RSS

20.1 PETANDA II

07 Nov

Dalam tulisan ini, saya hanya memetik beberapa contoh petanda atau isyarat gerak yang kita ’keluarkan’ kepada pesilat lain untuk memudahkan ’kerja’ kita bagi melakukan gerak. Tulisan ini semata-mata buat renungan kita bersama. Segala-galanya adalah berdasarkan tafsiran saya selama berada dalam persilatan SC.

Kedudukan SC yang tidak berkuda-kuda adalah melambangkan isyarat kita tidak mahu bergaduh. Adatnya orang lain boleh mentafsir akan maksud kita yang berdiri secara lurus. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan mereka yang berkuda-kuda. Kalau berdiri secara berkuda-kuda membawa petanda bahawa orang itu bersedia untuk bergaduh. Lebih-lebih lagi berkuda-kuda dengan aksi tangannya sekali. Tangan diketar-ketar untuk menunjukkan kehebatan diri sambil mengertak lawan. Harapannya isyarat tangan yang sedemikian akan menggerunkan lawannya ketika bergaduh. Petanda atau isyarat kekuda dan getaran tangan tidak  digunakan oleh pengamal SC.

Kita perlihatkan sifat gerak itu pada orang lain. Hal yang demikian  supaya orang lain  boleh mentafsir akan sifat SC yang tidak suka memulakan pergaduhan. Tangan dirapatkan di badan. Tidak ada aksi. Jauh sekali mengetar-ngetarkan tangan. Memek muka kita adalah selamba sahaja. Tidak digerunkan supaya musuh berasa takut, atau disembulkan bijik mata supaya musuh berasa gerun. Kita masih lagi berkedudukan semula jadi. Sifatnya tenang. Namun begitu, jika orang lain itu memulakan pergaduhan, barulah pengamal SC menunjukkan sifat jaguhnya. Mudah dan ringkas. Pastinya tepat jika diamalkan pelajaran SC dengan sepenuh hati.

Sebagai pengamal SC bersilat, kita tidak mengeluarkan suarapun ketika bersilat. Hal yang demikian memberi petanda atau menunjukkan sifat kita yang yakin ketika menghadapi musuh. Orang yang bersuara ketika bergaduh menunjukkan emosinya tidak seimbang. Mereka memerlukan bantuan lain bagi menguatkan semangat. Suara dijadikan alat bagi menguatkan semangat mereka. Di sinilah menampakkan isyarat pada pengamal SC yang sentiasa tenang. Ketiadaan suara ketika bersilat menunjukkan sifat ketenangan dan keberanian yang hakiki pada pengamalnya. Orang yang tenang tidak terburu-buru. Hal yang demikian akan memudahkannya berfikir sambil melakukan gerak yang tepat dan pantas.

Kalau ada kedengaran suarapun dalam kalangan pengamal SC, itu semua adalah kerana nafasnya berbunyi. Nafas itu adalah semula jadi ketika menyedut dan hembus nafas. Suara nafas yang terkeluar tidak dalam nada yang tinggi. Hanya bunyi nafas dan bukannya bunyi suara dari mulut.

Namun begitu, ketika latihan silat, Jurulatih yang mengendalikan latihan tentunya akan mengeluarkan suara yang tinggi untuk maksud memberi arahan dan membuat tegahan. Suara tinggi itu adalah berbentuk ketegasan dan pemberi semangat. Ketinggian suara para Jurulatih merupakan isyarat pada para penuntut supaya belajar dengan bersungguh hati. Jangan main-main.

Dalam SC, setiap gerak kita sendiri memberi petanda yang tertentu. Petanda itu juga merupakan isyarat kepada kita untuk memulakan gerak atau menghentikan gerak. Kita membuat ’kejutan’ adalah sebagai memberi tanda supaya tafsiran gerak kita bercanggah dengan adat gerak yang diamalkan oleh pesilat lain. Hal yang demikian akan memudahkan kita membuat serangan.

Malah, kerap kali penumbuk yang kita lepaskan adalah untuk memberi isyarat atau petanda kepada lawan supaya bertindak secara menyongsang. Luar dari adat persilatan. Mereka yang memahami gerak, tentu faham dengan apa yang saya maksudkan. Konsep buah potong dalam latihan umum terutamanya, banyak memberi makna pada maksud yang saya katakan.

Sesungguhnya petanda yang ada dalam SC adalah merupakan salah satu konsep pembelajaran kita yang amat istimewa. Petanda yang kita gunakan adalah untuk memberi isyarat pada diri kita dan mungkin pada orang lain supaya mereka mentafsir isyarat atau petanda yang kita sampaikan. Kita akan bertindak berdasarkan gerak balas mereka. Gerak balas itu adalah merupakan petanda atau isyarat juga pada diri kita untuk membuat tindakan. Tindakan itu pastinya tepat dan mengena.

Dalam Organisasi, kita boleh aplikasikan bentuk petanda atau isyarat berkenaan. Petanda yang wujud dalam organisasi  membolehkan kita bertindak dengan segera. Tentunya pelakuan kita itu adalah berbentuk kewajipan yang membolehkan kita menyusun strategi bagi mempastikan setiap perancangan yang dibuat, akan menemui kejayaan.

Dalam sesebuah organisasi itu terdapat pelbagai bidang. Setiap bidang ada petanda atau isyaratnya yang tersendiri. Kita perlu mentafsirnya dengan pemikiran yang luas dan dengan ilmu dan kemahiran yang kita miliki. Setiap petanda yang timbul perlu diambil tindakan segera. Jangan dibiarkan kerana hal yang demikian itu akhirnya akan memberi kesan atau memudaratkan.

Petanda yang timbul membolehkan kita membuat perancangan yang jelas dan tepat. Kalau keputusan Ujian Sijil Rendah atau SRP merosot dalam kalangan penuntut kita, maka apakah petanda atau isyarat yang ada. Mungkin ada aspek-aspek pelajaran yang disampaikan tidak kemas hingga  dianggap sebagai pembunuh kejayaan penuntut silat kita. Atau keputusan ujian SRP  memberi isyarat tentang pengajaran Jurulatih  yang tidak bermutu. Tindakan segera boleh diambil kerana kalau hal yang demikian dibiarkan tentunya akan memberi kemudaratan pada mutu pengajaran dan pembelajaran anak didik kita.

Dalam kelas SC sendiri, jika mutu pembelajaran penuntut  tidak mencapai tahap yang memuaskan, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan Jurulatih yang mengajar atau memandu mereka.  Mungkinkah mereka tidak sehaluan atau tidak sepasukan kerana masing-masing asyik bersengketa. Atau mungkin mereka lebih utamakan politik silat dari pembelajaran silat. Atau mungkin kerana mereka lebih utamakan perniagaan daripada pengajaran SC dalam kalangan penuntut SC. Atau atau atau yang lain. Dengan sedikit kajian kita akan dapat mengetahui akan puncanya.

Dalam mana-mana organisasi atau persatuan jika masa tindakan menyelesaikan sesuatu itu begitu lama, tentunya pengurusan organisasi atau persatuan berkenaan tidak berkualiti. Bertindak pada satu-satu perancangan pun mengambil masa yang terlalu panjang. Hal yang demikian menunjukkan pengurusan yang lemah. Lebih-lebih lagi jika dalam organisasi itu wujudnya krisis antara ketua dengan anak buahnya atau sesama ahli dalam organisasi berkenaan. Krisis yang berlanjutan memberi isyarat bahawa organisasi berkenaan berada dalam keadaan lemah dan tidak terurus dengan baiknya. Semua tindakan menjadi lambat dan lembab.

Aduan yang kerap diterima oleh organisasi atau persatuan berkenaan memberi isyarat bahawa pengurusan dan kepemimpinannya lemah dan tidak mementingkan ahlinya. Biasanya, kepimpinannya lebih bersifat sombong dan memandang rendah pada orang lain. Petanda atau isyarat berkenaan perlu diperbaiki bagi mewujudkan pengurusan yang berkualiti. Jika dibiarkan, ahli-ahli akan cabut lari.  Sekian sahaja setakat ini.

 
Comments Off on 20.1 PETANDA II

Posted by on 07/11/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: