RSS

30.3 KELUARBIASAAN IV

26 Mar

Pada awal penubuhan cawangan di negeri-negeri, saya sendiri dapat lihat betapa barisan kepimpinanya yang bekerja secara extra telah menjadikan persatuan tersebut kukuh dan bergiat aktif. Saya tidak ingin memuji persatuan di cawangan saya sendiri. Mengambil contoh kepimpinan di cawangan Pulau Pinang, telah menampakkan situasi tersebut. Persatuan yang dipimpin oleh En Abu Hamid, telah berkembang aktif setiap masa. Aktiviti-aktiviti yang dirancang  melibatkan juga aspek memantapkan kewangan persatuan. Saya sering dijemput untuk melibatkan diri dalam program yang dirancang. Hinggakan ada antara program tersebut dijadikan contoh bagi dilaksanakan di cawangan saya. Itulah hasil pemikiran extra yang dimiliki oleh kepimpinan yang diterajui oleh En Abu bagi memantapkan cawangannya.

Extra ketiga yang perlu ada pada barisan kepemimpinan ialah sifat extra dalam kemudahlenturan. Orang yang memiliki sifat yang mudah lentur adalah mereka yang boleh bersifat menurut situasi. Ada kalanya seseorang itu menunjukkan sifat sukanya, sifat bencinya atau sifat marahnya. Tidaklah seseorang itu mengamalkan sifat marah yang berterusan. Orang yang bersifat marah, selalunya bersifat panas baran. 

Janganlah kita bersifat panas baran. Orang yang panas baran biasanya akan diakhiri dengan perasaan malu dan rasa kecewa. Kita perlu ingat bahawa kerja-kerja dalam persatuan dan persilatan SC adalah diasaskan pada prinsip sukarela. Perkataan sukarela memberi gambaran betapa penglibatan seseorang dalam persatuan adalah bercirikan sifat minat dan tanpa sebarang paksaan.

Saya masih ingat lagi betapa Ustaz tidak pernah memarahi para Jurulatih yang ‘tuang’ kelas.  Ketidakhadiran mereka akan dipikul oleh Ustaz sendiri. Saya pernah ceritakan betapa Ustaz mengajak saya mengajar kelas silat yang tidak ada Jurulatih. Maka terpaksalah saya mengendalikan kelas berkenaan di hadapan Ustaz sendiri. Satu segi berasa kekok, tapi dari segi yang lain hal yang demikian menambahkan pengalaman saya mengendalikan kelas di hadapan orang yang tersangat hebat.

Kalau dalam persatuan silat, saya rasa jika gurunya seorang sahaja yang bersifat panas baran, mungkin tidak mendatangkan banyak masalah. Kadang kala sifat berkenaan amat dihargai dan menjadi kebanggaan pada anak muridnya. Sifat tersebut tidak ditafsirkan sebagai sifat panas baran, sebaliknya merupakan satu sifat penegasan, pengajaran dan satu bentuk teguran bagi mengelakkan kesilapan yang berterusan.

Ustaz kerap kali memperlihatkan ketegasannya dalam kelas silat. Sepanjang pengalaman saya bersamanya, ketika Ustaz mengendalikan kelas silat berbentuk kemahiran atau menghadiri kelas-kelas latihan silat, sering memperlihatklan watak tegasnya. Suaranya menjadi tinggi jika ada yang membuat kesilapan gerak yang tidak boleh dimaafkan. Saya pernah melihat Ustaz ‘meranting’ kaki pesilat yang tidak sepatutnya bergerak ketika mengambil buah.

Ketika kelas-kelas potong dan penamat, waktu majlis ijazah juga menjadi suatu majlis yang boleh menimbulkan ketegangan. Penyelia kelas berasa risau jika ada sesuatu yang tidak kena. Misalnya, pisau potong limau yang tidak tajam, bilangan limau atau kain putih yang tidak mencukupi atau bilangan ahli yang tamat tidak seperti yang dinyatakan. Walaupun Ustaz pernah menegur atas kesilapan yang dilakukan, mungkin ketegangan hanya berlaku ketika itu. Selepas peristiwa tersebut, masing-masing akan berhati-hati. Secara langsung majlis potong atau tamat akan dapat dilangsungkan dengan kemas dan dengan jayanya tanpa ada cacat celanya.

Namun begitu apabila orang lain cuba bersifat demikian dengan meniru gaya Ustaz, akan mendatangkan banyak masalah. Saya ada pengalaman yang berkaitan dengan sifat tersebut di zaman Ustaz lagi. Beliau adalah merupakan timbalan kepada Ustaz.  Pengalaman dan kebolehannya bersilat tidak boleh diragukan. Namun begitu, sifatnya yang cuba meniru seratus peratus sifat Ustaz telah mendatangkan bala kepada dirinya sendiri. Saya pernah mengajar silat bersamanya dalam satu kumpulan. Kalau Ustaz hanya ‘memukul’ kaki yang silap dengan ranting pokok, tapi  orang yang berkenaan bertindak terus apabila anak murid silatnya melakukan kesilapan. Kerap kali anak didiknya dikenakan penampar. Walaupun penampar yang dikenakan masih dalam gerak silat, tapi lama-kelamaan perbuatan tersebut tidak dapat diterima oleh ahli. Akhirnya terpaksalah beliau tersingkir dari persatuan. Salah satu alasan penyingkirannya.

Walau bagaimanapun, pemikiran Ustaz masih lagi berstrategik. Penyingkairan ahli berkenaan adalah berdasarkan kehendak dan proses persatuan. Dari segi persilatan, hubungannya dengan Ustaz masih berkekalan. Malah, beliau turut sama bersama Ustaz mengerjakan haji. Pada saya, kita boleh nampak betapa Ustaz dapat membezakan antara peraturan persatuan dengan adab persilatan. Malangnya konsep itu tidak terpakai sekarang. Kalau berlainan persatuan maka putuslah hubungan dalam persilatan walaupun mendakwa sama-sama mempusakai dan memperjuangkan pusaka Hanafi. Saya tidak hendak membuat komen panjang lebar dalam tulisan ini. Walau bagaimanapun, saya masih lagi menggunakan istilah persatuan dan persilatan.

Jelas kepada kita betapa sifat panas baran biarlah bertempat. Di sinilah peranan komunikasi mesra amat diperlukan antara sesame ahli dalam satu-satu persatuan. Komunikasi yang mesra akan menjadi pendorong kepada orang lain untuk bergerak dengan lebih pantas. Sifat panas baran akan menyebabkan tekanan pada ahli-ahli yang sedang belajar. Jika mereka ‘tidak tahan’ ada yang meninggalkan kelas silat sekerat jalan. Mereka yang ‘tahan’ akan terus belajar hingga tamat. Apabila tamat maka mereka pun menghilangkan diri.

Dalam tulisan-tulisan yang terdahulu, saya telah banyak menyentuh segi pentadbiran dan pengurusan serta kepemimpinan dalam persatuan dan persilatan. Tulisan-tulisan tersebut adalah merupakan panduan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya memimpin satu-satu organisasi atau persatuan. Kebolehan memimpin dan mengurus tidak terhad pada teori sahaja. Kenyataan sebenarnya hanya akan diperoleh apabila kita benar-benar memainkan peranan sebagai pengurus dan pemimpin persatuan.

Sesungguhnya, kebolehan mengurus dan memimpin akan dipengaruhi oleh sifat atau peribadi kita sendiri. Keperibadian seseorang ada kaitan dengan minat dan kesungguhannya menjalankan tugas. Kesungguhan dan minat itu banyak dipengaruhi oleh sifat-sifat luar biasanya. Saya telah membincangkan betapa pentingnya konsep keluarbiasaan dalam tiga situasi yang berbeza. Bidang-bidang tersebut akan mendatangkan kesan yang mantap jika diringi dengan kerja-kerja atau usaha-usaha yang bersifat extra. Perbuatan extra memberi kesan pada pelakuan yang luar biasa. Keluarbiasaan itulah yang menjadikan satu-satu pertubuhan atau persatuan itu berkembang dengan hebatnya, luar biasa dari keadaan sebenarnya.

Saya telah membincangkan aspek extra dalam tenaga, pemikiran dan sifat kita yang perlu mudah lentur. Jangan baran-baran. Ketiga-tiga extra itu perlulah bersepadu. Saya yakin. jika kita mengamalkan sifat-sifat tersebut, akan menjadikan kita hebat dalam semua bidang yang kita ceburi. Secara langsung, persatuan silat kita akan menjadi lebih hebat dan akan terus terjulang berbanding dengan persatuan silat  yang lain dan sama saingnya.

Sekian tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 26/03/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: