RSS

24.2 APLIKASI NILAI DAN KEPEMIMPINAN DALAM SC III

26 Jan

Dalam mana-mana persatuan, kebajikan ahli pada semua peringkat perlu dititikberatkan. Nilai Sosial yang ada pada para Jurulatih akan menjadikan mereka mengambil berat pada penuntutnya terutamanya dari segi kesihatan diri dan keluarga. Hal yang demikian erat kaitannya dengan penglibatan mereka dalam persilatan. Tentunya agak sukar bagi mereka bergiat aktif dalam persilatan atau persatuan jika diri mereka atau keluarga mereka mengalami sakit. Oleh itu, Jurulatih yang ada nilai sosial ini akan sentiasa bertanyakan khabar tentang kesihatan diri mereka atau kesihatan keluarga mereka. Pastinya juga konsep menziarahi akan menjadi amalan. Begitu juga jika ada yang mengajak ke majlis kenduri, tidak akan ditolaknya.

Kepimpinan tertinggi persatuan yang ada nilai ini, tentunya akan menjaga kebajikan para Jurulatih. Mereka sedar betapa Jurulatihlah yang memainkan peranan sebagai barisan depan untuk mengembangkan persilatan. Jika ada yang sakit, pasti akan dihantar hadiah berupa penghargaan dan sabar diri. Saya tidak nafikan betapa kebajikan para Jurulatih sentiasa diambil berat dalam persatuan kita. Ada perjumpaan Jurulatih setiap tahun. Mereka diberi hadiah termasuk sepit kuku. Itulah tanda penghargaan demi menjaga kebajikan orang yang berjuang di barisan hadapan untuk perkembangan SC.

Dalam kalangan Jurulatih, hubungan akrab sesama mereka adalah berdasarkan konsep persamaan dan sama rata kerana semuanya memegang amanah yang sama iaitu menyampaikan ilmu yang diamanahkan oleh Guru Utama. Hubungan sesama mereka sangat rapat. Jika ada antara mereka yang tidak dapat turun mengajar, Jurulatih yang lain akan menggantikannya tanpa sebarang keluhan atau kekecewaan. Semuanya berdasarkan prinsip tanggungjawab demi persilatan dan persatuan.

Majlis-majlis perjumpaan selalu diadakan dalam kalangan mereka sebagai usaha untuk menunjukkan sifat mengambil berat antara satu sama lain. Ketika saya menjadi Jurulatih dulunya, hubungan sesama kami amat baik dan sentiasa disuburkan dari masa ke masa. Boleh dikatakan, setiap malam ramai antara kami yang terlibat dengan kelas-kelas latihan di merata tempat di Kuala Lmpur, termasuk di pusat-pusat pengajian tinggi. Selesai tugas, pada kebiasaannya kami akan berkumpul semula di pejabat silat. Jika tidak ada sebarang ’penerangan’ dari Ustaz, kami akan bergerak ke kedai makan yang berhampiran. Biasanya kami minum sahaja. Di kedai itulah tempat kami bergaul mesra. Kadang kala di situ juga berlakunya perbincangan. Ada juga keputusan yang diambil, tapi dalam hal-hal yang betaraf cadangan.

Kemesraan yang wujud dalam kalangan kami menjadikan hubungan sesama Jurulatih sangat rapat. Ketika itu politik persatuan dan politik persilatan tidak ada lagi kerana belum wujud lagi unsur-unsur kepentingan diri. Oleh itu, isi perbualan tidak pernah menjurus pada hal-hal yang sensitif. Kemesraan dalam kalangan Jurulatih adalah berbentuk ikhlas. Terbayang di muka mereka akan kesungguhan untuk menyebarkan SC dengan jayanya dalam kalangan penuntut di semua tempat.

Kita boleh bayangkan jika nilai ini tidak ada pada para Jurulatih di satu-satu cawangan itu. Masing-masing akan bekerja secara individu. Mereka tidak mungkin akan mengambil berat antara satu sama lain. Malah, berkemungkinan besar akan timbul budaya saing sesama mereka untuk mempopularkan diri dalam kalangan ahli di cawangan atau di pusat. Perpaduan sukar dibentuk. Itu sebabnya mereka akhirnya mudah berpecah jika persatuan atau gurunya berpecah.

Seperti yang dinyatakan, semua amalan atau fahaman kita biarlah berkonsepkan sederhana. Nilai sosial yang perlu ada juga patut diamalkan secara sederhana. Jangan tak ada langsung. Namun begitu, terlampau amal nilai sosial ini, akhirnya akan membangkitkan perasaan tidak senang dalam kalangan ahli. Hal yang demikian ada kaitannya dengan istilah menyibuk. Amalan menyibuk boleh mewujudkan telahan-telahan yang berbentuk fitnah.

Kita tentunya mempunyai pengalaman dalam menghadapi  manusia sibuk dalam persatuan kita. Perkara kecil diperbesar-besarkan. Malah manusia jenis ini selalu membuat kesimpulan sendiri akan satu-satu perkara tanpa merujuk atau bertanyakan pada orang terbabit. Maka wujudlah prasangka buruk dalam kalangan ahli-ahli yang terlibat. Sepanjang pengalaman saya, hal yang demikian merupakan salah satu faktor pengunduran ahli dari persatuan SC pada satu masa lalu. Pada saya, orang yang selalu menyibuk amat suka menonjolkan diri sebagai pusat berita. Mungkin dirinya tidak perasan akan sifat yang wujud padanya. Namun begitu, saya yakin bahawa perasaan tersebut ada kaitannya dengan pengamalan nilai sosial yang melampaui batas hubungan.

Oleh itu, kepimpinan persatuan perlu sensitif apabila berhadapan dengan manusia jenis ini. Percakapan atau berita yang dibawa mereka perlu diteliti atau disiasat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan. Jika tidak, hubungan sesama ahli akan terjejas. Hal yang demikian akan mengganggu proses perkembangan silat dan persatuan.

Nilai agama yang ada para para Jurulatih akan menjadikan bentuk pergaulannya lebih berdisiplin. Mungkin pada percakapannya agak melalut, tetapi pada perbuatannya tidak menampakkan sifat-sifat yang bertentangan dengan agama. Satu ketika dulu, atas nilai agama yang kuat pada Ustaz, menjadikan Ustaz berjaya mengendalikan kelas pertama SC di Kuala Lumpur. Saya pernah menyentuh tajuk ini bilamana orang yang menumbuk pun jatuh dan orang yang mengambil buah pun jatuh dek akal yang tidak sempurna kerana meneguk air syaitan.

Saya juga bersyukur atas nilai agama yang saya miliki ketika mengendalikan pemulaan kelas di cawangan. Kerana adanya nilai tersebutlah maka saya dapat mengawal diri tatkala saya ’diuji’ oleh para penuntut saya yang awal dan lebih tua dari saya ke pusat-pusat kehidupan dunia. Mungkin ujian yang mereka kenakan untuk membuktikan kehebatan pegangan yang ada dalam SC. Apabila terbukti bahawa nilai agama yang diasuh Ustaz amat menebal pada kepimpinan cawangan yang ada, menjadikan mereka berasa ’segan’ dan menyisihkan perbuatan negatif tersebut sepanjang berada dalam kelas silat.

Kita boleh bayangkan betapa teruknya kepimpinan dalam kelas-kelas SC jika nilai keagamaan tidak ada pada Jurulatihnya. Sembahyang pun entah ke mana tatkala aktiviti silat berlangsung. Hari Jumaat tentu jauh sekali dari masjidnya dengan pelbagai alasan yang memudahkan penolakan berjemaah. Cakap agamapun begitu tawar dan hambar. Namun begitu, cakap anu, hebat sekali. Saya pernah diberitakan betapa ada para Jurulatih yang sama-sama menonton ‘filem biru’ dan sama-sama mentelaah kitab biru. Lama-lama otakpun  biru. ”Memerah baju yang berpeluh di celah-celah pesilat perempuan.”

Kesimpulannya, saya berpendirian bahawa para Jurulatih perlu memiliki kesemua nilai yang dibincangkan di atas jika mereka benar-benar ingin berjaya dan ingin memandu para penuntut menimba ilmu SC daripada mereka. Kalau nilai-nilai itu tidak ada, kemenjadian silat dalam kalangan anak didiknya akan jadi tak tentu hala.

Sekian.

 
Comments Off on 24.2 APLIKASI NILAI DAN KEPEMIMPINAN DALAM SC III

Posted by on 26/01/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: