RSS

19.2 KERJA SEPASUKAN III

03 Nov

           Bahagian Ketiga.

          Apabila kita mengetahui pelbagai jenis aspek pengurusan dalam setiap organisasi atau persatuan yang kita terlibat maka mudahlah kita membentuk satu pasukan kerja. Pembentukan pasukan kerja dalam melaksanakan sebarang tanggungjawab atau amanah yang diberi kepada kita adalah amat mustahak.

Kerja sepasukan adalah satu konsep yang membawa makna ’sekumpulan orang yang rasa bertenaga dengan bekerja bersama-sama, komited, bertimbang rasa dengan rakan-rakan.’ Sebenarnya banyak ciri yang merujuk pada kerja sepasukan.

Antara definisi yang saya petik daripada pengkajian yang ada, sepasukan bermaksud sekumpulan manusia yang bekerjasama ke arah pencapaian matlamat organisasi. Lain-lain kenyataan yang popular tentang kerja-kerja sepasukan dapat kita lihat daripada kenyataan di bawah.

Beberapa orang yang bekerjasama dalam satu-satu cara yang tertentu dan memberikan pulangan yang berkesan pada organisasi berkenaan berbanding bekerja secara individu.

  1. Sekumpulan manusia  yang bersatu atas kepentingan yang sama.
  2. Satu kumpulan manusia yang bertenaga dan komited untuk mencapai objektif yang sama. Mereka bekerjasama dan rela melakukan aktiviti dan mereka berjaya menghasilkan penghasilan kerja yang sangat berkualiti.
  3. The team is a small number of people with complementary skills who are committed to a common purpose, performance goals and approach for which they hold themselves mutually accountable.

Berdasarkan ciri-ciri di atas membuktikan kepada kita betapa sukarnya membentuk satu pasukan kerja yang meliputi semua ahli yang berada dalam satu-satu organisasi atau satu-satu persatuan tersebut. Semasa saya memimpin persatuan cawangan, pasukan kerja yang terbentuk adalah terhad. Namun begitu, kami dapat bekerja bersama –sama dalam proses mengembangkan SC di negeri kami. Hala tuju kami adalah jelas. Kejelasan ini masih berkekalan hingga sekarang. Walaupun ada yang berlainan ’guru’, semangat persilatan SC masih sama. Semuanya berpaksi pada semangat yang dipupuk oleh Ustaz Hanafi.

Dalam tulisan yang terdahulu, saya pernah bincangkan betapa Ustaz ‘mencabar’ saya untuk mencari seramai empat puluh ahli SC yang sehati dan sejiwa. Kalau saya berjaya mendapatkannya, Ustaz membenarkan saya menutup kelas SC tersebut. Begitu mudah Ustaz membuat saranan, tapi rupa-rupanya teramat payah untuk melaksanakannya.

Mana mungkin seorang guru mengarahkan penutupan kelas latihan silat kalau tidak merujuk pada perkara yang mustahil. Hal yang demikian membuktikan bahawa untuk mencari satu pasukan kerja yang meliputi keseluruhan ahli adalah sesuatu yang agak mustahil.  Sepasukan adalah merujuk pada sebilangan ahli atau jumlah ahli yang  kecil dan dapat bekerjasama.

Berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan, membuktikan kepada kita betapa semua pihak bersetuju bahawa sepasukan hanya meliputi sebilangan kecil ahli yang bwertindak sebagai pemimpin dalam satu-satu persatuan atau organisasi. Merekalah yang dapat bekerjasama untuk mencapai matlamat persatuan. Hal yang demikian memberi panduan kepada saya sendiri, untuk mencari dan membentuk sekumpulan manusia atau ahli yang dapat bekerjasama dengan saya bagi membangunkan organisasi yang saya pimpin.

Semasa saya memimpin cawangan dulu, saya mempunyai pasukan yang terdiri dari setiausaha dan bendahari dan dua orang yang menjawat jawatan sebagai jawatankuasa. Kami berlima sahaja yang menentukan hala tuju cawangan. Kami bertindak sebagai pemikir dan sentiasa berbincang bagi mempastikan setiap perancangan SC  dapat dijalankan dengan sempurna. Hasil pemikiran kami berlimalah yang menjadikan cawangan SC yang saya pimpin begitu mantap. Ahli-ahli lain hanya mengikut sahaja apa saja yang kami putuskan.

Pasukan yang dibentuk perlu ada ketuanya. Walaupun mereka sering berbincang, pastinya setiap perbincangan akan mengadungi pendapat yang berbeza-beza. Di situlah peranan  ketua pasukan amat penting bagi membuat ketetapan. Ketetapan yang telah dibuat akan diikuti oleh semua pihak, tanpa ada apa-apa bantahan lagi atau rungutan seterusnya.

Walau bagaimanapun, pasukan yang terbentuk tetap menghadapi beberapa masalah yang perlu diselesaikan dalam kalangan mereka. Masalah utamanya ialah mencari contoh kepemimpinan yang boleh dijadikan panduan atau diikut kewibawaannya. Orang itu boleh dijadikan ’role model’ buat rujukan pasukan. Sudah tentulah cara bekerja, sikap positifnya, kualiti kerja yang dihasilkannya, boleh dijadikan panduan pada kumpulan berkenaan.

Dalam SC, sudah tentulah pada zaman dulunya Ustaz sebagai Guru Utama, telah dijadikan rujukan atau role model dalam kalangan ahli. Itu sebabnya ada yang terlalu menghormati Ustaz atas kewibawaan atau perwatakannya sebagai seorang pemimpin hingga berebut-rebut sisa makanan atau sisa minumannya.

Begitu juga dengan kepemimpinan guru utama yang ada sekarang. Kita ada beberapa ”guru utama” yang mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Adakah mereka dapat dijadikan role model pada pasukan ahli-ahli SC. Hal yang demikian dianggap penting kerana merekalah kepemimpinan utama yang akan memandu anak muridnya. Ustaz selalu mengatakan akan peranan  mereka umpama kepala keretapi. Kita yang lain umpama gerabak, berlambangkan sebagai pengikut.

Kalau mereka gagal untuk memandu atau memimpin kita, maka SC akan mendapat bencana. Lihatlah kepemimpinan PA, En Mat dan PJ. Apakah yang dapat dijadikan contoh atas kepemimpnan mereka yang ada. Saya tak ada komen. Cuma membincangkan tajuk ini dalam konteks role model. Kegagalan mendapatkan role model dalam satu-satu persatuan atau organisasi itu akan mendatangkan kerugian yang amat besar pada barisan pengikutnya.

Satu masalah yang dihadapi oleh pasukan juga ialah ketiadaan kayu ukur atas segala kejayaan yang dilakukan. Kita tiada ukuran standard atau ukuran kualiti untuk mempastikan segala penghasilan kerja kita adalah standard dan berkualiti. Cuma, ukuran kita hanya berdasarkan perbandingan atau pencapaian target. Jika secara bandingan, kita teratas maka kita dianggap telah berjaya. Begitu juga jika kita mencapai objektif yang ditetapkan. Pencapaian objektif bermakna kita berjaya menjalankan program atau aktiviti yang dipertanggungjawabkan kepada kita.

Semasa saya memimpin persatuan, ukuran standard adalah berdasarkan kepada beberapa ketetapan. Misalnya, kelas silat perlu dibuka sekurang-kurangnya sebuah dalam masa setahun. Setiap kelas yang hendak dibuka mestilah mengandungi ahli sekurang-kurangnya dua puluh satu orang. Bilangan yang tamat mestilah tidak kurang daripada lima belas orang. Itulah standard yang kami tetapkan pada kelas-kelas yang dibuka di cawangan saya. Jika kami berjaya maka itulah ukuran kejayaan kami. Namun begitu, ada ketikanya kami gagal memeunuhi hasrat yang ditetapkan. Hal yang demikian menunjukkan kegagalan kami.

Berdasarkan kenyataan di atas, kepemimpinan di peringkat tertinggi SC perlu menetapkan sasaran kerja pada setiap cawangannya. Letakkan standard yang tertentu. Hal yang demikian akan dapat memandu setiap pemimpin cawangan untuk mengukur kejayaan mereka dalam proses memimpin cawangan SC di tempat masing-masing.

Satu lagi masalah kerja sepasukan di setiap persatuan atau setiap organisasi itu ialah terdapatnya beberapa pasukan dalam persatuan atau organisasi tersebut. Mereka bersaing sesama mereka. Pasukan-pasukan ini terbentuk kerana ada ketuanya yang mempunyai kepentingan yang sama dengan ahli pasukan masing-masing. Tentunya pasukan yang banyak akan mewujudkan persaingan. Jika persaingan itu sihat ke arah pencapaian objektif persatuan  atau organisasi yang satu, bilangan pasukan yang banyak tidak mendatangkan sebarang masalah. Sebaliknya jika mereka tidak sehaluan, pastinya akan mengundang petaka atau masalah yang tidak sihat dalam persatuan atau organisasi berkenaan.

Di sinilah peranan kepemimpinan utama dalam persatuan akan berperanan  penting bagi mengawasi atau meletakkan setiap pasukan yang wujud itu dalam landasan yang betul. Jika kepemimpinan tertinggi gagal berbuat demikian, maka akan datanglah bala kepada persatuan itu sendiri. Malah kedudukan pemimpin  persatuan itu juga akan terancam. Kita ada banyak pengetahuan dalam perkara yang saya maksudkan itu.

Kita juga banyak pengetahuan dan pengalaman dalam persatuan kita sendiri. Semasa kepemimpinan PA dan En Mat, terdapat kumpulan-kumpulan pasukan yang bekerja di bawah ketua mereka dengan hala tuju yang berbeza. Saya berpendapat, pengawasan guru utama ke atas mereka boleh dikatakan agak longgar. Hal yang demikian menjadikan mereka bersaing kuasa untuk menunjukkan kehebatan masing-masing. Persaingan yang tidak sihat itu berakhir dengan perselisihan yang sangat hebat dalam kalangan mereka hingga berakhir dengan pepecahan SC. Saya tidak berminat untuk buat komen lagi tentang hal yang demikian. Bersambung.

 
Comments Off on 19.2 KERJA SEPASUKAN III

Posted by on 03/11/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.