RSS

24.3 KESIMPULAN NILAI DAN KEPIMPINAN I

29 Jan

Adatnya, jikalau kesemua nilai yang saya bincangkan wujud di kalangan pemimpin kita dalam semua peringkat maka saya yakin SC akan terus mantap sepanjang masa. Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman, aspek-aspek nilai tersebut amat kurang dititikberatkan. Jika ada pun, pengamalannya adalah berdasarkan pelakuan yang bukan dirancang. Malah, kursus-kursus SC yang dianjurkan lebih banyak menekan soal-soal pengurusan am di samping persilatan itu sendiri. Saya rasa telah tiba masanya untuk kita menitikberatkan aspek nilai dalam pengurusan kepemimpinan kita di semua peringkat.

Dewasa ini, persilatan tidak dapat dipisahkan dengan persatuan. Oleh sebab itulah maka ilmu pengurusan juga amat penting dikuasai di samping ilmu persilatan yang didokong oleh persatuan tersebut. Oleh sebab pengurusan itu sendiri melibatkan manusia yang ada perasaan dan pegangan, maka pengetahuan tentang sikap dan gelagat mereka amat penting sekali. Ketua dan pengikutnya perlu memahami peranan masing-masing. Di sinilah pula lahirnya prinsip kepemimpinan dalam persatuan. Hal yang demikian kerana dalam usaha kita mengurus manusia, perasaan mereka juga perlu dijaga dengan sepenuhnya.

Satu ketika dulu di peringkat nasional, selain Silat Cekak, nama-nama silat seperti Gayung, Gayung Fatani serta Lincah amat terkenal dan menguasai persada persilatan dalam negara kita. Persaingan sesama mereka adalah amat hebat dalam usaha meluaskan perkembangan silat Melayu di kalangan masyarakat Melayu. Kehebatan mereka dirancakkan lagi melalui kegiatan Silat Olahraga yang menyatukan mereka dalam medan pertempuran atau dalam gelanggang olahraga. Walaupun mungkin wujud perasaan tak puas hati sesama mereka dalam proses persaingan persilatan, akan tetapi kita tidak boleh menafikan betapa rancaknya perkembangan silat dalam masyarakat Melayu khasnya ketika itu. Kegiatan silat mendapat perhatian berat dari masyarakat. Malah, banyak program kementerian kerajaan sama ada di peringkat negeri atau nasional yang melibatkan aktiviti persilatan. Berita tentang kegiatan persilatan sering kali dimuat di dada akhbar.

Seiring dengan sambutan hebat dari masyarakat terhadap persilatan Melayu, saya dapat lihat betapa setiap persilatan itu menyusun strategi untuk mempopularkan silat masing-masing. Rata-rata, tumpuan mereka dikhususkan dalam proses perkembangan persilatan sama ada di dalam atau di luar negara. Sambutan masyarakat amat menggalakkan pada setiap aktiviti persilatan yang dijalankan. Masyarakat mempunyai pilihan melibatkan diri dalam persilatan. Mereka boleh memilih antara persilatan yang ada dan masyhur tersebut. Pilihan mereka lebih tepat sama ada memilih Silat Cekak atau Gayung atau Gayung Fatani atau Lincah. Dalam setiap persilatan itu masih tidak ada persaingan sesama mereka. Pada dasarnya, mereka tetap berpadu dan tidak berpecah-belah. Oleh itu tidak ada kumpulan-kumpulan atau ‘team-team’ dalam setiap persilatan tersebut.

Hari berganti hari. Mereka yang muda telah menjadi tua. Akal yang pendek mula menjadi sejengkal. Perhatian diri mula ditarik pada pulangan yang boleh dapat. Akhirnya mula timbul bibit-bibit perselisihan di kalangan barisan kepimpinan. Manusia dalam kumpulan ini amat pandai buat hal. Orang-orang yang berada di lapisan pelaksana masih ikhlas meneruskan perjuangan dalam perkembangan silatnya. Berdasarkan situasi tersebut, maka pelakuan muktamatnya ialah berlakunya perpecahan. Perpecahan yang dibuat oleh para pemimpinnya sendiri. ‘Orang bawah’ terpinga-pinga.

Antara keempat-empat persilatan tersebut, hanya Silat Lincah sahaja yang masih mempunyai guru yang sama dari dulu hingga sekarang. Nampaknya, silat-silat yang lain mengalami nasib yang sama apabila guru utamanya yang bertanggungjawab mengembangkan silat masing-masing telah meninggal dunia. Selepas pemergian guru-guru utama dalam persatuan-persatuan silat tersebut, jelas menampakkan kepincangan dalam perkembangan persilatan. Wujud perpecahan dalam pengurusan silat masing-masing. Timbul persatuan-persatuan baru pada persilatan yang sama. Cuma, nama persatuan silat bertukar jenama. Namun begitu apa jua persatuan baru yang timbul, semuanya masih berasaskan pada persilatan mereka yang asal. Masing-masing mendakwa keasliannya dari guru yang mula.

Saya juga mendapati bahawa nasib yang sama juga telah melanda pada persilatan Melayu yang bergerak di peringkat negeri dan daerah. Malah di negeri saya sendiri, hal yang berkaitan perpecahan dalam persilatan juga turut berlaku. Satu ketika dulu terdapat persilatan yang hebat seperti Lintau, Kubu, Gayung Ghaib, Titi Sebatang dan banyak lagi. Persilatan tersebut ada persatuannya sendiri. Kekuatan pengurusan persatuan persilatan itu telah memberi saingan hebat pada perkembangan persilatan Melayu yang bertaraf nasional. Malah, ada daerah-daerah yang sangat sukar dimasuki oleh persilatan yang bertaraf nasional tersebut. Mereka berjaya meyakinkan masyarakat tempatan tentang keupayaan dan kehebatan silat Melayu tempatan.

Walau bagaimanapun, nasib yang sama seperti persilatan di peringkat nasional telah menimpa persilatan mereka. Semuanya berkaitan dengan pemergian guru utama persilatan yang ada. Nasib yang sama itu berlaku apabila guru utama silat-silat tersebut telah meninggal dunia. Kepimpinan utama persilatan tersebut yang ada, boleh berpecah-belah mencari haluan masing-masing. Mencari haluan baru melalui persatuan silat yang baru. Pada saya, pastinya ada kaitan dengan kepentingan diri setiap individu yang berada di barisan kepimpinan tertinggi.

Kesimpulan saya, nampaknya pemergian guru utama dalam persilatan apapun bakal disambut dengan perpecahan oleh pendokong utama persatuan yang ditinggalnya. Persatuan-persatuan yang berbagai dari satu jenama persilatan itu adalah diterajui oleh pemimpin kanan dalam persatuan asal yang berpecah. Akibatnya, pepecahan persatuan itu akan memberi impak kepada persilatan. Maka akhirnya persilatan yang berpunca dari satu gurupun turut berpecah. Dipecahkan oleh orang-orang kanan yang bersatu erat di bawah guru utama dulunya. Masing-masing persatuan silat akan mendakwa bahawa persatuan mereka mempusakai ilmu benar dari guru yang telah pergi buat selama-lamanya. Setakat ini saja kemampuan saya untuk memberi komen pada perpecahan dalam kalangan persilatan Melayu kita.

Perpecahan yang wujud di kalangan silat-silat Melayu, pastinya telah menimbulkan beberapa kesan negatif terhadap dunia persilatan Melayu. Masyarakat Melayu akan berada dalam suasana celaru dalam pemilihan mereka untuk aktif bersilat. Setiap persilatan yang wujud itu telah menjadi banyak cabangnya. Masing-masing telah mendakwa bahawa persilatan di bawah persatuan baru adalah asli dan pusaka benar dari guru masing-masing yang diperturunkan kepada murid-muridnya. Saya dapat rasakan betapa masyarakat kita juga berasa sedih dan terharu apabila silat-silat kita berpecah. Nampak sangat semangat mereka juga menjadi luntur. Tidak hairanlah, perkembangan persilatan semakin pudar dalam masyarakat kita. Berita-berita tentang silat amat jarang memenuhi dada akhbar. Program-program besar peringkat negeri atau kebangsaan jarang yang melibatkan silat, berbanding dengan budaya tari dan muzik tradisi lainnya.

Sudah tentulah kesan suram masyarakat kita pada persilatan dapat dirasai oleh para pemimpin persilatan Melayu. Tapi saya rasakan bahawa mereka tidak ada masa untuk menumpukan perhatian dalam faktor tersebut. Bukannya tidak ada pengetahuan atau kemampuan untuk menyelesaikan masalah, tapi tumpuan mereka lebih banyak untuk menghadapi persaingan persilatan sesama punca. Saingan mereka ialah silat-silat yang sama atau sepunca tapi berpersatuan baru. Sifat dengki lebih banyak sesama persilatan sendiri yang berpecah. Bukannya pada persilatan lain yang berlainan guru. Dulu, sifat saing antara persilatan-persilatan Melayu adalah berbentuk sihat ; dengkinya terhad. Tidak ada caci-mencaci kepimpinan guru yang biadab. Rupa-rupanya saingan sesama silat yang berpecah dari satu punca, telah menimbulkan suasana yang amat tegang ; lihat saja perpecahan kita. Perpecahan yang diasaskan oleh barisan kepimpinan tertinggi telah mengheret kepimpinan lainnya. Caci-mencaci dan sebarang tindakan yang dijalankan oleh barisan kepimpinan tertinggi adalah amat dahsyat. Seboleh-bolehnya persatuan saingannya termasuk para pemimpin tertingginya mesti ‘dihapuskan’ sama sekali. Hubungan baik selama ini, diputuskan langsung. Umpama berputus arang. Tidak ada lagi konsep “carik-carik bulu ayam”. Saya tidak berminat mengupas lanjut. Yang pastinya, para pemecah itu sudah tua. Tak lama lagi, ’kubur kata mari, rumah kata pergi.’ Kesan yang mereka tinggalkan akan terus berkekalan di kalangan generasi baru. Generasi baru akan terus terpupuk dengan perasaan benci dan bersifat dengki khianat sesama persilatan yang berpunca satu.

Saya dapat rasakan betapa pengambilan ahli-ahli baru akan diberi pengetahuan betapa persilatan yang dipilihnya adalah tepat dan benar berbanding dengan persilatan saingannya. Akan tetapi kita jangan lupa betapa ahli-ahli baru ini juga ada hubungannya dengan ahli-ahli baru dari persilatan persatuan lain yang sepunca. Fikiran mereka akan bercelaru. Pada mereka yang benar-benar mencari kebenaran pada asal usul persilatan itu pastinya tidak mudah untuk menumpukan perhatian pada persilatan yang sedang dipelajarinya. Timbul rasa ragu-ragu. Ketetapan hati pada kehebatan persilatannya sering terganggu.

Di sinilah peranan para Jurulatih amat penting untuk membuktikan kebenaran. Kebenaran yang jitu tidak hanya bersumberkan kata-kata. Tunjukkan kehebatan bersilat yang melambangkan penguasaan ilmu dalam persilatan itu. Hal yang demikian akan membantu para ahli baru untuk memastikan bahawa pemilihan silat yang mereka buat adalah tepat dan benar. Oleh itu, menjadi kewajipan para Jurulatih untuk terus menerus menambahkan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang mantap dalam persilatannya. Berhubung eratlah dengan mereka yang menguasai ilmu persilatan yang ada itu. Jangan ego diri. Bersambung lagi.

 
Comments Off on 24.3 KESIMPULAN NILAI DAN KEPIMPINAN I

Posted by on 29/01/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: