RSS

26.0 GAYA KEPIMPINAN I

13 Feb

Kita tidak dapat menyisihkan diri dalam pergaulan sesama ahli SC. Sepanjang melibatkan diri dalam SC, kita sentiasa berhubung dengan mereka sama ada secara rapat atau tidak. Ketika itulah kita dapat saksikan pelbagai kelibat atau perangai atau tingkah laku rakan-rakan sekeliling. Kerap kali timbul pertentangan nilai antara diri kita dengan diri mereka. Kadang kala kita dapat rasakan betapa diri kita lebih baik dari mereka. Kita dapat lihat betapa rakan kita yang begitu ’alim’ dengan agama. Sering berpuasa dan bercakap lancar dalam bidang agama. Namun kerap kali rakan tersebut mungkir janji. Perangainya itu mungkin bertentangan dengan nilai kita yang tak mungkin mungkir janji. Oleh itu, kita dapat rasakan betapa diri kita lebih baik berbanding dengan diri mereka.

Begitu juga dengan rakan-rakan yang suka bercakap secara menambah-nambahkan berita. Maka wujudlah fitnah dan reka cerita. Hal yang demikian mungkin bercanggah dengan nilai yang ada pada kita. Maka di sinilah lahirnya pertentangan antara sikap dan perangai kita dengan sikap dan perangai rakan sekeliling kita dalam proses kita berinteraksi dengan mereka dalam SC. Demi mendapatkan ilmu, maka kita terpaksa berada dalam pergaulan atau hubungan dengan mereka.

Nilai-nilai yang telah saya bincangkan terdahulu, akan banyak  mempengaruhi perangai dan tatakelakuan kita. Malah, saya berkeyakinan bahawa cara pergaulan, sikap, perangai dan gaya kepimpinan kita akan banyak dipengaruhi oleh nilai-nilai yang wujud dalam diri kita. Perlu diingat, gaya kita memimpin pula lebih banyak ditafsir oleh orang lain. Itu sebabnya gaya kepemimpinan ialah corak atau gelagat kita dengan orang lain seperti mana yang mereka lihat atau mereka tafsirkan. Kalau kita yang menentukan gaya kepemimpinan kita, maka penentuan itu lebih banyak berdasarkan perasaan kita. Oleh itu, tidak perlulah kita menyatakan sifat kepimpinan kita pada orang lain.

”Saya ta kisah. Saya berfikiran terbuka. Cakaplah apa saja. Semuanya saya boleh terima.” Itulah antara lain kata-kata pembuktian sifat atau sikap  kita pada orang lain. Namun begitu, apabila orang lain membuat komen atau memberi ulasan atau sebagainya, mudah pulak kita melenting. Kalau tak melenting ketika itu, akan terbit bibit-bibit dendam yang berbunga dalam hati. Jadi, lebih baik kita berperangai seadanya tetapi sentiasa dalam proses muhasabah diri. Lihat kekuatan dan kelemahan diri kita setiap hari. Jangan lupa lihat juga kesilapan dan tindakan betul yang telah kita lakukan pada hari tersebut.

Saya tegaskan sekali lagi atas keyakinan saya bahawa nilai yang ada pada kita akan banyak menentukan sifat, sikap, perangai atau gaya kepimpinan kita. Tak kira di mana. Sama ada memegang jawatan dalam persatuan atau memegang tanggungjawab dalam institusi keluarga. Sifat-sifat kepimpinan kita itulah yang akan menentukan gaya kepemimpinan kita. Gaya kepimpinan itu adalah hasil hubungan erat antara sifat, sikap dan perangai kita. Jadi, lebih baik kita tidak mendabik dada mendakwa diri kita bersifat sesekian. Biarlah orang lain mentafsirnya. Tugas kita ialah muhasabah diri untuk melihat kelemahan dan kekuatan. Kelemahan yang wujud, perbaiki dengan sebaik-baiknya.

Cuba kita perhatikan proses pepecahan dalam kalangan persilatan kita. Salah satu punca pepecahan ialah timbul sifat mengaku diri sebagai pembela Pusaka Hanafi. Hal yang demikian meliputi bidang persilatan SC dan bidang kefahaman SC. Dakwaan itu juga semakin parah apabila berlaku proses pepecahan dalam gelombang kedua. Mereka yang terkeluar daripada salasilah waris SC juga turut mendakwa betapa diri mereka telah terpilih untuk menjadi pembela Pusaka Hanafi.

Persoalan yang timbul pada kita ialah kenapakah mereka tergamak berbuat demikian. Mereka bukannya golongan profesional dalam SC, sebaliknya ada kerja lain yang memberi punca pendapatan. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan Guru Utama yang merupakan orang profesional kerana pendapatannya berpunca dari kegiatan dalam SC. Beliaulah yang sepatutnya berusaha bermati-matian untuk mempertahankan Pusaka Hanafi. Di sinilah lahirnya satu kepelikan dalam proses persilatan SC.

Kita juga ingin tahu siapakah yang mengatakan atau memberi mandat kepada mereka untuk mendakwa bertanggungjawab sebagai pembela Pusaka Hanafi. Sepatutnya, jagalah tugas yang diamanahkan oleh kerajaan sebagai penjawat awam. SC adalah satu persatuan. Kalau tak suka, undurlah dari persatuan. Tapi lain pulak jadinya. Sudah tentulah diri orang itu yang mendakwa kenyataan tersebut akibat kepentingan diri. Ada sesuatu yang mendorongnya berjuang mati-matian untuk mengekalkan pengaruh dalam persatuan. Oleh sebab mereka terdiri dari golongan bijak pandai, maka akal dimainkan untuk menghalalkan pelbagai cara bagi memenuhi cita-cita penguasaan tersebut. Bagi menyakinkan masyarakat umum ahli, maka terpaksalah mereka mendakwa betapa Silat Cekak itu adalah hak masyarakat. Harapan mereka ialah mendapatkan keyakinan ahli-ahli lain yang buta kayu.

Keyakinan ahli adalah penting bagi menentukan satu-satu dakwaan itu berkesan. Kalau ahli tidak yakin akan dakwaan mereka itu maka cita-cita mereka akan terbantut. Oleh itu, jelas pada kita betapa tafsiran orang lain amat penting bagi mempastikan dakwaan mereka sebagai pembela Pusaka Hanafi itu benar. Kalau kita saja mendakwa sebagai pembela tapi tidak diiktiraf oleh ahli-ahli SC yang lain, maka dakwaan itu tidak membawa makna.

Di sinilah juga betapa penting setiap ahli diasuh agar mempunyai pegangan yang kukuh. Mungkin dari aspek ini, kita ada banyak kelemahan. Barisan kepemimpinan tertinggi SC mungkin terlupa berbuat sesuatu bagi mempastikan setiap ahli persilatan SC benar-benar faham akan kefahaman yang ditinggalkan Ustaz. Kalaulah aspek ini diberi perhatian penting, saya yakin bahawa pepecahan dalam kalangan ahli SC tidak mudah berlaku. Keadaan ini demikian kerana mereka ada keyakinan dan pegangan yang kukuh terutamanya pada institusi guru dalam persilatan SC.

Bagaimana pulak dengan ahli-ahli yang telah diasuh tapi berubah hati dan menunjukkan ketidakfahaman mereka pada ajaran SC. Di sinilah terbitnya prinsip kepentingan diri dan prinsip perasan. Mereka perasan bahawa diri merekalah yang berupaya membela atau mempertahankan kehebatan SC secara memberi sokongan. Siapakah yang mengatakan diri mereka sebagai pembela. Pastinya diri mereka sendiri yang mengatakan demikian. Cuma, sokongan rakan-rakan ahli  lain amat perlu dalam apa cara sekalipun untuk menyokong dakwaan mereka. Pelbagai langkah dilakukan termasuk secara memaksa pengakuan mereka melalui keracunan fikiran.

Golongan ini perlu dikenakan ketegasan. Jangan dibiarkan mereka berleluasa. Ambil tindakan segera. Semasa zaman Ustaz, beliau tetap tegas dengan mereka yang cuba merobak-rabikkan  persilatan dan persatuan SC. Banyak nama yang terlibat. Tidak perlulah saya nyatakan dalam tulisan ini. Penyingkiran mereka tidak merugikan perkembangan SC seterusnya. Malah semakin mantap.

Namun begitu apa kan daya. Kita berbeza dan kita biarkan mereka berleluasa dalam keadaan ingin menenangkan suasana. Akhirnya golongan ini bangkit menjadi pertualang persilatan kita. Maka lahirlah manusia Lan dan Li, Guru Wawasan dan Guru Persatuan. Segala-galanya adalah lambang kelewatan kita bertindak dari mula. Ramai pulak kuncu-kuncu mereka. Pegangan tak tentu hala. sambung.

 
Comments Off on 26.0 GAYA KEPIMPINAN I

Posted by on 13/02/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: