semakin pudar disebut dewasa ini.

Kemunculan SC dan kelembapan silat-slat Melayu yang lain  telah menjadi satu kepastian ketika itu. “Berita Cekak” bilangan tujuh tahun 1978 telah mengulas suasana yang wujud ketika itu. Saya petik artikal dari Sidang Pengarang Berita Cekak berkenaan. (Saya tak membetulkan sangat bahasa yang silap):

 LIDAH PENGARANG BERITA CEKAK… Bil:7/78

               “Sejak kebelakangan ini didapati perkembangan silat di seluruh tanah air kian menurun. Rasanya ramai yang masih ingat di suatu masa dahulu terdapat persaingan hebat di kalangan penganjur-penganjur silat di dalam usaha untuk mendapat tempat di kalangan masyarakat. Di sana sini terdapat pertunjukan-pertunjukan silat, gelanggang-gelanggang silat juga muncul bertaburan di merata-rata tempat. Berbagai ragam kempen dijalankan hingga menyebabkan isu silat cukup hangat diperkatakan di ketika itu.

            Yang paling hebat, surat-surat khabar, majalah-majalah  menjadi sasaran utama dan gelanggang perdebatan yang sungguh hangat. Hingga telah menjadi satu punca pertama masyarakat umum ingin mengambil berat terhadap perkembangan silat di negara ini. Tidak kurang juga yang menceburkan diri di dalam berbagai kegiatan silat tanpa memikirkan lebih mendalam sama ada silat yang dipelajarinya itu mempunyai asas keugamaan atau pun merupakan silat yang benar-benar menyakinkan keasliannya.

          Dari tinjauan yang dilakukan didapati banyak silat-silat Melayu yang dulunya hebat dan teragung namanya mendakwa mempunyai ribuan penuntut sudah jarang kedengaran lagi tentang kegiatan yang dijalankan, sama ada sudah lenyap terus atau hanya menanti untuk padam. Nampaknya perkembangan silat di tanah air dilakukan tidak secara berterusan, hanya bergiat berdasarkan keadaan-keadaan tertentu sahaja. Dalam hubungan ini matlamat dan tujuan sesuatu silat itu dikembangkan menjadi suatu ukuran yang paling utama. Kemajuan yang dicapai adalah berdasarkan kepada matlamat pergerakan. Memang tidak dapat dinafikan banyak badan-badan silat ditubuhkan semata-mata hanya kerana iri hati melihat silat-silat lain maju, sebab-sebab politik dan mungkin kerana untuk mendapat keuntungan yang lumayan. Tujuan untuk mendaulatkan kembali silat melayu adalah terlalu kurang sekali.

           Mungkin sedikit sahaja orang menyedari bahawa untuk menggerakkan sesuatu kegiatan silat bukanlah merupakan suatu perkara yang mudah, sekadar mempunyai modal silat sahaja tidak mencukupi untuk menghadapi berbagai ragam manusia di zaman ini. Seseorang pendukung silat perlulah bijaksana di samping mempunyai berbagai kebolehan, ini termasuklah pengetahuan silat yang benar-benar lengkap, fahaman keugamaan yang mendalam, ilmu psaikologi dan pendidikan dan juga mempunyai pendirian tertentu yang tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana gulungan. Perkara seperti ini memang sukar sekali didapati dari pendukung-pendukung silat tanah air, kalau ada pun hanya seorang dua sahaja.

        Bagi mencapai kejayaan sesuatu silat yang didukung tumpuan sepenuhnya juga perlu diberikan. Setiap masa fikiran perlu ditumpukan khas kepada kegiatan silat sahaja tanpa memberi perhatian yang serius pada perkara-perkara lain. Dengan tegas dapat dikatakan bahawa silat perlu dijadikan satu profession, maksudnya tidak melakukan kerja-kerja lain selain dari silat.

         Organisasi persatuan yang dianggotai oleh ribuan ahli memerlukan suatu susunan yang rapi dan setiap tenaga pengajar perlu mempunyai kecekapan dan semangat yang waja demi untuk mengekalkan keutuhan silat yang dibawanya.

Gejala-gejala yang dinyatakan ini memang kurang terdapat di kalangan silat-silat melayu ditanah air ini. Kekurangan ini menjadi faktur utama mengapa banyak silat-silat melayu tidak terus dapat dikembangkan di samping tidak mempunyai bantuan yang cukup dari pihak-pihak tertentu. Dalam hubungan ini PSSCM mahukan supaya kegiatan silat Melayu yang benar-benar asli terus dijalankan dengan rancak agar hasrat Kementerian Kebudayaan Belia & Sukan untuk menubuhkan Majlis Silat Negara akan dapat dicapai dengan segera demi kebaikan silat Melayu untuk masa akan datang.

           Mungkin ramai yang masih ingat tentang lawatan PERISI(Persekutuan Silat Singapura) ke persatuan ini tidak berapa lama dahulu. Dari pandangan yang diberikan delegasi tersebut telah memperlihatkan minat yang lebih terhadap perkembangan Persatuan Silat Cekak Malaysia dewasa ini. Walaupun sebelum ini mereka tidak pernah mendengar perkataan Cekak wujud diKuala Lumpur, tapi mereka kagum dengan apa yang telah dan dilakukan oleh Persatuan ini. Dengan lain-lain perkataan Persatuan ini telah dapat menaikkan imej silat Melayu kepada pelawat-pelawat luar negeri.”

Ketika itu SC berkembang serius atas usaha-usaha untuk mempastikan masyarakat Melayu menerima silat. SC berkehendakkan agar masyarakat kita berbangga dengan kehebatan silat yang ada. Tentunya silat itu ialah Silat Cekak. Sesungguhnya hasrat itu semakin lama semakin tercapai. Keahlian SC semakin bertambah walaupun Ustaz tidak pernah menyatakan bilangannya.

Kehebatan SC itu secara langsung adalah kerana SC dipimpin oleh seorang tokoh yang luar biasa sifatnya. Ustaz Hanafi adalah seorang yang sangat berwibawa. Ketokohannya berupaya membawa SC di persada kemasyhuran.  SC itu sendiri adalah luar biasa dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Sekali telah belajar SC, terasa tawar untuk belajar silat yang lain. Itu sebabnya, walaupun ada yang bertentangan pendapat dengan Ustaz namun tentang SC, mereka tidak akan menolak kehebatannya.

Akhirnya, kemasyhuran SC juga telah mengalami nasib yang sama dengan Silat Gayung. Pepecahan adalah merupakan faktor utama memalapkan satu-satu pertubuhan silat. Nampaknya barisan tertinggi SC tidak mahu mengenal sejarah. Buta Kayu.

Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 01/04/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: