RSS

30.2 KELUARBIASAAN III

24 Mar

Di peringkat kebangsaan, silat yang mungkin bersaing sempurna dengan Gayung ialah silat Lincah. Geraknya lebih kurang sama dengan Gayung. Kemasyhuran silat itu masih bertahan. Namun begitu, sampai bila. Setakat pengetahuan saya, mereka masih mempunyai kelebihan kerana mempunyai guru yang sama dari dulu hingga sekarang. Itu juga adalah keluarbiasaan yang ada pada mereka. Kemungkinan besar sejarah akan menentukan kehebatan mereka apabila guru mereka telah tiada. Sama ada kehebatan mereka akan berterusan atau mereka juga akan berpecah belah, sama-samalah kita saksikan nanti.

Ada satu lagi jenis silat yang popular ketika itu di peringkat kebangsaan. Silat itu ialah Gayung Fatani. Walaupun silat tersebut tidak menampakkan keluarbiasaan pada pergerakan silatnya, tapi pada pandangan saya, kepimpinannya yang luar biasa telah berjaya mengangkat silat tersebut ke peringkat kebangsaan. Silat tersebut telah bergerak dan  berkembang luas di seluruh tanah air kita.

Jelas terbukti pada saya betapa perbezaaan antara sesuatu yang biasa dengan sesuatu yang luar biasa ialah keluarbiasaannya. Dari segi persilatan, keluarbiasaan SC  tidak boleh dinafikan lagi. Keluarbiasaan itu memperlihatkan kehebatannya.  Saya yakin betapa kehebatan SC akan berterusan sepanjang masa. Cuma, ketika ini dari segi pentadbiran dan pengurusan persatuannya, perlu diperlihatkan keluarbiasaannya. Keluarbiasaan dalam pengurusan persatuan akan memberi sumbangan besar pada kehebatan persilatannya.

Persatuan adalah dipimpin oleh manusia dalam struktur organisasinya. Saya telah banyak kali menyentuh aspek pengurusan dan kepimpinan dalam persatuan. Saya menaruh keyakinan bahawa untuk memajukan persatuan, sifat luar dari kebiasaan mestilah ada dalam kalangan kepimpinannya. Keluarbiasaan itu adalah merupakan sesuatu yang ’extra’. The difference between ordinary person and extra  ordinary person is an extra”.

        Kita mesti menaruh keyakinan bahawa sebarang usaha yang bersifat ‘Extra-Ordinary’ akan menghasilkan pencapaian yang juga bersifat ‘Extra-Ordinary’. Saya rasa, contohnya telah ada. Silat yang biasa sahaja, tapi pengurusan persatuannya berada di bawah kepimpinan yang luar biasa, menjadikan persilatan itu masyhur  juga di peringkat nasional. Ramai pengikut dan ahli-ahli yang menceburi persilatan berkenaan. Oleh itu dari segi organisasi, tidak salah kita mencontohi sesuatu yang baik dan boleh dijadikan teladan.

Prinsip ‘extra’ bermakna melebihi apa-apa pun dari situasi biasa. Kelebihan itu memberi makna buat sesuatu yang lebih baik dari ukuran yang biasa dilakukan oleh orang lain dan diri kita sendiri. Kalau biasanya rang lain termasuk kita sendiri ke pejabat pada pukul tujuh pagi, maka kalau datang pada pukul enam setengah pagi dan dijadikan amalan dan kebiasaan, akan memperlihatkan tindakan kita itu sebagai luar dari kebiasaan. Pastinya perbuatan tersebut mendatangkan banyak kebaikan. Sekurang-kurangnya kita dapat elakkan diri dari kesesakan jalan raya. Walau bagaimanapun, perbuatan kita itu  memerlukan pengorbanan diri supaya perubahan yang dilakukan itu berkesan dan tidak mendatangkan masalah pada orang lain. Oleh itu, ‘extra’ yang kita lakukan itu perlu atas keyakinan tinggi dan benar-benar dapat mendatangkan hasil yang positif pada diri kita dan pada organisasi yang kita pimpin serta tidak memudaratkan orang lain.

Berdasarkan pengalaman saya memimpin cawangan, kerja-kerja tersebut bukanlah satu kerja yang senang. Banyak tanggungjawabnya dan banyak cabarannya juga. Pada peringkat awal perkembangan SC sama ada di peringkat pusat mahupun di peringkat cawangan, penerimaan masyarakat bukannya semudah sekarang. Ramai yang dengki dan khianat bagi menyekat perkembangan SC. Cabaran yang sedemikian menjadikan komitmen kita pada persatuan bagitu tinggi bagi mempastikan perkembangannya rancak dan meluas. Kadang kala kita terpaksa menyisihkan keperluan anak dan isteri sendiri. Apatah lagi kehendak keluarga yang sering diketepikan. Semuanya dilakukan demi memajukan persatuan dan persilatan.

Akhirnya kita berjaya menjadi sebuah organisasi yang kuat. Sambutan masyarakat begitu hebat sekali. Kita berjaya menembusi pusat-pusat pengajian tinggi. Cawangan yang dibuka adalah hampir pada semua negeri. Sambutan masyarakat mula menampakkan riaknya dari masa ke masa. Bilangan ahli semakin bertambah walaupun kita merahsiakan bilangannya. Silat Cekak telah mula menjadi sebutan ramai. Banyak acara rasmi yang melibatkan persembahan SC. Pada saya, kejayaan tersebut ada kaitan dengan kerja-kerja yang dilakukan secara luar biasa dan begitu hebat sekali. Kehebatan kerja yang dilakukan itu adalah merupakan perbuatan ‘extra’ yang diamalkan oleh semua ahli sama ada di peringkat pusat ataupun di peringkat negeri. Saya yakin, jika semangat ‘extra’ itu terus menerus diamalkan oleh para pemimpin di semua peringkat, maka SC akan terus berjaya dari masa ke masa.

Kalaulah persatuan kita tidak berpecah, saya yakin bahawa SC akan menguasai keseluruhan pentas silat Melayu dalam negara ini. Pepecahan kita menjadi banyak persatuan dan masing-masing bersaing atas nama Pusaka Hanafi. Saya rasa, kejayaan dan kemantapan satu-satu persatuan itu lebih banyak bergantung pada strategi yang digunakan mereka. Walau bagaimanapun, jika betul dan kena gayanya maka persatuan itu akan berkembang luas dan dapat mengatasi persatuan-persatuan lain yang sama perjuangannya itu. Mungkin dalam tulisan ini kita dapat bincangkan bertapa pentingnya prinsip ‘extra’ dijadikan kebiasaan dan amalan dalam kalangan ahli-ahli SC pada persatuan-persatuan tersebut untuk terus menerus berjaya.

Bagi menghebatkan persatuan, pertama sekali, kita mestilah mempunyai extra tenaga. Tenaga ini meliputi tenaga luar dan tenaga dalam dan hal yang demikian ada kaitannya dengan kesihatan diri. Badan kita mesti sihat dan terhindar dari gejala penyakit yang berpanjangan. Oleh itu, tidaklah ada keperluan berterusan bagi melayan diri yang menghidap penyakit. Tentunya keadaan itu akan mengganggu komitmen dan tumpuan kita pada persatuan.

Kegiatan SC lebih banyak di sebelah malam. Dulu, boleh dikatakan setiap malam ada saja kelas silat. Cuma malam Jumaat sahaja diuntukkan bagi para Jurulatih berlatih bagi memantapkan diri. Sepanjang pengalaman saya, setiap malam kelas akan melibatkan waktu pembelajaran silat hingga larut malam. Jika ada yang ingin mendapatkan penjelasan maka kelas tersebut mungkin berakhir hingga larut pagi. Cuba bayangkan jika badan kita tidak berkemampuan untuk bertahan dari mendapatklan tidur yang mencukupi. Tentu bengkok di siang hari. Namun begitu, itulah cabaran hebat yang perlu ada terutamanya pada setiap Jurulatih bagi mempastikan kualiti tinggi para ahli yang menceburi SC. Kadang-kadang sifat kita dikatakan sebagai musang yang berjaga malam. “Siang mengantuk, malam berjaya.”

Namun begitu, dengan tenaga extra yang ada dalam diri setiap ahli dan setiap pemimpinnya menjadikan kecergasan badan adalah sama sahaja. Biasanya dikatakan seseorang itu memerlukan tidur sekurang-kurangnya lapan jam pada waktu malam. Mana mungkin kita dapat bilangan jam tersebut. Zaman Ustaz dulupun beliau tidur dalam dua atau tiga jam sahaja semalam. Saya kerap bersamanya pada waktu malam mendengar syarahan dan nasihatnya. Ketika saya mengetuai cawangan dulupun, satu malam hanya melibatkan dua  atau tiga jam sahaja. Masa banyak dihabiskan melayan karenah anak murid silat yang sanggup menunggu hingga masuk zon pagi. Tidur yang tidak cukup jam tersebut berdasarkan teori barat adalah merupakan sesuatu yang luar dari kebiasaan manusia. Walau bagaimanapun, kerja-kerja silat yang dilakukan tidak mengganggu langsung kerja-kerja hakiki yang dipikulnya. Hal yang demikian tidak langsung mengganggu prestasi kerjanya setiap hari. Malah, dirinya nampak sentiasa cergas sama ada siang atau pada sebelah malamnya.

Untuk mengembangkan SC, kita memerlukan usaha-usaha mempromosikannya. Kerja-kerja yang sedemikian bukannya mudah. Kita akan melakukan kerja-kerja silat tersebut dalam keadaan ada tanggungjawab keluarga yang besar. Perasaan anak dan isteri perlu dijaga. Untuk menggantung kain rentang di tengah malam pun memerlukan usaha dan tenaga yang luar biasa.  Turutan masanya akan melibatkan majlis penerangan dan persembahan silat. Begitu banyak sekali tenaga yang diperlukan bagi menjayakan promosi tersebut. Hal yang demikian adalah berterusan dari masa ke masa.

Membuka kelas-kelas latihan silat bukanlah satu perkara yang mudah. Pejabat silat atau rumah persatuan SC bukannya umpama pasaraya yang pelanggannya sering berkunjung bagi mendapatkan perkara yang dihajatinya. Kita memerlukan daya fikir yang hebat. Oleh itu, untuk menyebarkan SC dengan lebih berkesan, daya fikir yang hebat itu adalah merupakan satu bentuk daya fikir yang extra. Jika tidak ada daya fikir yang sedemikian, maka bilangan ahli yang melibatkan diri dengan SC tidak seramai seperti yang diharapkan. Keahlian adalah bergantung pada ahli yang datang. Jika ramai yang datang, maka ramailah pengambilan ahli baru. Semuanya bergantung pada keadaan.

Satu segi yang lain, memaju dan memantapkan persatuan, juga memerlukan daya fikir yang hebat. Kita tidak mahu persatuan kita disebut-sebut sebagai ‘mati segan, hidup tak mahu.’ Pada zaman Ustaz, daya berfikir yang hebat telah ada pada barisan kepemimpinanya. Tidak hairanlah SC dapat berkembang dengan begitu mendadak sekali. Dalam situasi silat-silat Melayu yang berlumba-lumba ingin bertapak pada pasukan polis dan tentera, Ustaz menggunakan daya fikirnya yang hebat. Kita menyusun strategi bagi menapak di pusat pengajian tinggi. Strategi itu telah mengena. Kesannya dapat kita lihat dalam jangka masa panjang. Graduan universiti yang mempelajari SC telah tersebar luas di seluruh negara. Secara langsung mereka telah memainkan peranan untuk menyebarkan SC ke serata tempat di seluruh negara. Itu semua adalah merupakan pemikiran yang strategik, hasil extra berfikir.

Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 24/03/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: