RSS

19.3 KERJA SEPASUKAN IV

04 Nov

          Bahagian terakhir.

Kadang kala dalam satu-satu pasukan itu sendiri akan menghadapi masalah. Apabila salah seorang daripada ahli pasukan itu lebih berwibawa atau lebih berkemampuan dari apa segipun dengan yang lain, maka individu berkenaan mungkin akan menguasai pasukan yang terbentuk itu. Keadaan akan lebih parah jikalau individu berkenaan bersifat individualistik. Orang lain kena ikut pendapatnya. Hal yang demikian menjadikan dia ketua dan ahli-ahli yang lainnya sebagai pengikut. Dalam konteks kerja sepasukan tentunya situasi yang sedemikian tidak menyenangkan ahli-ahli yang lain. Itu sebabnya banyak pepecahan yang berlaku secara ’dalaman’. Sikit demi sikit, kalangan mereka mengundur diri tanpa menyatakan sebab pengunduran. Sebagai Penyelia Kelas atau Jurulatih, sensitiflah dengan situasi tersebut.

Keadaan akan menjadi lebih tidak menyenangkan apabila timbulnya krisis atau konflik dalam kalangan mereka. Konflik berlaku apabila konsep kerjasama atau bertolak ansur menjadi longgar. Dalam kalangan Jurulatih juga berlaku. Pasukan atau kumpulan Jurulatih berkenaan akan berpecah apabila mereka tidak sehaluan ketika menjalankan tugas sebagai Jurulatih. Banyak perkara yang boleh menimbulkan keadaan yang tidak sehaluan itu. Konflik yang berlaku tentunya akan merugikan para penuntut. Masing-masing akan menyebarkan pengaruh dalam kalangan penuntut. Penyebaran pengaruh itu erat kaitannya dengan komen-komen atau kata-mengata sesama mereka. Hal yang demikian akan menyebabkan penuntut akan kehilangan fokas. Tentunya situasi yang demikian juga akan menyebabkan mutu pengajaran dan pembelajaran akan menjadi merosot. Akhirnya kualiti SC yang dikuasai para penuntut  juga akan terjejas.

Rupa-rupanya, salah satu faktor yang boleh merosakkan pasukan yang dibina itu ada kaitan dengan stail kepemimpinan yang ada dalam pasukan itu sendiri. Jika stail kepemimpinan itu lebih bercorak demokrasi tentunya akan menimbulkan suasana perbincangan dan kemesraan dalam kalangan ahli pasukan. Sebaliknya, jika stail kepemimpinan lebih bercorak mutlak atau kuku besi maka akhirnya akan timbul situasi yang tidak menyenangkan apabila wujud persaingan kepemimpinan dalam kalangan   mereka. Begitu juga jika wujud stail kepemimpinan suka hati. Buat kerja berdasarkan IT. Semua itu akan menjadikan pasukan yang terbentuk itu menghadapi masalah untuk begerak dengan lebih mantap dan lebih bertenaga.

Pasukan yang terbentuk juga akan menghadapi masalah kalau ada dalam kalangan ahli pasukannya tidak ada disiplin yang mantap. Masa diurus suka hati. Suruh datang pukul lapan, akan lewat beberapa minit atau mungkin beberapa jam. Begtu juga dari segi disiplin kerja. Mereka yang kurang disiplin tentunya tidak bersungguh-sungguh menjalankan tugas. Kerja yang diberi suka dilengah-lengahkan. Hal yang demikian akan menjejaskan tumpuan ahli-ahli lain yang lebih komited berbanding dengan diri mereka. Maka akan menyebabkan timbul perasaan tak puas hati dan akhirnya pasukan tersebut berkemungkinan akan berpecah.

Kadang kala, kerja-kerja sepasukan akan menghadapi masalah dalam jangka masa lama. Salah satu puncanya ialah kekurangan idea untuk menjalankan sesuatu amanah yang diberi. Pemikiran mereka menjadi tepu kerana orang yang sama sentiasa berada dalam pasukan yang sama. Hal yang demikian memerlukan dua perkara utama. Pertamanya kepemimpinan tertinggi perlu memberi suntikan idea pada pasukan yang terbentuk. Galakkan mereka menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan persatuan atau kerap mengadakan perjumpaan-perjumpaan yang berkaitan dengan persilatan. Keduanya ialah dengan cara mengambil ahli-ahli baru dalam pasukan berkenaan.

Seiring dengan kekurangan idea, mereka juga akan menghadapi masalah dari segi kemahiran yang kurang dalam satu-satu bidang kerja yang diberi. Kekurangan skill dalam kalangan mereka menyebabkan mutu penghasilan kerja agak kurang dari sepatutnya. Tentulah hal yang demikian akan mengurangkan keberkesanan pasukan berkenaan.

Saya tidak menafikan betapa ada masa-masanya kita akan bersungut apabila menerima beban kerja yang amat banyak. Sungutan akan menyebabkan perjalanan pasukan berkenaan akan terganggu. Sesungguhnya setiap ahli memerlukan perhatian dan pujian. Hal ini boleh dilakukan oleh barisan kepemimpinan tertinggi satu-satu persatuan atau satu-satu organisasi itu. Berilah pengiktirafan kepada mereka. Dalam persatuan kita, prinsip itu telah ada. Cuma, luaskan seberapa luas yang boleh.

Walau bagaimanapun, motivasi yang terbaik ialah secara kita memotivasikan diri kita sendiri. Itu sebabnya kita perlu memahami akan matlamat yang ingin dicapai oleh persatuan atau sesuatu organisasi tersebut. Matlamat yang jelas memudahkan kita bekerja dengan penuh dedikasi tanpa sebarang rungutan.

Ketika  datang unsur-unsur negatif dalam diri atau dalam pemikiran kita, janganlah dikeluarkan melalui mulut kita. Berhentikan setakat di hati. Perkara yang dikeluarkan melalui mulut hanya cakap-cakap yang positif. Perkara yang negatif hanya disimpan dalam hati atau dalam pemikiran kita. Lama-lama akan hilang jika kita tidak melayannya.

Kita perlu meletakkan pasukan kita penting dalam sesebuah persatuan atau organisasi itu. Pengiktirafan yang diberi akan terus memberi dorongan kepada kita untuk terus menerus bekerja dengan penuh dedikasi. Kalau kita hanya mendiamkan diri tanpa war-warkan hasil kerja yang berkualiti, orang lain tidak tahu dan memandang seolah-olah kerja yang dilakukan tidak membawa makna. Tunjukkan kehebatan kita secara meletakkan pasukan kita adalah pasukan yang penting dalam persatuan atau organisasi yang berkenaan.

Dalam hal ini tonjolkan kegairahan kita untuk menaikkan kehebatan pasukan kita yang terbentuk itu. Keghairahah yang wujud itu akan menjadikan kita sentiasa bersemangat untuk terus memajukan kehebatan pasukan kita sendiri. Kalau ada dalam kalangan ahli pasukan kita yang mungkin kurang bermotivasi, maka jadikan tugas dan tanggungjawab kita untuk memotivasikan mereka. Jangan sesekali kita bersekongkol dengan rungutan atau perasaan tak puas hati yang timbul dalam diri mereka. Percayalah. Dengan cara kita memotivasikan orang lain, secara langsung langkah kita itu akan memotivasikan diri kita sendiri.

Kita tidak perlu bersifat defensif atau mencipta banyak alasan. Jika berlaku kesalahan, kita akuinya. Kita belajar dari kesilapan yang berlaku. Hal yang demikian akan menjadikan diri kita sentiasa terdorong untuk melakukan kerja-kerja yang dimanahkan kepada kita secara ikhlas tanpa ada perasaan tak puas hati atau bersifat suka bersungut atau merungut.

Kesimpulannya, mewujudkan satu pasukan kerja yang seia dan sekata bukanlah mudah umpama makan kacang goreng. Banyak halangan dan rintangan yang terpaksa ditempuh terutamanya pada masa jangka masa panjang. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengekalkan pasukan yang terbantuk itu agar pasukan itu benar-benar hebat dan memberi sumbangan kepada persatuan atau organisasi yang kita terlibat.         Jangan sesekali kita menjadikan pasukan yang terbentuk itu berfaham kiri yang akhirnya menentang kepemimpinan tertinggi persatuan atau organisasi berkenaan. Hal yang demikian amat merugikan. Sekian tajuk ini.

 
Comments Off on 19.3 KERJA SEPASUKAN IV

Posted by on 04/11/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: