RSS

29.2 HEBATKAN TUGAS SEBAGAI GOLONGAN PELAKSANA III

13 Mar

Kita perlu bertindak dalam semua aktiviti atau program secara lebih serius. ”Kalau nak buat kerja, buat betul-betul. ”Kalau dah mula dari A maka habiskan sampai Z”. Oleh itu, dapatkan kepercayaan daripada pengurusan pusat dan buktikan pada mereka bahawa kita benar-benar berkeupayaan dan berkebolehan untuk melaksanakan sesuatu tugas yang diberi. Tunjukkan kecekapan dan sifat suka serta sentiasa berkesan dalam melaksanakan kerja sebagai barisan hadapan dan sebagai pelaksana.

Walaupun kita berada di peringkat pelaksanaan, kita masih ada lagi pengikut untuk melaksanakan kerja tugas yang diamanahkan. Jaga mereka bagi mempastikan kita mempunyai pasukan yang hebat di barisan hadapan. Orang-orang yang dipimpin lebih senang untuk berbincang dan mendapatkan sesuatu keputusan dari kita. Oleh itu, kemampuan kita membuat keputusan adalah penting. Jika kita kurang berkemampuan membuat keputusan, berkemungkinan pengikut kita akan terus berhubung dengan pihak pusat. Hal yang demikian bukanlah satu perkembangan yang baik kerana kewibawaan kita pasti tercabar. Seolah-olah kita diketepikan. Jika tidak dibendung gejala tersebut, berkemungkinan besar, akhirnya kita akan terus terketepi dan terkapai-kapai dalam perjuangan di barisan hadapan. 

Di samping itu selalu saya tegaskan, sebagai pelaksana juga jangan lupa tambahkan ilmu melalui latihan atau kursus-kursus yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada di peringkat pusat atau di mana-mana cawangan yang berbuat demikian. Perkongsian ilmu dan pengalaman dengan orang-orang yang hebat dalam SC, jangan diketepikan. Bacalah apa-apa terbitan yang ada mengenai persatuan dan persilatan SC melalui bahan-bahan bacaan yang diterbitkan atau melalui internet. Hal yang demikian sangat banyak saya ingatkan.

Walaupun penglibatan kita dalam SC bukannya bersifat profesional namun, jadikan tugas-tugas kita selaku pemimpin cawangan sebagai tanggungjawab dan berperanan secara profesional. Sepatutnya kita berkeupayaan menjalankan tugas-tugas pentadbiran dan pengurusan persatuan dan persilatan dengan baik. Dalam hal ini, kita juga mesti berupaya bertindak sebagai pemimpin yang berkesan dan sentiasa menjaga kebajikan ahli-ahli yang pastinya sentiasa bekerja kuat dalam persatuan kita. Hal yang demikian akan mewujudkan prinsip menang-menang. Diri kita akan terus-menerus dihormati kerana ketokohan dan kewibawaan kita yang mantap. Ahli-ahli yang kita pimpin akan berasa diri mereka terbela dan pengorbanan mereka dihargai oleh persatuan. Hal yang demikian akan memotivasikan mereka untuk terus berusaha memajukan persatuan dan persilatan. Secara langsung pengaruh, kepimpinan, kewibawaan dan ketokohan kita tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa.

Kewangan adalah merupakan satu bidang yang amat penting. Pembelajaran anak murid kita ada kaitan dengan yuran. Pembahagian yuran adalah jelas antara pusat dan cawangan. Jangan sesekali melakukan penyelewengan. Kita perlu berhati-hati dalam soal kewangan. Baca dan faham akan arahan-arahan yang dikeluarkan. Kefahaman yang ada akan dapat membantu cawangan kita mengurus kewangan dengan baik.

Akhir sekali, kita yang berada dalam barisan hadapan perlu sentiasa ada keyakinan diri yang tinggi sepanjang masa. Keyakinan diri ini boleh dipupuk dari masa ke masa. Buanglah sifat rendah diri. Sebaliknya percayalah akan kebolehan diri kita untuk menunaikan tanggungjawab bagi menguatkan persatuan dan mengembangkan persilatan. Keyakinan diri yang wujud akan menjadikan kita akan sentiasa bertenaga demi memajukan persatuan dan persilatan.

Keyakinan diri juga ada kaitan dengan bidang komunikasi. Binalah komunikasi yang berkesan ketika berhubung dengan sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagi apabila kita berhubung dengan pihak berkuasa dalam usaha meneguhkan persatuan. Komunikasi mesra dan berkesan akan membolehkan kejayaan pada setiap program yang dijalankan. Hal yang demikian akan memudahkan usaha-usaha kita untuk mengembangkan persilatan SC.

Di samping itu, binalah keupayaan menyampaikan ucapan atau syarahan dengan berkesan. Ucapan yang diucapkan akan membawa implikasi yang besar buat diri kita sendiri. Ucapan yang berkesan akan menyebabkan para pendengar akan memberi tumpuan dan akhirnya memudahkan kita menyampaikan maksud tujuan kita. Secara langsung, perancangan atau program kita akan diberi tumpuan dan timbul minat pada hati pendengar untuk mengikuti akan apa yang kita hajatkan.

Kalau ada masa dan kemampuan, apa salahnya jika kita mengikuti kelas-kelas yang menganjurkan program pengucapan awam. Banyak faedah yang kita akan peroleh. Sejarah telah mengajar kita betapa ’kehebatan memberi ucapan’ menjadi satu kriteria kehebatan guru dalam SC. Saya masih ingat lagi ketika PA menjadi Guru Utama. Kehebatannya berucap adalah jauh kebelakang berbanding dengan Ustaz. Banyak kali berlaku peristiwa orang-orang kanannya ’menepuk dahi’ apabila beliau berucap. Isinya entah ke mana. Tak tahu mana pembuka dan mana penutupnya, mana ekor dan mana kepalanya. Hal yang demikian adalah juga salah satu faktor penurunan kuasa perlu dilakukan.

Sebagai pemimpin di barisan hadapan juga, jangan lupa perkayakan diri dengan ilmu pengetahuan setiap saat dan ketika. Pelakuan ini akan mempengaruhi keyakinan kita pada diri sendiri. Cara-caranya banyak kali saya perkatakan. Perkara yang penting, jadikanlah diri sebagai sumber rujukan pada ahli dalam setiap aspek. Oleh itu, kita akan berupaya memberi nasihat yang mantap dan berguna kepada ahli-ahli kita dari masa ke masa. Pendek kata, setiap soalan, ada jawapannya. Jawapan itu adalah bernas dan logik untuk dipraktikkan. Secara langsung kita akan berjaya memberi perhatian pada ahli-ahli yang kita pimpin.

Dalam saat dan ketika yang tertentu, melalui ilmu dan pengalaman luas yang ada, akan membolehkan kita memberi nasihat kepada kepimpinan tertinggi atau ketua kita. Mereka hanya merancang. Pada hal kita yang akan melaksanakan perancangan mereka itu. Jika mereka turun padang untuk melihat pelaksanaannya, mungkin banyak masalah yang boleh diatasi. Sebaliknya, jika mereka hanya mengarah tanpa turun padang bagi melihat pelaksanaannya, maka akan banyak kelemahan yang kita akan tempuhi. Hal yang demikian perlu diberitahu pada kepimpinan atasan atau ketua kita. Di sinilah keupayaan kita akan diuji. Sama ada kita ingin berterus terang atau mendiamkan diri demi jaga hati. Saya rasa, sebagai pemimpin di barisan hadapan, kita perlu berterus terang secara ikhlas. Biarlah mereka mentafsirnya dalam bentuk negatif. Perkara pentingnya ialah kita yang buat kerja. Kita tahu akan sebarang masalah yang dihadapi. Suarakan isi hati. Sekurang-kurangnya, kita telah mengemukakan pandangan berdasarkan pengalaman kita melaksanakan progam yang mereka rancangkan.

Walau bagaimanapun ketika berbicara, maka berbicaralah dengan baik. Jaga batas-batas kita antara hubungan kita dengan guru, hubungan kita dengan para pemimpin lain dan hubungan kita dengan orang-orang kanan guru, termasuk bahagian perisikannya yang semakin berkuasa. Kadang kala, walaupun niat kita baik, tapi oleh sebab cara penyampaian kita yang tidak baik maka pandangan kita itu mungkin akan diketepikan begitu sahaja. Bukannya padangan atau cadangan kita tidak baik, tapi cara penyampaian yang tidak baik akan menjadikan isi percakapan juga dianggap tidak baik.

Kita yang berada sebagai pemimpin di barisan hadapan, biasanya berperanan sebagai orang tengah antara arahan yang diterima dari pihak atasan dengan orang-orang bawahan kita yang akan melaksanakan arahan kita. Oleh itu, berdamping rapatlah dengan ahli-ahli yang kita pimpin kerana merekalah yang akan membantu kita bagi melaksanakan program di peringkat cawangan. Selalu saya tegaskan betapa pentingnya kita jaga kebajikan ahli-ahli yang kita pimpin. Menjaga kebajikan membawa maksud yang luas sekali. Saya telah bincangkan perkara ini dalam tulisan yang terdahulu. Apa pun, hati mereka perlu dijaga. Jika mereka seronok bekerja maka penghasilan kerja akan berkualiti. Secara langsung, persatuan kita akan menjadi mantap dan bidang persilatan akan berkembang luas dari masa ke masa.

Akhir sekali dalam aspek keyakinan diri ini, kita perlu sentiasa cergas dan bersemangat. Kalau kita bersemangat, maka orang lain terutamanya pengikut kita juga akan bersemangat. Saya pernah kiaskan betapa kepala keretapi yang bergerak sekian-sekian kilometer, akan boleh diikuti oleh gerabaknya berdasarkan larian kepala keretapi tersebut. Kalaulah kepala keretapi itu bergerak perlahan maka gerabaknya juga akan turut bergerak perlahan. Oleh   itu, jagalah kesilatan diri. Kalau kita sakit pastinya akan menyusahkan anak isteri. Kalau sakit yang berpanjangan maka tempat kita akan diganti dengan orang lain. Itulah situasi yang ada dalam persatuan kita. Saya selalu tegaskan betapa pentingnya kita menjaga perut. Itulah punca segala penyakit. Kalau perut pun buncit mana boleh kita bergerak dengan selesa. Pasti akan mengah.

Sebagai kesimpulannya, kita yang berada di barisan hadapan akan juga ada barisan pengikut kita yang akan membantu melaksanakan segala arahan tugas yang diberi oleh kepimpinan tertinggi kita. Oleh itu, sentiasalah muhasabah diri kita sendiri dari masa ke masa. Lihatlah kelemahan dan kekuatan kita. Kelemahan yang ada, perlu diperbaiki manakala kekuatan yang ada perlu ditingkatkan. Apapun, sentiasalah berusaha melengkapkan diri dalam semua segi atau semua bidang. Di samping itu, berilah sokongan penuh pada kepimpinan tertinggi kita sepanjang masa. Berhubung rapatlah dengan beliau dari masa ke masa. Ingat! Kegagalan memberi kerjasama akan mewujudkan konflik. Elakkan perkara itu dari berlaku. Buruk padahnya. Sekurang-kurangnya kita akan terketepi ataupun tersingkir. Kalau telah melibatkan diri puluhan tahun, penyingkiran akan menjadikan perbuatan kita selama ini sia-sia sahaja.

Sekian untuk tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 13/03/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: