RSS

18.0 MENGURUS TEKANAN / STRESS I

23 Oct

          Setiap manusia yang dinamakan manusia pastinya akan sentiasa menghadapi masalah. Kehidupan sehari-hari akan banyak mempengaruhi masalah yang kita hadapi.

Semasa menuntut, kita menghadapi masalah untuk mendapatkan kelulusan. Berhempas pulas setiap hari. Setelah lulus, timbul masalah mendapatkan pekerjaan. Bila sudah stabil kita menghadapi masalah mencari pasangan. Setelah mendapat pasangan kita akan menghadapi masalah mendapatkan anak. Bila dapat anak timbul masalah bekenaan penjagaan, pelajaran dan masa depan dan seterusnya dan seterusnya hinggalah kita lenyap dalam alam dunia ini.

Masalah yang kita hadapi akan memberi tekanan atau stress kepada diri kita. Hal yang demikian akan banyak menganggu proses kehidupan kita. Ramai yang berpenyakit akibat tekanan yang menimpa dirinya. Keguguran rambut juga dikatakan hasil tekanan yang melampau pada seseorang itu.

Saya juga sebagai manusia biasa sentiasa menghadapi tekanan dan stress. Mungkin dalam perbincangan tulisan ini kita berkongsi bersama tentang kefahaman kita tentang tekanan atau stress yang kita hadapi. Sekurang-kurangnya dengan tulisan ini akan dapat memberi jalan keluar dan seterusnya mengurangkan masalah yang kita hadapi.

Kadang-kadang stres datang secara tiba-tiba. Hati berasa tidak seronok. Kita tidak tahu akan puncanya. Ada yang bangkit dari tidur terus berasa risau. Kerisauan itu menerbitkan tekanan. Ada yang berlangsung berhari-hari. Ketika itu fikirannya tertekan dan stress  yang dihadapi sungguh hebat sekali.

Saya berpendapat, kita perlu tahu akan punca tekanan yang sedang dihadapi. Mungkin di tempat kerja terdapat pelbagai punca yang boleh kita kesan. Misalnya kita stress kerana kerja yang dilakukan telah melewati masa yang ditetapkan. Deadlines yang ditetapkan telah gagal dipatuhi. Ada kalanya juga kita berasa stress apabila projek yang dipertangungjawabkan pada kita menemui kegagalan. Kadang kala kita berasa tidak cukup bersedia untuk mengambil satu-satu tugasan. Pada hal tugasan itu diserahkan kepada kita dengan satu kepercayaan yang penuh. Kita berasa bahawa kita tidak mampu untuk menjalankan amanah yang diberi. Tentunya hal yang demikian akan memberi tekanan yang hebat pada diri kita.

Pada mereka yang memburu pangkat, stress akan berlaku apabila orang berkenaan terlepas peluang kenaikan pangkat. Hati berasa tidak seronok kerana perasaan hampa. Tentunya keadaan itu memberi tekanan pada dirinya.

Ada yang berasa stress kerana terlalu letih membuat pelbagai jenis kerja di pejabat. Tambahan pula persekitaran kerja tidak selesa kerana kotor atau sesak dan sebagainya. Rakan sejawat, pelanggan dan orang atasan juga sering kali menjadikan diri kita berasa stress.

Dalam konteks persilatan SC, kita juga menghadapi stress. Hal yang demikian terpulanglah pada jawatan yang kita sandang. Kalau pemimpin cawangan, maka lain pula punca stressnya. Kalau kita bertugas sebagai Penyelia Kelas atau Jurulatih silat, punca stress yang kita hadapi pasti lain dari punca stress pada para penuntutnya.

Lihat saja perkembangan kelas latihan SC yang sering memberi stress kepada Penyelia Kelas atau Jurulatih yang berkenaan. Saya tulis berdasarkan pengalaman saya di satu masa dulu.

Bermula buka kelas pun akan mendatangkan stress. Kita memikirkan tentang jumlah penuntut baru yang akan sertai kelas. Kita juga akan menghadapi stress untuk mengadakan majlis ijazah pertama. Penetapan waktu yang sesuai antara masa guru utama dengan kehendak kita sering kali menimbulkan stress yang amat sangat. Setelah kelas berjaya dibuka, mengekalkan bilangan penuntut untuk  terus belajar SC, juga  memberi stress. Tekanan atau stress itu akan terus menerus timbul ketika menetapkan ijazah potong dan ijazah penamat. Semuanya akan menjadi punca kita stress.

Kalau kita telah tahu akan punca tekanan atau stress yang kita hadapi, maka carilah petua-petua yang membolehkan kita menghadapi stress. Sentiasalah ada dalam fikiran kita betapa pentingnya menjaga kesihatan kita. Akuilah stress yang dihadapi akan mengganggu kesihatan kita. Jangan biarkan stress yang timbul mengganggu  pemakanan dan tidur kita. Hal yang demikian akan menyebabkan diri kita akan terus berada dalam keadaan murung.

Ketika kita menghadapi stress, tingkatkan keyakinan diri. Keyakinan diri itu perlu diiringi dengan pemikiran yang positif. Tidak asa sesiapapun yang boleh menyelesaikan masalah yang kita hadapi melainkan diri kita sendiri. Tingkatkan hubungan dengan diri kita secara kita berinteraksi dengan diri kita sendiri. Bukankah kita dilahirkan atas kehebatan bapa kita dan atas keberanian ibu kita. Kita berasal dari benih yang hebat. Maka teruskan kehebatan tersebut tanpa diganggu oleh tekanan yang ada. Seiring dengan itu, teruskan hubungan dengan rakan-rakan yang akrab dengan kita. Sekurang-kurangnya dengan cara berbincang kita akan dapat mengurangkan stress yang kita hadapi.

Kalau tugasan yang diberi menimbulkan stress yang hebat, berehatlah seketika. Ubah standard kita dalam menentukan kualiti. Kualiti yang kita inginkan biarlah realistik. Kita perlu menjangkakan perkara buruk supaya menyenangkan kita menghadapinya.

Menghadapi stress juga memerlukan kita mengawal emosi. Kawal emosi kita sepanjang masa. Ramai yang mengawal tekanan melalui bacaan Al Quraan, berzikir dan tidak kurang juga yang menjalankan upucara meditasi. Buatlah mana yang patut. Jangan lupa. Perbuatan kita itu perlu bersandarkan pada Allah.

Ada juga yang mengawal stress secara menjaga nafas diri. Mereka percaya bahawa nafas manusia ada dua jenis iaitu nafas betina dan nafas jantan. Kita akan berada dalam keadaan stress apabila nafas kita berada dalam suasana nafas betina. Jantankan nafas betina tersebut. Ada pelbagai cara. Mungkin agak sukar dinyatakan dalam tulisan ini. Saya rasa orang-orang lama yang pernah bergaul dengan Ustaz Hanafi akan faham apa yang saya maksudkan.

Ada juga antara kita yang mengawal stressnya dengan cara mencari hiburan sama ada pementasan atau menonton filem-filem. Cuma pada pengalaman saya, jadikan kegiatan tersebut sebagai hiburan yang boleh mengurangkan stress. Jangan ditonton filem-filem atau pementasan yang mengganggu emosi kita. Hal yang demikian akan menyebabkan stress kita bertambah dan bukannya berkurangan.

Selain daripada perbincangan di atas, sekali lagi pemikiran yang positif akan banyak membantu kita untuk mengatasi stress yang kita hadapi. Sarankan diri kita supaya sentiasa berfikiran positif. Terimalah seadanya. Lihatlah hikmah yang ada di sebalik sesuatu yang menimpa diri kita. Carilah kebaikan di sebalik keburukan. Kita perlu fokaskan kepada kekuatan dan bukannya kepada kelemahan.

Bersambung.

 

 
Comments Off on 18.0 MENGURUS TEKANAN / STRESS I

Posted by on 23/10/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: