RSS

24.0 APLIKASI NILAI DAN KEPEMIMPINAN DALAM SC I

15 Jan

Sebenarnya, keenam-enam nilai yang telah dihuraikan adalah wujud dalam diri setiap individu yang bergelar pemimpin. Sama ada mereka berada di lapisan atasan atau lapisan pertengahan atau lapisan bawahan. Cuma, yang berbezanya ialah sejauh mana nilai-nilai itu digunakan oleh individu berkenaan. Jika penguasaannya agak melampau maka lainlah sifatnya. Begitu juga jika penguasaan pada nilai-nilai itu lemah maka lain pula sifatnya.

Seperti yang dikatakan bahawa nilai yang ada serta diguna pakai oleh seseorang itu akan menentukan gelagat atau gaya kepemimpinan seseorang itu. Oleh itu, tidak perlu kita mendakwa diri kita menjalankan satu-satu bentuk kepimpinan. Biarlah orang lain yang menentukan bentuk kepimpinan kita. Merekalah yang layak mentafsir bentuk kepimpinan kita berdasarkan gelagat atau gaya kita memimpin. Gaya ini pastinya berdasarkan kewujudan nlai-nilai dalam diri kita yang telah saya bincangkan terdahulu.

Berdasarkan ilmu dan pengalaman saya, perseimbangan nilai-nilai yang telah dibincangkan adalah diperlukan pada setiap orang jika seseorang pemimpin itu mahu berjaya. Janganlah cenderong pada satu-satu nilai sahaja dan mengabaikan nilai yang lain. Itu sebabnya, kita disaran agar sentiasa  menilai diri kita sendiri setiap hari. Lihatlah  mana kelemahan dan mana pula kekuatannya. Insyaallah, kita akan dihormati oleh pengikut kita setiap masa.

Dalam perbincangan seterusnya, saya akan membincangkan keperluan memiliki keenam-enam nilai yang telah saya sebutkan untuk mengurus persatuan SC. Saya yakin dan percaya, jika nilai-nilai tersebut sentiasa disedari dan diambil berat, persilatan SC yang diurus oleh persatuan, akan berkembang pesat tanpa ada ’pemberontakan’ dalaman. Masing-masing tahu akan peranan yang sepatutnya dilakukan baik pada pemimpin dan pengurusnya mahupun para pengikutnya sendiri.

Dalam SC, penguasaan pada teori-teori persilatan adalah amat penting. Hal yang demikian akan memudahkan kita membuat perbandingan antara gerak silat lain dengan dengan gerak persilatan SC. Salah satu contohnya ialah gerak penumbuk kita sendiri. Kita mengatakan bahawa penumbuk kita ialah penumbuk Jantan dan berbeza dengan penumbuk silat-silat lain. Penerangan kita itu akan lebih bermakna jika kita menguasai teori penumbuk silat kita dan silat-silat lain. Gerakan penumbuk-penumbuk itu perlu dikuasai. ’Tebar Jala’, macam mana caranya. Jenis putar tali, macam mana caranya. Apakah kelebihan dan kelemahan setiap jenis penumbuk itu. Begitu juga dengan teori penumbuk lain yang begitu banyak digunapakai  dalam bidang persilatan silat Melayu.

Begitu juga dengan kedudukan kita yang berdiri lurus. Bagaimana dengan teori berdiri lurus itu. Penerangan tentang berdiri lurus itu amat berkesan jika kita bersandarkan pada teori  asal kedudukan dan bandingannya dengan kedudukan yang lain. Saya rasa Ustaz pernah mengkiaskan kedudukan SC umpama mencari rotan di hutan. Nilai notan yang bengkok tentunya tidak sama dengan nilai  rotan yang lurus. Dalam hal ini, bagaimana kita hubungkan rotan tersebut dengan teori kehebatan SC menunggu serangan.

Banyak lagi teori yang berkaitan dengan jatuhan, potong dan serangan. Teori-teori gerak yang ada dalam gerak SC bukannya khayalan. Tapi itulah kebenarannya. Apa yang dikata akan mudah dikota. Tidak ada cacat celanya pada teori atau pegangan kita. Cuma, sejauh mana kita dapat menguasai teori-teori gerak yang ada dalam SC. Ramai yang boleh bercakap tapi tidak berupaya untuk membuktikannya. Kalaulah teori yang dicakap selari dengan perbuatan yang dilakukan maka Jurulatih itu akan sentiasa dihormati dan disegani oleh anak didiknya.

Walau bagaimanapun, kita tidak dapat nafikan betapa ada antara para Jurulatih yang bijak membuktikan setiap gerak silat yang ada dalam SC, tapi perbuatannya tidak selari dengan apa yang diperkatakan. Orang-orang yang sebegitu boleh dianggap berfaham melampau. Maka, selalunya percakapan mereka adalah  ’cakap tak serupa bikin’. Asyik berteori sahaja dan setakat boleh bercerita tentang kelebihan gerak dalam SC. Hinggakan ada yang menggelar mereka sebagai Mat Teori. Kita tidak dapat nafikan betapa pengetahuan mereka amat luas hasil pembacaan yang kerap dan banyak atau hasil usaha mendengar cakap dari orang lain. Tapi setakat pengetahuan sahaja. Hal yang demikian menjadikan mereka hanya pandai bercakap sahaja. Apabila diminta  buktikan percakapan, nampak sangat penghasilan perbuatan amat lemah. Lain yang cakap maka lain pulak kerja buatnya.

Mereka yang cakap tidak serupa bikin, sebenarnya adalah terdiri dari mereka gagal untuk memikul tanggungjawab Jurulatih dengan sempurna. Kadang kala diri mereka bersifat sombong kerana menganggap diri telah hebat dan tidak ada orang lain yang boleh bersaing. Oleh itu, mereka tidak berminat untuk menambah ilmu persilatan SC atau merujuk pada ahli-ahli lain yang lebih hebat atau lebih berpengetahuan dalam SC. Bagi menonjolkan kehebatan diri, mereka terpaksa bercakap hebat untuk membuktikan kehebatan diri. Pada hal, para ahli yang sedang menuntut, lebih berupaya membuat kesimpulan akan kehebatannya. Cuba kita bayangkan jika mereka diberi mandat untuk membuat pelarasan buah atau mengimbau semula gerak-gerak buah SC yang sepatutnya. Pastinya akan lahir pelbagai tafsiran dan gerak-gerak yang ’lari’ tapi diamalkan oleh para peserta.

Cuba kita bayangkan juga pengendalian SC dalam satu-satu kelas. Penyampaian satu-satu mata pelajaran memerlukan kefahaman teori yang tinggi. Kita perlu menerangkan tempat-tempat untuk ditepis dan akibat-akibat yang mungkin berlaku apabila buah-buah yang digunakan tidak dapat diambil dengan tepat dan betul. Satu contoh yang mudah ialah perbuatan pukulan tengkok akan menyebabkan pengsan atau kematian.  Kita perlu memegang teori ini kerana perbuatan sebenarnya mustahil dapat dilakukan.

Nilai ekonomi yang ada pada Jurulatih menjadikan pengendalian kelas memberi kesan yang bermakna pada para penuntut. Jika masa yang diuntukkan selama dua jam, maka Jurulatih yang mempunyai nilai ekonomi akan mempastikan masa dua jam itu dipenuhi dengan sepenuhnya. Mereka akan berasa bersalah jika gagal berbuat demikian. Penuntut yang datang lambat akan dipersoal. Latihan akan dijalankan secara sistematik bagi menentukan tidak ada antara para penuntut yang curi tulang. Sebaliknya, jika nilai ekonomi itu tidak ada pada Jurulatih, budaya tak kisah akan muncul. Datang lambat ke, malas berlatih ke, cakap banyak ke dan ‘ke ke’ yang lain langsung tak diambil kisah. Prinsipnya,”nak belajar, belajar. Tak nak belajar sudah dan boleh belah.”

Dalam konteks SC, mereka yang memiliki nilai ekonomi yang tinggi akan menjadikan setiap perancangan yang ingin dijalankan pasti akan ditentukan impaknya. Lebih-lebih lagi apabila program atau perancangan berkenaan melibatkan jumlah belanja atau tenaga yang banyak. Setiap sen yang dibelanjakan atau setiap titik peluh yang dikeluarkan, perlu mendatangkan hasil yang berbaloi. Jika tidak, mereka akan ketepikan perancangan tersebut.

Oleh itu saya beranggapan bahawa nilai ekonomi amat penting dijiwai oleh setiap Jurulatih. Kita rujuk dalam persilatan SC. Jika para penuntutnya hebat tapi proses pembelajarannya tidak tersusun baik atau tidak dilaksanakan dengan kemas dan teratur, maka hasil atau mutu para penuntutnya tidak akan mencapai tahap maksimum seperti yang dihajati. Proses pembelajaran dalam SC adalah merupakan salah satu  cara  untuk membangunkan murid SC.  Oleh itu, keperluan mengkaji impak dalam setiap proses pembelajaran adalah merupakan satu keperluan yang tidak boleh dipandang ringan.

Dalam konteks persatuan pula aktiviti silat yang ingin dilibati akan dilihat dari sudut faedah pada persilatan dan pembelajaran anak didik kita. Ketika saya memimpin persatuan, bentuk persembahan atau pertunjukan amat saya titikberatkan. Kalau dijemput membuat pertunjukan, saya akan pastikan faedahnya pada persilatan. Majlis pertunjukan itu mestilah berupa medan yang dihadiri ramai bagi memudahkan kita mempromosikan SC itu sendiri. Dalam majlis rasmi, saya akan pastikan persembahan SC akan dilakukan sebaik sahaja majlis perasmian itu berlangsung. Hal yang demikian akan membolehkan semua penonton memberi perhatian sepenuhnya pada persembahan SC. Mudahlah bagi kami menyebarkan ’pengaruh’ SC pada para penonton.

Hinggakan giliran kita membuat persembahan pun diambil kira pada satu ketika lalu. Kita akan pastikan sama ada giliran itu pertama atau diakhir. Jika berada di tengah, kita akan mohon alihkan waktu persembahan. Tindakan kita itu adalah berdasarkan impak yang boleh ditentukan. Jika kita tidak boleh berbuat demikian, biasanya kita akan merujuk pada huruf. SC bermula dengan huruf ”C”. Hal yang demikian pernah kita gunakan bagi menentukan kedudukan berbaris  pada hari Kebangsaan. Kita mendahului silat-silat Melayu yang lain dalam perbarisan.

Jurulatih yang mempunyai nilai ekonomi juga akan mempastikan wang yuran penuntut setiap bulan adalah berbaloi dengan ilmu yang dicurahkan mereka. Pemikiran penuntut akan difokuskan pada pelajaran silat. Hal-hal yang berkaitan dengan politik silat atau pengurusan persatuan sama ada di cawangan atau di pusat tidak disogokkan pada pemikiran penuntut yang hanya mempunyai niat untuk mempelajari silat.

Kita boleh bayangkan betapa para Jurulatih yang tidak ada nilai ekonomi, lebih banyak mengajar berdasarkan syok sendiri. Kebolehan para penuntutnya tidak pernah diambil kira. Nak pandai, pandailah, nak belajar, belajarlah. Amat malang pada para penuntut jika Jurulatihnya tidak mempedulikan impak pelajaran pada para penuntutnya sendiri. Penglibatan dalam semua aktiviti persilatan tidak pernah diambil kira pada faedah persatuan yang dipimpinnya sendiri.

Bersambung…

 
Comments Off on 24.0 APLIKASI NILAI DAN KEPEMIMPINAN DALAM SC I

Posted by on 15/01/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: