RSS

29.0 HEBATKAN TUGAS SEBAGAI GOLONGAN PELAKSANA I

08 Mar

Dalam tulisan yang lalu, saya ada mengatakan bahawa setiap persatuan atau organisasi itu perlu ada keselarasan antara peranan ketua dan para pengikutnya. Masing-masing bertanggungjawab bagi memajukan persatuan tersebut. Pada kebiasaannya, para pengikut adalah merupakan barisan hadapan dalam perjuangan persatuan. Merekalah yang selalu berperanan secara langsung untuk memastikan segala perancangan dari persatuan pusat membuahkan hasil. Oleh itu, saya selalu sarankan betapa pentingnya kursus-kursus yang melibatkan barisan kepemimpinan tertinggi dan kursus khas untuk para pengikut bagi membentuk sifat kesetiaan pengikut kepada pemimpin atau ketuanya.

Dalam konteks organisasi SC, cawangan adalah merupakan barisan hadapan dalam pelaksanaan sebarang aktiviti. Peranan mereka itu juga bersepadu sebagai pengikut. Oleh itu, jelas menampakkan betapa tanggungjawab mereka adalah besar dan perlu diberi perhatian secara bersungguh. Ketua-ketua cawangan atau pusat-pusat latihan SC, perlu diasuh supaya mereka menjadi pemimpin yang hebat. Saya pernah menegaskan bahawa seorang pemimpin itu pastinya seorang ketua. Manakala seorang ketua itu tidak semestinya menjadi seorang pemimpin yang baik. Seiring dengan kursus untuk  para pemimpin kanan persatuan, kursus-kursus kepada barisan hadapan SC mesti juga diambil kira. Kita perlu memastikan para pengikut di barisan hadapan kita, tahu akan peranan sebenar yang patut mereka pikul. Hal yang demikian akan dapat memfokuskan peranan mereka dalam persatuan.

Oleh itu, jika barisan hadapan tahu akan peranan mereka, maka mereka akan berupaya membataskan peranan mereka daripada mencampuri urusan pentadbiran persatuan pusat. Sifat yang perlu ditunjukkan atau dilahirkan mereka ialah kesetiaan kepada persatuan yang diceburinya. Soal pengurusan, biarlah orang-orang kanan persatuan pusat yang memainkan peranan. Kalau timbul isu, maka biarlah orang kanan itu yang selesaikan dengan Guru Utama. Mereka yang menjadi pengikut dan berada dalam barisan hadapan hanya perlu memberi kepercayaan kepada kepimpinan pusat, agar sebarang isu yang timbul, dapat diselesaikan dengan baik dan segera. Saya yakin jika kenyataan saya di atas dapat berjalan dengan baik, maka persatuan kita akan terus-menerus mantap. Pihak cawangan tidak akan dilibatkan dalam sebarang isu. Pihak cawangan yang merupakan barisan hadapan akan dapat menumpukan perhatian dalam perjuangan mengembangkan SC.

Nampaknya harapan tersebut tidak begitu menjadi pada sesetengah cawangan. Kita boleh nampak betapa pengurusan di cawangan telah menjadi kucar-kacir. Masa telah banyak dihabiskan untuk menyatakan sokongan pada kumpulan-kumpulan atasan yang disokongnya ; bukannya menghabiskan masa untuk menyebarkan SC. Hal yang demikian itulah yang telah terjadi semasa perpecahan dahulu. Banyak cawangan yang terlibat dalam krisis yang ditimbulkan oleh pihak pusat. Kerja-kerja silat telah ‘ditinggalkan’ buat sementara waktu kerana masa yang ada lebih banyak diuntukkan dengan kempen-kempen dan penerangan bagi menegakkan pendirian yang tiada istilah dan tiada asalnya dalam perjuangan SC.

Dalam tulisan ini, saya ingin berkongsi ilmu dan pengalaman untuk menjadikan diri kita yang berada di cawangan sebagai barisan hadapan yang hebat. Sebelum saya dilantik sebagai orang kanan organisasi SC di peringkat pusat. Jawatan saya sebagai ahli jawatankuasa pusat, banyak merancang program untuk dilaksanakan di peringkat cawangan. Kemudiannya saya adalah merupakan barisan depan SC dalam perjuangannya apabila dilantik sebagai Yang Di Pertua cawangan. Berdasarkan pengalaman yang ditempuhi, saya yakin telah dapat memainkan peranan sebagai pengikut setia dalam perjuangan SC dan berada dalam golongan pelaksana yang berjaya ketika memimpin persatuan di cawangan.

Kalau kita berperanan sebagai pelaksana, bermakna kita sentiasa menerima arahan dari pihak ‘atasan’. Tak kiralah sama ada arahan itu dari ketua kita atau orang kanannya. Kalau ada arahan atau suruhan bermakna juga kita masih diperlukan lagi. Oleh itu, jangan hampakan harapan dan kepercayaan yang diberi. Selagi kita dikehendaki maka akan adalah kepercayaan dan nilai orang lain terhadap diri kita. Jika kita diketepikan, maka bermakna orang atasan sudah tidak menaruh kepercayaan kepada diri kita. Isyarat yang diterima atau diberi akan membolehkan kita membuat keputusan sama ada berpegang lagi pada jawatan yang sedang disandang atau telah ada keperluan untuk mengundur diri dari jawatan yang berkenaan.

Walau bagaimanapun sebagai pengikut atau pelaksana, kita mesti tahu akan hak-hak kita. Jangan mudah menerima arahan jika kita tidak berkemampuan melakukannya atau tidak dapat berfikir seperti yang mereka kehendaki. Hal yang demikian adalah penting kerana kesediaan kita menerima atau memikul tugas sama ada telah berfikir atau tanpa berfikir maka kita telah ada ikatan tanpa boleh gagal. Jika berlaku kegagalan maka pasti kita akan dikecam atau dipertanggungjawabkan.

Saya terkenangkan sejarah sewaktu saya memimpin cawangan. Berdasarkan kenyataan di atas, itu sebabnya saya selalu bertanya atau menimbulkan persoalan ketika menerima sebarang arahan. Saya inginkan kepastian dan benar-benar ingin memastikan supaya saya faham akan apa yang akan dilakukan. Hal yang demikian penting bagi membolehkan saya membuat satu-satu kerja itu dengan lebih ikhlas, sukarela dan lebih komited. Barulah satu-satu kerja itu dilakukan selaras dengan kehendak hati. Maka akan lahirlah sifat kesungguhan dan keyakinan.

Namun begitu, bukan semua orang suka kepada mereka yang suka bertanya atau suka menimbulkan persoalan. Kita mungkin dicap dengan pelbagai jenama. Termasuklah cap penentang akhirnya. Tapi, pada saya, sebagai pengikut dan pelaksana yang berada di barisan hadapan, jangan peduli apa orang lain kata. Terutamanya pada orang yang suka memberi arahan. Bukan mereka yang buat kerja. Kita yang buat kerja dan kita juga yang akan menanggung beban pelaksanaan. Pada saya, untuk memastikan satu-satu kerja itu dilakukan dengan iklhlas dan sempurna, kefahaman yang jelas perlu ada. Timbulkan persoalan jika kita berasa ragu-ragu atau tidak jelas.

Walaupun kita dicap dengan cap penentang atau golongan kiri, saya yakin pada satu masa nanti orang lain akan dapat menilai keikhlasan kita. Maafkan mereka atas kelemahan menafsir tentang diri kita. Pastinya mereka tidak memiliki ilmu khasyaf atau tidak memiliki ilmu anu yang dapat mengerti atau mentafsir akan keikhlasan atau hati budi kita selama ini.

Walaupun sebagai pelaksana dan berada di barisan hadapan, tetap ada keperluan untuk menerima arahan. Namun begitu cara arahan itu diberi sangat saya titik beratkan. Adab memberi arahan sangat saya pentingkan. Banyak aktiviti pusat yang saya kesampingkan semata-mata kerana adab yang kurang. Saja-saja saya terkenangkan peristiwa lama di zaman PA terutamanya. Misalnya aktiviti majlis makan malam. Satu ketika dulu, pelawaannya pada cawangan tidak jelas dan tidak serius. Ayat surat disusun dengan kata-kata ‘ancaman’.
“Tempat terhad. Keutamaan diberi kepada mereka yang cepat.” 

Ayat yang demikian tidak menampakkan keperluan cawangan untuk menyertai majlis tersebut. Sepatutnya cawangan diuntukkan meja khas atas bayaran yang tertentu. Oleh itu, kami ketepikan arahan yang tidak serius itu. Demikianlah antara contoh betapa pentingnya adab ketika memberi arahan kepada barisan pelaksana. Pada saya, kebajikan barisan depan yang juga merupakan golongan pelaksana, perlu diutamakan.

Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 08/03/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: