RSS

18.1 MENGURUS TEKANAN / STRESS II

25 Oct

         Masalah yang dihadapi, jadikan peluang untuk kita meningkatkan keupayaan diri. Kita perlu menggambarkan dalam fikiran kita tentang apa yang kita mahukan. Sesuatu yang kita hajati pasti akan menemui rintangan. Hal yang demikian akan menyebabkan kita sentiasa bersedia menghadapi tekanan yang bakal menjelma. Oleh sebab kita telah bersedia, kadang kala kita berasa seronok dengan tekanan yang bakal ada.

Ramai yang boleh bekerja di bawah tekanan. Namun begitu, ramai juga yang gagal ketika menghadapi tekanan atau stress. Dalam hal ini, kita perlu ada pegangan. Sesungguhnya arahan dan ajaran yang ada dalam SC sangat sesuai dan boleh dijadikan pegangan bagi menjadikan diri kita sentiasa bersedia untuk mengatasi segala bentuk tekanan yang ada. Saya akan membincangkan kenyataan ini dalam tulisan seterusnya.

Ramai dalam kalangan rakan-rakan saya yang menghadapi stress kerana gagal untuk menyesuaikan diri dengan masalah yang ada. Itu sebabnya betapa pentingnya kita merapatkan diri dengan guru yang sebenar-benar guru, atau merapatkan diri dengan sahabat tolan yang boleh dianggap sebagai penenang utama. Apabila melihat wajah mereka, hati kita akan berasa lega. Masalah yang timbul akan terungkai apabila berbincang dengan mereka. Pilihlah jalan yang benar-benar dapat mengatasi masalah  kita supaya kita dapat mengatasi stress atau tekanan yang dihadapi.

Segala-galanya bergantung pada diri kita. Kalau kita ingin menyelesaikan tekanan yang dihadapi maka tekanan itu boleh dihadapi. Pada hakikatnya, kitalah yang membentuk suasana yang ada di sekeliling kita. Kesombongan yang terpancar dari diri kita akan membentuk suasana sekitar yang tidak menyenangkan. Riaksi orang lain akan berbalik pada kita. Sebaliknya, sifat gembira dan rasa rendah diri yang ada pada kita, pasti juga akan mempengaruhi suasana yang ada di sekeliling kita. Riaksi orang sekitar juga akan berbeza. Pastinya juga riaksi tersebut akan menyenangkan diri kita dan dapat mengurangkan tekanan pada diri kita sendiri.

Apapun tindakan yang bakal kita lakukan, jika kita terus-menerus merintih atas apa yang kita tanggung maka berterusanlah kita berada dalam suasana stress yang berpanjangan. Akhirnya kita yang menanggung beban fikiran yang akan membantutkan kehebatan kita. Jiwa akan terganggu. Kita akan kehilangan kawan dari masa ke masa. Tekanan akan bertambah dan akhirnya kita akan berada dalam suasana yang merugikan.

Oleh itu, sesuaikanlah diri kita dengan situasi yang ada. Setiap masalah yang timbul, perlu diselesaikan menurut situasi yang ada. Lain masalah maka lainlah cara penyelesaiannya.  Pucuk pangkalnya banyak bergantung pada erti kesabaran. Orang yang sabar adalah orang yang mengalah pada satu tahap bagi membolehkannya menyusun strategi bagi mengatasi segala rintangan yang ada.

Jangan lupa erti keseronokan dan kesukaan pada diri kita. Diri kita sendiri yang akan menentukan terbentuknya suasana keseronokan atau tidak. Jangan jadikan sesuatu cabaran itu mencabut keseronokan kita. Sentiasalah mencipta keseronokan. Saya telah bincangkan pelbagai cara untuk mencipta keseronokan dalam tulisan yang lalu.

Walau bagaimanapun, selalulah berada pada fikiran kita.” Tidak semua yang kita suka, kita dapat. Tapi, sukalah dengan apa yang kita telah dapat.”

Orang yang bersyukur pada Tuhan sentiasa menerima seadanya. Sama ada orang sekelilingnya atau orang kanannya atau anugerah bentuk fizikal yang lainnya atau atau yang lain. Mereka tidak akan merintih. Sebaliknya mereka berupaya untuk meletakkan sesuatu itu di tempat yang sepatutnya berdasarkan apa yang ada. Orang-orang ini akan sentiasa berada dalam suasana atau keadaan yang tenang. Ketenangan yang wujud akan menjadikan dirinya berupaya menghadapi sebarang bentuk tekanan atau stress.

Kesimpulannya, selagi kita bernyawa, tekanan atau stress pasti akan tiba. Hanya kita sahaja yang boleh mengatasi atau mengurangkannya. Kita boleh meluahkan perasaan kita pada orang lain. Namun, pada hakikatnya kitalah yang sebenarnya berperanan untuk mengatasi sebarang masalah yang ada. Janganlah jadikan stress yang kita hadapi menyebabkan kita akan memencilkan diri kita sendiri. Hal yang demikian akan menyebabkan kita membunuh kehebatan diri kita yang ada. Tingkatkan usaha untuk menghadapi segala tekanan yang ada.

Penglibatan kita dalam dunia persilatan bukanlah satu perkara mudah. Setakat belajar dan kemudiannya meninggalkan persilatan, tidak menimbulkan sebarang masalah. Tekanan hanya akan timbul ketika ada penentangan atas penglibatan kita tersebut sama ada dari kedua ibu bapa atau isteri kita sendiri. Sebaliknya penglibatan secara berterusan pasti akan mengundang tekanan. Hal yang demikian kerana penglibatan yang berkenaan bermakna wujudnya keperluan untuk mempertahankan kehebatan silat yang kita miliki atau yang kita ceburi.

Walau bagaimanapun, dalam konteks persilatan SC, falsafah dan prinsipnya yang ada, amat mencukupi. Jika kita pegang sebaik-baiknya maka akan wujudlah ketenangan bagi diri kita sebagai Jurulatih atau sebagai pendokong SC.

Kita perlu yakin dengan ilmu yang kita pelajari. Istilah Cekak itu ditafsirkan hingga menjadikan perbuatan kita melibatkan diri dalam dunia persilatan, tidak sia-sia. Kita tahu betapa bertuahnya kita melibatkan diri dalam persilatan SC. Hal yang demikian menjadikan kita berasa akan tanggungjawab untuk menyebarkan ilmu SC yang ada pada diri kita kepada masyarakat umum yang lain. Ketika usaha-usaha itu dilakukan, pastinya kita akan menghadapi banyak rintangan. Oleh sebab kita tahu betapa pentingnya ilmu SC disebarkan, maka sebarang bentuk rintangan yang timbul akan dihadapi dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Hal yang demikian akan menjadikan diri kita bersifat tenang. Malah hasil usaha kita itu akan memberi kepuasaan maksimum pada diri kita yang berusaha keras mengembangkan SC dari masa ke masa.

Kita buktikan betapa silat itu gerak. Gerak silat adalah berdasarkan pergerakan dua kaki dan dua tangan. Sebutlah apa jenama silat sekalipun. Pastinya pergerakan silat itu bermula dari pergerakan kaki dan tangan. Hal yang demikian akan menjadikan kita berada dalam keadaan tenang ketika mendengar nama-nama silat yang hebat-hebat. Sesungguhnya pergerakan silat-silat berkenaan masih lagi berdasarkan pergerakan kaki dan tangan. Oleh sebab SC berpaksikan kajian pada pergerakan dua kaki dan dua tangan, maka kita tidak menghadapi masalah psikologi dalam menghadapi apa jenis jenama persilatan sekali pun.

Saya hanya menyentuh sekumit pengajaran yang wujud dalam SC yang membolehkan kita bersifat tenang dalam usaha-usaha kita untuk menyebarkan SC. Banyak ajaran lain yang ada dalam SC, boleh dijadikan panduan dan pegangan untuk mewujudkan sifat tenang ketika kita memegang amanah menyebarkan SC. Cuma, yang pentingnya ketika kita memegang amanah untuk menyebarkan SC, fikiran kita perlu sentiasa bersifat positif dan berpeganglah pada adat dan adab yang ada dalam SC seperti yang diajar oleh Guru Utama. Jangan lawan guru. Rugi. Sekian setakat ini.

 
Comments Off on 18.1 MENGURUS TEKANAN / STRESS II

Posted by on 25/10/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: