RSS

ARAH PENULISAN

02 Jan

         Setakat ini saya telah menulis dalam ruangan yang disediakan ini hampir dua ratus muka surat dalam dua puluh dua tajuk. Sejauh mana tulisan saya dimengerti untuk amalan, terpulanglah kepada mereka yang membacanya. Cuma masih ada yang bertanya pada saya. Kenapa tidak tulis banyak tentang persilatan lagi. Saya diam sahaja. Pada saya, penulisan kali ini ada maknanya tersendiri.

Bidang persilatan ada yang empunya ’haknya’. Guru Utama yang sah pelantikannya bertanggungjawab bagi mempastikan pusaka Melayu yang dibajai oleh Ustaz Hanafi itu berkembang dengan megahnya.  Kemegahan SC telah cuba dipertahankan oleh semua golongan masyarakat SC. Pelbagai pihak telah mendakwa betapa diri mereka bertanggungjawab bagi mempastikan keaslian pusaka Hanafi itu dipertahankan. Maka muncullah pelbagai jenis guru yang mendakwa sebagai pewaris sah. Kesahan mereka sebagai Guru Utama adalah bersumberkan pelbagai alasan  dan dokumen. Pastinya ada pengikut atau kuncu-kuncu yang mengipas dan mengampu. Gelaran Guru Wawasan, Guru Persatuan, Guru Perjanjian dan Guru Persilatan sering saya gunakan dalam tulisan yang terdahulu. Hanya Jauhari mengenal maknikam. Yang benak tetap benak dan akan terus dengan kebenakannya. Yang berkepentingan diri pasti akan menjaga kepentingannya. Hal yang demikian akan terus berlanjutan hinggalah saat-saat ketuaan mereka. Ketika itu minat mereka pada persilatan semakin kurang. Namun, kerosakan yang mereka tinggalkan amatlah teruk sekali.

Rupa-rupanya, dalam proses mereka memelihara SC, pada hakikatnya ialah merosakkan SC itu sendiri. Maka jadilah pepatah yang berbunyi, ”Umpama tikus membaiki labu.” Paling malang sekali ialah apabila perosak-perosak ini berjuang sekerat jalan. Cukup tempoh mereka mengundur diri. Alasannya pelbagai. Sekurang-kurangnya kerana kesihatan atau umur yang telah tua atau tuntutan keluarga atau tuntutan kerja atau atau yang lain. Yang pastinya mereka telah membuat ’tahik’ dalam perjuangan mengembangkan SC. Itulah golongan haprak yang selalu saya istilahkan mereka.

Sebelum mereka mengundur diri, terlalu banyak kerosakan yang dibuat. Sekurang-kurangnya merosakkan pemikiran ahli-ahli yang menceburi SC dengan pendapat mereka sendiri. Hilang pegangan mereka tentang adat dan adab persilatan SC yang ditinggalkan oleh Ustaz Hanafi.  Cakap mereka seolah-olah merekalah pembela SC dari awal tapi tiada akhirnya. Itu sebabnya, saya selalu sarankan pada ahli-ahli SC yang berada dalam persatuan. Kita bukan golongan profesional dalam SC. Kita ada kerja lain. Yang profesional ialah Guru Utama. Maka biarlah beliau yang menentukan hala tuju SC itu sendiri. Kalau kita tidak setuju maka eloklah undur diri. Tapi lain jadinya. Mereka ingin terus berada dalam SC. Bukan setakat itu sahaja, malah mereka cuba berkuasa dengan menyingkir guru yang ada. Pelbagai taktik keji dan strategi mantat telah mereka gunakan.

Kadang kala kita berasa pelik. Kenapalah perkara yang demikian boleh berlaku. Kita juga berasa hairan, orang yang rapat dengan Ustaz, akhirnya sanggup mengkhianati amanah Ustaz. Orang yang mengakui  Mak Teh sebagai ibu, akhirnya sanggup ’menderhaka’ sebagai pengisian hala tujunya. Orang yang bersikap tenang dan bijak mengeluarkan pendapat, akhirnya kecoh tak tentu hala dan mengeluarkan pendapat yang entah apa apa. Orang yang ingin mempertahankan pusaka Ustaz Hanafi, akhirnya mengubah aspek persilatan secara suka hati. Banyak lagi komen yang selalu saya nyatakan dalam tulisan terdahulu.

Saya yang begitu lama berjuang pun, akhirnya pernah tersingkir secara biadab. Alasannya kerana dikatakan pemikiran yang tidak sehala. Semuanya tafsiran mereka belaka. Rupa-rupanya sifat manusia yang ada dalam SC, sering Ustaz bandingkan dalam perbualannya yang lalu. Saya cuba ingat-ingatkan. Maka pernah saya tulis dalam blog yang terdahulu. Ustaz pernah bandingkan manusia dengan pelbagai jenis binatang kejadian Tuhan. Nama-nama seperti ketam, babi, biawak, lebah, gajah, kancil, ular, singa, harimau, buaya, lalat dan banyak lagi sering Ustaz jadikan bandingan.

Saya kenang kembali kiasan-kiasan Ustaz itu dengan suasana yang wujud dalam persatuan kita. Memang ada kena mengenanya. ”Biawak tetap memilih bangkai.” Bagilah makanan enak yang pelbagai rupa. Akhirnya ke bangkai juga pilihannya. Mereka yang cakap tak serupa bikin boleh disamakan dengan ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan betul. Sifat manusia berkiaskan lebah tentunya berlawanan dengan sifat manusia berkiaskan lalat. Hubungan kita dengan ahli-ahli lain dalam persatuan SC tentu tidak sama kiasannya antara perangai ular dan singa. Banyak lagi tafsirannya seperti yang pernah saya tulis dalam tulisan-tulisan terdahulu.

Sepanjang pengalaman saya bersama Ustaz, hal yang terjadi dalam SC akhirnya saya dapat faham dalam konteks persatuan atau organisasi. Perkara-perkara yang pada mulanya saya anggap pelik, rupa-rupanya adalah merupakan hukum persatuan. Apabila saya memahaminya, maka perkara yang saya anggap pelik pada mulanya, akhirnya tidak pelik lagi.

Maka dalam blog yang terbaharu ini, saya cuba berkongsi pengetahuan tentang hukum persatuan yang ada supaya kita tidak berasa pelik. Apa jenis persatuan yang ada pun, maka sifat manusianya adalah tetap sama. Persatuan SC pun tidak terkecuali. Itu sebabnya penulisan saya banyak berkisar pada manusia-manusia yang wujud dalam setiap persatuan. Dalam hukum persatuan itu, kita tidak dapat lari dari aspek kepimpinan, pengikut, matlamat dan strategi yang ada. Semuanya berkaitan dengan sifat atau perwatakan manusia yang ada dalam satu-satu persatuan itu.

Saya telah cuba mengupas tentang pelbagai aspek kepimpinan dan  pelbagai aspek pengikut. Selagi manusia itu bergelar manusia, maka sifat-sifat itu tetap ada dan dibawa ke mana sahaja. Apabila mereka berada dalam persatuan kita, maka sifat-sifat itu dibawa bersama dalam proses mengendalikan persilatan SC. Kalau kita memahami gelagat-gelagat mereka itu maka mudahlah kita membuat jangkaan. Hal yang demikian amat bermakna pada para pemimpin persatuan.

Dalam blog ini, saya berharap pengetahuan yang saya sampaikan itu dapat dijadikan panduan pada mereka yang memimpin persatuan. Saya tekankan betapa kepimpinan itu meliputi semua peringkat. Setiap peringkat ada kuasanya tersendiri. Itulah salah satu sifat persatuan atau sifat organisasi. Mengendalikan persatuan memerlukan kemahiran. Setakat mahir dalam persilatan, tidak memadai untuk memegang kepimpinan persatuan secara efisyen. Kita mesti ada kemahiran untuk mengendalikan persatuan. Oleh sebab persatuan itu berkaitan dengan manusia, maka kebolehan kita memahami semua jenis manusia yang dalam persatuan itu, akan memberi  sumbangan yang besar pada kita untuk membangunkan persilatan SC yang bernaungkan pada persatuan.

Kalau kita memahami sifat-sifat yang ada dalam persatuan juga akan memudahkan kita menjangka perkara-perkara buruk yang mungkin terjadi. Di peringkat cawangan, Penyelia Kelas dan para Jurulatih memainkan peranan penting bagi menentukan kemantapan persatuan. Mereka akan bertindak untuk mengawal ahli-ahli yang ada dalam persatuan. Diri mereka juga perlu dibina dan sesuaikan dengan sifat dan kehendak para ahlinya. Jikalau kekuatan diri dan kelemahan diri sentiasa difahami, maka mudahlah mereka mengendalikan persatuan. Diharapkan tulisan saya ini boleh dijadikan panduan untuk maksud yang  berkenaan.

Di samping itu, tulisan saya ini juga adalah sebagai renungan bagi memahami segala yang telah berlaku dalam persatuan. Hal yang demikian akan menjadikan kita lebih tenang dan kurang berasa sedih.  Pastinya kejadian malang yang menimpa persilatan kita ialah perpecahan persatuan. Perpecahan persatuan telah menyebabkan berlakunya perpecahan persilatan. Pepecahan dalam persilatan adalah satu keperluan bagi menunjukkan perbezaan persatuan. Perpecahan itu pula telah menerbitkan guru yang baru. Guru-guru itu juga berpecah atas keperluan perpecahan persatuan dan perpecahan persilatan.

Apabila membaca  tulisan saya, diharapkan para pembaca dapat memahami kenapa perpecahan boleh berlaku. Sesungguhnya perpecahan itu tidak dapat dielakkan apabila prinsip berpersatuan telah diketepikan. Pada saya, perpecahan yang berlaku itu menunjukkan para pemimpin di pelbagai peringkat tidak dapat memainkan peranannya secara jujur dan amanah. Cuma, perpecahan yang berlaku dalam persatuan kita terlalu cepat. Sebaik sahaja Ustaz meninggal dunia, perpecahan pun mula berlaku. Tak boleh tahan lama sikit. Kalau kerajaan-kerajaan yang hebat-hebat dulu dapat bertahan beratus-ratus tahun, diharapkan selepas Ustaz, perpecahan dalam SC setelah berpuluh tahun pun jadilah. Tapi perpecahan cepat berlaku. Semuanya gara-gara kumpulan pertengahan yang disokong kuat oleh golongan bawahan cuba menyingkir akan golongan atasan. Rasanya kita dapat memahami maksud saya tersebut.

Saya berharap perpecahan dalam SC seterusnya dapat dibendung. Sekurang-kurangnya dengan cara bertukar-tukar pengetahuan dan pengalaman dalam penulisan ini, perpecahan seterusnya dapat dilambatkan hingga beratus tahun.  Buatlah kursus-kursus kepada para kepimpinan dalam SC. Dalam setiap kursus itu jangan diasingkan bidang persilatan dan bidang persatuan. Persilatan dan persatuan adalah bersepadu dalam konteks organisasi sekarang. Tak boleh dipisah-pisahkan.

Dalam proses belajar silat, para ahli itu juga adalah merupakan ahli persatuan. Fahamkan mereka makna ahli dalam persatuan dan makna pengikut dalam persilatan. Begitu juga dengan para pemimpinnya. Fahamkan mereka makna pengurus dalam pengurusan persatuan dan makna pemimpin dalam kepimpinan persilatan. Semoga perpecahan seterusnya berjalan lambat dan menjangkau ratusan tahun. Sekian dan sambung dengan prinsip organisasi lain.

 
Comments Off on ARAH PENULISAN

Posted by on 02/01/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: