RSS

19.0 KERJA SEPASUKAN I

01 Nov

Kita sering kali mendengar tentang keperluan bekerja sebagai satu pasukan. Hal yang demikian akan menyumbang kepada kejayaan atau kecemerlangan sesebuah persatuan atau sesebuah organisasi itu. Kehebatan persatuan SC satu ketika dulu ada kaitannya dengan kerja sepasukan. Masing-masing ada peranannya di bawah kepemimpinan Guru Utama. Hala tuju persatuan adalah jelas. Semua ahli memahaminya dan berusaha keras untuk memenuhi matlamat tersebut.

Dalam tulisan ini, saya cuba membincangkan tentang makna kerja-kerja sepasukan dalam konteks SC dan cara-cara membentuk satu pasukan yang kita hajatkan berdasarkan pengalaman dalam SC.

Dalam konteks SC, Ustaz pernah menyentuh maksud kerja sepasukan secara tidak langsung. Mungkin sebutannya berlainan, namun pengertiannya adalah sama. Ustaz pernah mencabar saya supaya mencari orang yang sehati sejiwa seramai empat puluh orang. Jika dapat maka bolehlah  ditutup kelas yang ada.

Cabaran yang diberi Ustaz itu melambangkan betapa susahnya untuk mendapatkan satu pasukan yang sehati dan sejiwa. Agak mustahil bagi Ustaz membuat cabaran dengan diakhiri usaha menutup kelas kalau hajat berkenaan tercapai. Jelas pada saya, untuk membentuk satu pasukan yang sama-sama boleh berjuang bagi mencapai matlamat organisasi atau matlamat persatuan itu bukannya satu perkara yang mudah.

Dalam tulisan yang terdahulu, dalam konteks silat, pelbagai cara boleh kita lakukan untuk mendapatkan kerjasama. Kerjasama yang diperoleh adalah merupakan asas kerja sepasukan. Saya pernah bincangkan betapa pentingnya kita mengetahui matlamat persatuan, ketua turun padang dan bergaul dengan pengikutnya seperti menghadiri majlis-majlis kenduri-kendara yang diadakan. Selain itu saya menyarankan prinsip bersalaman supaya diambil berat. Banyak lagi langkah-langkah yang telah dijalankan bagi mempastikan terbentuknya satu pasukan ahli SC yang sehati dan sejiwa.

Walau bagaimanapun, langkah kita itu tetap menghadapi pelbagai halangan dan pelbagai dugaan. Kadang kala kita berasa telah ada ahli silat yang boleh bekerja bersama-sama. Akan tetapi, apabila cukup tempoh, mereka akan berpindah ke tempat lain. Lebih malang lagi apabila mereka berkahwin. Setelah menikmati surga dunia, alam persilatan mula dilupakan. Mereka bersilat di gelanggang yang lain. Kalau teringatkan silat sekalipun, apakan daya, lesen yang diperoleh tersangat kecil. Tak mampu akitif sepanjang masa.

Dalam konteks persatuan atau organisasi, mencari pasukan yang sehati dan sejiwa adalah amat perlu. Dalam istilah pengurusan, konsep sehati dan sejiwa dirujuk pada pembentukan kerja secara satu pasukan. Jika wujud pasukan kerja maka organisasi berkenaan akan berada dalam landasar kecemerlangan.

Dalam konteks pengurusan, saya menekankan pelbagai cara bagi membentuk kerja sepasukan. Langkah-langkah yang dinyatakan boleh dijadikan panduan dalam usaha para Jurulartih SC untuk mendapatkan kerjasama sepenuhnya dari Jurulatih  SC yang lain. Perkara-perkara berikut perlu diambil tahu oleh para kepemimpinan satu-satu persatuan atau satu-satu organisasi bagi membentuk kerja-kerja sepasukan.

Sebelum kita membentuk pasukan kerja yang hebat, ahli-ahli pasukan itu perlu memiliki beberapa pengetahuan asas yang memudahkan mereka bergerak dalam satu pasukan. Mereka mesti  tahu perkara-perkara yang berikut seperti yang saya bincangkan dalam penulisan ini.

Langkah pertama yang perlu diambil oleh semua ahli dalam persatuan atau organisasi ialah memahami hala tuju organisasi. Hala tuju itu berkaitan dengan strategi yang dirangka bagi mencapai matlamat berkenaan. Istilah sekarang popular dengan perkataan visi dan misi.  Dalam persatuan SC, istilah perjuangan menggambarkan hala tuju yang perlu diketahui. Setiap program dan tindak tanduk para ahli mestilah mengarah kepada hala tuju tersebut. Kalau hala tuju itu tidak jelas maka  penglibatan mereka adalah dalam dunia separuh sedar. Buat kerja ikut tafsiran sendiri.

Saya ambil contoh tentang hala tuju SC di cawangan saya dulu. Hala tuju itu merupakan perjuangan yang perlu dipikul oleh setiap ahli. Semua lapisan pemimpin di cawangan yang memahami hala tuju tersebut perlu diulang-ulangkan sebutannya dalam kalangan ahli-ahli SC yang lain. Kami berjuang untuk membanyakkan bilangan kelas dan ahli di cawangan. Penerangan dan penegasan yang berkali-kali dalam kalangan ahli telah menyebabkan hala tuju itu bersebati dengan mereka. Masing-masing tahu tentang hala tuju yang berfokas itu. Oleh itu, beberapa misi dirangka bagi mencapai perjuangan atau hala tuju tersebut. Satu daripada misi kami ialah mempastikan mutu pengajaran dan pembelajaran SC adalah berkualiti.

Kejelasan hala tuju atau perjuangan tersebut membolehkan kerja-kerja persatuan dan persilatan dilakukan secara terancang dan strategik. Untuk membentuk kualiti pengajaran, para Jurulatih dipastikan menguasai ilmu SC itu sendiri, di samping berkemahiran dari segi  kaedah penyampaian ilmu silat dan penguasaan komunikasi yang mesra. Manakala dari segi kualiti pembelajaran, para penuntut diasuh dan disemai dengan adat dan adab yang ada dalam SC. Pelbagai strategi dirancang dan dijadikan agenda utama dalam setiap perbincangan dalam kalangan kepemimpinan persatuan SC di cawangan saya.

Politik silat di peringkat pusat, kami ketepikan seratus peratus. Hal yang demikian kerana tidak ada dalam agenda atau perjuangan kami. Perebutan kuasa yang berlaku di pusat, biarlah mereka sendiri selesaikan. Bukan perjuangan kita kerana tidak ada dalam visi dan misi persatuan. Sekurang-kurangnya, langkah atau tindakan kami itu telah dapat membendung pepecahan sesama kami.

Banyak cawangan yang saya perhatikan tidak jelas hala tujunya. Oleh itu banyaklah karenah yang timbul di cawangan  berkenaan. Mereka ketepikan aspek pembelajaran SC untuk para penuntut mereka yang terpaksa membayar yuran setiap bulan. Hala tuju persatuan menjadi kacau bilau. Pemikiran para ahlinya diheret dalam kancah politik silat. Maka ternampaklah percanggahan dalam perjuangan mereka. Satu segi inginkan kualiti silat para penuntutnya dan satu segi yang lain mengheret pemikiran penuntutnya pada hal-hal yang bukan berkaitan dengan persilatan. Percanggahan hala tuju pada setiap pemikiran ahli, akan membantutkan kehebatan mereka untuk menguasai kualiti SC.

Di samping itu, peranan setiap ahli perlu dijelaskan. Dalam persatuan, struktur organisasi adalah penting untuk melihat batas sempadan yang ada pada setiap penjawat jawatan yang ada dalam organisasi berkenaan. Di samping itu, struktur organisasi itu akan  menentukan di mana kedudukan kita. Hal yang demikian penting supaya semua ahli dalam organisasi itu berada dalam dunia sedar. Kalau bukan guru, jangan berlagak umpama guru. Kalau bukan presiden persatuan, maka jangan belagak macam presiden. Kalau bukan setiausaha maka jangan berlagak macam setiausaha. Begitulah seterusnya untuk penjawat jawatan yang ada dalam mana-mana persatuan atau organisasi tersebut. Bersambung.

 
Comments Off on 19.0 KERJA SEPASUKAN I

Posted by on 01/11/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: