RSS

27.1 CARA-CARA BAGI MENINGKATKAN KEBERKESANAN KEPIMPINAN ORGANISASI

27 Feb

Kepimpinan kita juga boleh ditingkatkan melalui maklum balas dari orang-orang yang kita pimpin. Satu sistem maklum balas perlu diadakan untuk mereka berpeluang menilai prestasi kepimpinan kita. Hasil yang diperoleh, jadikan panduan tanpa ada sebarang rasa dendam. Sistem maklum balas adalah pelbagai bentuk. Ada yang menggunakan bahan tulisan.

Saya kerap menggunakan kaedah bualan lisan. Kita tanya rakan-rakan atau ahli-ahli yang benar-benar ikhlas dan boleh dipercayai. Bukannya ahli-ahli yang pandai mengambil hati. Konsep ’bertanyakan kebaikan pada sahabat dan bertanyakan kelemahan pada musuh’ adalah sesuatu yang tidak jelas. Saya tidak mempercayainya. Kalau bertanyakan musuh, banyak kelemahan yang dilipatgandakan. Hati kita sakit. Lebih baik kelebihan dan kelemahan ditanyakan pada sahabat kita yang ikhlas dan tidak ada kepentingan.

Maklumat yang diperoleh baiki dengan sebaik-baiknya. Jangan ego atau menyombong diri. Sesuatu yang baik bagi kita mungkin ditafsir sebaliknya pada masyarakat banyak. Oleh itu, mana-mana yang perlu dibaiki maka baikilah dengan segera. Hal yang demikian akan menjadikan kepimpinan kita semakin mantap dan diterima mudah oleh semua lapisan dalam pengurusan kita.

Kehebatan seseorang pemimpin juga ada kaitannya dengan pengalaman yang dialaminya. Pengalaman tersebut biarlah sebenarnya tanpa mendengar cerita atau secara membaca. Salah satu bentuk pengalaman yang boleh kita rancangkan ialah melalui kesediaan kita menerima sebarang tanggungjawab yang dimanahkan kepada kita. Jangan tolak kerja.

Pengalaman melalui pusingan kerja amat memberi faedah besar.  Dalam konsep itu tiap-tiap individu dalam organisasi perlu diberi peluang yang luas untuk menjawat jawatan yang mempunyai tanggungjawab yang besar. Ada masanya menjadi bendahari dan tidak salah di masa yang lain setelah beberapa tahun, jadikan setiausaha. Lagi banyak pengalaman bertugas maka lagi banyak pengalaman yang ada. Pengalaman itu banyak faedahnya. Secara langsung akan memantapkan daya kepimpinannya sendiri untuk memimpin para pengikutnya. Hal yang demikian akan menjadikan persatuan atau organisasi yang dipimpinnya semakin mantap dan semakin baik.

Kemajuan kerjaya sebagai pemimpin persatuan dan kemajuan individu dalam bidang yang diceburinya seperti persilatan, perlu diambil berat. Hal yang demikian bermakna kehebatan ahli-ahli yang kita pimpin perlu ditingkatkan sama ada dalam bidang persilatan atau dalam bidang persatuan. Setiap individu perlu dipermajukan. Jika tidak, mereka akan menjadi manusia yang pasif dan membosankan.

Dalam bidang persatuan, tingkatkan daya kepimpinan mereka. Galakkan mereka menghadiri kurus-kursus yang dianjurkan oleh pihak pusat. Malah, kita yang berada di tahap cawangan pun perlu mengadakan kurus-kurus bagi meningkatkan keupayaan mereka mengurus persatuan melalui jawatan yang disandang. Semasa kursus, adakan satu jadual tentang perkongsian pengalaman. Mereka boleh berbincang cara-cara menyelesaikan sesuatu masalah atau persoalan yang dihadapi.

Di samping itu, tujuan sebenar mereka menjadi ahli persatuan perlu diambil kira. Dalam persatuan kita, penguasaan persilatan SC adalah agenda utama. Di samping kebolehan mereka mengurus persatuan, kehebatan mereka dalam persilatan perlu dititikberatkan. Jangan abaikan mereka. Jadikan mereka ahli yang hebat mengurus persatuan dan hebat menguasai persilatan. Hal yang demikian akan menjadikan daya kepimpinan mereka semakin mantap dan berkembang dari masa ke masa.

Kesimpulannya, kita perlu akui betapa manusia yang ada dalam satu-satu persatuan atau satu-satu organisasi itu perlu diberi keutamaan. Setiap persatuan atau organisasi memerlukan manusia dan manusia memerlukan organisasi. Organisasi dan manusia saling memerlukan ke arah kejayaan dan kesejahteraan individu dan organisasi itu sendiri.

Organisasi yang teguh melahirkan manusia yang berdedikasi dan berdisiplin. Tetapi, kita jangan lupa bahawa organisasi yang teguh dan kukuh tetap memerlukan kepimpinan yang bertenaga dan sentiasa disenangi. Dalam hal ini, sifat dan nilai yang dimiliki oleh sesorang itu akan menentukan gaya kepimpinan. Kita yakin bahawa sifat-sifat yang mulia dan nilai-nilai yang dimiliki oleh seseorang pemimpin akan membawa persatuan SC ke arah kejayaan. Oleh itu, sebagai Penyelia Kelas, Kepimpinan Tertinggi dan para Jurulatih, sentiasalah tingkatkan daya kepemimpinan diri agar persatuan silat yang kita pimpin akan menjadi persatuan yang benar-benar hebat. Hebat persatuan maka hebatlah silat yang dinaunginya. Jangan sombong dan ego diri tatkala menerima jawatan yang diberi. Kelak akan rugi diri sendiri.

Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 27/02/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: