RSS

21.7 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN VIII

01 Dec

Tumpuan atau fokas kebanyakan mereka dari kumpulan menentang ini, hanyalah pada silat sahaja. Aktiviti persatuan tersangat jarang atau mungkin tidak pernah disertai. Majlis-majlis yang berkaitan dengan pembukaan kelas, pasti mereka tidak melibatkan diri. Kempen-kempen mencari ahli, mereka buat tak erti. Pendek kata apa saja yang berkaitan dengan persatuan, mereka tidak melibatkan diri. Gotong-royong membersihkan kelas latihan silat pun, mereka tidak sertai. Minat mereka hanya mendapatkan ilmu SC buat kepentingan diri. Nampak sangat tidak ikhlasnya, semata-mata mereka mencari kepastian sahaja untuk kepuasan diri sendiri.

Hal yang demikian menjadikan mereka sering menyindiri. Tidak bercampur dengan ahli-ahli lain. Pada pandangan saya, tentunya sifat mereka itu adalah semata-mata untuk mendapatkan rahsia yang ada dalam pelajaran SC sahaja. Inilah yang dikatakan kumpulan keempat iaitu kumpulan penentang yang ada dalam persatuan kita. Kehadiran mereka tidak menyumbang apa-apa makna pada silat dan persatuan, melainkan sumbangan yuran yang mesti mereka jelaskan setiap bulan. Kalau mereka tidak wujud sekalipun, tidak mendatangkan apa-apa kerugian pada persilatan dan pada persatuan SC. Tapi apakan daya, tanggungjawab kita ialah menyampaikan ilmu SC pada mereka yang berminat. Dalam hal ini, mereka masih berminat walaupun ada udang di sebalik batu.

Terdapat juga ahli kumpulan ini yang memaksa diri mereka belajar SC dalam keadaan hati mereka tidak dapat menerima pelajaran SC kerana penentangan yang wujud dalam diri mereka sendiri. Berdasarkan pengalaman saya tersebut, perkara yang menarik itu ialah hati mereka tidak dapat menerima pembawaan SC kerana ilmu SC itu sendiri telah bertentangan dengan amalan ilmu yang ada pada diri mereka.

Pernah terjadi peristiwa seorang Jurulatih silat Melayu lain yang memasuki SC. Hebat juga gurunya. Dikatakan boleh mengubat orang lain.  Pada malam pertama beliau tidur bersama kain putih, berlaku perkara pelik padanya. Beliau mendakwa betapa bermimpikan hantu ketika tidur atas kain putih. Kadang-kadang dikatakannya ada ’orang’ lain datang bermalam bersama. Bukan isterinya. Macam-macam tohmahnya lagi. Orang lain biasa sahaja, melainkan dirinya.

Namun begitu beliau tetap meneruskan pengajian SC dalam keadaan hati yang tidak dapat menerima pelajaran SC secara sepenuhnya. Maka banyaklah yang tak kena pada pandangannya sepanjang menerima buah-buah SC. ”Banyak sangat bijik buahnya.” Hendak saja saya katakan betapa ilmu yang sedia ada padanya adalah salah. Saya percaya bahawa kejadian pelik yang berlaku pada dirinya adalah disebabkan pertentangan ilmu yang ada dalam SC. Pastinya, ilmu yang ada dalam SC itu adalah benar, manakala ilmu yang sedia ada padanya adalah salah.

Akhirnya, terpaksalah saya membuat helah hingga beliau meninggalkan kelas SC. Saya beranggapan beliau tidak ada habuan untuk menerima pelajaran SC yang saya anggap tersangat ’mahal’ harganya. Lebih baik beliau ”disingkirkan” daripada kelas daripada dibiarkan terus belajar dalam keadaan hati tidak tunduk pada ilmu SC.

Walau bagaimanapun, ada juga antara mereka yang belajar SC tapi sukar tunduk pada pelajaran SC atas sebab sifat semula jadi yang ada pada diri mereka. Latar belakang silat lain tidak juga ada pada mereka. Pengetahuan mereka tentang silat Melayu hanyalah bermula pada SC. Namun begitu, kritikan mereka pada buah-buah yang diturunkan pada mereka seolah-olah mereka pakar dalam gerak silat Melayu. Hal yang demikian adalah merupakan satu penyakit juga dalam kalangan penuntut-penuntut kita yang sedemikian rupa. Kehadiran mereka juga tidak menyenangkan kita kerana mereka sentiasa mempersoalkan pada setiap gerak yang kita ajar. Persoalan itu adalah berdasarkan daya pemikiran mereka dan bukannya berdasarkan pengalaman mereka dalam persilatan silat Melayu. Itulah tabiat buruk yang ada pada mereka.

Walau bagaimanapun, sifat penuntut yang suka mengkritik itu tidaklah ’sebahaya’ dengan sifat penuntut yang belajar SC kerana ingin mendapatkan rahsia. Sifat ’penentangan’ yang ada pada penuntut yang suka membuat komen itu mudah saya tundukkan. Ketika menurunkan pelajaran SC, saya pastikan mereka menerima dengan  ’selengkapnya’. Lengkap dengan rasa sakitnya sekali. Kalau ditetak tangannya, maka akan saya tetak sepenuh hati. Cuma pada bahagian tengkok sahaja yang saya berhati-hati. Saya akan berasa puas apabila mereka meraung ketika menerima setiap buah yang saya beri.

Sebaliknya, pada penuntut yang belajar silat kita kerana kepentingan tersendiri seperti  menambahkan pengetahuan silat yang sedia ada atau ingin mencungkil rahsia pelajaran SC sahaja, maka kita perlu berhati-hati. Kecenderongan mereka bertindak balas dalam bentuk gerak silat, memang ada. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan penuntut yang suka mengkritik. Mereka hanya menggunakan mulut. Kalau meraung tentunya mereka akan mendiamkan diri. Sebaliknya, mereka yang ada pengetahuan silat lain, boleh membuat ’latah’ dengan bertindak balas atas gerak kita kalau dianggap mengancam mereka. Maklumlah, ego mereka tetap ada.

Pernah terjadi satu ketika, Jurulatih kanan saya menurunkan buah pada mereka. Terkasar sikit hingga menyebabkan mereka ’terasa’. Maka mereka cuba bertindak balas. Namun begitu tindak balas tersebut tidak menjadi kerana Jurulatih kanan tersebut dapat  mematikan gerak mereka. Hal yang demikian menyebabkan mereka cuba bertindak ikut cara persilatan mereka. Nak jadi gaduh. Nasib baik saya ada. Sifat mereka yang masih ’tunduk’ dan ’segan’ pada saya mendatangkan kelebihan untuk meredakan keadaan. Begitulah bahayanya mengajar penuntut yang bersifat demikian. Ada risikonya pada Jurulatih kita.

Saya memahami sifat yang ada pada mereka tersebut. Saya pun pernah mengalaminya. Ketika saya masuk SC pun antara tujuannya ialah ingin mengetahui sejauh mana kehebatan SC. Oleh itu, ketika belajarpun tidak sepenuh jiwa. Saya mempunyai latar belakang persilatan Melayu yang sedia ada tapi amat berbeza dengan SC.  Semuanya berbeza, baik dari segi fizikalnya, mahupun kefahaman persilatannya. Perbezaan yang ketara ialah pergerakan fizikalnya, sama ada pada cara menumbuknya, cara menunggu serangan, cara tangkapan dan tepisan tangan, adat memulakan latihan, istilah-istilah persilatan dan banyak lagi. Semuanya berbeza dengan ilmu persilatan yang sedia ada. Sifat ego tetap ada. Hal yang demikian telah menyebabkan sifat penentangan sentiasa ada. Semuanya kerana sifat tidak mudah mengalah.

Pernah terjadi satu kejadian ketika saya masih menuntut dulu. Sifat kami yang sedemikian telah menyebabkan beberapa Jurulatih yang bertindak sebagai wakil Ustaz berasa tidak senang. Terjadi beberapa peristiwa antara para Jurulatih dengan kami yang telah ada latar belakang persilatan dan tidak mudah menerima SC. Buah-buah yang diberi tidak dilatih dengan sepenuh hati. Dapat buah, duduk dan bersembang. Tambahan pula ada juga dalam kalangan Jurulatih tersebut yang suka menyembang tentang kehebatan SC dengan kami. Pada hal, geraknya pun tak tentu hala. Tapi kami ambil peluang untuk ’berehat.’

Keadaan kami yang demikian telah menyebabkan ada dalam kalangan Jurulatih yang beria-ria ingin membuktikan kehebatan SC pada kami secara gerak. Kejadian tersebut berlaku ketika kami masih belajar buah asas jatuh. Beliau menunjukkan gerak berikutnya tentang kaedah jatuh, potong dan seterusnya mengewar-warkan wujudnya kaedah SC menyerang. Nasib baik tidak ditunjukkan kaedah menyerang pada kami. Itulah akal kami, pelajar universiti yang pandai mengcungkil ilmu yang ada pada Jurulatih berkenaan. Walau bagaimanapun, Ustaz mnyedarinya. Jurulatih berkenaan kena marah. Kamipun kena marah. Ustaz memberi amaran. Kalau nak belajar, belajar betul-betul. Maka barulah reda sikit keadaan.

Bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang, kaedah berbaris diperkenalkan. Sebaik sahaja menerima buah, terus berbaris sebagai latihan kemahiran atas buah yang baru diambil. Barulah masa terisi dengan sepenuhnya. Tak ada lagi masa untuk bersembang atau duduk memerhatikan orang lain bersilat. Kami menunggu masa tamat untuk menguji kehebatan yang ada iaitu antara kehebatan SC dan kehebatan yang ada pada kami. Bila terbukti maka baharulah hati tunduk pada pelajaran SC. Hal yang demikian tentunya memakan masa yang agak lama.

Penuntut yang belajar SC kerana ingin mencungkil rahsia SC hanya akan tunduk jika kita ’bertry’ dengan mereka. Pada saya, buat apa menanggung beban yang sedemikian. Tidak perlu buktikan apa-apa. Tugas kita ialah menurunkan ilmu pada mereka yang benar-benar berkehendak. Maka berpakatlah kami untuk mengajar mereka supaya akhirnya mereka ’melarikan’ diri dari pembelajaran SC. Tidak ada untungnya mengekalkan kehadiran  mereka tersebut. Kita berasa cemburu kalau-kalau bila tamat nanti, ilmu yang ada pada silat kita akan disebarkan dalam kalangan penuntut asal seni bela diri mereka. Ketika itu tentunya mereka telah ’cabut’ atau menjauhkan diri dari kita. Hal yang demikian kerana hajat mereka untuk mencungkil rahsia persilatan kita telah mereka capai.

Berdasarkan perbincangan di atas, jika kita mengetahui perangai setiap ahli yang ada dalam organisasi atau persatuan kita, bolehlah dijadikan panduan bagi diri kita sendiri. Kita ada pengetahuan tentang ahli mana yang boleh dibuat kawan dan ahli mana yang perlu dijadikan batasan pergaulan. Kita juga akan mampu menjangkakan perwatakan jangka panjang mereka. Hal yang demikian menjadikan kita akan lebih berwaspada akan tindak tanduk mereka. Apa saja yang berlaku, memang boleh dijangka. Ada petandanya. Hal yang demikian akan memberi satu pegangan pada kita.  Perpisahan yang mutlak tidak akan menghairankan kita. Maka bolehlah kita anggap bahawa perpisahan itu adalah hukum dunia. ’Kerana silat kita berjumpa maka kerana silat juga kita berpisah.’ Ikuti kesimpulannya.

 
Comments Off on 21.7 PERTEMUAN DAN PERPISAHAN VIII

Posted by on 01/12/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: