RSS

24.1 APLIKASI NILAI DAN KEPEMIMPINAN DALAM SC II

19 Jan

Nilai Estatik yang ada dan diamalkan dalam kalangan para Jurulatih akan menjadikan mereka bersifat tenang dan tidak panas baran. Seperti yang katakan terdahulu, orang yang bernilai estatik ini akan sentiasa menghargai keharmonian, kesucian dan kecantikan. Mereka sentiasa menghasilkan kerja yang kemas dan mementingkan kualiti. Mereka tidak suka berbalah dan sering mengalah kerana mementingkan hubungan baik sesama manusia.

Pakaian mereka juga turut kemas dan menarik, menandakan adab dan budi bahasa. Oleh itu, pemakaian rantai atau gelang atau subang amat jauh sekali. Malah mereka akan berusaha mempastikan anak didik mereka juga bersifat begitu. Hal yang demikian kerana menjaga kepentingan peribadi dan tatasusila para penuntutnya. Marahnya secara psikologi dan berhemah. Nampak garang, tapi bersifat penyanyang. Para penuntutnya tidak terasa akan kemarahan itu, apatah lagi untuk dijadikan sebagai satu sifat dendam. Sebaliknya, anak didiknya akan menganggap kemarahan itu sebagai pengajaran.

Oleh itu, Jurulatih yang memiliki nilai estatik akan menjadikan mereka sentiasa mementingkan ketinggian mutu, ketepatan dan kesempurnaan dalam penghasilan sesuatu perkara. Hal yang demikian, dari segi persilatan, pakaian silat yang dipakai adalah lengkap. Buah-buah yang dihasilkan penuntut dimestikan mencapai satu tahap piawai yang tertentu. Walaupun gerak buahnya kasar dan laju tapi tetap mementingkan seni kaedah yang betul, kemas dan tepat. Kasar dan laju bukan ukuran utama menandakan kecekapan. Para penuntut masih belajar. Dalam pelajaran SC, mengambil kaedah secara betul dan tepat adalah merupakan perkara utama. Kebiasaannya akan menjadi nilai pada penuntut berkenaan. Nilai itulah yang akan menjamin kehebatan dan kecekapan para penuntut bersilat dan menguasai pelajaran SC dengan sempurna. Kesilapan yang dibuat oleh penuntutnya, akan ditegur secara berhemah. Di samping ingin membetulkan pembelajaran, hati para penuntutnya tetap dijaga.

Sifat itu tentunya berbeza dengan para Jurulatih yang bersifat terlampau. Prinsip melampau itu merujuk pada sifat kurang mengambil berat akan nilai estatik tersebut atau terlalu mementingkan nilai-nilai estatika. Jika terlalu mementingkan nilai ini, pastinya Jurulatih berkenaan bersifat unggul dan mementingkan kesempurnaan hakiki. Tak boleh buat salah langsung.  Hal yang demikian akan menyebabkan para penuntutnya berada dalam keadaan tertekan.

Sebaliknya, jika Jurulatih tersebut tidak mementingkan nilai estatik atau tidak memiliki  langsung nilai estatika, maka akan lahirlah sifat, ”Bila buat buah jatuh, janji jatuh. Lantaklah betul kaedah atau pun tidak.” Hal yang demikian menunjukkan sifat mereka yang boleh bertolak ansur jika terdapat kesilapan ketika penuntut mengambil atau membuat buah, walaupun kesilapan itu melibatkan kaedah. Sudah tentulah keadaan yang demikian terjadi kerana sifat ’malas’ mereka untuk membetulkan pergerakan atau terlampau sangat menjaga hati para penuntutnya. Takut-takut kalau ditegur, penuntutnya terasa dan kecil hati. Apatah lagi jika telah wujud hubungan yang sangat akrab antara Jurulatih dengan penuntut berkenaan. Keadaan itu adalah sangat-sangat merugikan kedua-dua pihak.

Walau bagaimanapun memiliki nilai estatik akan membolehkan mereka sentiasa mementingkan nilai persahabatan. Setiap akhir tahun akan adalah bentuk-bentuk penghargaan yang diberikan oleh kepimpinan tertinggi di cawangan atau di pusat-pusat latihan. Aktiviti yang demikian adalah untuk menilai sumbangan yang telah dicurahkan mereka yang telah menyumbangkan tenaga demi memajukan persilatan SC di tempat berkenaan. Penghargaan itu mungkin berbentuk jamuan makan pada semua ahli atau penuntut, atau cenderamata berupa kain pelekat atau bush jecket atau sebagainya. Tumpuan utamanya tentulah diberi pada semua Jurulatih sebagai satu bentuk penghargaan atas pengorbanan masa dan tenaga yang mereka curahkan.

Seperti yang saya tegaskan, nilai estatik yang diamalkan biarlah sederhana. Hal yang demikian kerana kalau tidak diamalkan nilai itu maka sifat tak kisah akan wujud. Akan tetapi jika terlampau mengamalkan nilai estatik itu, mungkin akan menjadikan mereka terlampau menjaga hati dan perasaan. Hinggakan untuk menegur sebarang kesalahan atau kesilapan akan menghadapi masalah kerana gara-gara menjaga hati.

Kita boleh lihat dalam kes perpecahan sesama ahli SC yang lalu, betapa pegangan atau amalan faham estatik yang melampau telah menyebabkan tergadai prinsip dan kefahaman SC yang dimiliki. Kerana menjaga hati kawan maka guru sendiri diketepikan. Untuk membenarkan perbuatan mereka tersebut, maka konsep guru telah cuba diputarbelitkan. Maka lahirlah konsep-konsep dan prinsip-prinsip baru dalam SC. ”Dia bukan ijazah aku. Guru aku orang lain.” Begitulah betapa sombongnya sifat diri apabila cuba menegakkan kebenaran yang palsu. Konsep penurunan ilmu pada yang hak telah diketepikan. Bagi memudahkan penerimaan fahaman itu dan bagi membenarkan kenyataan palsu itu maka SC dikatakan hak masyarakat dan macam-macam lagi. Semua kenyataan tersebut semata-mata untuk membenarkan perbuatan mereka yang telah terlanjur. Cuma, mereka yang arif tentang hukum politik, pasti akan menjangka bahawa kenyataan itu memberi makna akan membuka peluang untuk berkuasa sebagai guru. Hukum itu menjadi kenyataan. Maka lahirlah Guru Persatuan dan bakal lahir Guru Wawasan. Tapi ramai golongan anu yang meletakkan fahaman SC selama ini di kaki.

Ketiadaan fahaman nilai estatik telah membenarkan diri mereka mencipta suasana keruh dalam persatuan SC. Mereka ini ada kaitan dengan amalan nilai politik yang melampaui batas. Seperti yang saya terangkan terdahulu, memiliki nilai politik akan menjadikan pengamalnya sentiasa berminat dengan kuasa, tugas atau tanggungjawab. Kalau boleh, mereka  berminat untuk mengambil bahagian atau terlibat dalam semua kerja yang ada, kerana individu itu sememangnya berminat dengan kuasa, tanggungjawab dan tugas yang ada. Fahaman yang melampau tentang nilai politik ini akan menjadikan mereka gila kuasa. Kepentingan diri akan menguasai strategi untuk mengekalkan kuasa. Apatah lagi jika mereka pandai bercakap dan pandai menyusun strategi. Selalunya, usaha mereka itu mengena. Ramai pengikut yang tidak berilmu atau tidak berpendirian tetap akan mengikuti mereka. Keadaan inilah yang terjadi dalam sejarah perkembangan SC.

Walau bagaimanapun, mereka yang mengamalkan nilai politik secara sederhana, perbuatan mereka itu jujur dan ikhlas. Hal yang demikian kerana itulah sifat mereka yang suka buat kerja. Kuasa dan tanggungjawab yang diperoleh, semata-mata untuk memudahkan mereka menjalankan tanggungjawab dengan berkesan. Mereka jelas dan berpegang teguh pada matlamat persatuan. Kepentingan diri jauh sekali. Semua pengorbanan masa dan tenaga, malah wang ringgit adalah demi kehendak dan kebaikan persatuan.

Bagi memenuhi sifat ingin berbakti pada persatuan dan persilatan, adat dan adab dalam struktur organisasi adalah sangat mereka titikberatkan. Mereka berpegang teguh pada prinsip bahawa  orang yang berjawatan seharusnya diberi penghormatan. Apatah lagi jawatan itu adalah Guru Utama. Adat dan adab berdepan dengan mereka perlu ada. Malah, untuk melahirkan perasaan tak puas hati atau menyatakan bangkangan pun akan dilakukan secara beradab. Tidaklah melepaskan geram ikut sesuka hati.

Jelas pada saya betapa dalam konteks persilatan dan persatuan, para pengikut perlu memainkan peranan sebagai pengikut. Dalam hal ini, para pemimpin tertinggi dalam persatuan peringkat cawangan atau pusat perlu main peranan pada personaliti para pengikutnya. Latihlah mereka dengan adat dan adab yang ada dalam persilatan SC. Pastikan mereka tidak melanggar  sempadan kuasa atau peranan yang telah diuntukkan buat mereka.

Dalam bidang persilatan, nilai politik yang ada pada setiap Jurulatih itu akan menjadikan mereka memiliki sifat mementingkan adab bersilat. Jurulatih yang muda perlu mendapat restu daripada yang lama. Hal yang demikian kerana Jurulatih lama itu lebih dulu berkorban untuk perkembangan SC di cawangan tersebut. Kemungkinan mereka juga adalah Penyelia Kelas yang telah dilantik sebagai wakil kepada Guru Utama. Kalau sudah diiktiraf sebagai wakil guru, maka tanggungjawab mereka semestinya ’lebih kurang’ sebagai guru untuk mempastikan anak didiknya mendapat pelajaran secara sempurna. Cuma berhati-hati sikit. Janganlah sampai perasan hingga bertindak sebagai guru.

Struktur persatuan yang dibentuk itu semestinya memperlihatkan pengaruh dan lingkaran kuasa yang ada pada setiap mereka yang menjawat jawatan. Saya telah menyentuh hal yang demikian dalam tajuk pengurusan tiga aras. Mereka yang memiliki nilai politik tentunya sangat memandang berat akan struktur pengurusan tersebut.  Maka akan jelaslah betapa tersusunnya bentuk pengurusan tersebut dalam pengurusan di peringkat persatuan masing-masing. Faedahnya, secara langsung perkembangan persilatan di cawangan berkenaan akan menjadi hebat dari masa ke masa.

Namun begitu, kita perlu berhati-hati membuat tanggapan. Janganlah membuat kesimpulan mengikut nafsu. Sifat yang ditunjuk atau diamalkan oleh Jurulatih itu dianggap seolah-olah cuba membentuk satu sifat birokrasi dalam pelaksanaan tugas. Hinggakan, ada kalangan mereka yang tak faham, terus menyimpulkan perbuatan mereka itu sebagai berlagak umpama raja dan sebagainya. Bukan main sedapnya cakap. Sebenarnya itulah sifat mereka yang berpegang pada Nilai Politik, iaitu sifat yang mementingkan adab dalam pembelajaran. Tanpa nilai politik akan menjadikan Jurulatih itu memikul tanggungjawab sesuka hati. Mereka akan menunjuk kuasa diri tanpa ada yang berani menegur pada pelakuan yang ditunjukkan itu.

Bersambung…

 
Comments Off on 24.1 APLIKASI NILAI DAN KEPEMIMPINAN DALAM SC II

Posted by on 19/01/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: