RSS

21.8 KESIMPULAN PERTEMUAN DAN PERPISAHAN

04 Dec

Sepanjang saya diamanahkan mengurus persatuan atau organisasi atau institusi, sifat dan sikap ahli yang saya pimpin adalah  sangat saya titik beratkan. Merekalah yang akan menentukan sama ada usaha-usaha yang kita lakukan mencapai kejayaan atau pun tidak. Kita tidak boleh membuat kerja seorang diri. Kita sentiasa memerlukan bantuan. Sikap pengikut kita akan banyak mempengaruhi  sokongan yang diberi. Sokongan itu pula akhirnya akan menentukan kejayaan yang dicapai itu besar atau setakat memadai sahaja. Oleh itu, kenalilah para ahli atau pengikut kita dengan sebaik-baiknya. Hal yang demikian akan memberi banyak faedah atas segala usaha yang kita lakukan.

Saya selalu tekankan betapa diri kita sendiri perlulah berada dalam suasana sentiasa positif, berilmu dan sentiasa memburu pengalaman dalam segala bidang kehidupan. Kitalah yang akan menentukan hala tuju diri kita sendiri. Sebarang kelemahan atau kelebihan yang ada pada diri kita, sepatutnya kita sendiri yang mengetahuinya secara terperinci. Pendapat orang lain hanyalah sebagai sandaran atau sempadan atau sebagai penimbang tara.

Ada yang berpendapat bahawa untuk mengetahui kelemahan atau kelebihan diri kita, perlu ditanya pada orang lain. Mungkin pendapat itu boleh kita bahaskan lagi. Cuba kita bayangkan sikap para pengikut kita seperti yang saya bincangkan di atas. Setiap para pengikut kita, ada sifat dan sikapnya yang tersendiri. Kalau kita tanyakan pada pengikut setia kita tentang diri kita, pastinya segala komennya adalah positif. Seolah-olah tidak ada langsung kelemahan pada diri kita. Kalau kita bertanyakan tentang diri kita pada pemimpin tak rasmi, mood  mereka akan mempengaruhi pendapat mereka sendiri. Tatkala mereka menyokong kita, segala komen mereka adalah positif. Semuanya baik belaka. Namun begitu, tatkala hati perut mereka tidak baik, komen-komen yang dilemparkan adalah lebih  banyak menjurus pada negatif.

Kalau kita bertanyakan pada kumpulan ahli yang majoriti dan bersifat biasa, jawapan mereka tidak akan menyakinkan kita. Mereka sendiri pun tidak yakin dengan buah fikiran yang dinyatakan. Manakala, jika kita bertanya pada kumpulan yang sentiasa bersifat menentang, maka komen-komen mereka pasti kesemuanya bersifat negatif. Tidak ada satupun yang baik pada sisi mereka. Hal yang demikian kerana itulah sifat mereka yang sentiasa memandang orang lain dengan sifat negatif.

Oleh itu, jika kita ingin mengetahui akan kelemahan atau kelebihan yang ada pada diri kita, maka kita sendirilah yang boleh menyatakannya. Berfikirlah seketika. Itulah sebab agaknya kita diseru supaya sentiasa muhasabah diri. Kita sendirilah yang sepatutnya mengetahui akan diri kita sendiri. Setiap hari kita akan memandang wajah kita. Sekurang-kurangnya tiga kali sewaktu sikat rambut di waktu pagi, tengah hari dan petang. Mungkin juga di waktu malam.

Walaupun kita gagal melukiskan kembali wajah kita, sekurang-kurangnya kita ada gambaran sendiri tentang wajah kita di kotak pemikiran kita sendiri. Maka fikirkanlah tentang kelebihan dan kelemahan yang ada pada diri kita dalam suasana merendah diri. Jangan meninggi diri. Insyaallah, kita akan dapat membuat kesimpulan tentang diri kita sendiri melalui ilmu dan pengalaman yang ada. Oleh itu, perbetullah diri kita sendiri. Mana-mana yang kurang, perbaiki. Mana-mana kelebihan, maka teruskan. Lebih baik kita bertanya tentang diri kita pada diri kita sendiri daripada bertanya pada orang lain.

Dalam konteks organisasi, jika ada orang lain ingin mengetahui tentang keberkesanan organisasi yang kita pimpin, sepatutnya mereka meletakkan kepercayaan pada diri kita sebagai pemimpin. Tidak perlu bertanyakan ahli untuk menentukan kepemimpinan kita di peringkat organisasi itu berkesan atau pun tidak. Saya berpengalaman dalam soal ini apabila ada pihak lain yang inginkan komen para ahli tentang keberkesanan kepimpinan saya. Kalau inginkan segala-galanya positif, maka para pengikut kumpulan pertama boleh dijadikan bahan rujukan. Tentunya hal yang demikian akan berbeza jika dirokemenkan kumpulan penentang. Kalau dirujuk pada kumpulan pemimpin tak rasmi, ikut keadaan. Manakala bagi kumpulan ramai atau kumpulan majoriti jawapan mereka hanya diperingkat pertengahan kerana mereka lebih banyak bersifat ’selamat’.

Dalam konteks persilatan kita, usaha-usaha mencungkil kepemimpinan di peringkat cawangan perlulah berhati-hati. Jangan mudah mempercayai kata-kata para ahli yang ada di setiap cawangan itu. Setiap ahli itu adalah mewakili setiap sifat kumpulan pengikut. Pendapat mereka pastinya tidak sama tentang kepimpinan persatuan. Tersilap pilih ahli untuk mendapatkan pendapat maka segala-galanya akan membawa suasana buruk dan negatif. Kalau itu dijadikan pegangan, maka rosaklah hubungan antara cawangan dengan pihak pusat.

Banyak cawangan yang dicap dengan pelbagai  tohmahan, gara-gara mendapat maklumat yang salah dari mereka yang berada dalam kumpulan yang negatif. Kita tentunya ada pengalaman dalam yang demikian. Pihak kepimpinan pusat amat mudah membuat kesimpulan. Hinggakan ada para pemimpin cawangan yang dikatakan umpama raja yang mengongkong para ahlinya. Banyak lagi tohmahan dan andaian yang tidak tepat hingga akhirnya memberi sumbangan pada pepecahan ahli dalam persatuan kita yang gah pada satu masa yang lalu.

 

Kadang kala kita juga perlu berfikir dalam konteks diri kita pula sebagai pengikut. Di kumpulan manakah kita berada. Hal yang demikian adalah perlu kerana kesedaran tentangnya akan dapat mengubah sikap kita sendiri atau akan dapat membetulkan sebarang kesilapan yang kita lakukan. Kita sedia maklum bahawa setiap kumpulan itu ada sifat dan sikapnya tersendiri. Kefahaman tentangnya akan banyak membantu diri kita tatkala kita melakukan perbuatan muhasabah diri. Keputusan yang kita ambil akan lebih bersifat rasional dan patut.

Berdasarkan perbincangan di atas, memperlihatkan pada kita betapa pentingnya kita mengetahui akan sifat dan sikap para ahli yang menjadi pengikut kita sendiri. Merekalah yang akan menentukan hebat atau tidak persatuan yang kita pimpin. Malah sifat pengikut itu sendiri akan memberi sumbangan pada sifat kesetiaan atau sifat penentangan.

Malah, dalam persilatan kita sendiri, sifat dan sikap para ahli sangat dititikberatkan. Pemilihan ayam di waktu tamat dapat dijadikan satu rujukan setapa pentingnya mengetahui sifat dan sikap ahli. Setiap bahagian ayam yang dipilih, ada membawa petunjuknya yang tersendiri. Dikatakan hanya Guru Utama sahaja yang mengetahuinya.  Namun, sekurang-kurangnya adat demikian akan dapat memberi petunjuk kepada guru tentang sifat dan sikap para ahli atau para pengikutnya supaya beliau lebih berhati-hati. Agaknya.

Walau bagaimanapun, saya perlu jelaskan di sini betapa Ustaz tidak pernah bergantung pengetahuan tentang ahli berdasarkan pemilihan bahagian ayam dalam adat petunjuk tersebut. Seperti yang pernah dinyatakan pada saya, itu sebabnya adat tersebut diletakkan pada pertengahan pelajaran dan bukannya pada pemulaan pelajaran. Ustaz tidak bergantung pada perbuatan demikian. Sesungguhnya, Ustaz mempunyai caranya yang tersendiri untuk mengenali sifat dan sikap para pengikutnya sendiri. Sekian tajuk ini.

 
Comments Off on 21.8 KESIMPULAN PERTEMUAN DAN PERPISAHAN

Posted by on 04/12/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: