RSS

26.1 GAYA KEPIMPINAN II

14 Feb

Dalam tulisan seterusnya, saya cuba membawa para pembaca lebih memahami tentang gaya kepimpinan yang ada, berdasarkan teori-teori kepimpinan ”biasa”. Kefahaman ini penting agar kita dapat memahami akan perangai seseorang pemimpin itu yang dikatakan bertanggungjawab membawa hala tuju persatuan dan masa depan kita sendiri dalam persilatan dan persatuan. Bayangkan gaya-gaya tersebut dengan gaya kepimpinan pemimpin kita sama ada yang sedia ada atau buat masa-masa lalu atau akan datang. Bandingkan juga gaya-gaya tersebut dengan perangai kita sendiri. Sekurang-kurangnya dalam proses muhasabah diri, kita juga akan mengetahui akan kedudukan perwatakan kita. Hal yang demikian akan memudahkan kita menyesuaikan diri kita dengan perangai, sikap dan gaya pemimpin atau ketua kita atau rakan-rakan sekeliling, di samping memahami akan tindak tanduk mereka dalam kehidupan seharian SC.

Namun dalam hal ini seperti yang selalu saya tegaskan, jangan lupa keperluan kita muhasabah diri. Kelemahan dan kekuatan rakan sekeliling sama ada ketua atau rakan biasa, jangan mudah ditafsir sesuka hati. Kita mesti ada ilmu bagi membuat sesuatu kesimpulan atau ulasan. Jadi, jangan sesekali jadikan isu atas kelemahan mereka. Jangan juga sesekali bermegah atas kelebihan mereka. Cuma, jadikan sempadan atau batasan pegangan kita. Setiap kelemahan perlu diperbaiki. Kekuatan atau kelebihan yang ada pada kita, binalah dan kuatkan dari masa ke masa. Sering-seringlah berbincang dengan rakan-rakan akrab kita.

Biasanya perangai seseorang itu dipancarkan pada gaya kepemimpinan tradisional. Gaya ini  meliputi tiga jenis iaitu Gaya Autokratik, Gaya Demokratik dan Gaya Laissez Fair. Setiap gaya kepimpinan itu akan saya bincangkan dari segi ciri-cirinya, implikasi pengurusan dan kesesuaiannya bersandarkan pada pandangan saya. Mungkin tulisan ini akan memberi sedikit pengetahuan kepada para Jurulatih yang mengendalikan kelas dan kepada barisan pemimpin cawangan yang mengendalikan persatuan bagi memahami perangai anak-anak didik atau rakan sekeliling.

Gaya kepemimpinan Laissez Fair tidak akan dibincangkan dalam tulisan ini. Hal ini demikian kerana gaya tak kisah ini sudah tidak sesuai dan tidak popular lagi. Berdasarkan hukum adat, biasanya kalau tak kisah maka individu itu pasti akan ’ditendang’ daripada organisasi berkenaan. Dalam SC, ramai yang buat tak kisah telah tersingkir dari persatuan dan persilatan. Namun begitu ada juga keluarbiasaannya. Tentu ada satu-satu sebabnya itu.

Gaya kepemimpinan autokratik boleh juga dikatakan sebagai gaya kepemimpinan secara mutlak. Dalam gaya ini, pemimpin tertinggi akan bertanggungjawab untuk menentukan hala tuju persatuan atau hala tuju organisasinya sendiri. Hal yang demikian tidak menghairankan kerana penubuhan persatuan itu sendiri ada kaitan  dengan peranan mutlak yang telah dimainkannya. Pendek kata, tanpa usaha dan pengorbanan yang dilakukannya maka organisasi tersebut mungkin tidak ada. Oleh sebab penubuhan persatuan atau organisasi itu erat kaitan dengan usaha-usaha dan peranannya maka beliau akan terlibat  secara langsung dalam menentukan undang-undang dan peraturan persatuan itu sendiri.

Walaupun ada mesyuarat dalam kalangan ahli jawatankuasa, kepimpinan tertinggi tetap mempunyai kuasa pemutus dalam semua hal. Pendekatan kepimpinannya ialah secara ’top-down’. Terima sahaja arahan atau nasihat yang diberikan tanpa banyak karenah dan tanpa banyak perbahasan. Hal yang demikian akan merugikan masa dan meletihkan mulut untuk berbincang.

Saya pernah menyentuh tentang gaya kepemimpinan secara mutlak ini. Malah, saya tegaskan betapa perlunya gaya kepimpinan jenis ini dijalankan dalam persatuan kita ketika penubuhannya lagi. Saya sendiri sangat berminat dengan gaya ini. Kesesuaian gaya ini adalah berkaitan dengan pelbagai faktor yang saya anggap perlu diberi perhatian.

Saya pernah menulis dalam tulisan terdahulu betapa corak kepimpinan secara mutlak ini amat sesuai ketika timbul suasana kritikal atau mendesak untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Masa perbincangan amat terhad. Kata putus perlu diberi dengan seberapa segera. Boleh juga kita kiaskan umpama isteri kita yang terdesak untuk melahirkan anak. Kata putus perlu diberi, sama ada membawanya ke hospital atau berbidan di kampung. Jika hospital, perlu diputuskan segera sama ada di hospital kerajaan atau hospital swasta. Kelewatan membuat keputusan akan mengundang padah yang membahayakan. Oleh itu kata putus amat penting berbanding dengan proses perbincangan yang akan memakan masa.

Gaya kepimpinan itu juga amat penting jika pemimpinnya sahaja yang tahu akan sesuatu matlamat yang ingin dicapai. Tak perlu bincang-bincang. Buang masa sahaja. Teringat saya dalam satu kelas silat. Ketika belajar buah asas Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung. Kita disuruh supaya meletakkan kaki kita di pelipat pasangan silat secara sentuhan. Jangan dipukul. Maka ada murid yang bertanya. ”Kenapa kita tak pukul saja kaki pasangan kita. Lagi mantap.”

”Ikut aje. Jangan banyak bertanya.” Itulah jawapan Ustaz pada kumpulan saya. Ada yang puas hati dan ada yang tidak puas hati atas jawapan mutlak berkenaan. Tidak ada penjelasan lanjut untuk memuaskan hati ahli yang bertanya.

Selepas tamat baru kami faham akan kegunaannya. Banyak gunanya ketika mempelajari peringkat menengah. Rupa-rupanya percakapan tegas tanpa menggalakkan perbincangan ada gunanya. Cuma yang penting ialah kita memberi kepercayaan penuh pada Jurulatih kita. Mereka tahu apa yang ingin dicapai. Kita tidak ada pengalaman atau pengetahuan tentang tujuan selanjutnya. Kita ikut sahaja. Manakala di pihak Jurulatih, apa guna berbincang pada mereka yang tidak tahu akan gerak seterusnya. Perbincangan akan memakan masa dan membuang masa. Lebih baik banyak bertindak dari banyak bercakap. Cuma, telinga kita perlu tahan atas komen yang pelbagai dari pihak anak didik kita.

Begitu juga ketika kita sedang berhadapan dengan satu majlis anjuran Lincah untuk mempertemukan kita dengan Kalimah. Ustaz mengarahkan buat itu dan ini tanpa ada perbincangan banyak. Orang lain ikut sahaja. Rupa-rupanya, arahan secara mutlak itu memberi impak positif pada perkembangan SC seterusnya. Strategi Ustaz mengena. Ramai yang baru faham setelah nampak akan hasil positifnya.

Jadi jelaslah pada kita dalam suasana mendesak dan dalam keadaan pengikut kita tiada pengalaman atau kurang berpengalaman, kata putus segera perlu ada. Lebih-lebih lagi jika seseorang pemimpin itu lebih mengetahui akan matlamat atau jawapan pada persoalan yang ditimbulkan. Kita jangan mudah membuat kesimpulan negatif terhadap apa jua jenis gaya kepimpinan. Setiap sesuatu itu ada kebaikan dan ada keburukannya. Tafsiran baik atau buruk banyak bergantung pada nilai yang ada pada individu itu sendiri. Bukan semuanya sama ketika membuat tafsiran tentang baik buruk sesuatu itu.

Saya sangat berminat dengan gaya kepimpinan ini dalam keadaan inginkan keputusan yang cepat. Perbincangan akan mengambil masa yang panjang. Berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang ada pada saya, maka keputusan secara cepat dapat diambil. Oleh sebab keputusan itu berdasarkan mutlak saya,  maka saya akan pastikan matlamat yang hendak dicapai itu akan beroleh  kejayaan. Sesungguhnya dalam banyak perkara, matlamat yang dihajatkan telah tercapai kehendak dan maksudnya.

Walau bagaimanapun, saya tidak dapat nafikan betapa gaya kepimpinan yang sedemikian menghadapi risiko kegagalan. Tindakan yang terburu-buru tanpa perbincangan dan pandangan orang lain akan mengundang pertaruhan nasib sama ada berjaya atau tidak. Jika gagal, pastinya pemimpin itu akan dipertanggungjawabkan dan akan menerima kecaman secara sendirian. Jika tersilap langkah juga, pemimpin itu mungkin akan tersingkir dari tanggungjawab yang diamanahkan padanya. Tapi itulah risiko yang perlu diambil oleh seseorang pemimpin yang menaruh kepercayaan pada kebolehan dirinya.

Kepimpinan yang sedemikian juga akan mengundang perasaan tak puas hati dalam kalangan pengikut atau pemimpin yang lain jika ada dalam kalangan mereka yang turut berkebolehan dan berpengetahuan. Apabila diri mereka diketepikan dari memberi pendapat atau pandangan, akan menyebabkan mereka berasa terketepi dan tidak memberi makna akan kehadiran mereka dalam organisasi berkenaan. Mungkin kumpulan ini akan merajuk atau mengundur diri dari setiap aktiviti yang dijalankan.

Perasaan tak puas hati jika tidak dihapuskan akan membunga mekar dari masa ke masa. Mereka mungkin akan melahirkan perasaan tak puas hati itu dalam kalangan ahli yang lain. Maka dengan itu akan wujudlah suasana yang tidak menyenangkan dalam hubungan antara kepimpinan tertinggi dengan anak buahnya. Puncak perasaan tak puas hati itu akan melahirkan penentangan sama ada secara senyap atau secara terbuka. Lebih teruk lagi jika ahli-ahli yang tidak berpuas hati itu akan meninggalkan terus persatuan yang dilibatinya.

Oleh itu jika timbul suasana yang sedemikian, pemimpin yang suka mengamalkan gaya kepimpinan autokratik ini eloklah buat penjelasan. Dalam hal ini, penjelasan yang diberi akan membolehkan ahli-ahli yang tidak berpuas hati akan berasa puas dan jelas. Lebih-lebih lagi penjelasan itu diberikan oleh kepimpinan tertinggi. Janganlah kita bersifat ego. Dalam hukum persatuan, ahli-ahli biasa boleh menjatuhkan kepimpinan tertinggi berdasarkan undian dalam mesyuarat agung. Nampaknya dalam banyak kes, dalam bidang persilatan, guru yang kehilangan jawatan presiden dalam persatuan akan turut kehilangan jawatan guru dalam persilatannya. Sambung.

 
Comments Off on 26.1 GAYA KEPIMPINAN II

Posted by on 14/02/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: