RSS

28.0 SEPULUH TIPS PEMIMPIN HEBAT I

03 Mar

Kehebatan satu-satu cawangan itu banyak bergantung pada penerajunya. Di samping itu sudah tentulah cawangan berkenaan mempunyai Jurulatih yang hebat dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam perkembangan persilatan. Tumpuan yang berfokus akan menjadikan satu-satu cawangan itu hebat sama ada persatuannya mahu pun persilatannya. Sepanjang kepimpinan saya di cawangan, saya berasa puas dalam aspek pentadbiran persatuan dan persilatan. Saya yakin bahawa cawangan saya telah berjaya menjadi salah satu cawangan yang disegani oleh pelbagai pihak dalam SC. Banyak cawangan lain yang mengadakan kunjungan atau lawatan sambil belajar di cawangan saya.

Dalam tulisan ini, elok juga saya bincangkan cara-cara kita menghebatkan kepimpinan di cawangan atau di mana-mana pusat latihan. Kehebatan kepimpinan ini akan banyak membantu mewujudkan suasana yang menyeronokkan di cawangan. Bilangan ahli dalam satu-satu masa latihan adalah begitu ramai dan meriah. Kemeriahan itu akan mendorong kepada perkembangan yang pesat dari masa ke masa.


Perkara utama yang perlu ada pada para pemimpin persatuan ialah MEMILIKI VISI YANG BERPANDANGAN JAUH. Dari segi ini, seseorang pemimpin itu perlu ada visi yang merangkumi visi untuk diri sendiri, pasukan, dan organisasinya yang dipimpin. ‘Pakejkan’ visi ini dan berkongsilah dengan orang lain, terutamanya pada mereka yang kita pimpin. Selalu juga persoalkan diri sendiri. Dalam masa dua hingga tiga tahun yang akan datang, apakah yang kita kehendaki buat perkembangan diri dan persatuan yang kita pimpin. Jika visi kita itu melibatkan penglibatan diri kita atau orang-orang kanan kita yang semakin kurang, maka kita perlu ada perancangan untuk menyusun barisan pelapis. Usaha-usaha yang dijalankan perlulah buat jangka masa panjang dan berdasarkan pandangan jauh kita.

Semasa saya memimpin cawangan dulu, menjadi visi saya supaya SC bertapak di pusat pengajian tinggi dalam satu jangka masa yang tertentu. Apabila ada wakil dari UTP yang berhajat untuk membuka SC di kampus pengajiannya, saya ambil berat dan ambil peluang. Perbincangan yang dilakukan adalah dalam suasana bagi jadi. Perkara payah saya senangkan. Segala rintangan terutamanya tenaga pengajar, saya anggap sebagai cabaran yang boleh diatasi. Oleh sebab azam yang kuat untuk mencapai visi yang telah ditetapkan, maka usaha-usaha tersebut telah berjaya. Semua ahli dalam  cawangan sangat gembira atas kejayaan membuka SC di pusat pengajian tinggi.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa jika kita telah ada visi yang jelas maka berikan penekanan terhadap visi berkenaan pada setiap peluang yang kita peroleh. Dalam masa itu, sebarkan visi kita itu dalam kalangan ahli supaya hasrat berkenaan diketahui oleh semua pihak. Tidaklah kita syok sendiri. Kejayaan berdasarkan hasil hala tuju kita dapat dikongsi bersama. Sama-sama akan meraikannya jika beroleh kejayaan.

Sebagai pemimpin, kita mesti berani terutama berani memperkenalkan idea-idea baru yang berpotensi demi memajukan persilatan dan persatuan. Risiko ada di mana-mana. Oleh itu, seorang pemimpin yang hebat itu mestilah SANGGUP AMBIL RISIKO. Cuma, yang membezakan risiko itu ialah sama ada besar atau kecil. Kalau kita ingin menyahut cabaran, bermakna kita telah bersedia untuk mengambil risiko. Mereka yang gagal untuk menyahut cabaran biasanya tidak akan melakukan perubahan dan tidak dipandang oleh orang lain terutama para pengikutnya.

Satu contoh yang paling mudah dan pernah saya hadapi ialah cabaran membuka kelas baru. Pada masa dulu, menyakinkan masyarakat untuk menerima SC bukannya perkara senang. Lebih-lebih lagi apabila ada saingan dengan Kalimah di tempat berkenaan. Membuka kelas bermakna akan menanggung risiko. Berdasarkan pengalaman lalu, pernah kami dicabar dan pernah disebarkan berita secara bertulis bahawa SC membawa ajaran sesat. Oleh itu, terpaksalah kami sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut. Kalaulah kita tidak mahu menanggung risiko maka jiwa juang akan luntur. Kita akan mengalah dan hal yang demikian akan menyebabkan SC tidak dapat berkembang dengan pesatnya.

Tidak dapat dinafikan betapa Ustaz sendiri terpaksa menanggung risiko yang amat besar tatkala menapakkan SC di ibu kota. Banyak cabarannya. Serangan peribadi telah dijadikan strategi utama musuh-musuh Ustaz. Namun begitu, atas sifat berani dan yakin akan diri sendiri, Ustaz telah berjaya mengatasi risiko tersebut. SC terus berkembang dan bilangan ahlinya terus meningkat. Ketika sambutan Perayaan Sepuluh Tahun SC, kita juga menghadapi cabaran apabila dicabar oleh satu pertubuhan silat dari Siam. Itulah risiko yang dihadapi apabila bentuk persembahan kita membuktikan bahawa SC dapat mengatasi pelbagai jenis bela diri sama ada dari dalam atau dari luar negara. Walau bagaimanapun, peningkatan bilangan ahli berserta dengan ahli-ahli yang setia, maka risiko yang timbul mudah dihadapi dan seterusnya risiko yang ada semakin berkurangan. Walaupun ada, umpama belalang di padang yang mudah ditangkap dan mudah dibereskan.

Kita tidak akan berupaya membuat kerja-kerja persilatan dan persatuan secara berseorangan. Kita memerlukan bantuan dan pandangan orang lain. Ketika-ketika tertentu kita mungkin asyik mengarah atau mengatur strategi agar orang lain boleh membantu. Namun begitu, dalam keadaan-keadaan tertentu, berilah peluang kepada anak didik kita untuk mengemukakan pandangan dan pendapat mereka. Peluang yang diberi itu akan memberi makna jika kita sendiri membuka ruang kepada mereka untuk mengeluarkan pendapat. BERILAH DORONGAN KEPADA PENGIKUT KITA  UNTUK BERKREATIF DAN BERINOVATIF.

Kalau kita inginkan perubahan pada persilatan dan persatuan yang kita pimpin, penyertaan luas dari kalangan ahli amat penting. Itulah kunci perubahan jika kita ingin mara lebih jauh ke hadapan. Relakan diri kita untuk ‘dipengaruhi’ oleh idea-idea baru yang dikeluarkan oleh para pengikut kita. Bukannya rugi bagi kita mendengar pendapat mereka. Orang yang tidak bersedia menerima idea baru bukanlah orang yang baik untuk menjadi pemimpin.

Untuk menjadikan kepimpinan kita berada dalam keadaan mantap, bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak kelemahan dan kesilapan yang kita lakukan dari masa ke masa. Perkara penting, selalulah kita muhasabah diri. JANGAN TAKUT MEMBUAT KESILAPAN. Belajarlah daripada kesilapan kita dari semasa ke semasa. Elakkan daripada mengulangi kesilapan yang sama. Hal yang demikian akan menjadikan pemikiran kita semakin matang dan tindakan kita semakin mantap.

Semua orang mengakui bahawa manusia itu bukannya unggul. Pasti ada kesilapan. Oleh itu, tidak perlulah kita menyorokkan kesilapan yang dilakukan. Hal yang demikian menunjukkan sifat kita yang cuba  menipu orang lain. Lambat laun ia akan terbongkar jua. Maka lebih baik jika kita akui kesilapan itu dan cuba membetulkannya dengan seelok mungkin. Saya rasa semua pihak akan memaafkannya, berbanding jika kita cuba menyorok atau cuba menipu akan sesuatu kesilapan tersebut. Sesungguhnya, amat sedikit yang kita belajar daripada kejayaan yang tercapai. Sebaliknya, amat banyak perkara yang kita belajar daripada kesilapan yang kita lakukan. Hal yang demikian tidak bermakna kita perlu melakukan kesilapan. Perkara pentingnya ialah elakkan diri kita daripada membuat kesilapan yang sama dan kesilapan yang berulang.

Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 03/03/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: