RSS

30.1 KELUARBIASAAN II

18 Mar

Keluarbiasaan yang ada pada Silat Gayung benar-benar menyentak dan menyentap minat masyarakat pada silat Melayu ketika itu. Kegemilangan persilatan silat Melayu mulai bersinar kembali. Mana ada silat Melayu yang mempunyai gerak-gerak gimnastik yang hebat-hebat. Boleh melompat dan berguling dengan tangkasnya. Saya dapat simpulkan bahawa di zaman kegemilangan silat Melayu, tidak ada silat Melayu yang setanding dengan Silat Gayung. Malah saya perhatikan, jika silat-silat Melayu lain ingin menonjol dan menarik minat masyarakat, mereka tidak ada pilihan, melainkan membuat pembaharuan pada pergerakan silat mereka. Maka bermulalah unsur-unsur Gayung mempengaruhi gerak pada kebanyakan silat Melayu ketika itu.

Oleh itu, silat Gayung telah berkembang hebat di seluruh negara. Saya difahamkan juga bahawa silat berkenaan telah berkembang secara meluas di Singapura dan Indonesia. Apa-apa acara yang berlangsung melibatkan silat, pasti silat Gayung akan dijemput. Persilatan tersebut juga menjadi buah mulut masyarakat. Hinggakan dianggap semua silat yang ditonton, semuanya silat Gayung. Walaupun pada hakikatnya tidak sedemikian. Masih ada silat-silat Melayu lain di peringkat negeri yang hebat-hebat, tapi tenggelam dek kerana populariti silat Gayung. 

Kini, pada pendapat saya, kemasyhuran Silat Gayung tidak sehebat dulu lagi. Hal yang demikian berlaku apabila bermulanya pelbagai perpecahan. Kepimpinannya berpecah-pecah. Semuanya orang-orang kanan Mahaguru pada asalnya. Saya rasa dah banyak persatuan yang bercabang dari satu perguruan asal. Saya tidaklah berminat untuk membincangkan perpecahan tersebut. Tapi, saya dapat lihat betapa kemasyhuran silat Gayung menjadi pudar diakibatkan oleh perpecahan. Masing-masing ada pendapatnya sendiri bagi memajukan silat berkenaan. Maka tertubuhlah pelbagai jenama persatuan. Saya yakin, perpecahan dalam silat Melayu adalah umpama berpatah arang. Mustahil ’carik-carik bulu ayam’ boleh dijadikan sandaran. Sekali berpecah maka akan terus berpecah umpama kaca yang berkecai apabila jatuh ke lantai.

Dalam masa perkembangan silat Gayung, maka muncul Silat Cekak. Silat ini juga luar dari kebiasaan dari silat-silat Melayu yang ada. Keluarbiasaannya telah menarik masyarakat, termasuk diri saya. Hal yang demikian berlaku apabila tersebar berita mengenai SC dalam majalah Dewan Masyarakat. Setelah membaca rencana berkenaan, tergambar pada saya satu jenis silat yang luar dari kebiasaan pergeraklan SC. Saya berminat pada beberapa kenyataan dalam rencana berkenaan.

Silat Cekak amat luar biasa. Keluarbiasaannya telah menyebabkan kumpulan saya seramai lima puluh enam orang ahli yang hampir kesemuanya pernah belajar silat lain, memasuki SC. Kami menganjurkan kelas latihan yang merupakan kelas SC yang pertama dibuka di pusat pengajian tinggi. Sesungguhnya, penglibatan kami secara keseluruhannya dalam SC adalah kerana kenyataan luar biasa dari persilatan silat Melayu yang telah diketengahkan oleh SC.

Saya petik rencana yang ditulis mengenai Seni Silat Cekak (Silat Papan Sekeping) yang saya simpan hingga sekarang. Saya juga akan sertakan pandangan saya yang menunjukkan sifat keluarbiasaannya, berdasarkan pengalaman saya bersilat. Terdapat beberapa persoalan yang menarik perhatian saya untuk dibuat penjelasan. Kita ikuti rencana tersebut dan ulasan saya mengenai keluarbiasaannya :

”Seni Silat Cekak ialah sejenis silat yang benar-benar asli dan bertanggungjawab untuk mempertahankan diri. Bukannya sejenis silat permainan (Silat Pulut atau Silat Pengantin), sebab itu tidak ada gendang dan tari menari dan langkah ke kiri atau ke kanan.

          Seni Silat Cekak mempunyai kaedah-kaedah yang tetap, yang tidak boleh diubah-ubah dengan mempunyai buah-buah pukulan yang cukup dan kemas serta kunci-kunci tangkapan yang lengkap. Jadi tidak perlu ditokok tambah dengan buah-buah silat lain sama ada dari dalam ataupun dari luar negeri.

          Pergerakan dan sistem silat ini sesuai benar dengan gerak geri semula jadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa tenang dan nyata kesesuaiannya dengan prinsip agama Islam.

          Pelajarannya lebih menitikberatkan di segi mempertahankan diri supaya terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh. Hanya bila terpaksa demi keselamatan diri barulah Cekak menyerang.

          Cekak menunggu serangan dengan berdiri lurus (berdiri sembahyang) tidak berkuda-kuda dan tidak melangkah ke kiri dan ke kanan bahkan mara ke hadapan di dalam gerak yang satu, makan gerak dalam gerak, sebab sebenarnya hakikat silat Cekak ialah silat Gerak.

Yang paling istimewa dan ganjil sekali di dalam kaedah serangannya: di kala Cekak menyerang dan jika musuh mengelak, pasti kena dan sekiranya ditepis pula pasti dimakannya. Keduanya pula sambil menyerang ia dapat menangkap (Cekak menyerang, Cekak menangkap). Menurut penyelidikan kami tidak ada satu silat yang sekiranya ia menyerang dia dapat menangkap.

          Penuntut-penuntut dilatih di waktu menangkis pukulan dan tikaman senjata-senjata dengan tangan kosong sahaja, tidak menggunakan sistem dua pisau (Cekak tak berpisau, musuh berpisau) atau dua tongkat.

          Matlamat Cekak ialah menangkis pukulan senjata-senjata sambil dapat merampas senjata lawan.”

Kenyataan ini benar-benar menyentap dan menarik perhatian saya. Sejenis silat asli dan bertanggungjawab untuk mempertahankan diri boleh membawa satu keyakinan jika menguasai silat tersebut. Ketika itu pengaruh bela diri dari luar negara amat hebat sekali. Saya dapat rasakan betapa kehebatan bela diri luar negara itu meletakkan keyakinan penuh kebanyakan masyarakat terutama golongan muda pada kehebatan mereka hingga sukar disaingi oleh silat-silat Melayu. Kenyataan Cekak tersebut merupakan satu pengharapan baru pada diri saya dalam persilatan silat Melayu.

Berdasarkan tulisan di atas, nampak jelas pada masyarakat khasnya diri saya ketika itu betapa Silat Cekak sangat luar biasa. Nampaknya, SC adalah lebih luar biasa dari Silat Gayung yang dulunya juga saya anggap luar biasa. Keluarbiasaannya inilah yang menyebabkan masyarakat menaruh minat pada SC. Saya juga turut berkecimpung dalam SC. Maka mulalah minat terhadap SC mendapat tempat dalam hati pencinta silat Melayu. Namun begitu, manusia dengki dan khianat tetap ada. Kewujudan manusia jenis itu nampaknya adalah perlu bagi membuktikan kehebatan SC. Sesungguhnya SC itu adalah terbukti hebat.

Ustaz pernah memberitahu saya betapa beliau telah dijemput oleh guru silat Gayung di Taiping dalam perjalanan baliknya ke Kedah. Ketika itu SC sedang berkembang luas di seluruh Malaysia. Dalam perjalanan balik Ustaz ke Kuala Lumpur, beliau singgah di Ipoh. Ustaz sempat singgah di kelas kami. Ketika itu kelas SC adalah di Green Town. Rumah En Shafee. Di situlah Ustaz menceritakan tentang pelawaan Dato Meor untuk menurunkan ilmu padanya. Ustaz mintak kami komen.

Cukup setakat itu penceritaan saya. Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah betapa kehebatan SC ketika itu telah mendapat perhatian dari guru yang besar dan hebat dalam persilatan Melayu. Tak akan beliau menjemput Ustaz jika SC tidak diberi pengiktirafan atas kehebatannya. Pada saya, ketika itu SC telah semakin hebat dan mula diberi perhatian oleh masyarakat Melayu.

Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 18/03/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: