RSS

28.1 SEPULUH TIPS PEMIMPIN HEBAT II

04 Mar

Dalam pelaksanaan sesuatu aktiviti, jangan lupa LIBATKAN SEMUA ORANG. Jangan buat kerja seorang diri atau hanya melibatkan orang-orang yang tertentu sahaja. Perbuatan yang sedemikian bukan sahaja akan memenatkan diri kita, bahkan orang lain akan berasa diri mereka diabaikan. Mereka rasa diri mereka tidak dihargai kewujudannya. Kita perlu sedar bahawa walau apa jua jawatan dan kedudukan, mereka semua mempunyai potensi untuk memberikan idea dan pendapat yang kreatif. Berilah ruang kepada mereka. Pasti kita akan mendapat suatu pulangan yang amat baik dan memberangsangkan.

Untuk menjadi pemimpin yang hebat juga, JADILAH SEBAGAI SEORANG YANG FLEKSIBEL.  Perdu utamanya ialah sentiasa muhasabah diri. Kaji akan kelemahan dan kekuatan diri kita. Jika terdapat kelemahan maka akuilah dan perbaiki kelemahan tersebut. Tiada gunanya meninggi diri dan ego tidak bertempat. Orang yang meninggi diri biasanya cuba membina tembok antara dirinya dengan orang lain. Oleh itu, pendapat orang lain selalunya dipandang remeh dan sinis.


Dalam hal ini, seorang pemimpin itu perlu bekerjasama dengan orang lain yang boleh membantu. Tentu ada sesuatu kelebihan pada orang lain tersebut. Hal yang demikian memerlukan kita mempunyai kemahiran untuk mempelajari sesuatu dengan pantas dari orang tersebut. Pandangannya yang mantap dan bernas eloklah diubah suai mengikut keperluan semasa di tempatnya.

Dalam tulisan-tulisan yang lalu, saya selalu menegaskan betapa pentingnya seseorang pemimpin itu ”turun padang”. Penglibatannya memperlihatkan kebolehannya yang berbagai-bagai dalam pelbagai lapangan. Hal yang demikian adalah sangat penting. Pemimpin yang hebat itu akan memperlihatkan sifatnya yang LEBIH BAIK KERANA KEBOLEHANNYA YANG SERBA BOLEH. Dalam konteks SC, tentulah prinsip serba boleh itu merujuk pada kebolehannya memimpin persatuan dan penguasaannya dalam bidang persilatan. Pengurusan persatuan hebat dan kebolehannya bersilat pun amat hebat.

Pemimpin yang hebat mencakupi pelbagai urusan akan lebih dihormati dan disegani oleh ahli-ahli yang dipimpinnya. Hal yang demikian adalah kerana kita akan dianggap memahami kerja sebenar yang dihadapi oleh mereka sepanjang berada dalam SC. Tatkala kita turun padang, kita akan ketahui masalah sebenar yang mereka hadapi. Oleh itu, konsep empati lebih ditunjukkan berbanding dengan konsep simpati. Kesannya, kita akan lebih dihormati dan disegani oleh para pengikut kita. Dengan itu, ketika kita membuat keputusan dan memberi arahan, maka keputusan dan arahan kita itu akan lebih disenangi dan dapat diterima oleh para pengikut atau ahli-ahli yang lain.

Ustaz selalu menegaskan betapa pemimpin itu kadang kala diumpamakannya sebagai kepala keretapi. Kalau kepala keretapi lari seratus kilometer sejam maka gerabaknya yang lain perlu bergerak pada kelajuan yang sama. Jika tidak, matlamat sukar dicapai bersama, dan ramai yang akan ketinggalan. Kiasan tersebut memberi makna betapa kehebatan kita perlu juga dipunyai dan dikuasai oleh para pengikut kita. Jangan lupa pengikut kita. Oleh itu, BERILAH LATIHAN DAN PENINGKATAN DIRI. Program yang sebegitu akan banyak membantu mereka untuk bekerja seiring dengan usaha-usaha yang kita lakukan.

Sebagai pemimpin, kita perlu luangkan banyak masa untuk membuat program berbentuk latihan kerana program itu seperti satu ‘pelaburan’ jangka panjang. Hal yang demikian akan membolehkan mereka mempunyai kualiti diri dan seterusnya menghasilkan kualiti dalam semua kerja yang dilakukan. Kita boleh mengadakan program latihan dan peningkatan diri itu melalui cara seminar, bengkel, taklimat, majlis pengalaman bersama, serta mengajak mereka melakukan sesuatu yang baru berdasarkan pengetahuan dan pengalaman kita

Saya selalu katakan betapa pentingnya kita tidak bersendirian dalam melakukan sesuatu aktiviti sukarela. Kegiatan dalam SC, pada hakikatnya adalah merupakan salah satu aktiviti sukarela. Kita perlu melibatkan orang lain bersama-sama kita untuk mencapai matlamat persatuan yang kita ceburi. Pemimpin yang hebat akan  GALAKKAN KERJA BERPASUKAN. Setiap kejayaan akan dikongsi bersama akan kegembiraannya. Manakala setiap kegagalan akan dikongsi bersama kedukaanya.

Oleh itu sebagai pemimpin yang hebat, jangan sesekali mengongkong dan menghalang para pengikut kita atau ahli-ahli lain yang bersama kita membuat kerja secara bersama. Terimalah kehadiran mereka untuk membantu kita. Dalam perkara-perkara tertentu, berilah autonomi dan autoriti jika mereka memerlukan sedemikian untuk menghasilkan kerja yang lebih baik. Namun begitu, kebebasan yang kita beri perlulah berhati-hati bagi maksud pengawalan pengaruh. Walau bagaimanapun jika keadaan mengizinkan, berilah kebebasan pada mereka. Saya yakin, berdasarkan pengalaman, penghasilan atau mutu kerja yang terhasil adalah baik dan boleh memuaskan kita. Anak buah kita juga akan berasa puas hati. Lebih-lebih lagi apabila kita memberi penghormatan pada mereka melalui tanggungjawab yang diberikan.

Kebebasan yang kita berikan pada mereka akan menyebabkan para pengikut pimpinan kita akan sentiasa diperkasakan. Mereka akan menjadi lebih berdikari. Hal yang demikian akan membolehkan kita membentuk barisan pelapis dalam kepimpinan persatuan dan persilatan.

Pemimpin yang hebat juga akan selalu menjaga kebajikan ahlinya. Mereka memiliki nilai sosial yang amat tinggi. Memberi penghargaan adalah merupakan salah satu prinsip menjaga kebajikan ahli. Oleh itu, jangan lupa. GANJARILAH MEREKA YANG TELAH MELAKUKAN TUGASNYA DENGAN BAIK. Hal yang demikian akan memberi motivasi yang tinggi dalam kalangan pengikut kita. Usaha-usaha mereka akan terus terangsang untuk melakukan sesuatu kerja yang lebih baik dari masa ke masa. Secara langsung, sikap yang demikian akan menyebabkan persatuan dan persilatan yang kita pimpin akan terus berkembang dengan hebatnya.

Ada banyak jenis ganjaran yang kita boleh berikan pada para pengikut atau ahli-ahli yang kita pimpin. Ganjaran itu termasuklah  pujian, sanjungan, cenderamata, memberi tanggungjawab yang lebih istimewa, anugerah, belanja makan, mengadakan jamuan dan banyak lagi. Apa yang penting ialah gunakan kuasa GANJARAN!

Saya selalu teringatkan cawangan saya dulu dan mungkin sekarang. Setiap tahun pasti ada hadiah yang ’istimewa’ untuk para Jurulatih dan ahli-ahli yang bergiat hebat memajukan persatuan dan persilatan. Merasalah kot, baju batik, bush jeket dan sebagainya. Bukannya berapa nilai hadiah yang penting tapi penghargaan yang diberikan adalah merupakan nilai yang tak terhingga hebatnya. Penerima hadiah akan berasa puas dan berasa diri mereka dihargai. Kepuasan itu akan membolehkan mereka untuk terus menerus berusaha bagi memajukan persatuan dan persilatan SC.

Berdasarkan sepuluh cadangan yang saya bincangkan di atas, jika kita praktikkannya saya pasti perpaduan dan kerjasama antara sesama ahli akan mantap dan kejap berterusan. Cuma, yang pentingnya ialah kita sentiasa bersabar dan jangan putus asa. Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 04/03/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: