RSS

24.5 KESIMPULAN NILAI DAN KEPIMPINAN III

04 Feb

Dalam persilatan Silat Cekak, kita masih tidak terlepas pada perpecahan yang berterusan apabila  para pemecahnya masih ada. Selagi mereka ada, perjuangan diri tetap menjadi bahan utama. Apabila mereka tiada, maka mereka akan membawa bersama perjuangan diri tersebut. Maka tinggallah pengikut mereka yang pengetahuan dan kefahaman asal usul silatnya entah apa-apa. Tengok Ustaz pun tak pernah tapi mendabik dada sebagai ketua pejuang pusaka Hanafi yang hakiki. Tak pernah sampai ke London tapi asyik bercakap tentang perkembangan di sana. Percakapan yang tidak berasaskan pengalaman tetapi berdasarkan cerita-cerita dan pembacaan.

Saya rasa, kita perlu menghindari lagi segala bentuk pepecahan. Namun begitu, manusia tetap manusia. Untuk mengawal manusia, kita perlulah mengetahui tentang sifat dan sikap mereka. Banyak pengkajian mengenainya. Salah satu pengkajiannya ialah berkenaan aspek pepimpinan seperti yang banyak saya tulis dalam ruangan ini. Maka eloklah disebarkan ilmu pengetahuan mengenainya dari masa ke masa tanpa penat dan jemu.

Saya berkeyakinan, untuk menghindari sebarang bentuk pepecahan lagi, adalah jelas pada saya betapa perlunya kita menguasai aspek pengurusan manusia dalam persatuan bagi memantapkan bidang pengurusan kita yang berkaitan dengan manusia. Kalau berlaku perselisihan sebagai bunga pepecahan, akan membolehkan kita mengatasi atau memadamkannya dengan segera. Jangan dibiarkan bunga-bunga tersebut berkembang mekar yang mengundang pepecahan akhirnya.

Orang-orang dulu tersangat pandai membaca sifat dan sikap manusia sekelilingnya. Akan tetapi ilmu mengenainya amat sukar diperturunkan melalui kaedah yang jelas dan objektif. Ilmu berkenaan sifat dan sikap manusia berdasarkan disiplin tafsiran orang-orang tua, akan mengambil masa yang lama untuk kita memahami dan menguasainya. Saya rasa kehebatan mereka menguasai ilmu tersebut adalah berdasarkan pengalaman yang mereka tempuh hingga membolehkan mereka membuat kesimpulan atau teori tentang sifat manusia sekeliling. Kesimpulan mereka adalah berdasarkan bentuk fizikal yang ada dan berdasarkan pelakuan manusia sekeliling.

Lihat saja air muka atau pelakuan yang ditunjukkan, akan memudahkan mereka membuat kesimpulan tentang sifat dan sikap. Kadang kala pelakuan tersebut dilihat melalui bantuan alat yang tertentu. Saya pernah berpengalaman dalam satu silat tentang soal tersebut. Gurunya akan menyembelih ayam dan dibiarkan gerak di mana-mana dalam keadaan dikelilingi oleh murid-murid silat. Di tempat ayam itu berhenti  di hadapan mana-mana anak muridnya, maka anak murid itu akan dijadikan anak angkat, bakal mewarisi kerja guru. Nampaknya guru berkenaan menggunakan alat bantu iaitu ayam untuk membaca kehebatan anak muridnya. Namun begitu, kehebatan anak muridnya itu tidak menentu atau tidak pasti. Kayu ukurnya hanyalah berdasarkan ayam dan bukannya didasarkan pada kebolehan anak murid itu sendiri. Begitu juga dengan adat memotong limau. Semasa memotong limau, dikatakan bahawa limau itu akan memberi petunjuk atau petanda pada guru berkenaan untuk memilih anak muridnya yang berkeupayaan memimpin silat seterusnya. Maka limaulah penentunya. Bukannya ilmu pemerhatian yang sainstifik.

Begitu juga dengan bentuk fizikal yang dikatakan dapat melambangklan sesuatu sifat dan sikap. Pelambangan mereka adalah  berdasarkan pengalaman yang ada dan pernah mereka tempuh. Misalnya rujukan pada mereka yang mengayun tangan ketika berjalan. Tangan yang dihayun ke dalam, ada maknanya. Jika hayun tangan ke luar umpama sedang membasuh punggungnya maka dianggap lain sifat dan sikapnya. Mereka yang berjalan mendada burung akan membawa sifat-sifat yang tertentu. Mereka yang bergusi hitam ada pula  maknanya. Semuanya ada makna berdasarkan tafsiran entah ia atau entah tidak. Mereka yakin akan tafsiran yang dilakukan tanpa bersandarkan satu alasan yang kukuh. Semuanya berdasarkan pengalaman yang dijadikan teori.

Dalam silat kita, untuk membaca sifat dan sikap anak murid, ada pelbagai cara. Penunjuk ayam dijadikan satu ukuran utama. Tapi guru seorang yang tahu. Pada orang kanan atau pada Jurulatih sendiri, mereka teraba-raba membuat kesimpulan atas pelakuan mengambil bahagian ayam dalam majlis petunjuk. Tafsirannya tak tetap. Maka timbullah pelbagai tafsiran sendiri. Kadang kala pada mereka yang begitu kuat memegang fahaman tersebut, tafsiran mereka itu dijadikan sandaran untuk hubungan seterusnya. Saya rasa sikap yang sedemikian amat berbahaya dan amat merugikan.

Betapa banykanya tafsiran tersebut tentang ayam petunjuk, boleh kita bincangkan serba sedikit dalam tulisan ini sekadar buat renungan. Harap tidak sensitif. Ada kata ambil kepala ayam akan mendatangkan petaka. Dikatakan ada keinginan hendak jadi ketua. Mereka ini perlu waspada. Akan tetapi dalam proses penglibatan seterusnya sikap berkenaan tidak juga menjadi kenyataan. Malah, sumbangannya pada persilatan dan persatuan amat hebat. Mulalah ditafsirkan semula bahawa mengambil kepala ayam akan melambangkan kehebatan kepimpinan. Tapi ada juga yang mengambil kepala ayam tak kekal lama dalam persilatan.

Saya sendiri ketika majlis penamat memilih dada dan hati. Tak tahulah tafsirannya. Pemilihan saya itu berdasarkan dada sebagai lambang keberanian mempertahankan persilatan, manakala hati merujuk pada pautan hati saya pada silat yang akan berkekalan. Tapi itu tafsiran saya. Namun begitu, ada juga sahabat saya yang ambil benda yang sama. Sudah lama cabut lari. Tak nampak muka lagi. Oleh itu kita tak boleh berpegang pada pelakuan tersebut untuk menentukan sifat dan sikap seseorang. Biarlah Guru Utama sahaja yang mentafsirnya.

Pada pendapat saya membaca sifat dan sikap manusia yang diguna pakai pada zaman dulu, tidak boleh disandarkan dalam proses pengurusan silat dan persatuan. Ketentuannya tidak tetap dan boleh berubah-ubah. Oleh itu, saya berpandangan bahawa kita hendaklah  berpegang pada teori kepimpinan yang membincangkan tentang sifat dan sifat manusia. Teori-teori itu telah dikaji dan disahkan kebenarannya. Melalui teori tersebut, memudahkan kita membuat andaian dan kesimpulan. Hasilnya tidak lari dan boleh dikatakan tepat.

Dalam penulisan blog ini, saya berharap kita dapat berkongsi  ilmu mengurus berdasarkan teori dan pengalaman yang saya telah tempoh. Tulisan ini membolehkan kita mengetahui akan gelagat manusia yang ada dalam persatuan kita. Para pemimpin terutamanya Jurulatih boleh mengawasi pengikut sekeliling yang mungkin menjadi manusia toksid atau kuman-kuman virus. Jika wujud gejala jahat tersebut, maka cepat-cepat hapuskan jika tidak mampu dipulihkan lagi.

Berdasarkan tulisan dan saranan saya, para pengikut juga perlulah bersuara dari masa ke masa untuk mendapatkan hak yang sepatutnya sebagai ahli silat dan ahli persatuan. Jangan dibiarkan barisan kepimpinan membuat kerja sesuka hati. Tegurlah secara beradab pada saluran yang sah jika mereka melanggar tatasusila seperti yang pernah saya sarankan. Merekalah yang bakal membuat sengketa berdasarkan pengalaman yang ada. Untuk bersuara, kita perlu ada pengetahuan tentang ilmu pengurusan yang menekankan sifat baik manusia yang ada. Ingat! Jangan serah semua. Tuntut hak kita. Dalam persilatan, antara hak kita ialah ilmu silatnya. Manakala dalam persatuan, antara hak kita pula ialah pengurusan kelas yang teratur. Sekian.

 
Comments Off on 24.5 KESIMPULAN NILAI DAN KEPIMPINAN III

Posted by on 04/02/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: