RSS

30.0 KELUARBIASAAN I

17 Mar


Sering saya perhatikan betapa sesuatu yang luar biasa itu sangat menarik perhatian ramai. Orang yang bersuara lunak dan luar dari kebiasaan suara tentunya menarik perhatian masyarakat untuk meminatinya. Nama-nama seperti SM Salim, P. Ramle, R. Azmi adalah antara nama-nama angkatan lama yang mempunyai suara yang luar biasa. Kemudian muncul nama-nama lain seperti Sharifah Aini, Sudirman dan Siti Nurhaliza. Bukan setakat suara mereka yang luar biasa, penampilan mereka juga adalah luar dari kebiasaan berbanding dengan orang lain sama ada rupanya atau bentuk persembahannya.

Orang yang menjual ubat perlu membuktikan ubatnya sangat luar biasa. Bukan calang-calang ubat yang boleh dapat di mana-mana. Misalnya, ubat itu boleh menyembuh atau menaikkan sesuatu yang tak naik. Malah, ramuan ubat yang luar biasa juga akan menyebabkan minat masyarakat tertarik. Maka disebut oleh tukang jual ubat betapa ramuan ubatnya yang luar biasa seperti campuran ramuan dari daging kambing gurun, tanduk badak dan sebagainya yang sukar diperoleh. 

Cara penyampaian juga mesti luar biasa. Suara penerangannya mesti lancar dan tidak tersekat-sekat. Bentuk persembahannya juga mesti sesuatu yang hebat bagi menarik perhatian orang ramai. Kita boleh lihat kreativiti mereka menyampaikan ucapan atau syarahan. Kadang kala bentuk persembahan mereka ditangguhkan bagi memikat orang ramai supaya terus menunggu. Akhirnya ada yang terus menangguhkan persembahan apabila orang ramai sibuk membeli ubatnya.

Dalam konteks silat, pergerakan yang luar dari kebiasaan juga telah mendapat perhatian dan sambutan dari masyarakat. Dalam tulisan ini saya bincangkan beberapa jenama pergerakan silat Melayu peringkat kebangsaan yang luar dari kebiasaan pentas persilatan masyarakat Melayu. Keluarbiasaannya adalah berdasarkan pandangan dan tasiran saya ketika itu. Cuma, perbincangan dalam tulisan ini memfokuskan bahawa sesuatu yang luar dari kebiasaan tentunya akan mendapat perhatian dan menarik minat orang lain untuk mengetahui secara lebih mendalam. Kesimpulan itu bagi membuktikan betapa sesuatu yang luar biasa itu pastinya akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa juga.

Sepanjang pengalaman dan tafsiran saya, ada empat persilatan Melayu di peringkat kebangsaan yang mempunyai ciri-ciri keluarbiasaan sama ada pergerakannya atau pengurusannya. Saya cuba bincangkan dalam tulisan ini maksud keluarbiasaan yang ada pada persilatan tersebut. Pastinya tafsiran saya lebih banyak pada pengetahuan dan pengalaman saya yang ada sepanjang penglibatan saya dalam dunia persilatan.

Ketika penubuhan PESAKA di peringkat kebangsaan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan telah mengesan lebih daripada empat ratus jenis persilatan di negara ini. Itu yang dapat dikesan. Mungkin beribu agaknya silat-silat Melayu yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tanpa jenama dan tanpa persatuan. Walau bagaimanapun, melalui Majlis Silat Negeri, pelbagai nama dan pelbagai gerakan silat yang ada telah ditonjolkan ketika itu. Ada yang namanya pelik-pelik. Namun begitu, secara keseluruhannya pergerakan silat-silat Melayu tersebut masih terikat dengan pergerakan silat Melayu yang sedia ada. Mereka tetap mengagungkan konsep seni yang mereka miliki. Pastinya konsep seni itu berdasarkan tafsiran mereka sendiri.

Sepanjang pengalaman dan ingatan saya dalam persilatan, Silat Gayung adalah merupakan satu silat yang mula-mula menonjolkan keluarbiasaannya. Sekitar tahun enam puluhan, nama Silat Gayung bermain di bibir masyarakat. Ketika itu usia saya baru belasan tahun. Tidak ada tandingan dan saingan akan kehebatan silat itu dalam kalangan persilatan Melayu. Pertunjukannya amat menggerunkan sesiapa yang menontonnya. Saya amat berminat dan berasa bangga setiap kali melihat persembahannya.

Ketika itu, silat Melayu bergerak lembut. Persembahannya kerap dilihat ketika majlis perkahwinan. Maka silat tersebut kerap digelar sebagai silat pengantin atau silat pulut. Ayunan kaki  dan tangannya adalah mengikut rentak muzik silat yang dikenali juga sebagai gendang silat. Pakaiannya menunjukkan disiplin pakaian masyarakat Melayu lama. Lengkap dengan samping dan tengkoloknya. Ramai pengamal-pengamalnya orang-orang tua.

Saya pernah menceburkan diri dalam persilatan berkenaan hingga tamat. Tamatnya ialah hampir tiga bulan. Selepas tamat, tenaga pengajarnya pun tamat dan saya pun tamat pelajaran. Tak belajar lagi kerana setakat itu pelajarannya. Hanya menguasai gerak langkah dan bunga tari. Kebanyakan buah-buahnya bergantung pada gerak pasangan kita. Kita pintas gerak pasangan yang dianggap sebagai musuh dalam pergaduhan. Kalau dalam SC, kita ada buah Gayung Fatani. Gerak buah berkenaan adalah bergantung pada tindakan musuh.  Kebiasaannya, ada empat gerak musuh yang boleh bertindak atas kita. Tapi kita telah melarang satu daripada gerak musuh tersebut. Haram dipakai. Musuh tidak dibenarkan pakai gerak berkenaan ketika menyerang kita. Kalau pakai juga, anu hukumnya.

Walaupun ada ’laga’ antara pesilat-pesilat berkenaan, pergerakannya lambat dan lembut. Teraba-raba tangan bagi melepaskan diri dari tangkapan yang sengaja diberi pada pasangannya. Kadang kala agak membosankan apabila dibandingkan dengan pergerakan seni bela diri dari luar negara terutamanya filem-filem dari negeri China. Hal yang demikian kerana semua pasangan mempunyai pergerakan yang sama dan diiringi oleh nada musik yang sama. Kadang kala timbul kata-kata dalam hati. ”Kalau macam ni silat Melayu, alamat bungkus cepat bila berdepan dengan pendekar seperti mana dalam wayang Cina.”

Pada pendapat saya, ketika kemasyhuran Silat Gayung, silat itu  telah menonjolkan kelainan pada kebiasaan pergerakan silat Melayu. Kelainan itu menunjukkan keluarbiasaannya. Saya sendiri amat tertarik dengan silat tersebut. Hampir lima tahun saya bersama silat berkenaan. Sekali kita melihat persembahannya, terasa puas dan timbul keyakinan akan kehebatannya.

Pergerakannya tangkas, kemas dan agak ’kasar’, berbanding  dengan silat-silat Melayu yang ada ketika itu.  Pukulannya ’keras’ yang menonjolkan sifat ’kelakian’ seorang pendekar yang tegas. Tentunya berbeza dengan gerak-gerak pukulan yang lembut dan perlahan. Pakaiannya yang berbengkong atau bertali pinggang jelas memperlihatkan kelainan dengan silat-silat yang ada. Tak payah tengkolok. Nampak ringkasnya. Padat dan ringkas. Sama ada dari segi pakaiannya ataupun dari segi gerak dan pukulannya.

Persembahannya tidak memerlukan gendang silat. Gerak mainannya yang dikenali sebagai gerak pentas, amat meyakinkan kita. Sekali pandang, terasa gahnya. Tak malu jika hendak dibandingkan dengan seni bela diri dari luar negara. Hal yang demikian kerana ketangkasannya adalah setanding dengan seni bela diri dari luar negara tersebut. Ketika itu ’wayang China’ memaparkan kepahlawanan para pendekar mereka menghadapi musuh. Kalau ditonton filem-filem mereka, dirasakan mustahil silat Melayu yang ada dapat menandinginya. Itulah pendapat saya ketika itu. Namun begitu, apabila muncul Silat Gayung, datang keyakinan bahawa silat Melayu adalah layak dan setanding dengan seni bela diri dari luar negara sama ada dari negeri China atau negara mana sekali pun. Boleh dibawa ke tengah.

Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 17/03/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: