RSS

19.1 KERJA SEPASUKAN II

02 Nov

Bahagian Kedua.

Ketua pada mana-mana persatuan atau organisasi, perlu menguasai ilmu pengurusan dan ilmu kepemimpinan yang mantap. Pengurusan berkaitan dengan peraturan manakala kepemimpinan berkaitan dengan pengurusan manusia yang perlu dijaga hati dan kebajikannya. Di sinilah lahirnya kebolehan mengurus dan kebolehan memimpin. Jika gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut maka persatuan atau organisasi berkenaan akan berada dalam keadaan pincang.

Pastinya, persatuan atau organisasi yang hebat akan dipimpin oleh orang yang hebat. Umumnya, jika kepemimpinan di persatuan atau organisasi itu hebat maka orang itu akan berjaya menghebatkan persatuan atau organisasi yang dipimpinnya. Dalam konteks persilatan, persatuan SC tersebut akan terus berkembang dengan hebatnya dari masa ke masa. Bilangan ahli semakin bertambah dan mutu pengajaran dan pembelajarannya adalah tersusun dengan baik.

Di peringkat organisasi, kepemimpinan perlu menekankan aspek kebebasan mengeluarkan pendapat. Jangan dikongkong pendapat atau pandangan yang ingin dikeluarkan oleh ahli. Dalam hal ini penurunan kuasa atas tanggungjawab adalah penting. Kita perlu meletakkan kepercayaan kepada ahli-ahli yang kita rasa berkemampuan untuk membantu kita, bagi mencapai kejayaan persatuan atau organisasi. Beri kebebasan pada mereka untuk membuat perancangan. Tugas kita adalah sebagai pemudahcara.

Setelah diberi kuasa tanggung jawab pada orang kepercayaan kita, lebih baik jangan dikacau atau diganggu akan kuasa atau tanggungjawab yang telah diberi. Tidak salahnya jika kita turun padang dan berbincang dari segi tanggungjawab dengan orang yang telah diturunkan kuasa dan tanggungjawab tersebut. Hal yang demikian akan menjadi pendorong kepada ahli-ahli kita untuk terus-menerus mencipta kejayaan dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Sebagai ahli organisasi, kita perlu mempunyai keyakinan diri. Kalau dilantik sebagai ketua, tunjukkan keyakinan kita memegang jawatan tersebut. Malah kalau kita dilantik ke jawatan apa pun atau diberi tugas untuk melaksanakan sebarang tugas maka tunjukkan keyakinan diri. Buktikan bahawa kita berkemampuan untuk memikul tugas bagi melaksanakan tanggungjawab yang diberi.

Dalam konteks kita dalam persatuan SC, keyakinan diri ketika menjalankan amanah yang diberi adalah merupakan satu kemestian.  Malah pelajaran dalam SC itu sendiri memupuk sifat yakinkan pada diri. Pelajarannya disusun bagi maksud keyakinan tersebut. Kerana keyakinanlah kita dapat menepis serangan musuh dalam keadaan tidak melangkah atau menggerakkan badan secara mengelak.

Keyakinan diri juga merupakan satu kemestian dan menjadi pakaian para Jurulatih SC. Hal yang demikian akan memudahkan kita menyampaikan ilmu persilatan SC kepada para penuntut baru. Tanpa keyakinan diri mana boleh kita menyampaikan ilmu gaduh. Kita bukannya mengajar ilmu tari yang banyak hilai tawa dan gembiranya. Ilmu persilatan adalah berkaitan dengan keselamatan diri. Ilmu ini dipelajari dengan risiko kecederaan yang tinggi terutama pada mereka yang  tidak serius belajar.

Keyakinan diri kita sebagai  pesilat terus dipupuk ketika berada dalam persatuan. Keyakinan diri akan memupuk sifat bertanggungjawab. Pada orang yang bertanggungjawab, sesuatu tugasan yang diberi akan disudahkan hingga habis. Tidak sekerat jalan. Itulah pembentukan sifat yang diajar kepada setiap ahli. Hal yang demikian amat berguna ketika kita memimpin atau menjadi ketua pada organisasi yang lain. Sifat kita sebagai pesilat SC yang yakin dan bertanggungjawab, akan banyak membantu kita untuk memikul tugas dan amanah pada jawatan yang kita sandang ketika berada di tempat kerja kita sendiri.

Seiring dengan keyakinan diri, sebagai ahli mana-mana organisasi, soal penampilan diri sangat diberatkan. Penampilan diri akan menjadikan diri kita dihormati. Penampilan diri boleh dilihat dari segi cara pemakaian kita, cara berkomunikasi dan cara pergaulan yang kita lakukan. Ramai orang lain yang memberi penghormatan yang tinggi kepada kita jika kita berjaya menampilkan diri.

Dalam konteks persilatan kita, penampilan diri adalah merupakan satu perkara yang sangat ditekankan. Kita ada etika berpakaian. Ketika menghadiri program-program tertentu, ada baju-baju tertentu yang kita pakai. Pemakaian batik, baju koperat, pakaian bersilat dan sebagainya ada tempat dan disesuaikan dengan masa.  Penampilan berpakaian telah menjadikan kita nampak hebat dan disegani oleh persilatan yang lainnya. Warna pakaian silat kita lain dari kebiasaan. Sesuatu yang luar biasa tentunya akan menarik minat orang lain untuk lebih memberi perhatian pada SC.

Satu peranan yang besar dalam persilatan juga ialah kebolehan kita untuk  memberi ulasan atau laporan  tentang perkembangan persilatan kita. Hal yang demikian bermakna kita dapat mencerap semua yang berlaku dalam persatuan kita. Dalam pencerapan tersebut kita boleh membuat penilaian terutamanya kebolehan murid dalam persilatan. Pada setiap penuntut, kita tahu perkembangannya dari mula hingga akhir. Dengan cara itu dapatlah kita membuat perancangan bagi membina keupayaan penuntut berkenaan dari masa ke masa hingga penuntut yang berkenaan hebat dalam SC.

Para Jurulatih boleh memberi ulasan tentang setiap perkembangan anak didiknya apabila ditanya oleh Guru Utama. Secara langsung kemahiran mencerap memberi makna Jurulatih berkenaan berkeupayaan membuat penilaian pada setiap perkembangan persilatan penuntut yang mempelajari SC.

Rupa-rupanya disiplin yang sama sebagai pencerap sangat memberi makna ketika berada dalam organisasi lain. Saya maksudkan dalam bidang profesional kita. Pencerapan amat perlu bagi memajukan organisasi yang kita pimpin. Kalau organisasi pelajaran, tentunya pencerapan pada sekolah-sekolah amat penting. Kita berupaya mencerap bermakna dapat menilai prestasi setiap sekolah yang ada dalam sesebuah negeri. Hal yang demikian akan  memudahkan kita membuat pelbagai jenis perancangan bagi memajukan organisasi berkenaan.

Ketika kita mencerap, ilmu dan kemahiran mencerap perlu ada. Konsep petanda amatlah mustahak. Petanda merupakan kaedah memberi peringatan kepada kita. Dalam bahasa yang mudah, petanda akan membolehkan kita membuat jangkaan. Jangkaan sangat diperlukan ketika kita menjalankan strategi untuk mencapai hajat yang ingin dicapai. Kalau guruh di langit pastinya tanda hari akan hujan. Begitulah dengan pelbagai contoh yang lain.

Kita boleh tafsirkan suasana yang berlaku dalam kelas pembelajaran SC. Pastinya ada petanda yang membawa kepada keadaan berkenaan. Kalau bilangan penuntut semakin merosot dalam satu kelas yang sama, bermakna adalah sesuatu kelemahan dalam pengurusan dalam kelas silat berkenaan. Atau sebab-sebab lain yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran silat di kelas berkenaan. Dalam hal ini, Penyelia kelas atau para jurulatih perlu sensitif akan keadaan demikian. Buat sumbang saran bagi mempastikan punca-puncanya. Bersambung.

 
Comments Off on 19.1 KERJA SEPASUKAN II

Posted by on 02/11/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: