RSS

20.0 PETANDA I

05 Nov

          Saya sangat suka akan konsep petanda dalam pengurusan dan kepemimpinan persatuan atau organisasi. Konsep petanda banyak membantu saya untuk mengurus perjalanan persatuan atau organisasi yang dipertanggungjawabkan. Saya akan sentiasa berada dalam suasana berhati-hati dalam proses pengurusan. Kesan pada pengurusan adalah amat positif. Kemudahlenturan dalam pengurusan, dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Petanda adalah merupakan satu isyarat. Dalam organisasi, petanda merupakan satu sistem amaran awal (Early  warning System) supaya kita lebih berhati-hati dan membuat perancangan secara terancang atau secara strategik. Konsep petanda membolehkan kita membuat andaian atau pengawasan untuk melakukan sesuatu kerja atau mengubah suai perancangan yang kita lakukan dari masa ke masa.

Dalam bahasa yang mudah, bila dengar guruh di langit maka menandakan hari akan hujan. Kalau bunyi suara yang riuh rendah menandakan kesibukan, kekacauan atau sesuatu berlaku secara besar-besaran. Kalau matahari nak terbenam maka menandakan hari akan malam. Kalau ayam berkokok maka tanda hari nak siang. Kalau bulan mengambang maka menandakan pertengahan bulan. Banyak contoh mudah yang membolehkan kita membuat andaian, atas konsep petanda. Ada juga yang menggunakan istilah alamat. Kedua-dua istilah itu tidak ada bezanya dari segi pengertian kerana kedua-dua istilah itu merujuk pada ramalan yang berasas.

Dalam surat khabar, kita sering membaca berita betapa mereka yang terlibat dengan kemalangan atau kematian, telah menzahirkan beberapa petanda. Petanda itu dikesan oleh orang sekelilingnya. Malangnya petanda yang dikesan itu hanya dinayatakan atau diambil berat setelah berlakunya musibah. Mereka membuat ramalan selepas kejadian. Maka kata-kata mereka akan dimulai dengan rangkai kata, ”Patutlah…..”.

Ramai ahli agama yang menegaskan bahawa latar belakang yang menghubungkan dengan sesuatu kejadian itu, boleh membawa kepada telahan yang bersifat syirik. Kita mungkin ke tahap menafikan bahawa setiap kejadian itu adalah merupakan ketentutan Allah. Hal yang demikian menyebabkan kita tidak digalakkan mengungkit atas satu-satu kejadian itu dengan menghubungkan dengan alamat-alamat atau petanda. Walau bagaimanapun, amat sukar bagi kita menyekat kata-kata orang lain berhubung dengan satu-satu kejadian.

Dalam konteks hubungan diri kita dengan seseorang yang lain, petanda memberi isyarat pada kita untuk mentafsir perbuatannya. Manusia selalu memberi isyarat tentang diri mereka dengan perbuatan yang dilakukan, air muka yang ditunjukkan dan perkataan yang dituturkan. Cuma, sejauh mana tafsiran kita pada mereka adalah betul dan tepat. Saya rasa, segala-galanya bergantung pada daya pemikiran yang kita miliki.

Sebaliknya, petanda juga membawa maksud isyarat yang kita keluarkan pada orang lain untuk memberi makna kepada diri orang itu. Petanda banyak diasaskan oleh tafsiran. Dalam hal ini, seseorang yang mempunyai pemikiran yang luas tentunya dapat mentafsir dengan lebih tepat dan positif serta lebih bermakna akan isyarat yang kita keluarkan. Mereka boleh menyesuaikan diri dengan kehendak kita. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan mereka yang berfikiran sempit dan berfikiran tidak luas. Orang yang berfikiran sempit tentunya mentafsir isyarat yang kita keluarkan dalam bentuk negatif. Walau sebanyak mana isyarat yang kita keluarkan, golongan ini kurang mengerti dan tidak mengambil berat. Semuanya ada kaitan dengan pemikiran negatif mereka yang sedia ada.

Pelakuan orang lain juga boleh memberi isyarat pada kita. Pelakuan itu merupakan perwatakan luarannya atau perwatakan dalamannya. Memek muka atau air muka yang ditunjukkan pada kita membolehkan kita membuat tafsiran. Auranya akan mengalir pada kita dan memudahkan tafsiran tersebut melalui ’gelombang-gelombang’ yang dihantar. Pelakuannya juga membolehkan kita membuat tafsiran jika berkaitan dengan kita. Kalau dilihat pada kata-kata yang dikeluarkannya juga, lagi menyenangkan kita membuat tafsiran. Hal yang demikian memberi petanda atau isyarat kepada kita tentang apa yang tersemat di hatinya. Dalam tulisan di atas, saya tegaskan sekali lagi:

”Kita selalu memberi isyarat tentang diri kita dengan perbuatan yang kita lakukan, air muka yang kita tunjukkan dan perkataan yang kita tutur.”

Kita tidak boleh mengelak dari kenyataan demikian. Ustaz juga pernah menegaskan betapa apa yang ada di hati akan dipancarkan melalui air muka yang kita tunjukkan atau pelakuan yang kita lakukan atau percakapan yang kita tuturkan. Itu sebabnya orang-orang yang hebat akan dapat membaca isi hati seseorang. Bukannya dia membaca hati kita secara langsung tapi membaca hati kita melalui petanda yang kita keluarkan. Petanda itu boleh terpancar melalui memek muka, perbuatan yang dilakukan atau tutur kata yang dikeluarkan.

Oleh itu, jagalah pelakuan dan percakapan kita supaya tidak disalah erti oleh para pendengar atau pada mereka yang berada di sekeliling kita. Masa akan banyak terbuang bagi menjelaskan pelbagai perkara yang boleh disalah anggap oleh para pendengar. Itupun jika kira berkesempatan berbuat demikian. Kegagalan kita membuat penjelasan akan menyebabkan fitnah yang direka akan tersebar dengan luas.

Dalam SC, kita selalu mendengar tentang ilmu isyarat. Malah dalam pantun SC, konsep isyarat juga dimasukkan dalam pantunnya.

Sebenar guru ada hakikat,

Dikuat pula amalan syariat,

Ditambah pula ilmu makrifat,

Berpakaian pula dengan isyarat.

         Orang yang berupaya menggunakan ilmu isyarat bermakna orang itu  mengeluarkan atau mentafsir isyarat untuk memberi makna atau memberi petanda pada orang lain. Orang yang melihat isyarat atau petanda itu perlu mentafsirnya. Namun begitu ada juga orang lain yang tak erti bahasa. Buat nohin sahaja.

Ustaz kerap menggunakan memek muka bagi menyatakan maksudnya. Kerap kali juga Ustaz tidak menggunakan tutur kata untuk memberi isyarat pada orang lain. Diam itu juga merupakan satu bahasa isyaratnya bagi menyatakan persetujuan atau menyatakan larangannya. Hanya orang yang memahami akan Ustaz sahaja yang boleh membuat tafsiran.

Dalam persilatan  SC, pelajaran yang ada jelas memperlihatkan isyarat atau petanda kepada orang lain supaya mereka  memahami isyarat atau petanda tersebut. Ada ketikanya, isyarat yang kita beri supaya mencelarukan tanggapan atau pemikirannya berdasarkan adat atau kebiasaan pada mereka. Hal yang demikian bagi menyesuaikan kehendak pelajaran yang ada. Pemikiran mereka yang ’kacau’ itu membolehkan gerak SC ’menjadi’ dan mencapai sasarannya. Banyak contoh yang boleh diberi. Itulah hebatnya SC. Tersangat rugi kalau kita tidak benar-benar memahami isi pelajarannya. Bersambung.

 
Comments Off on 20.0 PETANDA I

Posted by on 05/11/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: