RSS

26.2 GAYA KEPIMPINAN III

19 Feb

Satu lagi jenis perangai atau pelakuan seseorang dapat dihubungkan dengan gaya demokratik. Ramai yang mengenali gaya kepimpinan secara demokratik. Pemimpin yang mengamalkan gaya ini dikatakan sebagai pemimpin yang sentiasa mengambil berat hal-hal yang dihadapi oleh para pengikutnya. Kebajikan para pengikut sentiasa dijaga. Nilai sosial adalah begitu tinggi. Hubungan sesama ahli adalah begitu rapat. Hal yang demikian akan menjadikan mereka menghormati orang lain terutama pengikutnya. Dari segi menjalankan tugas, mereka akan bersama-sama turun padang untuk menyelesaikan tugasan yang diberi.

Sesuatu pelaksanaan tugas, konsep bermesyuarat atau berbincang amat dititikberatkan. Malah kalau seseorang itu menjadi ketua, prinsip berbincang dan berunding dengan orang bawahan sangat ditekankan  sebelum membuat sesuatu keputusan. Malah ketua berkenaan sangat menggalakkan penyertaan dan kerjasama antara semua lapisan ahli yang ada dalam satu-satu organisasi itu. Maka lahirlah sifat bertolak ansur jika sesuatu matlamat itu belum tercapai. Desakan kurang digunakan, sebaliknya prinsip memujuk dan memohon kerjasama amat diutamakan.

Kalaulah Presiden Cawangan kita atau Penyelia Kelas kita ataupun Jurulatih kita sendiri mengamalkan gaya kepimpinan demokratik, terserlah perangainya yang menekankan perseimbangan antara tugas dan kesesuaiannya dengan ahli yang berkenaan. Mereka akan pandai membuat pembahagian kerja berdasarkan kesesuaian. Malah, tugas menggantung kain rentangpun akan diberi pada mereka yang sesuai menjalankan tugas berkenaan. Jika tugasan itu ditolak, perbincangan dan pujukan kerap kali digunakan.

Kepemimpinan yang mengamalkan gaya kepimpinan ini, akan sentiasa menjadi pendorong dan penggalak kepada ahli-ahli lain sebagai motivasi. Tekanan pada ahli akan cuba dielakkan. Dalam persilatan, jika ada pesilat yang masih lemah menguasai pelajaran, Jurulatih itu akan membina gerak penuntut tersebut dalam keadaan tenang, jujur dan sabar. Gaya kepimpinan ini mempunyai sikap dan pegangan bahawa setiap individu itu berbeza dari segi sifat dan kebolehannya. Oleh itu, mereka akan mempunyai perancangan bagi membina kebolehan anak didiknya dari masa ke masa. Gaya kepimpinan ini juga suka berbincang. Setiap kelemahan dalam penguasaan silat, akan dicari puncanya. Punca ini akan dijadikan dasar dalam perbincangan dengan anak didiknya apabila menyentuh soal-soal pembelajaran silat.

Dalam aktiviti persatuan, mereka menggalakkan penyertaan semua ahlinya secara total. Mereka percaya bahawa pengurusan secara penyertaan total ini adalah cara yang terbaik untuk mengurus persatuan dengan berkesan. Hal yang demikian akan menjadikan semua ahli akan komited dengan segala perancangan. Setiap kejayaan akan dirai bersama manakala kegagalan yang ditempoh akan dirasai tanggungjawabnya oleh semua ahli.

Oleh sebab kepimpinan corak ini berjaya membawa para ahlinya perasaan empunya pada persatuannya, mereka akan sentiasa menetapkan objektif yang tinggi dalam setiap perancangan. Sifat suka berbincang dan turun padang memastikan keyakinan mereka berkemampuan untuk membimbing dan menasihati ahli persatuannya ke arah pencapaian matlamat.

Pelakuan berdasarkan gaya kepimpinan demokratik ini amat sesuai sekali jika pemimpin atau ketua persatuan itu tidak mempunyai kuasa mutlak. Kalau tak ada kuasa mutlak lebih baik jangan suka mengarah-arah orang lain atau anak buah sendiri dengan sesuka hati. Biasanya arahan itu tidak dipeduli dan tidak dijalankan dengan baik dan berkesan. Kebolehan mentadbir di cawangan itu adalah ramai dan masing-masing ada kebolehannya tersendiri. Kalaulah dalam peratuan itu ada ramai tokoh-tokoh yang berwibawa sebagai ketua dan pemimpin, gaya demokratik adalah perlu. Arahan secara autokratik akan menyebabkan perasaan tak puas hati pada pemimpin lain yang berasa dirinya juga berkebolehan.

Corak kepimpinan demokratik juga akan menyebabkan timbul dalam kelompok ahlinya, mereka yang boleh bersuara mengeluarkan pendapat atau hasrat. Hal yang demikian akan menjadikan mereka berasa diri mereka diberi penghargaan dan diperlukan dalam persatuan. Oleh itu, kesetiaan, komitmen dan pengorbanan mereka pada persatuan akan turut bertambah. Secara langsung penyertaan pengikut dalam membuat keputusan diperlukan. Masing-masing akan berusaha untuk memajukan persatuan. Secara langsung akan mendidik para ahli menjadi pemimpin. Banyak perkara yang mereka boleh belajar dalam pengurusan persatuan. Secara tidak langsung, wujudlah barisan pelapis kepimpinan dalam persatuan dan persilatan. Sepatutnya kesinambungan kepemimpinan ini penting bagi meneruskan perjuangan SC.

Berdasarkan pengalaman saya, jika semua barisan kepimpinan pada satu-satu persatuan itu mengamalkan gaya kepimpinan demokratik maka sikap, tingkah laku dan tindakan mereka juga akan menjurus ke arah demikian. Setiap aktiviti menampakkan penyertaan bersama. Semua ahli tahu akan peranan masing-masing. Malah, keputusan yang diambil pun adalah keputusan bersama hasil perbincangan secara bersama. Pembahagian tugas adalah juga berdasarkan keputusan bersama. Tugas yang diberi akan dipikul dengan sebaik mungkin. Oleh itu, setiap kejayaan adalah merupakan kejayaan bersama. Mereka akan meraikannya bersama. Itu sebab kita selalu dapati, apabila selesai sesuatu aktiviti, mereka akan meraikannya bersama di kedai-kedai makan atau di mana-mana sahaja. Bersembang-sembang pada aktiviti yang telah dijalankan. Mengulang-ulang catatan peristiwa yang sama-sama terlibat dan sama-sama saksikan.

Sebaliknya, setiap kelemahan akan dikongsi bersama. Masing-masing akan berduka dan mencari jalan mengatasinya. Perbincangan akan diadakan dari masa ke masa bagi mengatasi kelemahan seterusnya. Tuduh-menuduh sesama sendiri akan banyak merugikan pelbagai pihak.

Walau bagaimanapun, kepimpinan demokratik ini juga mungkin membawa serba sedikit kekurangan. Kalau keadaan mendesak, keputusan yang diambil akan menjadi lama. Perbincangan akan memakan masa. Masing-masing dengan pendapatnya sendiri. Jika tidak ada persetujuan akan menyebabkan ada dalam kalangan mereka yang mengundur diri. Masing-masing akan bersaing dalam memunculkan diri sebagai seorang yang hebat. Pendapat mereka cuba diketengahkan dalam keadaan mesti diterima. Hal yang demikian tentunya tidak membawa kebaikan kepada persatuan. Terlalu banyak perbincangan akan menggalakkan perpecahan. Perpecahan yang wujud itu akan diambil kesempatan oleh para pemimpin yang ada kepentingan diri.

Kita telah melihat dua jenis gaya kepimpinan. Gaya-gaya tersebut adalah terhasil pada diri seseorang yang dipengaruhi oleh nilai-nilai yang pernah saya bincangkan. Nilai-nilai tersebut telah terpupuk sejak zaman kelahiran mereka lagi. Perlakuan seseorang yang berada di sekeliling kita dapat dihubungkan dengan gaya kepimpinan  tersebut. Hal yang demikian akan memudahkan kita memahami akan perangai atau kelakuan orang-orang yang berada di sekeliling kita.

Berdasarkan pengalaman saya dalam agensi kerajaan dan berdasarkan pengalaman saya bersama-sama Ustaz, ciri-ciri gabungan kedua-dua gaya kepimpinan tersebut amat sesuai sekali dalam kebanyakan organisasi. Umpama sifat jantan. Ada masa lembut dan ada masa keras. Lembut sepanjang masa akan memperlihatkan kelemahan. Manakala keras sepanjang masa akan memperlihatkan ketegangan. Gabungan lembut dan keras akan menyebabkan wujud kemudahlenturan. Ketika yang perlu akan menjadi keras dan ketika tertentu akan dilembikkan.

Saya rasa hal yang demikian akan menjadikan setiap orang berada dalam keadaan waspada dan serius untuk menjalankan sesuatu  tugas yang diamanahkan. Mereka yang pernah rapat dengan Ustaz tentu memahami keadaan yang demikian. Kita boleh membuat contoh yang paling mudah dalam persekitaran rumah tangga kita sendiri. Untuk memilih warna langsir, saya rasa gaya suka hati elok dijalankan. Isteri kita sentiasa berada di rumah. Biarlah dia yang menentukan pilihannya. Tidak perlu kita campur tangan. Walau bagaimanapun, apabila melibatkan perbelanjaan langsir tersebut beribu ringgit, maka konsep demokratik perlu dilaksanakan. Asasnya ialah perbincangan. Suami isteri perlu berbincang dari segi punca perbelanjaan dan faedah-faedahnya. Sebaliknya jika isterinya terdesak untuk melahirkan anak, tindakan mutlak perlu diambil. Tak perlu bincang-bincang lagi. Terus ambil tindakan. Perbincangan hanya layak dilakukan ketika di awal mengandung. Untuk melahirkan anak, mana boleh ada perbincangan. Kata putus segera perlu dibuat.

Pengamalan gaya kepimpinan secara gabungan ini adalah lebih  fleksibel dan praktikal. Kalau barisan ahli tiada kemahiran dan kemahiran itu hanya terletak di tangan kita, maka teruskan beri arahan mutlak. Hal yang demikian menunjukkan kesungguhan barisan kepimpinan untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Perancangan yang memerlukan perbincangan, perlulah diikuti dengan perbincangan. Perancangan yang memerlukan arahan maka terus saja keluarkan arahan.

Saya yakin, gaya gabungan ini adalah lebih berkesan. Setiap ahli akan tahu batas keupayaan masing-masing. Mereka boleh mengembangkan potensi diri yang ada. Ketika itu, mereka akan berwaspada dan tidak mengambil mudah atas sesuatu perkara. Manakala para kepimpinan atasan pula akan mudah membuat perubahan dan memperkenalkan perubahan. Oleh sebab tiada siapa yang berani menentang, maka para ahlinya akan nampak akan keseriusan pemimpinnya dalam menjalankan sesuatu perancangan.

 
Leave a comment

Posted by on 19/02/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: