RSS

29.1 HEBATKAN TUGAS SEBAGAI GOLONGAN PELAKSANA II

10 Mar

Walaupun status di cawangan adalah merupakan barisan hadapan yang melaksanakan arahan atau perintah pusat, di cawangan sendiri kita berperanan sebagai kepemimpinan lapisan atas. Kitalah yang mentafsir dasar pusat untuk menjadikan dasar pusat itu sebagai dasar cawangan dari segi pelaksanaannya. Untuk melaksanakan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh pusat, mustahil bagi seseorang pemimpin tertinggi cawangan atau ketua di cawangan menjalankan tugas-tugas secara berseorangan. Beliau pasti memerlukan bantuan orang lain. Di cawangan juga ada orang-orang kanannya.

Oleh itu, konsep kepemimpinan sebagai satu perkongsian kuasa adalah tepat dan perlu dijalankan di peringkat cawangan. Saya rasa, prinsip ini telah berjaya saya lakukan di cawangan yang saya pimpin dulunya. Cuma, stail kepimpinan kita akan menentukan cara pengurusan yang kita jalankan. Terbeban atau tidaknya pengurusan kita pada ahli-ahli jawatankuasa cawangan, banyak bergantung pada watak, orientasi, kebolehan dan pengalaman seseorang ketua di cawangan berkenaan. Perwatakan ada kaitan dengan gaya kepimpinannya. Orientasi yang diterimanya merujuk pada hasil didikan yang diperoleh. Manakala kebolehan dan pengalaman adalah berkait erat dengan ilmu yang dia miliki. 

Watak, orientasi, kebolehan dan pengalaman yang ada itu akan banyak mempengaruhi visi dan misi cawangan yang dipimpinnya. Saya selalu sentuh tentang betapa pentingnya visi dan misi cawangan bagi menentukan hala tuju pergerakan persatuan tersebut. Pada saya, visi dan misi akan merujuk pada perjuangan seseorang di mana-mana peringkat persatuan. Segala matlamat, kerja dan program pasti akan menjurus pada visi dan misi yang merupakan perjuangan persatuan atau perjuangan seseorang. Itu sebabnya visi dan misi mesti dikongsi bersama oleh semua ahli dalam satu-satu persatuan bagi memastikan perjuangan yang dilaksanakan adalah sama arah dan sama kepentingannya. Hal yang demikian akan menzahirkan ketelusan perjuangan agar setiap individu itu tidak tergelincir penglibatannya dalam persatuan dan persilatan Silat Cekak.

Pengurusan seseorang itu erat kaitannya dengan stail atau gaya kepimpinannya dalam mengurus persatuan. Saya telah berbincang tentang gaya kepimpinan dalam tulisan yang lalu. Gaya atau stail yang ada itu akan mempengaruhi kepimpinan seseorang dalam pengurusan sama ada disedarinya atau tidak. Pada kebiasaannya, kita dapat perhatikan betapa stail kepimpinan yang saya bincangkan itu akan mempengaruhi pengurusan seseorang secara tidak langsung.  Hal yang demikian dapat dilihat pada empat stail atau gaya atau gelagat atau pelakuan seseorang ketua atau pemimpin itu dalam pengurusan persatuan.

Pertamanya, seseorang ketua itu akan mengurus persatuannya secara pengawalan sepenuhnya. Beliau ambil berat, malah menguasai pada semua akitiviti yang hendak dijalankan. Kuasa pemutus adalah di tangannya. Orang lain tidak akan bebas untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau membuat keputusan tanpa kebenarannya. Stail itu akan mirip pada stail secara mutlak. Oleh itu, ahli-ahli jawatankuasanya akan menjadi ‘pak turut’ dalam semua perkara. Satu segi, pengurusan sebegini akan memudahkan ahli-ahli jawatankuasanya menjalankan tugas tanpa perlu berfikir strategi untuk mencapai sesuatu. Semuanya telah ditentukan oleh ketuanya. Ikut sahaja.

Terdapat juga stail ketua yang mengagihkan tugas pada ahli-ahlinya, tapi bertindak sebagai ketua dalam semua bidang tugas berkenaan.  Dalam stail ini, ahli-ahlinya diberi kebebasan untuk merancang dan mengelola. Walau bagaimanapun, mereka perlu merujuk pada ketuanya dari masa ke masa. Sebagai ketua, beliau akan memastikan segala keputusan akan ditentukannya secara mutlak walaupun ada perbincangan. Oleh itu, menjadi keperluan ahli-ahli atau anak buahnya untuk sentiasa berhubung dengan ketuanya bagi merujuk peringkat-peringkat perancangan. Rujukan tersebut boleh dilakukan secara berbincang bagi mendapatkan persetujuan. Hal yang demikian adalah penting kerana jika mereka hanya merujuk di akhir perancangan, ada kemungkinan ketuanya tidak menyetujui perancangan itu langsung. Tentunya akan mengorbankan masa dan tenaga secara sia-sia. Jadi, jalan selamatnya ialah sentiasa merujuk peringkat-peringkat perancangan tersebut dari masa ke masa sebelum memuktamadkan perancangan.

Stail yang ketiga merujuk pada pengurusan yang menggunakan kaedah perundingan atau perbincangan. Beliau akan menggalakkan penyertaan semua. Stail secara demokratik ini akan melibatkan ramai orang lain bagi menentukan satu-satu keputusan atau rancangan yang ingin dijalankan. Dalam konteks stail yang demikian, pendapat yang bernas selalu diambil kira. Kepandaian bercakap dan menyusun idea selalunya akan beroleh sokongan. Saya rasa, keadaan itu akan menjadikan para ahli lebih selesa untuk mengeluarkan pendapat. Walaupun mungkin ada yang tidak berpuas hati atas satu-satu keputusan, suara ramai tetap menjadi kata muktamad. Walau bagaimanapun, ahli-ahli masih perlu berhati-hati ketika mengeluarkan pendapat. Menidakkan kebolehan dan kewibawaan ketuanya, pasti mengundang ‘penyakit’, walaupun ahli-ahli diberi kebebasan bercakap dan mengeluarkan pendapat.

Stail yang akhir adalah merujuk pada pengurusan yang menyerahkan segala-galanya pada orang lain bagi melaksanakan sesuatu tugas atau sesuatu program tersebut. Kerap kali saya lihat, pemimpin atau ketua yang demikian lebih suka menonjolkan diri dalam majlis-majlis yang besar. Dalam majlis jenis itu, dia akan ke depan. Kerja-kerja dan perancangan dibiarkan pada para ahli yang lakukan. Biasanya dia beruntung kerana terdapatnya ahli-ahli yang berkebolehan untuk menjalankan tugasan dengan baik. Jika kita ada ketua atau pemimpin jenis ini, atas dasar tanggungjawab dan minat maka teruskan peranan kita. Pujian atas kejayaan yang diperoleh walaupun diterima oleh orang lain, kita patut berasa puas kerana kejayaan itu pada hakikatnya adalah atas daya usaha kita sendiri. Jangan sesekali merajuk hati.

Berdasarkan keempat-empat stail pengurusan tersebut, lihatlah sejauh mana ’empowerment’ diberi pada ahli-ahli untuk menjalankan tugas. Hal yang demikian ini menjelaskan kepada kita betapa pengurusan banyak bergantung pada stail kepimpinan tertinggi atau ketua persatuan. Beliaulah yang akan menentukan sama ada wujud permuafakatan dalam kalangan ahli-ahli jawatankuasanya ataupun tidak wujud keadaan demikian.

Sebagai barisan pelaksana, kita tidak boleh membuat kerja-kerja persatuan dan persilatan secara berseorangan. Kita perlu melibatkan seberapa ramai ahli yang boleh. Dalam masa itu, jangan lupa mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan ahli bagi melatih mereka sebagai barisan kepimpinan pelapis. Hal yang demikian adalah penting bagi mewujudkan kesinambungan perjuangan SC di cawangan. Sama ada kesinambungan ini boleh dipikul oleh kepimpinan baru atau tidak, itu bukan persoalannya.

Kita perlu yakin bahawa setiap orang boleh dan mahu memajukan diri mereka. Oleh itu, berilah peluang pada ahli-ahli biasa untuk bersama-sama kita merancang, mengelola dan melaksanakan semua program persatuan dan persilatan yang dirancang. Peluang yang diberi itu akan berupaya membentuk barisan ahli-ahli yang bertanggungjawab pada kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan pada mereka. Secara langsung, penglibatan mereka itu akan memudahkan kerja-kerja kita sebagai pelaksana yang berada di barisan hadapan untuk mengembang dan memajukan persatuan dan persilatan SC.

Barisan depan adalah merupakan barisan pejuang. Kepimpinan di peringkat inilah yang akan banyak membantu perkembangan SC. Oleh itu, sebagai ketua atau pemimpin di barisan depan, perkayakan diri dengan ilmu-ilmu pengurusan asas seperti aspek kewangan dan pentadbiran, motivasi, penyelesaian masalah dan komunikasi. Kita yang akan dipandang oleh masyarakat kerana kita sentiasa berdepan dengan mereka. Kitalah yang sering mengadakan majlis-majlis penerangan dan kempen-kempen mencari ahli. Peranan kita sebagai pelaksana amat penting bagi memikul amanah untuk mengembangkan SC.

Oleh itu, jangan lupa aspek penampilan diri. Saya telah banyak menyentuh aspek ini dalam tulisan terdahulu. Percayalah bahawa penampilan diri kita yang mantap akan mempengaruhi minat masyarakat untuk melibatkan diri dalam persatuan dan persilatan SC. Penampilan diri itu meliputi cara berpakaian, perwatakan dan aspek komunikasi yang mesra dan berkesan. Kadang kala, masyarakat lebih tertarik pada penampilan diri berbanding dengan apa yang dipromosikan. Tidak hairanlah ramai yang ’tertipu’ hingga habis wang ringgit dek kerana penampilan diri seseorang yang boleh mempengaruhinya. Silat Cekak adalah berdiri atas kebenaran persilatan. Kebenaran ini perlu disampaikan pada masyarakat. Untuk mempengaruhi masyarakat maka kita memerlukan kemahiran. Salah satu kemahiran itu boleh dipupuk melalui penampilan dan personaliti kita. Maka gunakan kesempatan ini dan binalah penampilan diri kita. Hal yang demikian akan membantu kita untuk menyebar SC dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, sebagai pelaksana yang berada di barisan hadapan, kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu, kebolehan dan pengalaman. Bagi melengkapkan diri dengan perkara-perkara tersebut maka rajin-rajinlah membaca dan bergaul dengan ahli-ahli yang telah lama berkecimpung dalam SC. Dapatkan pengalaman mereka yang telah berjaya membangunkan diri mereka melalui kehebatan SC. Saya selalu mengingatkan para ahli yang ingin mendalami SC agar jangan bersifat ego. Bukalah fikiran bagi menerima ilmu. Sama ada ilmu itu akan dipakai atau tak pakai, itu adalah soal yang kedua. Mereka yang pernah bergaul rapat dengan Ustaz, tentu banyak pengalaman silatnya. Berjumpalah dengan mereka dan berbincanglah dalam suasana berfikiran terbuka. Kita ada fikiran. Maka gunakanlah fikiran tersebut bagi menapis ilmu dan pengalaman yang kurang bermakna buat diri kita. Hal yang demikian kerana acuan kita adalah berbeza. Mana mungkin kita dapat menerima kesemuanya tanpa ada penyesuaian.

Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 10/03/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: