RSS

23.1 NILAI DAN KEPEMIMPINAN II

12 Jan

Nilai yang pertama patut ada pada kita ialah Nilai Teori. Mereka yang mempunyai pegangan pada satu-satu teori apabila membincangkan satu-satu tajuk atau perbahasan, akan dianggap memiliki nilai teori tersebut.  Sifat mereka umpama individu yang bergantung pada ta’kulan. Pemerhatian mereka adalah secara objektif. Mereka tidak ikut perasaan melainkan mempunyai pendekatan yang kritis dan rasional. Mereka sentiasa menghargai pembaharuan dan pengetahuan.

Dalam hal ini, kita jangan terperangkap dengan istilah teori tanpa pengetahuan yang jelas. Istilah teori adalah mengenai sesuatu yang telah teruji kebenarannya. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan istilah hipotisis atau agakan. Maknanya, teori bukanlah sesuatu yang tidak boleh berlaku seperti yang sering difahamkan oleh mereka yang kurang berilmu, ”Alah! Teori aje bolehlah”. Mereka yang berjaya mencipta teori adalah terdiri dari manusia yang berhempas pulas memerah otak untuk mencari kebenaran pada satu-satu perkara. Apabila terbukti kebenarannya maka barulah dijadikan teori. Oleh itu, kita perlu berpegang pada satu-satu teori berdasarkan kesesuaian fahaman kita dengan mereka yang berteori tersebut.

Nilai  kedua yang perlu ada atau mungkin ada pada seseorang ialah Nilai Ekonomi. Nilai ekonomi akan menjadikan seseorang itu mementingkan apa sahaja yang berguna dan mendatangkan keuntungan sama ada pada barangan atau pada tenaga kerja yang disumbangkannya. Oleh itu, mereka akan merancang dan berfikir tentang baik buruknya sesuatu perkara sebelum melakukan sesuatu rancangan. Malah istilah ekonomi itu sendiri adalah merujuk pada pulangan yang berfaedah yang boleh diperoleh dari satu-satu aktiviti dan sebagainya.

Mereka yang mempunyai nilai ekonomi juga akan sentiasa mengelak pembaziran. Mereka akan sedaya umpama menggunakan sesuatu kemudahan itu semaksimum mungkin. Penjimatan penggunaan meterial, terutamanya wang ringgit, amat dititikberatkan. Salah satu dari caranya ialah dengan mengurangkan kesilapan. Secara langsung, hal yang demikian akan memaksa mereka membuat perancangan secara teliti.

Orang yang tidak mempunyai nilai ekonomi, akan membuat sesuatu perancangan berdasarkan hati. Impak  kepada program itu kurang dititikberatkan. Mungkin program itu dijalankan sebagai memenuhi agenda yang telah ditetapkan. Setiap arahan akan dijalankan atas sifat ’bersedia menjalankan tugas.’ Kalau dirujuk pada pekerja pejabat, hari-hari datang kerja. Cukup masa, berhenti aktiviti kerja dan pulang ke rumah. Esok datang lagi. Begitulah rutinnya setiap hari. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan mereka yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

Namun begitu, terlalu mementingkan nilai ekonomi akan menyebabkan seseorang itu ’kedekut’ untuk berbelanja dan ’berkira’ menggunakan tenaganya sendiri. Setiap sen yang digunakan akan dituntut balik kosnya  dan setiap titik peluh yang keluar, akan ditagih pulangannya. Itu sebabnya kita dapati ramai antara rakan kita yang menuntut bayaran balik belanja photostat yang mungkin bernilai dua atau tiga puluh sen. Ramai juga antara rakan yang membayar harga makanan atau minuman yang dipesannya sahaja, walaupun makan dan minum semeja bersama dengan rakan-rakan yang lain. Walaupun hubungan mereka adalah baik, namun, apabila menyentuh soal duit dan pengorbanan tenaga, perangainya amat bertukar sekali. Hilang nilai persahabatan, timbul nilai duitan dan nilai ’berkira’.

Selain dari itu, nilai yang ketiga adalah terdiri dari mereka yang mempunyai Nilai Estatik. Orang yang bernilai estatik ini adalah sentiasa menghargai keharmonian, kesucian dan kecantikan. Kerja yang dihasilkan sentiasa kemas dan mementingkan kualiti.  Mereka tidak suka berbalah kerana mementingkan sifat tolak ansur dan sering mengalah. Pakaian mereka juga turut kemas dan menarik.  Kalau di pejabat, meja mereka tersusun dan tidak berselerak dengan bahan-bahan yang tidak diperlukan lagi.

Sifat nilai estatik yang melampau pada seseorang mungkin menyebabkan mereka kurang tegas dalam menentukan sesuatu keputusan. Jaga hati. Sebaliknya jika nilai ini tidak ada langsung pada seseorang, akan menjadikan sifatnya kasar, keras dan tidak mempedulikan hati orang lain. Mereka hanya mementingkan pelaksanaan kerja tanpa merujuk pada hal-hal kebajikan ahli-ahli persatuan atau ahli-ahli organisasinya.

Nilai keempat yang ada dan perlu ada pada seseorang ialah Nilai Sosial. Nilai ini bermaksud seseorang itu sentiasa mementingkan hal-hal kebajikan sesama manusia. Mereka sering bertanya khabar dan sentiasa mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh setiap ahli di bawah pengawasannya. Sifat sentiasa bersedia memberikan pertolongan adalah menjadi amalan. Hal yang demikian menjadikan perwatakan mereka sangat disenangi oleh rakan-rakan sekeliling. Setiap masalah yang dinyatakan, akan berakhir dengan keputusan yang amat menyenangkan.

Namun begitu, sifat melampai pada nilai sosial ini akan menjadikan seseorang itu terlalu menyebok. Setiap perkara yang berlaku akan dicari puncanya. Bukan untuk maksud penyelesaian, tapi untuk kepuasan dirinya bagi mengetahui akan punca sesuatu perkara tersebut. Hal yang demikian, mengarah kepada sifat yang suka mengambil tahu hal orang lain. Tentunya hal yang demikian juga tidak akan menyenangkan orang lain dari segi perhubungan, jika perkara yang remeh pun cuba dirungkai puncanya.

         Nilai Politik adalah merupakan nilai yang kelima patut ada pada seseorang. Pengamal nilai ini akan menjadikan individu itu sentiasa berminat dengan kuasa, tugas atau tanggungjawab. Kalau boleh, mereka  berminat untuk mengambil bahagian atau terlibat dalam semua kerja yang ada, kerana individu itu berminat dengan kuasa, tanggungjawab dan tugas yang ada.

Cuma, jika terlalu berminat dengan kuasa, tugas atau tanggungjawab akan menjadikan individu itu cuba mengawal keadaan serta mempengaruhi orang lain hinggakan timbul istilah gila kuasa. Tentunya hal yang demikian akan mewujudkan suasana yang tidak menyenangkan kerana individu itu akan berbuat apa saja bagi mengekalkan kuasa atau tanggungjawab yang diberi padanya.

Akhirnya, nilai keenam yang perlu ada pada seseorang ialah Nilai Keagamaan. Individu yang mempunyai nilai keagamaan ini sentiasa mementingkan perpaduan dan penyertaan. Sifat-sifatnya melambangkan kedamaian fikiran. Suaranya tidak meninggi. Mukanya sering mempamerkan senyuman. Ramai individu lain yang akan merujuk masalah peribadi padanya. Beliau berkeupayaan untuk melegakan masalah yang dihadapi seseorang. Sifat panas baran pastinya tidak dimiliki oleh individu ini. Setiap program yang dirancang akan disertainya tanpa banyak bangkangan. Sifatnya lebih kurang sama dengan mereka yang memiliki nilai estatik. Tidak sukakan pertengkaran atau perbalahan yang boleh menyebabkan hubungan menjadi renggang.

Keenam-enam nilai yang saya bincangkan di atas, keseluruhannya lahir secara semula jadi pada diri setiap individu.  Nilai-nilai inilah yang akan menentukan sifatnya, gaya kepimpinannya  atau perangainya. Nilai-nilai itu dipupuk sejak dilahirkan. Oleh itu, kalau ingin meniru bentuk kepimpinan orang lain, jangan lupa muhasabah diri sendiri. Sekian dan bersambung dalam konteks SC.

 
Comments Off on 23.1 NILAI DAN KEPEMIMPINAN II

Posted by on 12/01/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: