RSS

25.0 KENANGAN BERSAMA PASUKAN SC KULIM

06 Feb

Saya berpeluang menyertai sambutan hari keluarga anjuran SC Kulim pada masa cuti hari minggu yang lalu. Sengaja saya untukkan masa bersama-sama dengan ahli-ahli SC tak kiralah cawangan mana yang kiblatnya sama. Itupun pada mereka yang sudi menjemput saya. Dapat berkongsi ilmu dan pengalaman. Ataupun, dapat juga bertukar-tukar pengalaman. Banyak juga pengalaman baru yang saya tiada. Sesungguhnya, ilmu dan pengalaman amat bermakna untuk mematangkan kita sebagai pemimpin dalam apa jua persatuan yang ada. Lebih-lebih lagi persatuan SC kita yang banyak cabarannya.

Lama tidak bersama dengan ahli-ahli SC kerana kesibukan dulunya. Tapi bila sudah bersara, ingatkan ada banyak masa. Rupa-rupanya kesibukan tetap ada. Cuma, pandai-pandailah mengurus diri bagi disesuaikan dengan masa luang yang ada. Apabila ada undangan dari persatuan SC tersebut, saya rasa itulah saat yang gembira. Minat saya sememangnya pada SC. Cawangan yang ada dulunya, sudah tak dengar berita. Menyendiri atau memencilkan diri. Agak-agak sahaja. Takut menjemput kerana sudah beralih rasa. Takut-takut ditimpa bencana. Gara-gara beralih muka. Tak sanggup lagi bertentang mata. Nampak asing umpama janda berlaga.

Usaha yang dilakukan oleh persatuan SC tersebut, saya anggap adalah merupakan satu usaha yang amat baik. Itulah yang selalu saya maksudkan sebagai aktiviti yang mempunyai  nilai sosial. Di samping bergiat hebat mengembangkan SC, jangan lupa hubungan sesama ahli. Hubungan erat yang tersemai adalah salah satu dari cara menjaga kebajikan para ahli, tidak kira kita berada di tahap mana. Dalam aktiviti tersebut, penglibatan keluarga amat baik. Perasaan mereka yang mungkin terganggu akibat aktiviti kita dalam persilatan SC, mungkin terubat sikit. Mereka akan berasa diri mereka dihargai dan diambil peduli.

Bukan mudah untuk mengumpul bilangan ahli yang ramai dalam satu-satu aktiviti atau satu-satu perjumpaan. Apatah lagi perjumpaan itu melibatkan keluarga. Ramai kepimpinan SC yang berkeluarga. Komitmen mereka berbahagi-bahagi. Ketika masih bujang, tentunya tumpuan mereka dapat diberikan seratus peratus kepada silat. Akan tetapi setelah berkeluarga, umurpun semakin tua dan dewasa. Tanggungjawab mula bercambah. Atas minat pada silat, tuntutan keluarga dan tuntutan silat perlu diambil kira. Di sinilah lahirnya perasaan serba salah. Walau bagaimanapun, seperti yang selalu saya katakan, tuntutan keluarga perlu diutamakan. Sakit pening kita mereka pula yang jaga. Mereka rela bersama kita siang dan malam ketika  kita  berada dalam kesihatan yang kurang baik.

Oleh sebab tuntutan keluargalah maka bilangan yang berkumpul pada hari berkenaan tidak seramai seperti yang diramal. Jadi, terlepas juga untuk saya bersua muka dengan rakan-rakan lama yang saya kenal tapi masih aktif dalam cawangan berkenaan. Mereka pun telah tua. Lama tak jumpa. Pasti ada uban atau keredut atau botak kepala di mana-mana. Namun begitu, itulah ketentuan namanya. Kalau tak ada rezeki untuk bersua muka, jangan diharap hajat tercapai. Tunggulah di lain masa. Tapi bila ye!? Masing-masing ada kesibukannya. Lantaklah. Ada rezeki, bersualah nanti. Tapi syaratnya jangan beralih angin. Jika beralih angin, maka putuslah hubungan yang ada. Itulah hukum peraturan kita. Peraturan yang tidak tertulis tapi telah diterima pakai oleh semua.

Nampaknya perjumpaan itu juga berserta dengan pelbagai aktiviti keluarga. Siang berkelah, malam dengan aktiviti membakar daging. Oleh sebab daging rusa atau daging kambing susah dicari, maka daging ayam sudahlah pasti. Tapi, nampak biasanya. Rupa-rupanya, bukan mudah membuat sesuatu yang luar biasa. Banyak halangannya dan banyak pengorbanannya. Kalaulah ada pegawai yang dah jadi besar itu datang, pasti idaman menjadi kenyataan. Pegawai itu bertekad orangnya. Selalu dapat akan apa yang dihajati. Namun begitu ada masalah pula ; Biasalah tu.

Aktiviti yang ada termasuklah aktiviti silat. Itulah sifat ahli SC. Silat tidak dapat dipisahkan dengan diri. Telah bersepadu dan telah bersebati. Satu perkembangan yang baik. Ke mana pergipun, aktiviti silat tidak mudah dikesampingkan. Persatuan dan persilatan adalah satu dan bersepadu. Mana boleh dipisah-pisahkan. Persatuan kita bergerak atas dasar silat. Silat yang hendak digerakkan itu perlu ada persatuan.

Tempat perjumpaan, juga melibatkan orang luar. Ramai yang bekunjung di tempat yang sama. Tak dapat kita mengelaknya. Namun begitu, aktiviti silat perlu ada. Itulah ketetapan mereka. Saya hanya memerhatikan respon masyarakat keliling yang ada. Nampaknya, mereka tidak ambil peduli lagi tentang  aktiviti kita. Mereka bergerak atas aktiviti mereka. Konsep bandar agaknya. Tak suka sibuk dan menyibuk.

Maka teringat saya kenyataan geng sebelah sana. SC adalah hak masyarakat. Agaknya kenyataan itu ada maknanya. Masyarakat sudah tak ambil peduli lagi. Maka dilaungkan bahawa SC itu hak masyarakat dengan harapan masyarakat akan ambil berat pada SC. Tapi masih tak menjadi. Rasanya bagus juga di hati mereka. Kalau masyarakat tak ambil peduli, biarkan saja dan mereka pula yang ambil peduli. Ada strategi. Senang dapat habuan jangka panjang. SC bukan  lagi warisan. Hak masyarakat. Tapi masyarakat mana. Maka merekalah masyarakat. Itulah wawasan jangka panjang yang pastinya.

Teringat di zaman muda saya dulu. Berlatih silat amat dijaga. Umpama anu yang tidak mudah ditunjuk pada sesiapa, melainkan pada yang hak. Malah, dalam kelas silat sendiri, ahli silat yang belum masuk pelajaran buah jatuh tidak boleh melihat aktiviti pesilat yang berlatih buah jatuh. Kalau ahli SC itu datang dari tempat yang berlainan, maka Jurulatih akan bertanya, “Belajar SC setakat mana.” Kalau jawapannya, “belajar setakat asas”, maka berlatihlah pesilat-pesilat SC itu sesama mereka pelajaran  asas. Apatah lagi bagi kumpulan yang berlatih potong atau kemahiran. Latihan mereka adalah merupakan kerahsiaan. Ketika latihan dalam kelas, kalaulah datang ahli silat yang belum masuk pelajaran berkenaan, maka latihan potong atau latihan kemahiran akan diberhentikan. Mereka hanya berlatih buah asas atau buah jatuh sahaja. Ikut pelajaran yang ada pada ahli berkenaan yang bertandang. Kalau ahli SC cawangan yang sama, mudah kita melarangnya. Kalau ahli luar, tentu akhirnya, pesilat yang bertandang itu akan disuruh balik.

Itulah sifat bersilat SC di zaman dulu. Saya tak berminat menyentuh mana yang baik. Cuma menceritakan sifat kami dulunya. Mungkin hanya di cawangan saya agaknya. Namun begitu saya rasa sifat kerahsiaan kami itu ada kaitan dengan perasaan cemburu agaknya. Ketika itu SC berada dalam proses perkembangannya. Sifat keluarbiasaannya amat menarik minat masyarakat. Mereka cuba mencungkil rahsia kehebatan SC. Pelbagai cara mereka lakukan. Maka itu sebab agaknya, kami sentiasa berwaspada.  Kami tidak rela SC ditonton oleh sesiapa yang bukan ahlinya.

Ketika bersilat datang seorang peminat menghampiri kumpulan kami. Rupa-rupanya beliau adalah ahli SCM. Beliau beminat dengan latihan yang ada. Mana tidaknya. Gerak silatnya mesti sama. Cuma, saya pasti gerak halus mesti berbeza. Maklumlah. Saya yakin, gerak mereka lagi tak tentu hala. Tak tentu punca. Banyak perubahannya. Gara-gara pelarasaan yang tak habis-habis. Bila asyik selaras maka tunggul yang tinggal. Hilang batangnya.

Tiba-tiba beliau bersuara. Kenapa kita berpecah ya!? Malas bagi saya nak jawabnya. Tapi saya jawab ringkas sahaja, “Itulah kepentingan diri namanya.”

Ketika itu saya teringat kisah lama. Semasa masih dalam proses perpecahan, dikatakan PA telah membuat serahan. Saya inginkan kepastian. Saya telefon PA. Beliau bersetuju singgah ke rumah saya dalam perjalanan baliknya ke Bukit Mertajam. Tapi, ketika itu orang lain turut datang bersama. Mereka datang dengan kereta yang lain apabila mendengar PA akan singgah di rumah saya. Termasuklah kehadiran guru mereka yang sedia ada sekarang. Jawapan yang saya tagih dari PA tentang serahan, tidak terjawab. Beliau membisu sahaja. Guru CM yang ada sekarang ini, sibuk menjawab. “Paksaan.” Itulah kata-katanya tentang penyerahan yang ada. Banyak penjelasannya. Tapi saya tak boleh terima. Sama dengan penjelasan puak-puak sana yang berpecah sekarang, kepada saya. Pun saya tak boleh terima. Panduan saya jelas. Saya ada kefahaman. Pastinya kefahaman itu dipusakai dari Ustaz. Kefahaman itu juga sering saya sebarkan pada penuntut saya. Tapi ada yang tak berapa boleh masuk nampaknya.

Berbalik pada perjumpaan keluarga cawangan berkenaan. Ketuanya berupaya bertindak sebagai seorang pemimpin persatuan dan pemimpin persilatan. Usahanya bersungguh. Itulah petanda kehebatannya. Saya yakin dan saya percaya bahawa petanda hebat itu pasti akan memberi sumbangan pada kehebatan persatuan dan kehebatan persilatan SC yang dipimpinnya.

Saya selalu nampak betapa pemimpin yang hebat itu sentiasa mengamalkan etika kerja yang mantap. Kerja-kerja yang dilakukan adalah tersusun hasil perancangan yang rapi. Mereka boleh membuat perubahan dari masa ke masa. Perubahan yang dilakukan adalah merupakan satu usaha penambahbaikan. Hal yang demikian termasuklah menjaga kebajikan ahli-ahli persatuan yang dipimpinnya. Sifat mereka adalah bertanggungjawab dan sentiasa meningkatkan mutu kerja melalui teguran yang diterima. Sifat mereka tidak baran atau mudah melenting apabila ditegur atau dikomen tentang perancangan yang dilakukan.

Sifat dan sikap yang mudah lentur itu akan membolehkan mereka membuat keputusan yang jelas, tepat dan positif tentang apa yang dikehendaki. Sifat itu akan membuka ruang perbincangan sesama ahli. Semua ahli boleh mengeluarkan pendapat. Hal yang demikian akan membantu pelaksanaan mantap sesuatu aktiviti. Saya yakin, sifat kemudahlenturan akan menjadikan seseorang pemimpin itu sentiasa bertanggungjawab dan membaiki kelemahan diri.

Keupayaan para Jurulatihnya mengendalikan sesi latihan SC amat memuaskan hati saya. Walaupun bilangan ahli yang terlibat tidak begitu ramai, kebolehan menguasai proses pengajaran dan pembelajaran silat ketika itu, adalah baik. Raut muka dan tindak tanduk yang berwatak, menunjukkan keyakinan mereka mengendalikan kelas. Nampaknya, tidak rugi cawangan berkenaan mempunyai Jurulatih yang berkenaan. Kalaulah ditanya pada saya tentang kayu ukur yang saya pakai untuk menentukan kehebatan seseorang Jurulatih itu, maka terdapat beberapa cirinya. Kalaupun tak menguasai kesemua cirinya, sekurang-kurangnya adalah beberapa ciri yang diamalkan mereka.

Jurulatih yang hebat, tuntutan padanya ialah memiliki Kewibawaan diri. Orang yang berwibawa adalah merupakan orang yang sentiasa membangun dan membaiki diri serta boleh membangun dan membaiki diri orang lain. Keupayaannya mempengaruhi orang lain adalah tinggi. Dalam konteks Jurulatih, jika mereka seorang yang berwibawa, di samping membangunkan kehebatan diri mereka dalam persilatan, mereka juga berupaya membangunkan kehebatan anak didiknya dalam persilatan. Kata-kata atau pandangan mereka mudah diterima dan dijadikan pegangan dalam kalangan anak didiknya.

Dalam konteks perjawatan Jurulatih yang ada sekarang, kita perlu mempastikan mereka sebagai seorang Jurulatih yang boleh diharap dan boleh dipercayai. Kesetiaan mereka pada persatuan dan guru utama tidak perlu disangsi lagi. Pendek kata, tidak perlulah kita mengawasi mereka dengan pandangan kaca mata hitam. Kalau difikirkan kesetiaan mereka dicurigai, terus panggil untuk diberi nasihat atau amaran. Jangan sangsi-sangsi. Tapi, jangan mudah memecat. Nanti mereka lari ke pihak yang lain. Kita juga yang rugi.

Kita perlu akui hakikat betapa Jurulatih yang ada sekarang terdiri dari mereka yang berminat dengan SC. Mana mungkin mereka bergiat hingga mengorbankan masa dan tenaga jika minat yang mendalam itu tidak ada. Langkah persatuan tertinggi kita yang memberi pengiktirafan kepada mereka dalam perjumpaan Jurulatih  atau sebagainya,  adalah merupakan sesuatu yang baik. Pengorbanan Jurulatih itu patut dibalas dengan sifat kebajikan yang kita tunjukkan.  Berilah penghargaan pada Jurulatih seperti yang pernah kita lakukan atau amalkan sejak zaman Ustaz lagi. Sepatutnya, dalam perjumpaan Jurulatih, mereka hanya membawa diri untuk menerima santapan hati dan cenderamata dari persatuan.

Dalam latihan SC, Jurulatih yang hebat sentiasa menjaga personaliti diri. Pengurusan diri adalah terutur. Pakaian silatnya adalah lengkap. Sekurang-kurangnya lengkap berbaju dan berseluar silat. Fizikal diri sentiasa bertenaga. Pergerakannya tidak menampakkan kepenatan. Nafasnya terkawal. Tidak termengah-mengah ketika memberi atau menunjukkan buah-buah. Itu sebabnya, Jurulatih yang hebat akan jaga fizikal diri. Berat badan mesti seimbang dengan ketinggian. Jangan lupa jaga perut. Ukuran perut adalah saujana mata memandang anunya di bawah. Kalau tak nampak semasa memandang anu di bawah, maka berbuatlah sesuatu. Kempeskan perut. Banyak makan daging rusa atau daging kambing. Jangan makan daging ayam. Di samping bukit rendah, jangan lupa bukit tinggi. Banyak terbakar kalori yang boleh beri sumbangan pada proses kempis perut.

Saya selalu perhatikan betapa Jurulatih yang hebat sentiasa memberi galakan dan sentiasa memberi dorongan kepada anak didiknya untuk terus meningkatkan keupayaan bersilat. Jurulatih itu juga berupaya menimbulkan minat dan ketekunan dalam kalangan anak didik silatnya. Oleh itu, mereka sentiasa menetapkan mutu gerak silat yang tinggi. Dalam hal yang demikian, Jurulatih itu tetap berkemampuan untuk membimbing dan menasihati anak didiknya dalam persilatan SC. Mereka akan bertindak dengan sabar dan dengan penuh dedikasi.

Untuk mencapai tahap yang demikian, para Jurulatih perlu berpengetahuan luas. Hal yang demikian akan membolehkan mereka bersifat sensitif kepada pencapaian anak didik silatnya.  Mereka akan dapat mengenal pasti sebarang kelemahan dan lain-lain masalah yang ada supaya langkah-langkah sewajarnya dapat diambil untuk membetulkannya dengan segera. Hal yang demikian kerana mereka dapat melihat bahawa seseorang individu itu berbeza dengan individu  lain dari segi sifat dan kebolehannya bersilat. Hubungannya dengan anak didik silatnya adalah rapat. Jurulatih itu menguasai aspek komunikasi mesra. Percakapan atau ulasannya tentang gerak-gerak silat adalah jelas, tepat dan mudah difahami. Hal yang demikian akan banyak membantu anak didiknya hebat dalam persilatan SC. Pastinya cita-cita untuk meningkatkan kualiti persilatan SC di cawangannya akan berjaya.

Saya berpuas hati akan aktiviti yang berjaya dijalankan oleh cawangan berkenaan. Walau pun kehadiran tidak ramai, yang pentingnya ialah kita berfikiran besar tapi memulakan sesuatu dari yang kecil. Sifat dan berpandangan jauh adalah lebih bermakna. Sekian saja ulasan saya ketika berada bersama ahli-ahli Persatuan SC Cawangan Kulim.

 
Comments Off on 25.0 KENANGAN BERSAMA PASUKAN SC KULIM

Posted by on 06/02/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: