RSS

24.4 KESIMPULAN NILAI DAN KEPIMPINAN II

01 Feb

Pada bahagian kesimpulan ini, saya ingin menarik perhatian pembaca bahawa dengan cara kita memahami segala nilai dan stail yang ada dalam segala bentuk kepimpinan, akan memudahkan kita memahami segala bentuk pergolakan yang berlaku dalam persatuan kita. Hal yang demikian akan menjadikan diri kita tenang dan tidak mudah melatah tak tentu arah. Menyokong pada satu pihak bermakna kita menyebelahi satu pihak yang lain, manakala pihak yang satu lagi akan membuat tolakan pada kehadiran kita. Oleh itu, atas ilmu yang ada maka buatlah pilihan yang tepat agar prinsip menanam tebu di bibir mulut atau kacang lupakan kulit, dapat kita hindari dari berlaku atas diri kita sendiri.

Saya juga berharap, berdasarkan kefahaman berpersatuan yang saya tulis akan memudahkan kita memahami betapa pepecahan silat yang sama pada persatuan yang berlainan jenama telah menjadikan perjuangan asas kita tidak tentu hala. Para pemimpin persatuan yang ada merangka strategi untuk mempopularkan persatuan barunya. Di sinilah lahirnya konsep mencaci pada pesaing. Dulunya, mereka bersaing dengan persilatan yang berlainan perguruan. Maka isi perbincangan adalah lebih banyak menekankan soal-soal prinsip dan konsep gerak yang tidak sesuai dengan pengamalan persilatannya. Jarang sekali mencerca barisan kepimpinan. Tapi lain jadinya apabila berpecah sesama sendiri. Nak komen prinsip dan konsep gerak, tentu janggal sekali. Sama sahaja geraknya kerana berasal dari pancor yang sama. Komen yang terbaik ialah pembawaan diri barisan kepimpinan dan Jurulatihnya. Di sinilah proses kutukan akan bermula dan akan  berlaku sepanjang masa. Mengutuk guru tentunya pada soal peribadi. Mengutuk Jurulatih tentunya pada kebolehan dan pengetahuannya. Oleh itu, masa banyak ditumpukan pada proses pengurusan persatuan dan bukannya persilatan.

Usaha mengembangkan persilatan telah terkeluar dari prinsip asal penubuhan silat itu sendiri. Prinsip perluasan atau perkembangan silat mula memasukkan sifat untuk menyekat silat saingannya dari bertapak atau berkembang. Pada hal, masing-masing berasal dari satu punca. Cuma, dari segi persatuan mungkin nampak kesahannya untuk mengembangkan silat. Tetapi, dari segi persilatan, kita bercakap soal hak.

Pada pendapat saya, hal yang berkenaan hak atau mandat atau warisan kukuh, patut dijadikan isi utama percakapan dalam membuktikan kesahan mengembangkan silat. Tidak perlu kita membuat komen tentang barisan kepimpinannya atau membuat komen pada ilmu atau pengetahuan yang ada pada Jurulatihnya. Menguasai nilai dan stail kepimpinan pada seseorang itu, akan memudahkan kita membuat penilaian dan kesimpulan.

Kita juga perlu memahamai bahawa gejala pepecahan yang berlaku semuanya diasaskan pada faktor kepentingan diri. Saya selalu menggunakan istilah kepentingan diri tersebut. Kalau kita ingin mentafsir makna kepentingan diri maka kita perlu merujuk pada objektif persatuan yang menaungi persilatan itu. Lihat juga peranan  yang telah ditentukan oleh persatuan melalui bentuk tulisan dan peranan yang telah ditentukan oleh persilatan melalui lisan gurunya.

Oleh itu, setiap ahli sepatutnya berjuang atau bertindak berdasarkan objektif dan peranan yang telah ditentukan oleh persatuan. Di samping itu jangan diketepikan peranan  kita berdasarkan ketentuan persilatan melalui kata guru dari masa ke masa. Apabila semua pihak bertindak menyimpang dari objektif dan peranan tersebut maka akan menampakkan makna kepentingan diri seperti yang saya maksudkan. Apabila wujudnya kepentingan diri maka akhirnya kepentingan tersebut akan mengatasi kepentingan persatuan dan persilatan. Salah satu kepentingan diri tersebut ialah nilai pilitik iaitu kuasa. Sifat melampau dalam nilai ini akan menjadikan seseorang itu gila kuasa. Dalam prinsip gila kuasa ini, orang yang berkuasa akan sedaya upaya mengekalkan kuasanya dalam apa cara sekalipun. Manakala orang yang tidak ada kuasa akan berhempas pulas untuk mendapatkan kuasa. Tidak kiralah sama ada kuasa itu berbentuk paksaan, fitnah dan sebagainya. Matlamat utama persatuan dan persilatan atas sifat penubuhannya telah tidak memberi makna. Apabila seseorang itu menyimpang dari tujuan persilatan itu sendiri maka maknanya itulah kepentingan diri.

Jika kita memahami dan menguasai ilmu tentang pengurusan persatuan akan banyak membantu kita. Aspek yang terbesar dalam pengurusan persatuan ialah manusia. Memahami sikap dan sifat serta keadaan yang ada, akan memudahkan kita membuat keputusan yang tepat untuk menyebelahi satu-satu pihak. Batu katinya pasti berdasarkan ”kepentingan diri”. Itulah kayu ukur untuk kita membuat kesimpulan dan keputusan.

Kita dapat lihat betapa golongan berkepentingan diri itu tidak kekal lama dalam satu-satu persatuan atau persilatan yang diceburinya. Cukup tempoh, mereka akan mengundur diri. Mudah sahaja mereka berbuat demikian tanpa memikirkan kerosakan yang telah dilakukan pada persatuan dan persilatan. Maka tinggallah kesan buruk itu pada para pendokong persatuan dan persilatan yang mereka tegakkan.

Ketika tengah ada kepentingan diri, mereka akan berjuang  habis-habisan. Hinggakan guru sendiri disanggah dan dicaci. Jadilah mereka sebagai hero perjuangan pada ketika itu. Tapi hero mereka adalah pada pengikut yang juga ada kepentingan diri. Untuk menjadi hero ’palsu’ tersebut, strategi niat menghalalkan cara sangat popular. Maka tersebarlah faktor memfitnah, besar diri dan hebat diri.

Walau bagaimanapun apabila mereka berumur atau mula memegang jawatan tinggi sedikit maka kepentingan diri mereka mula beralih angin. Kalau sedang menjawat jawatan, kerjaya asal dijadikan pegangan. Itulah punca pendapatan mereka.  Kalau terlibat dengan sektor koperat, keuntungan meterial lebih utama. Silat  dan persatuan mula berjauhan. Biasanya, alasan sibuk dijadikan sandaran. Penglibatan mereka mulalah kadang-kadang dan akhirnya  jarang-jarang. Ada yang ghaib langsung apabila sesetengah dari mereka mula menjadi orang kaya baru. Ada juga yang diketepikan oleh generasi kepimpinan berikutnya. Tderingat saya pada satu watak yang terkenal dengan gelaran blacknya. Beliau adalah salah seorang pengasas pepecahan zaman pepecahan gelombang pertama dulunya. Beria-ria menegakkan kebenaran persilatan dan persatuan kononnya. Tapi, kwetika ini senyap sahaja apabila peluang bermewah ada di saluruan yang lainnya. Maka hebatlah mereka kerana  meninggalkan ’taik’ dalam persatuan atau persilatan yang mereka anggap diri mereka sebagai pembela utama persilatan dan persatuan pada satu ketika yang lalu. Itulah golongan haprak namanya.

Kini, ramai dalam kalangan mereka yang berkepentingan telah meninggalkan persilatan. Tempat mereka dalam pentas atau dunia persilatan telah diterajui pula oleh generasi baru. Semangat dan pengetahuan tentang asal punca pepecahan atau punca sesuatu persengketaan itu tiada dalam pengetahuan mereka. Apatah lagi untuk mengetahui tentang hak guru utama yang sebenarnya. Langsung sudah tidak terlintas pada pemikiran mereka. Maka mereka hanya  menerima persatuan dan persilatan seadanya, tanpa ada usaha untuk merapatkan atau menyatukan silat-silat yang bercabang pada perdu yang satu. Semuanya gara-gara kewujudkan barisan pembela atau pejuang dalam silat kita yang tidak kekal lama. Perjuangan mereka adalah berasaskan kepentingan diri. Tapi, bila nampak peluang lain yang lebih bererti, maka sayonara telah menjadi wirid mereka. Bersambung.

 
Comments Off on 24.4 KESIMPULAN NILAI DAN KEPIMPINAN II

Posted by on 01/02/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: